Monday, July 14, 2008

Jatidiri Pembela Agama


Salam ISLAH,

Rasulullah SAW memulakan kerja dakwah di Makkah dengan membina kekuatan aqidah dalam jiwa para sahabat. Orang hari ini panggil jatidiri. Saya sebenarnya tidaklah berapa pandai sangat guna bahasa-bahasa masakini ni, namun bila dah terjun dalam medan dakwah cyber ni, nampaknya kenalah cuba-cuba memahami dan menggunakan serba sedikit bahasa-bahasa massa ni. Tadipun sewaktu menunggu penerbangan balik ke Alor Setar dari KLIA yang delay sampai 2 jam, saya sempat membeli novel pertama Ustaz Hasrizal Saifulislam.com yang bertajuk ‘Aku Terima Nikahnya’ yang sedang panas di pasaran. Banyak juga yang saya belajar dari tulisan beliau. Terima kasih Ustaz Hasrizal.

Kembali semula kepada pokok perbincangan kita. Kekuatan para sahabat adalah terpancar dari kekuatan aqidah yang yang dipupuk dan dibajai oleh Rasulullah SAW selama 13 tahun di Makkah. Di sinilah bermulanya pembinaan jatidiri generasi terbaik umat ini. Rasulullah SAW tidak bercakap mengenai pembangunan dan tamadun sewaktu memulakan dakwah Islamiyah di Makkah. Baginda memulakannya dengan iman dan aqidah. Para sahabat diperkenalkan kepada Allah yang menciptakan mereka dan hakikat diri mereka yang diciptakan oleh Allah SWT. Rasulullah SAW telah mempertautkan kembali hubungan antara langit dan bumi. Menyubur rasa bertuhan dan menyemai sifat kehambaan di dalam diri para sahabat. Kerana itulah, para sahabat bertukar sepenuhnya dari masyarakat bodoh (jahiliyyah) kepada masyarakat cerdik yang asanya ialah ma’rifatulLah. Maka tamadun dan peradaban datang mengikut dari belakang. Mereka pencetus tamadun (bahasa hari ini ‘hadharah’) yang terulung di dunia. Tiada tandingan, dan ditulis kegemilangan mereka dengan ‘tinta emas’.

“ Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. sekiranya ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.” Surah Ali Imran : 110

GUNA BERDEPAN DENGAN UJIAN DAN CABARAN

Peranan terpenting aqidah ialah ketika berhadapan dengan ujian dan segala bentuk cabaran. Sedangkan ujian serta cabaran pula adalah sunnah perjuangan dalam kehidupan. Bak kata orang tua-tua, asam garam kehidupan dan perjuangan. Ustaz Fathi Yakan menggunakan bahasa mehnah, bahasa terkini ialah tribulasi. Seperti kata-kata masyhur naqib usrah saya dahulu ; “jalan perjuangan takkan sama sekali dihampari permaidani merah, bahkan penuh sarat dengan onak dan duri”. Allah SWT pasti akan menguji hambaNya yang beriman dengan ujian yang kadang-kadang terasa begitu berat. Semuanya itu adalah bertujuan untuk memastikan kejujuran dan keikhlasan serta meniggikan darjat kedudukan di sisi Allah SWT. Yang paling penting ialah untuk menghapuskan dosa-dosa yang menjadi dinding antara hamba dengan Allah SWT. Masakan hidup akan mendapat limpahan kasih dan barakah dari Allah yang Rahman jika bergelumang dengan dosa?. Maka ujian Allah adalah penghapus dosa dan ibarat tali rantai yang mendekatkan kita dengan Allah SWT.

“Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cobaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cobaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, Sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.” Surah Al Baqarah : 214

Dalam masyarakat manusia, para anbiya’ adalah mereka yang paling berat ujiannya dari Allah SWT kemudian diikuti dengan solihin dan yang sedarjat dengan mereka. Pendek kata, di kalangan mukminin, para penyambung risalah kerasulan adalah mereka yang pasti menerima ujian yang berat. Keikhlasan dan kejujuran mereka pasti akan diuji oleh Allah SWT. Justeru itulah, kerja agama dan tugas mengangkat kemuliaan Islam pasti akan dipikul oleh generasi terbaik dan terpilih di kalangan umat ini. Allah SWT telah menyenaraikan 5 ciri atau sifat generasi terbaik umat ini dengan firmanNya ;

“Hai orang-orang yang beriman, barangsiapa di antara kamu yang murtad dari agamanya, Maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan merekapun mencintaiNya, yang bersikap lemah Lembut terhadap orang yang mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad dijalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Itulah karunia Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha luas (pemberian-Nya), lagi Maha Mengetahui.” Surah Al Maidah : 54

Lima sifat tersebut ialah :


Pertama : Allah mencintai mereka dan mereka mencintai Allah ( takkan timbul rasa cinta yang mendalam kepada Allah melainkan kerana iman dan aqidah yang sahih)

Kedua : Lemah lembut sesama mukmin.

Ketiga : Tegas terhadap kekafiran.

Keempat : Berjihad pada jalan Allah SWT.

Kelima : Tidak menghiraukan celaan orang yang mencela.

Kelima-lima sifat di atas adalah sinar yang terbit dari aqidah yang teguh dan jitu, lebih-lebih lagi sifat yang terakhir. Para pejuang agama dan benteng Islam sepanjang zaman pasti akan berhadapan dengan celaan manusia munafik dan kafir yang membenci mereka dan tugas-tugas mereka. Golongan musuh dalam selimut ini akan sentiasa menggunakan mulut-mulut mereka untuk memadamkan cahaya agama Allah SWT. Akan tetapi yakinlah, Allah SWT pasti akan menyempurnakan cahaya agamaNya walau dibenci oleh golongan munafiq dan kafir.

Dengan bekalan aqidah dan yakin percaya pada janji Allah SWT sahajalah bahtera dakwah akan dikemudi hingga ke matlamatnya yakni redha Allah SWT. Akan terus berkata benar walaupun pahit dan walau dicela oleh para pencela.




No comments: