Sunday, September 28, 2008

Kullu 'Aam Wa Antum Bikheir

Salam Islah,

Ketika ini saya di Ipoh, mengisi beberapa program anjuran sahabat-sahabat seperjuangan di sini. Subuh tadi saya bersama masyarakat Surau Kg Tawas, 10.30 pagi bersama dengan Pusat Pendidikan Al Barakah dan malam ini insya Allah akan mengisi slot tazkirah Ramadhan di Surau Jalan Pemimpin, Manjoi. Dalam masa yang sama, anak saya Muhammad Al Faateh dan mamanya dalam perjalanan pulang ke Melaka. Giliran saya beraya di Melaka tahun ini!. Insya Allah saya akan menyusul pada 30 September ke Melaka.

Saya ingin mengambil kesempatan yang ada untuk mengucapkan Selamat Menyambut Eidul Fitri kepada semua sahabat seperjuangan dan mereka yang mengenali saya di medan dakwah atau di luarnya. Saya menyusun sepuluh jari memohon kemaafan andai kata sepanjang ukhuwwah yang terbina antara kita, ada salah silap yang sengaja atau tidak sengaja yang telah saya lakukan. Saya mohon dimaafkan ketelanjuran saya itu. Sebagai insan yang sangat lemah, sudah tentulah saya punya banyak kekurangan dan tidak sunyi dari salah silap. Selebihnya saya mohon maghfirah dari Allah SWT jua kerana sesungguhnya Dialah Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang.

Wajiblah menjadi harapan kita agar kedatangan Ramadhan pada tahun ini menjadi pembersih dosa-dosa kita dan mengangkat kemuliaan serta darjat kita di sisi Allah SWT. Mari kita bermuhasabah terhadap amalan yang telah kita lakukan sepanjang Ramadhan agar ia senantiasa menjadi pemangkin kepada kekuatan jiwa pejuang agama yang telah Allah kurniakan pada kita. Marilah juga kita berdoa kepada Allah SWT agar Allah pilih kita untuk hidup di dalam Ramadhan yang akan datang.

Bermaafanlah sesama kita dan berlapang dadalah dalam bersikap adil terhadap kawan dan lawan. Moga Allah merahmati kita semua.

Salam Eidul Fitri. Minal ‘aidin wal faizien. Kullu ‘aam wa antum bikheir.

Friday, September 26, 2008

Yang Pahit Menjadi Ubat


Salam ISLAH,



Pertama ; Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk ‘mewasiatkan’ diri saya dan sahabat seperjuangan sekalian untuk sama-sama kita manafaatkan detik-detik terakhir Ramadhan ini dengan mengambil peluang sebaik-baiknya untuk meraih pahala amal soleh dan maghfirah yang telah dijanjikan oleh Allah SWT atas lisan NabiNya Muhammad SAW.



Kedua ; Rasulullah SAW telah menggambarkan bahawa ‘rasa’ kehidupan dunia adalah ‘manis’ dan ‘indah’. Tidak ada yang melihat dunia melainkan pasti akan terasa keindahan dan punya keinginan untuk menawan keindahan dunia. Kemanisan dunia itu pula mengghairahkan dan melalaikan. Tiada seorang Muslim yang ditawarkan dunia padanya pasti ia tidak akan menolak sama sekali. Rasulullah SAW berpesan kepada kita supaya berhati-hati dengan dunia dan mengendalikan dunia dengan ‘pantang larang’. Sememangnya sifat muttaqin itu, mereka sangat berhati-hati dengan helah dan tipudaya dunia.



Ketiga ; Akhirat juga mempunyai ‘rasanya’. Kehidupan dunia ada asam garamnya. Ulama’ sepakat mengatakan bahawa dunia itu pahit dan masin rasanya. Namun zaman sekarang menyaksikan bahawa yang masin itu adalah ‘nilai’ sebenar kelazatan suatu hidangan makanan dan yang pahit pula menjadi ‘ubat’.



Keempat ; Untuk mendapatkan manisnya syurga, kepahitan akhirat wajib dirasai dan ditempuh dengan tabah dan penuh pengharapan dan sandaran kepada Allah Rabbul ‘Izzah. Sememangnya perjuangan itu pahit kerana syurga itu manis. Benarlah sabdaan Rasul bahawa kesusahan, keperitan dan kemiskinan itu adalah pakaian kepada pencinta Allah & Rasul. Tiada terintisnya jalan untuk menggerakkan qafilah dakwah melainkan halangan dan mehnah akan menghiasi perjalanan tersebut.



Kelima ; Manafaatkan sebaik-baiknya madrasah Ramadhan. Inilah masanya menyemak ‘selera’ ruhiyah kita dengan ibadah dan tarbiyah Allah di bulan Ramadhan. Kalau terasa kurang selera dengan ‘ma’dubah’ (hidangan) Allah yang lazat-lazat di bulan Ramadhan ini, maka kita adalah orang sakit yang kehilangan selera makan. Ubati segera kerana jika dibiarkan pasti kematian menanti. Mati di dunia sebelum mati yang sebenar ketika dicabut ruh adalah lebih perit dan membinasakan ‘masa depan’.



“Yang manis menambah selera, sedang yang pahit menjadi ubat”



Al Quran Itu Hidayah Allah


Artikel ini saya petik dari blog sahabat saya Ustaz Fairus Shuaib - www.5fus-aljanianji.blogspot.com


Sesungguhnya Allah s.w.t telah memilih bulan Ramadhan sebagai bulan yang terbaik untuk diturunkan al-Quran. Berkata Dr. Abdullah as-Syazili di dalam pengajian kelas tafsirnya pada setiap jumaat malam sabtu di Masjid ‘Atiah, medan Sa’ah Tanta disini, bilamana dia mentafsirkan ayat 185, surah al-Baqarah itu dia menyebut Al-quran itu sendiri adalah petunjuk, bukan sekadar penurunannya itu sahaja merupakan petunjuk (hidayah) kepada manusia. Sebab itulah bagi sesiapa yang membacanya akan dianugerahkan petunjuk (hidayah ) dari Allah.


PUASA DAN QURAN PEMBERI SYAFAAT


Pada satu hari Nabi s.a.w membandingkan antara ‘Puasa’ dan ‘Quran’ pernah berkata dengan sabdanya : ‘Puasa’ dan ‘Quran’ akan memberi syafaat kepada hamba Allah pada hari Qiamat. Berkata ‘puasa’ “Hamba Allah yang menahan dirinya daripada makan minum serta menahan syahwatnya di siang hari maka aku akan berikan syafaatku kepadanya”. Berkata ‘Quran’ pula “Hamba Allah yang menahan dirinya tidur pada waktu malam untuk membaca al-Quran maka akan ku berikan syafaatku kepadanya”. Maka disitulah ada dua syafaat.


SUSAH BACA PUN DAPAT PAHALA



Membaca quran banyak fadhilatnya dan juga banyak pahalanya. Bagaimana pula yang menghafaz al-Quran? Kalau membaca pun banyak pahalanya lebih-lebih lagilah menghafaznya. Berganda-ganda pahala dan fadhilat jadinya. Satu hadis yang mana diriwayatkan oleh saidatina Aisyah r.ha yang bermaksud “Pahala diperolehi kepada orang yang mahir membaca al-Quran, dan pahala juga diberi kepada orang yang bersusahpayah membaca al-quran, Orang yang mahir membaca al-Quran akan bersama-sama dengan malaikat rahman pada hari akhirat kelak, mereka dimuliakan dengan al-Quran, dan mereka berada di suatu maqam yang tinggi” Au kama qall.


KETAHUILAH SAUDARAKU,


Apabila kita membanyakkan membaca al-Quran, kita dikurniakan pelbagai kebaikan dan syafaat pada hari Qiamat. Bersabdaa Nabi s.a.w “Bacalah al-Quran, sesungguhnya al-Quran datang pada hari akhirat kelak sebagai syafaat buat si pembacanya”. Sahabat-sahabat sekalian, al-Quran juga bertindak sebagai pelindung kita dari terkena hisab. Ini jelas dari hadis Nabi s.a.w “Akan datang al-Quran dan ahlinya yang mana mereka melaksanakan apa yang disuruh di dalam al-Quran semasa di dunia, mendatanginya surah al-Baqarah dan surah Ali Imran, membentengi si pembacanya”



Nabi bercerita lagi mengenai kelebihan membaca al-Qura
n “Dikatakan kepada si pengamal al-Quran : Bacalah dan tartilkan bacaan sepertimana kamu membacanya di dunia, sesungguhnya rumah kamu di akhirat ini bersama-sama dengan ayat yang kamu baca ”. Dan bersabda lagi oleh Nabi s.a.w “Barangsiapa membaca satu huruf dari al-Quran maka baginya satu kebaikan, dan setiap satu kebaikan itu ada sepuluh seumpamanya, aku tidak berkata ayat alif lam mim itu satu huruf, tetapi aku nyatakan disini alif itu adalah satu huruf, lam itu satu huruf dan mim itu satu huruf”


Bayangkanlah sahabat-sahabat sekalian akan panggilan dan seruan ini. Ini adalah seruan dari Nabi kita Muhammad S.A.W. Nabi yang kita nakkan syafaatnya di akhirat kelak. Nabi yang ingin menyelamatkan ummatnya di waktu akhirat kelak. Tidakkah rasa terpanggil untuk menyahut seruannya? Saya tinggalkan tanda tanya ini buat iman kita masing-masing.



ANDA WAHAI ORANG YANG BERPUASA


Saya yakin dan percaya pada bulan ramadhan sudah banyak anda semua membaca al-Quran, samaada di siang hari ataupun sepanjang malam. Tetapi hendaklah kamu banyakkan membaca alquran di Mesjid. Duduklah bersama orang-orang yang bersembahyang yang mana mereka jadikan al-Quran itu sebagai sumber adab mereka. Duduklah kamu bersama mereka jika ada halaqah al-Quran. Duduklah kamu sebagaimana Nabi pernah bersabda akan perihal mereka yang duduk di mesjid, “Tidak ada apa-apa bagi suatu perkumpulan kaum itu di dalam rumah Allah dengan mereka membaca al-Quran dan bertadarus al-Quran sesama mereka, melainkan Allah akan turunkan kepada mereka ketenangan, dipayungi rahmat Allah, dan malaikat mengelilingi mereka dan Allah menyatakan merekalah disisi Allah”.


Nampak tak sahabat-sahabat sekalian, Rahmat, Ketenangan, Maghfirah semuanya dijanjikan kepada pembaca al-Quran. Sesungguhnya para salafussoleh Ridwanullah ‘alaihim ajma’in, tatkala masuknya bulan Ramadhan, mereka bersungguh-sungguh membaca al-Quran. Membaca dengan khusyuk pada setiap baris kalimahnya, dan merendah diri pada setiap suruhan didalamnya. Bersabda Nabi s.a.w “Sesungguhnya al-Quran ini sebagai peradaban Allah, maka dekatkanlah kamu dengan al-Quran dan beradablah dengannya sebagaimana kamu mampu, inilah al-Quran ikatan Allah yang kukuh dan cahaya kebenaran, dan sebagai penyembuh kepada orang yang memanfaatkannya, tidak akan berbuat dosa bagi sesiapa yang berpegang dengannya, dan berjayalah kepada mereka yang mengikuti suruhan didalamnya, tidak akan menyimpang dari jalan sebenar, tidak akan membengkok maka akan membetulkannya, bacalah kamu al-Quran sesungguhnya Allah akan memberi pahala kepada kamu setiap huruf itu dengan sepuluh kebaikan”

Terdapat di dalam kisah-kisah imam-imam kita yang empat dan selain mereka iaitu sezaman dengan mereka salafussoleh yang lain, mereka mengkhatamkan al-Quran sebanyak dua kali setiap hari pada bulan ramadhan. Allahh…. Hebat bukan. Ini dapat dibuktikan lagi dari kata-kata Abdullah bin al-mubarak : Ada diantara imam-imam kita mereka mengkhatamkan al-Quran di dalam dua raakat solat mereka, mereka ialah Saidina Othman bin Affan, Saidina Tamim Addari, Saidina Said bin Jabir, Abu Hanifah an-Nukman.



Dan berkata lagi Oleh Abdullah bin al-Mubarak : Mereka suka menghabiskan al-Quran pada hari-hari saif (panas) iaitu ketika permulaan siang, dan juga suka menghabiskan membaca al-Quran ketika hari-hari syitak (sejuk)iaitu ketika permulaan malam, sehinggalah didapati solat mereka sungguh banyak.



Satu lagi kisah yang boleh ana ceritakan disini ialah, Saidina Sufyan As-Sauri r.a, apabila masuknya bulan Ramadhan maka dia meninggalkan semua ibadatnya dengan menggantikan membaca al-Quran. Dan Saidina Malik bin Anas r.a apabila masuknya bulan ramadhan dia meninggalkan daripada membaca hadis dan menghadiri majlis ilmu kepada melazimi membaca al-Quran. Dan dipelihara daripada Abi Hanifah an-Nukman , sesungguhnya beliau mengkhatamkan al-Quran pada suatu tempat yang mana tempat itu juga dijadikan tempat kuburnya, sebanyak tujuh ribu kali. Dan di dalam kitab syarah Muslim yang ditulis oleh Imam an-Nawawi, Bahawasanya Abdullah bin Idris al-Kufi berkata kepada anak perempuannya yang menangis pada ketika mana dia diziarahi anaknya ketika hendak mati, berkata “Janganlah engkau menangis, sesungguhnya aku telah khatam al-Quran di dalam rumah ini sebanyak empat ribu kali”



Allahu Akbar..!!
Adakah ini kalam-kalam yang sesat? Adakah ini semua hanya hikayat semata-mata? Tidak,seribu kali tidak!! Bahkan itulah kebenaran yang berlaku kepada mereka. Satu hakikat yang diceritakan kepada kita dari orang yang datang dari sezaman dengan mereka. Merekalah orang-orang yang hidup menjalani kehidupan bulan ramadhan dalam keadaan cukup bahagia dan seronok. Satu kehidupan yang dirasakan adanya halawatul iman mereka dan timbul keikhlasan mereka kepada Pencipta.


KESIMPULAN


Para salafussoleh R.Anhum menjadikan al-Quran sebagai sajian ‘makanan’ bagi hati-hati mereka. Menjadikan al-Quran sebagai penyejuk diri mereka. Bukan sahaja begitu malah mentatbiqkan segala apa yang terkandung di dalamnya, membangunkan hukam-hakamnya, maka merekalah berhak digelar sebagai pembawa risalah al-Quran dan iman.


Jadi, bagaimanakah dengan kita? Boleh duduk bersahajakah kita di dalam bulan Ramadhan yang masih berbaki ini? Pesan guru saya, syiekh Mahmud, dibulan puasa ini amalkan dan perbanyakkan membaca al-Quran, solat dhuha, solat fardhu di awal waktu dan solat Tahajjud, moga-moga dapat rahmatNya. Dan Dr. Abdullah as-Syazili, salah seorang Dr al-Azhar tanta, kuliah usuluddin berpesan kepada kami selepas pengajiannya, di bulan puasa ini perbanyakkanlah membaca al-Quran, jaga pandangan, jaga lidah dari perkara sia-sia. Nah..!! Inilah kesedaran untuk kita. Jika kita baca quran sebelum ini saja-saja tanpa tahu dalil dan hikmahnya, inilah dia dalil dan hikmahnya. Kalau ada lagi manusia yang tak mahu buat, tak tahulah saya. Mungkin Hidayah belum sampai agaknya. Tepuk dada tanyalah iman kita..


Ya Allah, rahmatilah kami dengan al-Quran,Jadikan ianya sebagai imam kami, cahaya kami, petunjuk kami, rahmat kami, Ya Allah, peringatkanlah kami apa yang kami dilupakan, Dan ajarkanlah kami apa yang kami jahil, dan hadirkanlah kami rasa untuk membaca pada siang dan malam, dan jadikan al-quran itu sebagai hujjah bagi kami, Ya Allah engkaulah tuhan sekelian Alam.




Teratak aljanianji,
12.44 tgh, 25 Ramadhan 1429
Tanta, tanta, tanta...
Makrod ma'ak..

Tuesday, September 23, 2008

Makna Muhasabah : Siri 1

Dakwatuna.Com

Dari Syadad bin Aus r.a., dari Rasulullah saw., bahawa beliau berkata,

'Orang yang pandai adalah yang menghisab (mengevaluasi) dirinya sendiri serta beramal untuk kehidupan sesudah kematian. Sedangkan orang yang lemah adalah yang dirinya mengikuti hawa nafsunya serta berangan-angan terhadap Allah swt. (HR. Imam Tirmidzi, ia berkata, 'Hadith ini adalah hadith hasan')

Gambaran Umum Hadith di atas menggambarkan kepentingan muhasabah (evaluasi diri) dalam menjalani kehidupan di dunia ini. Kerana hidup di dunia merupakan rangkaian dari sebuah planing dan misi besar seorang hamba, yaitu menggapai keredhaan Rab-nya. Dan dalam menjalankan misi tersebut, seseorang tentunya harus memiliki matlamat (ghayah), perancangan (ahdaf), strategi (takhtith), pelaksanaan (tatbiq) dan evaluasi (muhasabah).

Hal terakhir merupakan pembahasan utama yang dijelaskan oleh Rasulullah saw. dalam hadith ini. Bahkan dengan jelas, Rasulullah mengaitkan evaluasi dengan kejayaan, sedangkan kegagalan dengan mengikuti hawa nafsu dan banyak berangan-angan.Indikasi Kejayan dan Kegagalan .Hadith di atas dibuka Rasulullah dengan sabdanya,

'Orang yang pandai (sukses) adalah yang mengevaluasi dirinya serta beramal untuk kehidupan setelah kematiannya.'

Ungkapan sederhana ini sungguh menggambarkan sebuah visi yang harus dimiliki seorang muslim. Sebuah visi yang membentang bahkan menembus dimensi kehidupan dunia, yaitu visi hingga kehidupan setelah kematian.Seorang muslim tidak seharusnya hanya berwawasan sempit dan terbatas, sekadar pemenuhan keinginan untuk jangka waktu sesaat. Namun lebih dari itu, seorang muslim harus memiliki visi dan planing untuk kehidupannya yang lebih kekal abadi. Kerana orang sukses adalah yang mampu mengatur keinginan singkatnya demi keinginan jangka panjangnya.

Orang bertakwa adalah yang 'rela' mengorbankan keinginan duniawinya, demi tujuan yang lebih mulia, 'kebahagian kehidupan ukhrawi.'Dalam Al-Qur'an, Allah swt. seringkali mengingatkan hamba-hamba-Nya mengenai visi besar ini, di antaranya adalah dalam QS. Al-Hasyr (59): 18–19.Muhasabah atau evaluasi atas visi inilah yang digambarkan oleh Rasulullah saw. sebagai kunci pertama dari kesuksesan. Selain itu, Rasulullah saw. juga menjelaskan kunci kesuksesan yang kedua, yaitu “action after evaluation”. Ertinya setelah evaluasi harus ada aksi perbaikan. Dan hal ini diisyaratkan oleh Rasulullah saw. dengan sabdanya dalam hadith di atas dengan 'dan beramal untuk kehidupan sesudah kematian.' Potongan hadith yang terakhir ini diungkapkan Rasulullah saw. langsung setelah penjelasan tentang muhasabah. Kerana muhasabah juga tidak akan bererti apa-apa tanpa adanya tindak lanjut atau perbaikan.

Terdapat hal menarik yang tersirat dari hadith di atas, khususnya dalam penjelasan Rasulullah saw. mengenai kesuksesan. Orang yang pandai senantiasa evaluasi terhadap amalnya, serta beramal untuk kehidupan jangka panjangnya yaitu kehidupan akhirat. Dan evaluasi tersebut dilakukan untuk kepentingan dirinya, dalam rangka peningkatan keperibadiannya sendiri.

Sementara lawannya, aitu kegagalan. Disebut oleh Rasulullah saw, dengan 'orang yang lemah', memiliki dua ciri mendasar yaitu orang yang mengikuti hawa nafsunya, membiarkan hidupnya tidak memiliki visi, tidak memiliki perancangan, tidak ada action dari planingnya, terlebih-lebih memuhasabahi perjalanan hidupnya. Sedangkan yang kedua adalah memiliki banyak angan-angan dan khayalan, 'berangan-angan terhadap Allah.' Maksudnya, adalah sebagaimana dikemukakan oleh Imam Al-Mubarakfuri dalam Tuhfatul Ahwadzi, sebagai berikut: Dia (orang yang lemah), bersamaan dengan lemahnya ketaatannya kepada Allah dan selalu mengikuti hawa nafsunya, tidak pernah meminta ampunan kepada Allah, bahkan selalu berangan-angan bahwa Allah akan mengampuni dosa-dosanya.

Sokong Tuan Guru Presiden

Salam ISLAH,

Saya masih di Kuala Lumpur memenuhi jemputan tazkirah Ramadhan di samping mengumpul Dana Darul Islah dan Sekolah Rendah Islam At Taqwa. Jangkanya insya Allah, esok pagi akan bertolak balik ke Perlis dan 26 September akan balik semula ke Kuala Lumpur dan tahun ini saya akan sambut Eidul Fitri di Melaka bersama keluarga isteri insya Allah.

Saya sedang melayari blog Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi (Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat) dan saya sangat bersetuju dengan kenyataan beliau menyokong kenyataan Tuan Guru Presiden PAS bahawa pemimpin dan ahli UMNO perlu insaf dan menyertai PAS.

Sejak dari awal penubuhan UMNO lagi kita tahu bahawasanya UMNO tidak perjuangkan Islam. UMNO perjuangkan bangsa. Rasulullah SAW tidak pernah perjuangkan bangsa. Perjuangan Baginda adalah perjuangan agama dan sejagat. Bahkan Baginda pernah bersabda ; “Tidak ada kelebihan bagi orang Arab atas orang yang bukan Arab melainkan dengan taqwa”.

Rasulullah SAW tidak membenarkan asobiyyah perjuangan bangsa. Bahkan lebih dahsyat lagi, perjuangan UMNO berwajahkan sekular yang memisahkan antara wahyu Allah dan kehidupan dunia yang boleh membawa kepada kekufuran dan kerosakan aqidah kerana menjuzukkan Islam yang syumul. Sebab itu bila UMNO memerintah, agama digunakan dalam perkara tertentu sahaja. Zakat, nikah kahwin, sambut hari kebesaran Islam dan yang sesuai dengan akal dan nafsu sahaja. Tidak pernah UMNO berjuang untuk tegakkan seluruh ajaran Al Quran sejak 50 tahun dahulu.

Inilah punca kehancuran dan kebinasaan dalam UMNO. Pemimpin rasuah, korup, kronisma, tahan tanpa bicara (ISA) yang zalim, politik wang, sapu bersih harta rakyat dan macam-macam lagi yang berlaku hingga Malaysia ini hampur musnah adalah disebabkan wajah dan latar belakang perjuangan UMNO yang tidak mendapat keberkatan dan restu Ilahi.

Saya kira, tidak perlu saya jelaskan dengan panjang lebar akan perihal kapal UMNO yang hampir karam ke dasar kemusnahan. Saya Cuma nyatakan sebab yang paling utama seperti saya sebutkan di atas.

Tepat sangatlah kenyataan Tuan Guru Presiden PAS dalam mengajak UMNO onsaf dan sertai PAS. Ambil iktibar dari kisah Firaun yang ketika hamper lemas ditenggelami air laut Kalzum baru teringat hendak beriman. Ketika itu Allah SWT perintahkan Jibril sumbat mulut Firaun dengan selut dan lumpur dari dasar laut dengan ucapan “sekarang baru kamu teringat nak beriman sedang sebelum ini kamu telah diberi peluang tapi kamu ingkar!!”.

UMNO adalah orang yang mengucap syahadah di bibir mereka. Merekalah orang yang paling wajar bersama PAS dalam memperjuangkan Islam yang syumul. Bukalah pintu hati kalian untuk Islam sebelum kalian kembali mengadap Allah SWT.

Monday, September 22, 2008

Bahayanya Bila Pimpinan Tidak Meyakini Apa yang Diperjuangkan

Salam ISLAH ;

Sememangnya di dalam Perlembagaan PAS tidak pernah disebutkan bahawa PAS akan menegakkan sebuah negara Islam seperti yang disebut oleh salah seorang Naib Presiden PAS dalam sedutan temuramah dengan beliau di dalam akhbar SIASAH baru-baru ini. Namun ‘Daulah Islamiyah’ atau Negara Islam adalah cita-cita dan matlamat utama perjuangan PAS sejak ia ditubuhkan dan tidak pernah bercanggah dengan tujuan PAS diasaskan oleh para ulama’ yang diketuai oleh Syeikh Abu Bakar al Baqir rahimahulLah. Tujuan saya menulis artikel ini adalah dengan tujuan mudah-mudahn tulisan saya ini dapat membersihkan jamaah ini daripada fikrah dan pemikiran yang songsang dan tersasar dari manhaj Islam yang suci kerana ia adalah suatu jenayah yang sangat besar.

PEMIMPIN MESTI YAKIN DENGAN APA YANG DIPERJUANGKAN

Salah satu syarat untuk menjadi pemimpin di dalam sebuah gerakan Islam ialah keyakinan terhadap apa yang diperjuangkan. Keyakinan seorang pemimpin terhadap apa yang diperjuangkannya adalah menjadi asas kekuatan dan kewibawaan kepimpinannya. Segala usaha dan pemikirannya akan diarahkan untuk mencapai dan menjayakan cita-cita perjuangannya. Dia akan menyusun saf dan mengerahkan anak-anak buahnya serta menyatukan fikrah dan tindakan mereka untuk bekerja keras mencapai matlamat perjuangannya. Jika Islam menjadi matlamat perjuangan maka ia akan bekerja keras ke arah mendaulatkan Islam secara ‘kaaffah’ (total) di dalam diri, keluarga, masyarakat dan negara. Jika Islam tidak menjadi matlamat perjuangan, maka sebaliknya pula akan berlaku.

Pemimpin yang punya keraguan dan mula samar terhadap matlamat perjuangan amat berbahaya kepada jamaah dan perjuangan Islam. Keraguan ini boleh berlaku dengan banyak sebab. Antaranya ialah ‘gila kuasa’ dan gelap mata disebabkan ditawarkan jawatan-jawatan penting, tinggi, berprestij dan bergaji besar dalam kerajaan baru yang akan tertubuh nanti contohnya. Adalah tidak mustahil ada di antara pimpinan PAS yang telah pun menerima tawaran ini terutamanya yang ‘rapat’ dengan Anwar Ibrahim dan dapat dipergunakan oleh Anwar untuk menyampaikan hasratnya di dalam PAS menjadikan golongan yang telah ‘dibeli’ ini sanggup melakukan apa sahaja walaupun terpaksa menggadai prinsip perjuangan sekalipun. Antara contohnya ialah, kalau dahulu mereka tidak bermasalah dengan ‘Negara Islam’ yang hendak dijelmakan oleh PAS dalam bentuk praktikalnya, maka sekarang ini, mereka mula senada dengan golongan Islam Liberal dalam PKR.

Pemimpin yang mula ragu dengan matlamat perjuangan PAS ini akan menggunakan pelbagai alasan dan hujjah untuk menyatakan apa yang mereka lakukan adalah batul dan selari dengan prinsip-prinsip asas Islam. Mereka akan berijtihad walaupun mereka tidak layak. Mereka akan berqiyas walaupun mereka tidak memahami syarat-syarat qiyas dan tersasar dari maksud sumber asalnya yakni Al Quran dan Al Hadith.

Bagaimana ahli bawahan PAS boleh mengangkat seorang pemimpin yang dia sendiri tidak punya gambaran dan tasawwur yang jelas terhadap Negara Islam yang diperjuangkan oleh PAS?. Lebih teruk lagi, nampak sangat kefahamannya terhadap Negara Islam idea Al Quran dan Al Hadith pun tidak difahami dengan jelas.

HIKMAH WUJUDNYA MAJLIS SYURA ULAMA’

Maka di sinilah letaknya hikmah dan besarnya manafaat kewujudan Majlis Syura Ulama’ dalam PAS. Segala keputusan, strategi, hala tuju, plan bertindak dan sebagainya adalah di bawah pantauan Syura Ulama’. Lebih khusus lagi berkaitan dengan dasar jamaah dan yang berkait dengan Ijtihad Syara’, maka Syura Ulama’ mestilah menjadi ikutan, dirujuk dan didokong sepenuhnya keputusan mereka.

Dokumen negara Islam yang dilancarkan ketika Dato’ Dr Harun Din menjadi Ketua Penerangan PAS adalah merupakan dokumen yang telah melalui tapisan Syura Ulama’ dan didokong sepenuhnya oleh Syura Ulama’. Setahu saya, Syura majlis belum membuat apa-apa perubahan keputusan terhadap dokongan Majlis Syura terhadap dokumen itu. Cuma saya diberitahu bahawa ada di kalangan Pimpinan PAS yang dijangkiti virus keraguan terhadap apa yang diperjuangkan oleh PAS telah mengeluarkan statement bahawa Dokumen Negara Islam tersebutlah yang telah menyebabkan kekalahan teruk PAS dalam pilihanraya 2004. Betapa malangnya mereka yang tidak diberikan petunjuk oleh Allah dalam memahami Sunnatullah dalam perjuangan dan lebih malang lagi mereka yang telah mengangkat manusia jenis ini untuk menjadi pimpinan mereka. Kemana agaknya arah tuju pimpinan mereka?.

KEPIMPINAN ULAMA’

Jelaslah bahawa kenyataan bahawa PAS tidak menyatakan hasrat menubuhkan negara Islam adalah kenyataan songsang yang bercanggah dengan Presiden PAS dan Mantan Presiden ( al Marhum Ustaz Fadhil Noor) yang telah menegaskan bahawa PAS bekerja kearah merealisasikan pembentukan Daulah Islamiyah dan konsep Al Qurannya adalah “Baldatun Thoiyyibatun wa Rabbun Ghafuur”.

Profesional bukannya tidak boleh menjadi pemimpin dalam PAS, bahkan penyertaan mereka amat dialu-alukan. Merekalah pelengkap perjuangan PAS. Dengan mereka PAS bergerak kearah kesempurnaan. Tetapi mereka mestilah menjadi pengikut setia ulama’. Mereka mesti bertugas menolong, membantu dan mendokong ulama’. Dalam soal Islam, jangan sekali-kali mendahului ulama’ apatah lagi mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan ruh Islam sedangkan mereka dikelilingi ulama’.

Dokongan kepada ulama’ yang memperjuangkan Al Quran dan Al Hadith adalaj kewajipan sekalian umat. Untuk mengangkat bukan ulama’ menjadi pemimpin, kita mesti berfikir dan mempertimbangkan 1000 kali. Jika tidak, akan berulang lagi kesilapan seperti ini. Ingatlah bahawa para ulama’ pewaris perjuangan anbiya’. Dokongan kepada kepimpinan mereka adalah rahmah dan barakah.

Sunday, September 21, 2008

Jatuhkan BN; Ijmak - Wajah Kerajaan Baru, Bagaimana?

Salam ISLAH,

Pertama
; Kita angkat setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana dengan taufiq dan hidayahNya jua kita telah ‘dipilih’ dan diizinkan untuk melangkah masuk ke dalam hari-hari 10 terakhir dari Ramadhan Al Mubarak. Inilah masanya ‘pemburu’ Lailatul Qadar mula menyibukkan diri dengan ibadah, terutamanya di malam hari dengan qiyam dan rukuk sujud di hadapan Allah SWT memohon keampunan dari dosa-dosa yang dilakukan agar Allah SWT membersihkan dosa-dosa tersebut dengan air taubat.

Kedua ; Sudah begitu lama saya tidak mengulas persoalan fiqh harakah dan amal Islamiy serta suasana politik semasa dalam blog saya ini. Dengan kacau bilau yang berlaku sekarang ini, khususnya khilaf yang berlaku tanpa kawalan lagi di dalam PAS khususnya, maka saya merasa terpanggil untuk kembali menyertai sahabat-sahabat lain hanya kerana ingin bersama memberikan sedikit sumbangan dalam memantapkan fikrah perjuangan.

Ketiga ; Ramai sahabat dan kawan bertanya pandangan saya mengenai Kerajaan 16 September yang tidak menjadi. Saya lebih banyak mengambil sikap menjawab acuh tak acuh dengan persoalan tersebut. Bukan kerana saya tidak sensitif dengan isu besar ini, atau kerana ingin memencilkan diri, saya cuma mahu menunggu dan melihat. Namun kerana kepentingan tertentu, saya merasakan bahawa saya ‘wajib’ bersama mengambil bahagian dalam membentuk sikap dan cara berfikir di kalangan sahabat dan masyarakat.

Keempat ; Bagi saya, samada kerajaan 16 September terbentu ataupun tidak, itu tidak penting. Semua pihak telah IJMAK bahawa kerajaan zalim dan korup BN wajib dijatuhkan dan digantikan dengan kerajaan lain yang lebih bersih, adil dan berkemampuan untuk memacu negara kearah kejayaan yang hakiki. Tidak ada yang khilaf dalam perkara ini. PAS, PKR dan DAP, seluruhnya bersepakat dalam hal ini. Jika kerajaan 16 September berjaya dibentuk, maka ia akan diingati sebagai tarikh keruntuhan kerajaan korup dan zalim BN dan UMNO.

Kelima ; Yang lebih penting bagi saya ialah bagaimana rupa wajah kerajaan baru yang akan dibentuk. Itu yang mustahak. Kalau sekadar menjatuhkan kerajaan BN kemudian naikkan kerajaan BN yang kedua, maka tidak perlulah tukar kerajaan. Apa maknanya menjatuhkan kerajaan yang ada sekarang kemudiannya menaikkan kerajaan yang lebih kurang serupa. Kita harus melihat pembentukan kerajaan dari kacamata Islam. Sebagai seorang Muslim, kita diajar oleh Al Quran bahawa kerajaan dan kekuasaan adalah milik Allah SWT yang dipinjam dan diamanahkan kepada manusia sebagai khalifah Allah di muka bumi. Tanggungjawab khalifah sepertimana yang dijelaskan oleh para ulamak kita adalah “menegakkan agama dan menguruskan siyasah dunia dengan panduan agama”. Jelas bahawa kerajaan yang kita perjuangkan adalah kerajaan yang menjaga kepentingan Islam dan kerajaan yang menaungi dunia dengan rahmat Islam. Penyelewengan dari Islam dalam pembentukan kerajaan adalah satu jenayah besar.

Keenam ; 16 Spetember yang lalu, Tuan Guru Presiden PAS telah menegaskan di dalam ucapannya di Kedah, bahawa PAS tidak akan menyertai kerajaan yang terbentuk jika sekiranya Islam tidak memandu dan menjadi tunjang kerajaan tersebut.Inilah prinsip perjuangan yang jelas yang telah ditunjukkan oleh seorang pemimpin yang sangat faham dan jelas apa yang diperjuangkan dan bagaimana ia diperjuangkan. Sebarang penyelewengan dari Islam dalam pembentukan kerajaan adalah satu pengkhianatan. Islam mesti diletakkan di hadapan dan memandu kerajaan. Haram kita biarkan Islam terpinggir dan nasibnya tidak diketahui akan kedudukannya di dalam kerajaan yang terbentuk kelak. Berjuanglah demi ISLAM.

Saturday, September 13, 2008

Pagarilah Amalmu Dengan 4 Perkara

Salam ISLAH,


Perkara yang paling ditakuti oleh orang yang banyak beribadah dan beramal soleh ialah rosaknya amalan yang dilakukan. Penat lelah bangun malam, berqiyamullail, bersedekah, membela anak yatim dan miskin akhirnya menjadi sia-sia. Amalannya menjadi seperti debu yang ditiup angin. Di tolak oleh Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW :


“ Sesungguhnya Allah SWT itu baik dan Allah tidak akan menerima melainkan yang baik dari hambaNya”


Al Imam Al Habib As Saiyyid Muhammad ibn ‘Alawi al Maliki al Hasani telah menulis sebuah buku yang berjudul “Kasyf al Ghummah bi Istina’ al Ma’ruf wa Rahmah al Ummah” yang di dalamnya, mahaguru yang mulia ini telah membicarakan tentang luasnya peluang melaksanakan amal kebaikan dan besarnya kedudukan amal ma’ruf di sisi Allah. Pada mukaddimah tulisannya, al Habib Muhammad telah memberikan 4 panduan penting bagaimana memelihara amal dan memagarinya agar tidak menjadi sia-sia :


Pertama : Menutup dan menyembunyikannya daripada disebarkan kepada pengetahuan orang ramai. Berkata para ulama’ umat ini ; “Apabila kamu melakukan kebaikan, hendaklah kebaikan itu kamu sembunyikan dari manusia, tetapi apabila dilakukan kebaikan kepada kamu, maka hendaklah kamu sebarkannya”. Tidak begitu penting sampai kepada manusia amal soleh yang kita lakukan kerana manusia tidak mampu memberikan apa-apa balasan terhadap amal kita. Sebaliknya, lakukan amalan kerana Allah SWT semata-mata kerana Allah sahaja yang mampu membalas kebaikan dan amal soleh yang kita lakukan.


Kedua : Memandang kebaikan dan amal yang kita lakukan itu dengan pandangan yang kecil supaya dapat mengelak dari sifat takabbur, ujub, riya’ dan sum’ah. Dalam panduan as Sunnah, kita dapati bahawa Rasulullah SAW menyuruh kita melihat orang lain lebih baik dan banyak amalan dalam urusan ibadah dan akhirat berbanding kita. Lalu timbul semangat ingin berlumba dalam melakukan kebaikan. Dan jangan lupa membandingkan amalan kita dengan amalan salaf as saleh umat ini terutamanya dari kalangan generasi para sahabah. Mereka membelanjakan harta dalam keadaan mereka kekurangan harta. Mereka berkorban demi Islam di saat mereka sangat memerlukan pertolongan dan bantuan. Dengan sebab itulah Rasulullah SAW bersabda :


“ Demi Allah, jika kamu membelanjakan pada jalan Allah emas sebanyak gunung UHUD sekalipun, tidak akan sama dengan segenggam gandum yang dibelanjankan oleh sahabatKu”


Ketiga : Jangan sekali-kali mengungkit dan menyebut kebaikan yang kita lakukan di hadapan manusia akan kebaikan yang kita lakukan dan berasa ujub dengan apa yang dilakukan, kerana ia akan menggugurkan kesyukuran kepada Allah dan menghapuskan ganjaran yang diperolehi. Firman Allah SWT :


“Wahai orang-orang yang beriman! jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang Yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan. dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.” Surah Al Baqarah : 264


Keempat : Tidak sedikit pun merasa hina dengan kebaikan yang telah dilakukan sekalipun sedikit kerana sedikit atau banyak kebaikan yang dilakukan adalah dengan taufiq dan pertolongan Allah jua. Mereka yang melakukan kebaikan adalah kerana mereka telah dipilih oleh Allah SWT untuk dihiasi peribadi mereka dengan amal soleh.



Friday, September 12, 2008

Manisnya Ukhuwwah

Salam ISLAH,



Semalam (11/9/2008), saya telah dijemput menyampaikan tazkirah Ramadhan di surau Ad Diniyah, Bandar Baru Selayang. Sdr Zulkifli Wahijan (sahabat yang saya kenali di Petronas KLCC) menyambut ketibaan saya dengan senyuman yang cukup ramah sambil berbisik ; “Dah dua tahun ustaz tak datang surau kami”. Saya hanya tersenyum.



Sememangnya kali terakhir saya menjejakkan kaki ke surau Ad Diniyah ini dua tahun dahulu. Entah apa yang menyebabkan saya tak dapat kunjung ziarah ke sini selama dua tahun saya pun kurang pasti. Ketentuan Allah jua atas segalanya. Banyak yang berlaku dalam hidup kita yang kita tidak pernah sangka. Lain yang kita hajati, lain pula yang kita dapat. Lain yang kita minta pada Allah, Allah berikan yang lebih baik dari apa yang kita minta.



Apa yang saya tidak sangka ialah, pertemuan saya dengan seorang ibu tua bernama Umi (saya tak ingat nama penuhnya) sebaik selesai solat terawih di Surau Ad Diniyah. Wanita yang senantiasa tersenyum manis dengan muka cerah, putih dan bersih dan senantiasa mengalirkan air mata bila bercakap soal amal ibadah dan akhirat. Umi bersama saya menunaikan umrah satu ketika dahulu. Ketika itu, saya memimpin 189 jamaah umrah bersama beberapa sahabat. Itulah umrah yang sangat mematangkan saya dan menjadikan saya kenal mana satu kawan dan mana satu lawan.



Umi senantiasa menjadikan saya tabah sepanjang menguruskan jamaah umrah yang ramai dan bermasalah tersebut (saya tidak mahu lagi mengingati peristiwa hitam tersebut yang telah menyebabkan saya kerugian hampr RM 60 ribu). Ibu Umi selalu ingatkan saya pada taqdir Allah dan menyuruh saya bersabar. Dalam pertemuan semalam, saya dan dia sangat terharu dengan pertemuan tersebut. Dia yang tinggal di Taman Harmoni Gombak datang berbuka di rumah anaknya di Bandar Baru Selayang. Allah taqdirkan kami bertemu setelah 2 tahun dahulu saya pernah bertandang ke rumah beliau untuk berbuka puasa bersama Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh dan Sdr Wan Haswari Wan Ahmad. Kehendak Allah jua yang menemukan kami semula. Bercambah semula benih ukhuwwah filLah yang sangat manis. Moga kekal keharumannya hingga hari qiyamat. Kami mengakhiri pertemuan dengan saling doa-mendoakan dunia dan akhirat masing-masing. SubhanalLah ! Manisnya silaturrahmi dan ukhuwwah kerana Allah.



Al Ustaz Fathi Yakan pernah menulis sebuah buku kecil yang membicarakan tentang ukhuwwah. Buku kecil tersebut sangat memberi bekas di jiwa saya. Walaupun saiz dan fizikal buku tersebut adalah kecil namun kandungannya sangat besar dan agung sekali. Mereka yang dapat mengecap nikmat ukhuwwah kerana Allah, sudah pasti tidak akan dapat melupainya hingga akhir hayat.



Saya baru sahaja dihubungi oleh sahabat lama, Ustaz Ahmad Akhyari ad Damanhuri yang kebetulan bersama Cikgu Sukarno dan Ustaz Halizal Alias bertandang ke Kuala Lumpur untuk misi dakwah mereka. Minda dan jiwa saya kembali segar dengan ingatan terhadap kenangan dalam ukhuwwah yang kami bina selama ini. Saya takkan dapat melupakan mereka yang telah ‘melahirkan’ saya sebagai perserta arena dakwah dan jihad. Saya bersama mereka suatu ketika dahulu bersama PPIK, Dar As Sofwah, Kem Bina Sahsiah dan pelbagai lagi acara istimewa yang telah mematangkan saya dan perjuangan.



Benarlah kata Ustaz Fathi Yakan bahawa ukhuwwah itu adalah kurnia agung dari Allah. Hembusan dari langit ke dalam jiwa-jiwa mukmin di dunia ini.



Allah akan berfirman di Mahsyar kelak :



“Di manakah mereka yang berkasih saying di dunia dahulu kerana keagunganKu. Akan ke teduhi mereka dengan teduhan arasyKu di hari tiada perlindungan dan teduhan melainkan naungan rahmat dan arsyKu”

Tuesday, September 9, 2008

Tazkirah Ehya' Ramadhan : Ustaz Hj Hashim Jasin

BismilLah, wal hamdulillah, wassolatu wassalamu ‘ala Saiyyidina Rasulillah, wa ba’du :



Salam ISLAH,



Semalam, bertempat di Balai Islam Markaz Tarbiyyah PAS Perlis, telah selesai berlangsungnya Program Ehya’ Ramadhan peringkat Negeri Perlis. Alhamdulillah, program berjalan lancar walaupun hujan lebat dengan kehadiran sekitar 300 orang. Dalam memperkasakan tarbiyyah di kalangan pendokong ‘amal Islamie di Perlis ini khususnya, pelbagai program cuba saya aturkan dengan bantuan sahabat-sahabat seperjuangan. Al Fadhil Ustaz Hj Hashim Jasin dalam ucapan aluan mesyuarat Badan Perhubungan PAS Perlis pada 31 Ogos 2008 yang lalu telah ‘mengarahkan’ agar Lajnah Tarbiyyah diperkasakan sepenuhnya untuk memantapkan aqidah perjuangan di kalangan pendokong perjuangan Islam di Perlis khasnya.



Majlis bermula dengan ifthor, jamuan makan malam, solat Isyak yang dipimpin imam ‘istimewa’ berasal dari Keningau Sabah, Ustaz Abd Karim Al Hafiz dan di akhiri dengan tazkirah Ramadhan oleh Ustaz Hj Hashim Jasin HafizafulLah.



Di bawah ini saya perturunkan isi tazkirah tersebut :



1. Ramadhan adalah bulan yang Allah SWT menghidangkan pelbagai makanan yang lazat-lazat untuk hambaNya yang soleh. Antaranya puasa, tarawih, tadarus, balasan amal yang berlipat kali ganda dan pelbagai janji hebat dari Allah SWT sepanjang Ramadhan yang mulia, paling terutama ialah Lailatul Qadr.



2. Antara hidangan Allah di Bulan Ramadhan juga ialah :



Sabda Rasulullah SAW :



“Ramadhan itu awalnya penuh dengan rahmat Allah, pertengahannya dipenuhi janji keampunan dari Allah dan akhirnya dijanjikan pembebasan dari neraka Allah SWT”



Sabda Baginda SAW lagi :



“ Sesungguhnya Al Quran ini adalah hidangan Allah, maka jamahlah olehmu akan hidangan Allah itu semampu kamu”

Kata Ustaz Hashim, persoalan yang harus di muhasabah bersama ialah, berapa ramai di kalangan umat ini yang mendapat faedah dari hidangan yang lazat-lazat ini di sepanjang bulan Ramadhan yang mulia ini. Berapa ramai pula yang masih leka dan lalai dari mengambil kesempatan dan peluang yang hanya datang setahun sekali.



3. Perumpamaan yang dikemukakan oleh Ustaz Hashim sangat menarik hati pendengar bilamana menjelaskan bahawa orang sakit takkan dapat menerima dan menikmati hidangan lazat. Sedap dan lazat macamana sekalipun hidangan makanan yang dimasak, orang sakit akan terasa pahit mulutnya dan tidak akan dapat menelan makanan serta hilang seleranya terhadap makanan dan lauk pauk.



4. Jika kedatangan Ramadhan dengan seribu satu tawaran dari Allah SWT, dan kita masih leka dari mengambil kesempatan, maka sudah barang tentu kita telah memiliki hati yang sakit. Hati yang sakit tidak akan punya ‘rasa’ terhadap ibadah dan ketaatan. Sebaliknya ia lebih cenderung kepada kemaksiatan dan kelalaian. Benarlah sabdaan Rasul SAW ; “Celakalah mereka yang telah berlalu Ramadhan tetapi masih tidak mendapat keampunan dari Allah SWT”. Ustaz Hashim membawa contoh tangkapan seorang lelaki Muslim berusia 70 tahun di Melaka yang ditangkap tidak berpuasa dan sedang makan di sebuah Restoran Cina!.



5. Tarbiyyah dan didiklah diri agar mempunyai ‘selera Ramadhan’ seumpama para Sahabah Jeilul Qurani yang sangat bersedih dengan pemergiaan Ramadhan. Di penghujung Ramadhan, mereka akan menangisi Ramadhan yang akan berakhir. Sedangkan kita, bersedih dengan ketibaan Ramadhan dan sangat gembira dengan berakhirnya Ramadhan dan ketibaan Hari Raya. Para sahabat adalah generasi yang ‘sihat’ dan cukup berselera menjamah hidangan Ramadhan.



6. Ustaz Hj Hashim Jasin mengakhiri tazkirah dengan pesanan dan wasiat supaya berterusan, bersungguh dan istiqamah melaksanakan kerja Islam dan teguh memperjuangkan agama. Penerimaan masyarakat terhadap Islam semakin baik sedangkan musuh makin lemah. Hendaklah kamu berusaha dan bukannya kamu yang menentukan kemenangan.

Program Istiqbal Ramadhan Surau An Nuur (Pusat Tarbiyyah Masyarakat Kelolaan Us Yussaine)- 31 OGOS 2008

Forum Perdana Istiqbal Ramadhan & Kemerdekaan Negara ke 51 sedang berlangsung dengan di pengerusikan oleh Ustaz Hj Yussaine bin Yahya. Panelnya terdiri daripada Ustaz Ahmad Yahya dan Yb Ustaz Ahmad Izat Mohd Shauqi (ADUN Bukit Lada,Pokok Sena Kedah).


Para peserta Muslimah yang terdiri dari masyarakat setempat dan ada juga yang datang dari jauh.



Ustaz Hj Yussaine sedang memimpin Tahlil dan doa sebelum program forum bermula. Di sebelahnya adalah Ustaz Ahmad Yahya (Mudir Madrasah Ta'limiyah Khairiyah, Tok Keling, Alor Setar, Kedah)


Ustaz Abdul Karim bin Mohd Redhuan, pelajar Ma'had Tahfiz Al Quran wal Qiraat, Pasir Mas Kelantan sedang membacakan ayat-ayat suci Al Quran.


Sedang menunggu bermulanya majlis.


Kehadiran sangat memuaskan. Masing-masing datang dengan seribu harapan untuk mendidik hati dan jiwa agar tunduk kepada perintah Allah SWT.


Sedang menikmati jamuan gulai tulang dan nasi putih. Turut bersama Ustaz Hj Salleh Adam (berbaju coklat).


Makanan rohani pun dapat, makanan jasmani pun dapat. Alhamdulillah.

Monday, September 8, 2008

Beginilah Amal Jama'ie

SALAM ISLAH,

Taat pada keputusan pemimpin

Alhakim mentakhrij dari Abdullah bin Buraidah, dia berkata, “Rasulullah SAW melantik Umr bin al-Ash menjadi komandan pasukan dalam perang Dzatus Salasil, yang di antara mereka juga ada Abu Bakar dan Umar. Ketika mereka tiba di tempat pertempuran, Amr memerintahkan agar mereka tidak menyalakan api sama sekali. Umar merasa tersinggung dan marah. Maka dia bermaksud hendak menemui Amr. Namun Abu Bakar melarangnya, dan menjelaskan kepadanya bahawa Rasulullah SAW melantik Amr sebagai komandan pasukan, kerana memang dia mahir dalam masalah peperangan”. Mendengar penjelasan Abu Bakar itu, Umar menjadi tenang.


Mahu mengalah

Urwah bin Zubair ra berkata, “Rasulullah SAW melantik AMr bin Al-Ash sebagai komandan satuan dalam perang Dzatus Salasil, yang harus masuk ke perbatasan Syam dari arah Bala. Sementara baginda memerintahkan Abdullah untuk menyusul pasukan di bawah komando Amr dari arah Qudha’ah. Melihat jumlah musuh yang terlalu banyak, Amr mengirim utusan pada Rasulullah untuk mengirim bala bantuan lagi. Maka baginda mengirim orang-orang Muhajirin yang ada di antara mereka Abu Bakar dan Umar. Baginda melantik Abu Ubaidah al-Jarrah sebagai komandannya. Ketika satuan pasukan ini berkumpul dengan pasukan Amr, maka Amr berkata, “Aku adalah komandan kalian ketika ini, kerana aku mengirim utusan kepada Rasulullah SAW untuk meminta bantuan kalian”.

Orang-orang muhajirin itu menyahut, “Bolehlah engkau menjadi komandan rakan-rakanmu. Tapi Abu Ubaidah tetap menjadi komandan orang-orang muhajirin”. Amr menyahut, “Kalian adalah bala bantuan yang aku minta”.

Abu Ubaidah, orang yang dikenali lemah lembut segera meredakan keadaan yang mula memanas ini dengan berkata, “Wahai Amr, harap engkau ketahui bahawa pesanan terakhir yang disampaikan Rasulullah kepadaku ialah, “Jika engkau sudah bertemu rakanmu, maka hendaklah kalian saling patuh mematuhi. Kalau engkau memang tidak mahu patuh kepadaku, maka akulah yang akan patuh kepadamu”. Lalu Abu Ubaidah menyerahkan kepemimpinan kepada Amr.

Pemimpin harus ditaati

Anas ra berkata, “Seorang sahabt terdekat Rasulullah SAW melarang beberapa hal, seraya berkata, “Janganlah kalian mencaci pemimpin-pemimpin kalian, janganlah menyusahkan dan membangkang mereka. Bertakwalah kepada Allah keraa kemenangan itu sudah dekat”. (Al-Kanzu 3/168)

Menjaga lidah dekat pemimpin

Ashim bin Muhammad berkata, “Ada seorang lelaki berkata kepada Ibnu Umar, “Kami pernah menghadap pemimpin kami, lalu kami sepakat untuk mengatakan sesuatu yang berbeza jika kami tidak lagi di hadapannya”. Ibnu Umar berkata, “Kami menganggap yang demikian itu termasuk kemunafikan.

Berkata yang benar di hadapan pemimpin

Ibrahim bin Atha berkata bahawa ayahnya pernah berkata, “Ziyad atau Ibnu Ziyad pernah mengutus Imran bin Hushain ra untuk mengumpulkan zakat dan sedekah. Setelah urusan selesai, dia kembali tanpa membawa sedikitpun. “Mana harta yang engkau kumpulkan?”, Tanya Ziyad. “Untuk harta itukah kau mengutusku?” Imran bertanya semula. Lalu dia berkata, “Kami mengambil harta itu seperti yang kami lakukan pada zaman Rasulullah SAW, dan kami menyalurkannya seperti yang kami lakukan pada zaman baginda”.

1001 Mukjizat Rasulullah SAW


AlhamdulilLah, wassolatu wassalamu 'ala Saiyyidina RasulilLah,wa ba'du ;


Salam ISLAH ;


Antara kurniaan Allah SWT kepada Rasulullah SAW untuk memperteguhkan dakwah dan menjadi bukti kenabian serta kerasulan Baginda SAW ialah mukjizat-mukjizat yang luarbiasa dan penuh kerahsiaan. Mukjizat adalah perkara yang di luar kebiasaan dan di luar logika akal manusia. Antara mukjizat Baginda SAW adalah :



Tunduknya pokok kepadanya



Anas r.a meriwayatkan katanya : Suatu hari Jibril datang kepada Rasulallah s.a.w dan Baginda sedang duduk bersedih.Kepala Baginda berlumuran darah kerana telah dipukul oleh sebahagian penduduk Makkah.

Lalu Jibril bertanya kepada Baginda : “ Mengapakah engkau ? ” Sabdanya : “ Mereka telah memukul aku ”.Katanya : “ Jibril berkata : “ Mahukah aku tunjukkan kepadamu satu tanda ? ” Lalu jawabnya : “ Ya ”.Maka Baginda memandang sebatang pokok di belakang lembah, lalu Jibril berkata : “ Panggillah pokok itu ”.Maka Baginda memanggilnya.Pokok itu lalu berjalan sehingga sampai di hadapan Nabi s.a.w.Jibril berkata : “ Suruh ia kembali semula ke tempatnya ”.Lalu disuruh pokok itu kembali.Maka pokok itupun kembali ke tempatnya semula.Rasulallah s.a.w bersabda : “ Ia sudah cukup mententeramkan jiwaku ”.



Tunduknya Dua Pokok dan Keduanya Bertaut Kemudian Berpisah Semula



Jabir bin Abdullah r.a meriwayatkan katanya : “ Kami berjalan bersama Nabi s.a.w sehingga kami turun pada sebuah lembah yang luas lalu Rasulallah s.a.w pergi membuang hajatnya.Aku mengekori Baginda dengan membawa sebekas air.Baginda memandang dan tidak melihat sesuatu untuk berlindung dengannya.Tiba – tiba Baginda melihat dua batang pokok di tepi lembah,salah satu pokok telah pergi kepada pokok yang lain lantas memegang salah satu dahannya, Baginda bersabda : “ Tunduklah kepadaku dengan izin Allah ”, lalu ia tunduk kepada Baginda sama seperti unta yang tunduk kepada tuannya, sehingga Baginda pergi ke pokok yang lain lantas memegang salah satu dahannya, lalu bersabda: “ Tunduklah kepadaku dengan izin Allah “, lalu iapun tunduk kepadanya sama seperti unta ang tunduk kepada tuannya.Kita berada di antara keduanya Baginda menghimpunkannya, dan bersabda : “ Berhimpunlah atasku ( untuk menutupiku ) dengan izin Allah, lalu keduanya berhimpun ”.

Jabir berkata : Maka aku berlari menjauhi tempat itu, takut jika baginda menyedari kedatanganku kepadanya.Apabila menoleh Rasulallah s.a.w sudah datang, serta kedua – dua pokok itu berpisah dan masing – masing berdiri tegak.Aku melihat Rasulallah s.a.w berdiri seketika dan memberi isyarat dengan kepalanya ke kiri dan ke kanan.



Ertinya Baginda memerintahkan kedua pokok tersebut agar kembali semula ke tempatnya setelah Baginda membuang hajatnya .Lantas pokok tersebut masing – masing kembali ke tempat asalnya.