Sunday, August 23, 2009

Thaqafah : Fiqh as Siyam ~ 6,7&8

Suntikan dan derma darah

Adapun orang yang disuntik ubat darah ke dalam badannya melalui kulit atau dagingnya, sedangkan ia berpuasa, hukumnya tidak membatalkan puasa. Sepertimana yang dibahaskan pada perkara memasukkan cecair ke dalam mata bahawa yang membatalkan puasa ialah memasukkan sesuatu melalui rongga yang terbuka.

Sedangkan suntikan melalui kulit atau daging untuk memasukkan cecair atau darah, tidak dianggap memasukkan sesuatu melalui rongga.

Demikian juga sekiranya seseorang itu disuntik untuk menyedut darahnya untuk tujuan menderma darah atau lainnya, tidak membatalkan puasanya.

Berbekam

Berbekam ialah menyedut darah yang kotor daripada tubuh kita. Biasanya berbekam itu dilakukan di bahagian belakang kepala. Ada juga sesetangah berbekam di bahagian belakang, di pinggang, kaki dan lain-lain anggota badan yang menghidapi penyakit.

Perbuatan berbekam adalah salah satu cara perubatan di dalam Islam dan Rasulullah s.a.w. sendiri diriwayatkan pernah berbekam.

Adapun hukum berbekam di bulan puasa tidak membatalkan puasa, kerana ada sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Ahmad bahawa Rasulullah s.a.w. pernah berbekam sedang ia berpuasa.

Masuk Debu ke dalam Rongga Badan

Adapun hukum memasukkan sesuatu ke dalam rongga yang terbuka membatalkan puasa. Timbul masalah kepada kita sekarang ialah tentang debu-debu jalan raya, binatang-binatang kecil umpama lalat, agas-agas, tepung yang diayak atau lain-lain benda yang kecil, apakah membatalkan puasa sekiranya masuk ke dalam rongga seperti lubang hidung atau mulut hingga ke dalam perut. Jawabnya tidak, membatalkan puasa, kerana benda-benda tersebut kecil.

No comments: