Friday, August 8, 2008

Ziarah Parit Panjang Baling-Akhir


Salam ISLAH,

Satu lagi perkara yang menjadi keistimewaan Parit Panjang ialah ia dikelilingi oleh pelbagai pondok dan madrasah pengajian Islam serta ma’had tahfiz Al Quran. Bayangkan dalam sebuah kampung, lebih dari 5 pusat pengajian Islam yang wuud di dalamnya. Yang paling masyhur ialah Pondok Lanai yang terkenal dengan kemampuannya melahirkan ribuan ulama’ mukhlisin. Pada masa sekarang ini pondok tersebut dipimpin oleh Tuan Guru Hj Abdul Wahab Hassan ( Tok Guru Hj Awang Lanai) yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Kawasan Baling.

Saya sangat pasti bahawa kewujudan pondok pengajian Islam yang banyak inilah menjadikan kawasan Parit Panjang ini sangat subur dengan Islam dan penghayatan ajarannya. Sepanjang keberadaan saya di sana , tidak terlihat kelibat wanita yang keluar rumah dalam keadaan tidak menutup aurat. Mungkin ada, tapi tidak kelihatan sepanjang saya berada di sana. Fenomena lelaki berkopiah, memakai serban, berbaju melayu dan berkain pelikat adalah pemandangan biasa di sini.

Sememang Islam subur dengan dakwah. Ia akan beku dan kaku tanpa dakwah. Para pejuang agama seumpama pendiri pondok dan madrasah telah memberi sumbangan besar kearah suburnya penghayatan ajaran Islam di seluruh dunia. Jika tugas ini tidak diteruskan, maka akan hilanglah generasi Muslim Mukmin yang sebenar.

Saya melihat suasana di Parit Panjang dan membandingkan dengan Perlis tempat saya. Di Perlis, bukannya tidak wujud pondok pengajian Islam. Ada di Perlis Pondok Tuan Guru Hj Md Rejab dan lain-lain, namun bilamana perjuangan mereka tidak diteruskan oleh generasi selepas mereka maka hilanglah ruh dan jiwa apa yang mereka perjuangkan. Di Perlis sendiri tidak subur dengan dakwah. Salah satu faktornya adalah kerana tidak banyak madrasah dan pondok pengajian Islam secara turath yang didirikan. Tidak dinafikan memang wujud sekolah agama moden, tetapi niat mencari sijil sahaja telah menyebabkan tidak ada kekuatan jiwa da’ie di dalam jiwa para penuntutnya.

Dalam perjalanan pulang, saya hadiahkan al Fatihah buat Asy Syahid Ustaz Ibrahim Libya dan sahabat-sahabat beliau yang permakaman mereka itu berhampiran dengan pecan Parit Panjang. Mereka adalah bukti kezaliman UMNO. Mereka adalah bukti bahawa aqidah adalah tunjang jihad dan perjuangan yang perlu di pertahankan walaun kesyahidan adalah bayarannya. Berjuang dengan berteraskan aqidahlah menyebabkan mereka sanggup mati mempertahankan prinsip perjuangan. Inilah ruh yang mesti dimiliki oleh semua pejuang agama sepanjang zaman. Kesanggupan seperti merekalah yang telah terhakis dari pejuang hari ini yang lebih berminat dengan kuasa berbanding redha Ilahi. Pada merekalh terdapat bukti bahawa sememangnya perjuangan itu pahit kerana syurga itu manis.

Wednesday, August 6, 2008

Ziarah Ke Parit Panjang Baling 1


Salam ISLAH,

Selepas solat subuh pagi tadi saya bergegas ke Parit Panjang bersama 3 orang anak buah Darul Islah yang sangat setia menemani saya bila diajak. Tujuan saya ke sana adalah untuk ‘menemuduga’ pelajar Ma’had Tahfiz Al Quran Misbahul Munir untuk dijemput menjadi imam solat Tarawih di Balai Islam MADI, Markaz Tarbiyyah Negeri. Alhamdulillah perjalanan pergi balik lancar dan selamat dengan ‘inayah Allah jua.

PENOLONG DAN PEMBANTU

Saya amat bersyukur kepada Allah SWT yang mengurniakan kepada saya adik-adik Darul Islah yang siang malam bersama saya menyuburkan kerja-kerja dakwah di Perlis. Saya akui bahawa tanpa mereka yang memainkan peranan penting dalam menyumbangkan tenaga manusia dalam kerja dan tugas dakwah, tidak akan berjaya segala yang saya rancangkan di Perlis ini. Kerana membangunkan dakwah dan menyuburkan ruh agama di tengah masyarakat adalah tugas yang paling sukar.

Namun Allah telah menjanjikan bahawa mereka yang menolong agama Allah pasti akan ditolong oleh Allah SWT. Antara pertolongan tersebut ialah Allah jadikan bagi kerja dakwah itu ‘ansar’ dan ‘hawariyyuun’ yakni penolong dan pembantu.

“Hai orang-orang yang beriman, jadilah kamu penolong (agama) Allah sebagaimana Isa ibnu Maryam telah berkata kepada pengikut-pengikutnya yang setia: "Siapakah yang akan menjadi penolong-penolongku (untuk menegakkan agama) Allah?" pengikut-pengikut yang setia itu berkata: "Kamilah penolong-penolong agama Allah", lalu segolongan dari Bani Israil beriman dan segolongan lain kafir; Maka kami berikan kekuatan kepada orang-orang yang beriman terhadap musuh-musuh mereka, lalu mereka menjadi orang-orang yang menang.” Surah as Sof : 14

PARIT PANJANG

Saya tiba di Parit Panjang sekitar jam 8.00 pagi. Saya diarahkan oleh Ustaz Mohd Lutfi Arifin (Exco Dewan Pemuda PAS Kedah dan antara tenaga penggerak Madrasah Nurul Hidayah,Tembak, Parit Panjang) untuk terus menghala ke pondok beliau di Kg Tembak lebih kurang 7 kilometer dari Pekan Parit Panjang. Saya disapa oleh suara para murabbi di Madrasah Nurul Hidayah yang sedang giat mendidik dan menyampaikan ilmu kepada 110 pelajar madrasah. Suasana tenang, dikelilingi hutan, ladang getah dan tanah bendang serta suasana kampong yang masih tebal dapat dirasai di sini. Saya sangat tenang berada di sini.

Madrasah Nurul Hidayah sendiri sudah 20 tahun terdiri di sini. Menjadi tumpuan masyarakat setempat menimba ilmu dan menghantar anak-anak mereka untuk mendalami Al Quran dan Al Hadis. 85% pelajar adalah anak tempatan. Saya bertanya Us Lutfi, “Berapa jumlah orang UMNO yang tinggal di sini ustaz?”. Beliau menjawab, “ Hanya 7 orang Ustaz, habuan nak buat ubat aja” katanya. Saya tersenyum dan dia ketawa besar.

UMNO tidak subur di tengah-tengah masyarakat berilmu dan punya kesedaran Islam yang tinggi serta didedahkan dengan ilmu Islam yang sebenar. UPU Tembak sahaja menyumbang 1000 lebih undi kepada PAS dalam PRU 12 yang lalu sekaligus memberikan kemenangan besar kepada YB Ustaz Taib Azamuddeen. Kita mesti menerima hakikat bahawa kita mesti bekerja keras mendakwahkan Melayu kepada Islam dan meyokong perjuangan PAS. Sokongan Melayu Muslim sahajalah yang akan dapat memberikan kekuatan sebenar kepada PAS. Saya tidak nafikan sokongan bukan Melayu juga sangat penting. Tetapi sokongan Melayu Muslim adalah lebih diperlukan. Jangan terus merasa selesa dengan sokongan bukan Muslim dan kita mesti bekerja keras untuk menyedarkan Melayu untuk bersama perjuangan kita seperti di Parit Panjang. Kita akan menjaga sokongan dan undi non Muslim dan kita tidak akan khianati mereka. Namun kita tidak pernah berjanji dengan mereka untuk tidak melaksanakan Islam bila kita menang. Tatpi mengapa kita bertegas tidak akan laksanakan syariat Islam bila kita dah menang. Siapa yang gilakan kuasa yang sebenarnya ni?. PAS tidak akan jadi pengkhianat selagi ia kekal bersama Islam, prinsip perjuangan Islam, dasar Islam dan bekerja kearah tertegaknya Daulah Islamiyah. Tetapi PAS adalah pengkhianat jika ia menjadi pengkhianat kepada Islam. Atas kemasalahatan apa lagi yang nak dijadikan alasan?.

Tuesday, August 5, 2008

Nasihatilah Pemerintah Supaya Kembali Kepada Kitab Allah.

Salam ISLAH,

Secara peribadinya saya mengucapkan tahniah kepada Mufti Perlis di atas keberanian menegur dan menasihati pemerintah (PM) supaya bertaubat dari dosa syirik kerana mengalungkan bunga di hadapan Tugu Negara yang mengandungi unsure keberhalaan. Nampaknya murid-murid Mufti Perlis kenalah mengikut jejak langkah Sang Guru dalam menasihati pemerintah secara “terang”, “berterus-terang” dan jelas tanpa selindung-selindung. Jangan Tok Guru macam lain anak murid pula macam lain.

Dalam masa yang sama saya juga ingin mengingatkan bahawa menolak hukum Allah dan menggantikannya dengan hukum buatan manusia juga adalah merupakan dosa syirik kepada Allah kerana telah menswastakan kerja Allah SWT. Tiada siapa pun yang boleh menentukan hukum dan peraturan yang boleh berjalan di atas muka bumi melainkan tuan punya dunia ini yakni Allah Jalla Jalaaluh. Firman Allah SWT :

“Sesungguhnya kami Telah menurunkan Kitab Taurat di dalamnya (ada) petunjuk dan cahaya (yang menerangi), yang dengan Kitab itu diputuskan perkara orang-orang Yahudi oleh nabi-nabi yang menyerah diri kepada Allah, oleh orang-orang alim mereka dan pendeta-pendeta mereka, disebabkan mereka diperintahkan memelihara kitab-kitab Allah dan mereka menjadi saksi terhadapnya. Karena itu janganlah kamu takut kepada manusia, (tetapi) takutlah kepada-Ku. dan janganlah kamu menukar ayat-ayat-Ku dengan harga yang sedikit. barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, Maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir.” Surah al Maaidah : 44

Daripada membangkitkan soal bid’ah maka adalah terlebih dituntut supaya memerangi dosa syirik pada Allah. Khilaf para ulamak dalam soal bid’ah adalah di antara pihak yang betul dan pihak yang paling betul dan bukannya di antara pihak yang betul dan pihak yang salah. Masing-masing beramal mengikut dalil dan petunjuk Nabi SAW yang difahami dan diperlajari. Rasa hormat perlu ada. Jangan sampai agenda utama memerangi perbuatan kufur dan syirik terabai.

Ayuh Tuan Mufti,nasihatilah pemerintah supaya kembali berhukum dengan Kitab Allah.

Lebih Baik Menderma Dari Beli Rokok

KOTA BHARU, 4 Ogos (Hrkh) - Mereka yang gemar merokok disaran meninggalkan tabiat buruk tersebut dan menggunakan wang membeli rokok itu untuk menderma.

Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, tidak seorang pun pegawai perubatan menyebut merokok tidak membahayakan kesihatan.

"Sekiranya wang berkenaan digunakan untuk menderma termasuk pembinaan masjid, dan sekolah, ia dapat membantu seseorang itu di akhirat kelak.

Kalau hisap rokok, bukan sahaja tak dapat pahala, penyakit pula yang datang," ujarnya pada satu program di sini, baru-baru ini.

Ketika berucap sebelum itu beliau menyifatkan mereka yang enggan menunaikan ibadat solat seperti melakukan perbuatan kurang ajar kerana tidak mahu mengikut perintah Allah Taala.

"Lebih baik saya mengeluarkan perkataan kurang ajar di dunia ni berbanding balasan neraka jahanam kepada mereka yang tidak mengerjakan solat," katanya.

Menurutnya dalam peristiwa Israk dan Mikraj Allah telah memperlihatkan kepada baginda bagaimana seorang hamba menghantukkan kepalanya ke batu sehingga pecah, kemudian bercantum kembali dan menghantuknya semula berulang kali.

"Peristiwa itu menggambarkan bagaimana balasan terhadap manusia yang engkar tidak mahu sujud kepada Allah sehingga akhirnya mereka terpaksa menghantuknya sendiri," ujarnya.

Monday, August 4, 2008

Forum Isra' Mi'raj Dun Chempaka Selangor-2/8/2008

Pemuda harapan ummah dan agama.

Bersama Ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya Sdr Abdul Jalil bin Hassan

Sebelah kanan adalah pengerusi majlis. Di belakang kami adalah bekas dewan tempat UMNO buat program dulu. Sekarang sudah ditukar menjadi pusat aktiviti sosial. Pembantuku melaporkan di belakan dewan menjadi tempat anak muda berdua-duaan walaupun forum sedang berlangsung. Ustaz Zulkifli Ahmad mesti bertindak .


Ustaz Kamal mempengerusikan majlis forum. Tugas paling mudah dan senang, jadi pengerusi forum. Yang kena tanyalah paling teruk. Pening nak menjawab.



Dijamu dengan nasi ala berlauk ala Thailand. Balun aja tak kira apa pun asalkan halal dan tentu ada keberkatannya makan dengan Dr Azhar Ya'kub. Khusyuknya Dr Azhar.


Berkumpul di Masjid al 'Azhim Pandan Indah, yang tengah tu Ketua Junta Sdr Wan Haswari. Us Kamal Ashaari segak berbaju batik namun membatikkan diri di saat sudah berjanji nak berjubah agak menjadi tanda tanya ramai orang..hehehe.

Halal Haram Dalam Siyasah


Bismillah, walhamdulilLah, wassolatu wassalamu ‘ala Saiyyidina RasulilLah, wa ba’du,

Salam ISLAH,

Saya tertarik dengan peringatan Tuan Guru Nik Abdul Aziz pada 31 Julai baru-baru ini bahawa selain daripada menekankan kepentingan halal haram dalam makan minum, kita mesti beri perhatian serius terhadap soal halal haram dalam politik. Munasabahnya peringatan TGNA tersebut adalah kerana segala-galanya adalah bertitik tolak daripada kekuasaan politik. Makan minum akan menjadi halal (halalan thoiyyiban kata orang hari ini) bilamana penguatkuasaan undang-undang yang tegas dan berkesan dilaksanakan dalam memastikan tiada makan minum yang haram dalam negara. Kerajaan melalui JAKIM sudah barang tentu dapat melaksanakan perkara ini tanpa sebarang masalah, kecuali ada kekangan dan kongkongan tertentu ataupun pelaksanaan yang sambil lewa akan menyebabkan dasar halal haram ini gagal dilaksanakan.

ULAMA’ MUKHLISIN

Kita seharusnya bersyukur kepada Allah SWT bilamana Dia mewujudkan dan melahirkan di tengah-tengah kita semua seorang ulama’ yang ikhlas mendidik dan menegur. Antara sifat khusus bagi seorang ulama’ ialah “khasyyatilLah” yakni perasaan takut dan gerund hanya kepada Allah SWT semata-mata. Rasa takut pada Allah inilah mendorong para ulama’ berkata benar walaupun pahit dan berkata dengan yang benar walau di hadapan pemerintah yang zalim sekalipun. Sabda Rasulullah SAW :

“ Bahawa seafdhal-afdhal jihad itu adalah berkata benar di hadapan pemerintah yang zalim”

Cabaran berhadapan dengan pemerintah yang zalim ini sangatlah berat dugaannya. Namun seorang ulama’ yang ikhlas akan terus beristiqamah mempertahankan prinsip kebenaran Islam. Mempertahankan prinsip yang benar inilah yang menjadi sebab kepada kesyahidan para ulama’. Kalau di Malaysia ini, Asy Syahid Ustaz Ibrahim Libya adalah contohnya. Jika Masyitah yang sangat lemah sebagai seorang wanita berjaya mati syahid dalam mempertahankan aqidah yang benar, maka sudah barang tentu para ulama’ adalah terlebih gagah lagi dalam soal mempertahankan kebenaran.

Namun kita pasti akan melihat wujudnya ulama’ dunia dan ulama’ jahat juga wujud di sepanjang zaman. Merekalah yang yang menjadi sebab kepada terjadinya fitnah yang besar di kalangan umat. Pendapat yang sangat mengelirukan adalah ciri-ciri khas mereka sedang mengampu dan membodek pemerintah adalah perhiasan kehidupan mereka. Jauhilah mereka demi keselamatanmu.

BILA PERINGATAN DI SAMPAIKAN

Merenung tazkirah TGNA agar halal halram dalam politik diberi perhatian, maka terlihat kita bencana besar bilamana halal haram dalam politik diabaikan. Politik adalah sebahagian dari tuntutan keimanan. Bila ikatan politik wahyu dirungkaikan dari leher umat oleh serangan ajaran sekular dan perencanaan jahat musuh, maka bermulalah episode punah jahanamnya kesucian ajaran Islam. Para ulama’ dipenjarakan oleh politik haram ini, pintu masjid ditutup rapat dari menjadi sumber hidayah kebenaran kepada umat, orang-orang fasik diberikan pengiktirafan, pendokong kebenaran dicela dan difitnah serta dilabel dengan label kejahatan dan khianat.

Harta negara diselewengkan sewenang-wenangnya. Dilaporkan bahawa sebanyak RM 7 bilion ringgit wang royalti minyak Terengganu dibelanjakan sepanjang sepenggal pemerintahan Idris Jusoh tanpa direkodkan kemana wang itu dibelanjakan dan untuk apa ia dibelanjakan. Lat ganti kereta yang sebenarnya bernila RM 3000 tetapi diclaim dengan nilai RM 29,000. Siyasah haram membenarkan penipuan dan penyelewengan.

Yang lebih malang ialah syariat Islam tidak akan dilaksanakan oleh politik haram ini. Perkara ini sudah barang pasti. Kerja politik haram ialah membina masjid untuk mengesahkan bahawa mereka mengamalkan Islam, tetapi syariat dan hukum Islam ditolak demi mendapat redha musuh Islam. Alangkah jijik dan kejinya perbuatan ini.

Saturday, August 2, 2008

Tarbawi : Kematian Hati



Oleh: KH Rahmat Abdullah, Ketua Yayasan Iqro', Bekasi




Banyak orang tertawa tanpa (mahu) menyedari sang maut sedang mengintainya. Banyak orang cepat datang ke saf solat sepertinya orang yang amat merindukan kekasih. Sayang ternyata ia datang tergesa-gesa hanya agar dapat segera pergi. Seperti penagih hutang yang kejam ia perlakukan Tuhannya. Ada yang datang sekadar memenuhi tugas rutin mesin agama. Dingin, kering dan hampa, tanpa penghayatan. Hilang tak dicari, ada tak disyukuri.Dari jahil engkau disuruh berilmu dan tak ada izin untuk berhenti hanya pada ilmu. Engkau dituntut beramal dengan ilmu yang ALLAH berikan. Tanpa itu alangkah besar kemurkaan ALLAH atasmu. Tersanjungkah engkau yang pandai bercakap tentang keheningan senyap ditingkah rintih istighfar, kecupak air wudhu di dingin malam, lapar perut kerana shiam (puasa) atau kedalaman munajat dalamrakaat-rakaat panjang. Tersanjungkah engkau dengan licin lidahmu bertutur,sementara dalam hatimu tak ada apa-apa. Kau kunyah mitos pemberian masyarakat dan sangka baik orang-orang berhati jernih, bahawa engkau adalah seorang soleh, alim, abid lagi mujahid, lalu puas meyakini itu tanpa rasa ngeri.Asshiddiq Abu Bakar Ra. Selalu gementar saat dipuji orang. "Ya ALLAH, jadikan diriku lebih baik daripada sangkaan mereka, janganlah Engkau hukum aku kerana ucapan mereka dan ampunilah daku lantaran ketidaktahuan mereka", ucapnya lirih.Ada orang bekerja keras dengan mengorbankan begitu banyak harta dan dana, lalu ia lupakan semua itu dan tak pernah mengenangnya lagi.




Ada orang beramal besar dan selalu mengingat-ingatnya, bahkan sebahagian menyebut-nyebutnya. Ada orang beramal sedikit dan mengatakan amalnya sangat banyak. Dan ada orang yang sama sekali tak pernah beramal, lalu merasa banyak amal dan menyalahkan orang yang beramal, kerana kekurangan atau ketidaksesuaian amal mereka dengan lamunan peribadinya, atau tidak mahu kalah dan tertinggal di belakang para pejuang. Mereka telah menukar kerja dengankata. Dimana kau letakkan dirimu ?Saat kecil, engkau begitu takut gelap, suara dan segala yang asing. Begitu kerap engkau bergetar dan takut. Sesudah pengalaman dan ilmu makin bertambah, engkau pun berani tampil di depan seorang kaisar (maharaja) tanpa rasa gentar. Semua sudah jadi biasa, tanpa rasa.Telah berapa hari engkau hidup dalam lumpur yang membunuh hatimu sehingga getarannya tak terasa lagi saat maksiat menggodamu dan engkau menikmatinya?Malam-malam berharga berlalu tanpa satu rakaat pun kau kerjakan. Usia berkurang banyak tanpa tahap kedewasaan ruhani meninggi. Rasa malu kepada ALLAH, dimana kau kubur dia?Di luar sana rasa malu tak punya harga. Mereka jual diri secara terbukalewat layar kaca, sampul majalah atau bahkan melalui penawaran langsung. Ini potret negerimu : 228.000 remaja sakit akibat daripada pengambilan putau (heroin). Dari 1500 responden usia SMP & SMU, 25 % mengaku telah berzina dan hampir separuhnya setuju remaja berhubungan seks di luar nikah asal jangan dengan perkosaan.




Mungkin engkau mulai berfikir "Biasalah, bila aku main mata dengan aktivis perempuan bila engkau laki-laki atau sebaliknya di celah-celah rapat atau berdialog dalam jarak sangat dekat atau bertelefon dengan menambah waktu yang tak kau perlukan sekadar melepas kejenuhan dengan canda (gurauan) jarak jauh"Betapa biasanya 'dosa kecil' itu dalam hatimu. Kemana getarannya yang gelisah dan terluka dulu, saat "TV Thaghut" menyiarkan segala "kesombongan jahiliyah dan maksiat"? Saat engkau muntah melihat laki-laki (yang bersifat dwijantina) berpakaian perempuan, kerana kau sangat mendukung ustazmu yang mengatakan "Jika ALLAH melaknat laki-laki berpakaian perempuan dan perempuan berpakaian laki-laki, apa tertawa riang menonton perbuatan mereka tidak dilaknat?"Ataukah taqwa berlaku saat berkumpul bersama, lalu yang berteriak paling lantang "Ini tidak islami" bererti ia paling islami, sesudah itu urusan tinggallah antara engkau dengan dirimu, tak ada ALLAH disana?Sekarang kau telah jadi kader (aktivis dakwah) hebat. Tidak lagi malu-malu tampil. Justeru engkau akan dihadang oleh cabaran: sangat malu untuk menahan tanganmu dari jabatan tangan lembut lawan jenismu yang muda dan segar. Hati yang berbunga-bunga di depan ribuan massa. Semua gerak harus diambil kira dan jadilah pertimbanganmu tergadai pada kesukaan atau kebencian orang, walaupun harus mengorbankan nilai terbaik yang kau miliki.




Lupakah engkau, jika bidikanmu ke sasaran tembak meleset 1 milimeter, maka pada jarak 300 meter dia tidakmelencong 1 milimeter lagi ? Begitu jauhnya inhiraf (penyelewengan) di kalangan awam,sedikit banyak kerana para elite-nya telah salah melangkah lebih dulu. Siapa yang mahu menghormati ummat yang "kiayi"nya membayar beberapa ratus ribu kepada seorang perempuan yang beberapa minit sebelumnya ia setubuhi di sebuah kamar hotel berbintang, lalu dengan enteng (mudah) mengatakan "Itu maharku, ALLAH waliku dan malaikat itu saksiku" dan sesudah itu segalanya selesai, berlalu tanpa rasa bersalah? Siapa yang akan memandang ummat yang da'inya bergaya lekat dengan seorang perempuan muda artis penyanyi lalu mengatakan"Ini anakku, kerana kedudukan guru dalam Islam adalah ayah, bahkan lebih dekat daripada ayah kandung dan ayah mertua" Akankah engkau juga menambah barisan kebingungan ummat lalu mendaftar diri sebagai 'alimullisan (alim di lidah)? Apa kau fikir sesudah semua kedangkalan ini kau masih aman dari kemungkinan jatuh ke lembah yang sama?Apa beza seorang remaja yang menzinai teman sekolahnya dengan seorang alim yang merayu rakan perempuan dalam aktiviti da'wahnya? Akankah kau bergantung kepada penghormatan masyarakat awam kerana statusmu lalu kau serang maksiat mereka yang semakin tersudut oleh retorikamu (bahasa-bahasa indahmu) yang menyihir ? Bila demikian, koruptor macam apa engkau ini? Pernah kau lihat sepasang mami dan papidengan anak remaja mereka. Tengoklah langkah mereka di mall. Betapa besar sumbangan mereka kepada modernisasi dengan banyak-banyak mengambil produk junk food, semata-mata kerana nuansa "westernnya".




Engkau akan menjadi faqih pendebat yang hebat saat engkau meminum minuman halal itu, dengan perasaan"lihatlah, betapa Amerikanya aku". Memang, soalnya bukan Amerika atau bukan Amerika, melainkan apakah engkau punya harga diri. Mahatma Ghandi memimpin perjuangan dengan memakai tenunan bangsa sendiri atau terompah tempatan yang tak berjenama. Namun setiap ia menoleh ke kanan, maka 300 juta rakyat India menoleh ke kanan. Bila ia tidur di rel kereta api, maka 300 juta rakyat India akan ikut tidur disana.Kini datang "pemimpin" ummat, ingin mendapatkan harga diri dan penghormatan ummat dengan pameran kereta, rumah mewah, "kedai emas berjalan" dan segudang aksesori. Saat fatwa digenderangkan, telinga ummat telah tuli oleh dentam berita tentang hiruk pikuk pesta dunia yang engkau ikut mabuk disana."Engkau adalah penyanyi bayaranku dengan wang yang kukumpulkan susah payah. Bila aku bosan aku bisa panggil penyanyi lain yang kicaunya lebih memenuhi selera-ku"

Susu & Arak


BismilLah, walhamdulillah, wassolatu wassalamu ‘ala saiyyidina Rasulillah wa ba’du;

Salam ISLAH,

Saya masih punya keinginan yang tinggi untuk terus menulis tentang apa yang telah dibongkarkan oleh para ulama’ mengenai pengajaran-pengajaran yang boleh diambil dari peristiwa agung Isra’ Mi’raj. Sepanjang Rejab ini, Allah telah izinkan saya untuk bersama-sama saudara seaqidah saya memperingati peristiwa agung ini. Semakin saya menelaah dan bercakap mengenai peristiwa agung ini, terasa semakin kerdil diri di hadapan keluasan ilmu Allah SWT yang Maha Luas.

Di dalam perjalanan agung tersebut, Baginda telah dibawa ke Masjid al Aqsa ke Palestin. Baginda mengimamkan solat yang makmumnya adalah para anbiya’ ‘alaihimussolatu wassalam. Kemudiannya Baginda telah dihulurkan 2 gelas yang satunya berisi arak dan satu lagi berisi susu oleh Jibril ‘alaihissalam. Lalu Baginda SAW memilih susu, maka Jibril berkata kepada Baginda SAW “ Hudiita ila fithrah” yang bermaksud, “ Bahawa kamu wahai Rasulullah, telah ditunjuk kepada fithrah.

Saya telah disampaikan oleh salah seorang murabthun Darul Islah yang mengikuti kuliah asar al Fadhil Ustaz Hj Ahmad Ali ( Timbalan Pesuruhjaya PAS Perlis) bahawa beliau telah mengupas episod ini dengan begitu menyentuh perasaan sekali. Katanya, bahawa perbezaan antara susu dan arak itu adalah sangat jelas dan memberi panduan yang sangat berguna bagi ummah. Kalau kita perhatikan, susu adalah minuman yang diciptakan oleh Allah SWT tanpa campur tangan manusia walau 1 %. Sedangkan arak dibuat oleh manusia sepenuhnya menggunakan bahan yang diciptakan oleh Allah SWT.

Ini bermakna seorang muslim harus memilih jalan yang ditunjukkan oleh Allah SWT yang sudah barang pasti jalan Allah SWT itu adalah merupakan jalan yang seluruh petunjuknya adalah dari wahyu Allah SWT tanpa ada sedikitpun campur tangan makhluk hatta Jibril yang bertugas menyampaikan wahyu tersebut. Memilih jalan Allah bererti membawa kita kepada keselamatan dan kebahagiaan.

Jika jalan yang diciptakan oleh manusia menjadi pilihan kita, maka kita terdedah dengan bahayanya suatu jalan yang tidak akan terlepas dari pengaruh nafsu dan kecetekan akal manusia. Justeru kesesatan dan kebinasaanlah yang akan kita temui.

Sebenarnya manusia tiada pilihan selain jalan yang telah ditunjukkan oleh Allah kerana di atas jalan itulah fitrah mereka yang sebenarnya. Sesungguhnya Allah amat mengetahui jalan yang terbaik buat manusia seluruhnya.

Terdapat sebuah hadis yang menceritakan sikap perangai umat dahulu yang telah dibinasakan Allah SWT. Bila kita perhatikan kepada hadis tersebut, kita dapati bahawa sikap-sikap tersebut adalah sikap orang yang telah lari dari fitrah yabg telah ditetapkan oleh Allah SWT. Sabda Rasul SAW :

Daripada Abi Hurairah rdh dia berkata, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda , “ Sesungguhnya penyakit-penyakit umat dahulu akan mengenai umatku, lalu ditanya oleh para sahabat , “Apakah penyakit umat-umat dahulu itu ya Rasulullah?”. Maka dijawab oleh Baginda SAW, “ Terlalu banyak seronok, terlalu mewah, menghimpun harta sebanyak mungkin, tipu menipu dalam merebut harta benda dunia, saling memarahi, hasud menghasud sehingga jadi zalim menzalim” riwayat al Hakim

Jelas sahabat sekalian, bahawa yang disebutkan oleh Rasulullah SAW di atas adalah sifat yang telah lari dari fitrah kejadian dan bukan sifat seorang hamba yang sebenar.

Banyak seronok bukan sifat Mukmin, di dalam Al Quran Allah memerintahkan kita supaya banyak menangis dan mengurangkan ketawa. Orang yang banyak ketawa akan keras hatinya dan tanda tidak pernah mengingati mati dan akhirat. Diceritakan bahawa Imam Hasan al Basri tidak pernah ketawa selama 30 tahun. Bila ditanya ia menjawab, “Bagaimana mungkin aku ketawa sedangkan aku sendiri belum pasti akan tempat duduk aku di akhirat kelak, syurga atau neraka”.

Terlalu mewah dan asyik dengan menghimpun harta juga bukan sifat mukmin hakiki. Sebaliknya, sifat tawazun (keseimbangan) antara duniawi dan ukhrawi amat dituntut oleh Islam. Firman Allah SWT :

“Dan carilah pada apa yang Telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah Telah berbuat baik, kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerusakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerusakan.” Surah al Qashah : 77

Begitulah dengan sifat-sifat yang lain yang disebut oleh Rasulullah SAW di dalam hadis di atas. Ini adalah kerana orang mukmin dibina di atas dasar ukhuwwah filLah, kasih sayang dan mencintai kerana Allah SWT. Mencintai apa yang dicintai oleh Allah dan membenci apa yang dibenci oleh Allah SWT.

Marilah kita menghayati firman Allah SWT di dalam surah ar Ruum ayat 30 & 31 :

30. Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah; (tetaplah atas) fitrah Allah yang Telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. tidak ada peubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui[1168],
31. Dengan kembali bertaubat kepada-Nya dan bertakwalah kepada-Nya serta Dirikanlah shalat dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang mempersekutukan Allah,

[1168] fitrah Allah: maksudnya ciptaan Allah. manusia diciptakan Allah mempunyai naluri beragama yaitu agama tauhid. kalau ada manusia tidak beragama tauhid, Maka hal itu tidaklah wajar. mereka tidak beragama tauhid itu hanyalah lantara pengaruh lingkungan.


Friday, August 1, 2008

Malaysia Boleh


MELAKA 30 Julai – Kita tentu biasa melihat pegawai polis lengkap berpakaian seragam berkawad. Tetapi pernahkah kita melihat mereka menari poco-poco atau melakukan tarian ala hindustan dengan pakaian tersebut?

Ada yang memikirkannya lucu, tetapi itulah yang dilakukan kira-kira 70 pegawai polis dari balai polis di seluruh negeri Melaka yang mengambil bahagian dalam acara tersebut di sini malam tadi.
Persembahan julung kali diadakan di Banda Hilir itu bertujuan merapatkan hubungan anggota polis dengan para pelancong.



Timbalan Ketua Polis Negeri, SAC II Kamal Pasha Jamal berkata, pendekatan baru tersebut dilakukan supaya pelancong asing berasa selesa dan selamat ketika berkunjung ke negeri ini.



“Cara begini menunjukkan kesediaan kami yang mesra rakyat sungguhpun kami bertugas untuk menjamin keselamatan pengunjung,” katanya kepada pemberita di Dataran Nyiru, Banda Hilir di sini.
Dalam pada itu, beliau berkata, pengiktirafan Melaka sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 7 Julai lalu akan menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini.



Pengiktirafan itu, katanya, memerlukan komitmen yang lebih tinggi di kalangan anggota polis untuk mengawal keselamatan pelancong.



Rata-rata pelancong yang ditemui menyifatkan usaha yang dilakukan oleh polis berkenaan adalah unik.
Pelancong dari Perancis, Nicole Mitchatid, 55, berkata, dia terkejut melihat barisan pegawai polis berpakaian seragam sedang menari ketika melalui dataran tersebut.



“Saya tidak pernah melihat situasi begini di tempat saya. Walaupun lucu melihatnya, saya rasa ia sungguh mengagumkan dan tidak sangka mereka juga pandai menari,” katanya.



Warga Republik Czech, Klara Matuchova, 31, pula berasa teruja melihat telatah para pegawai polis Malaysia dan merasakan ia satu acara unik yang berjaya menambat hati pengunjung.



Pendapat sama disokong oleh rakannya, Zdemek Pitrocha, 33, yang berpendapat aktiviti tersebut berjaya mewujudkan kemesraan antara pengunjung dengan pegawai polis.



“Ia secara tidak langsung memberi peluang kepada kami bergambar sebagai tanda kenang-kenangan dan berasa selamat berada di Melaka,” katanya.

Memang Payah!


BismilLah, walhamdulilLah, wassolatu wassalamu ‘ala Saiyyidina Rasulillah wa ‘ala alihi wa ashabihi waman walahu, amma ba’du;

Salam ISLAH ,

Ketahuilah bahawasanya Islam tidak diturunkan oleh Allah SWT untuk disesuaikan dengan kehendak hati manusia. Sebaliknya manusialah yang mesti menurut kehendak Islam dan menyesuaikan diri dengan ajaran Islam. Allah SWT menjanjikan kejayaan, ketenangan hati dan kebahagiaan bagi mereka yang tekun menurut ajaran Islam dan melaksanakan tuntutannya di dalam kehidupan.

MENYANGGAH NAFSU

Ketika Allah SWT memerintahkan Jibril as melihat syurga, Allah SWT bertanya kepada Jibril, “ Bagaimanakah pandangan engkau wahai Jibril setelah engkau melihat syurga ciptaanKu?”. Maka dijawab oleh Jibril as, “ Maha suciMu ya Allah, bahawa pasti setiap hambaMu yang melihat syurga berkeinginan agar dimasukkan ke dalamnya, namun aku khuatir tiada seorang pun yang akan dapat masuk ke dalamnya”. Ini adalah kerana syurga itu dikelilingi oleh perkara-perkara yang tidak disukai nafsu. Lalu Jibril diperintahkan pula supaya Jibril melihat neraka, lalu berkata Jibril as, “ Maha suciMu ya Allah, aku khuatir tidak ada seorang pun dari hambaMu yang akan terselamat dari neraka”. Ini adalah lantaran neraka yang dipagari Allah dengan perkara-perkara yang amat disukai oleh nafsu.

Susahnya menyanggah kehendak nafsu adalah kerana ia menawarkan keseronokan dan kenikmatan. Senang dan selesanya menurut nafsu kerana ia amat secocok dengan kemahuan syahawat. Memang perit bila kita terpaksa bermujahadah melawan kehendak nafsu seperti pahitnya jadam, namun hasilnya adalah terlebih manis dari madu.

Daripada duduk di medan perjuangan adalah terlebih baik jauhkan diri dari jamaah dan perjuangan. Medan perjuangan penuh risiko dan onak duri, sedangkan duduk jauh dari medan sememangnya senang lenang tanpa ujian dan kesusahan. Tak perlu berjaga malam untuk hadir mesyuarat parti dan jamaah. Tak perlu bersengkang mata kerana perlu menyiapkan kertas kerja program jamaah yang langsung tiada imbuhan wang ringgit jauh sekali ‘claim’. Yang lebih musatahak, anda boleh terus pertahankan kegoan yang selama ini diperjuangkan habis-habisan. Anda ada ‘degree’ , mana boleh dengar arahan ketua cawangan yang hanya setakat SRP apatah lagi diarahkan untuk laksanakan tugasan remeh temeh yang tidak sesuai dengan kesarjanaan yang anda miliki. Lebih-lebih lagi, anda tidak perlu taat dan ikut arahan naqib kampung yang berkain pelikat kesana kemari. Memalukan!.

Lebih baik terlibat dengan NGO kata nafsu dari terlibat dengan parti. Ini lebih selamat dan lebih selesa. Pekerjaan dan jawatan akan terselamat dan dalam masa yang sama boleh terus menyumbang kepada jamaah.

Bila perkara ini kita muhasabahkan, nescaya individu yang memberikan tazkirah tentang hal ini akan dicemuh dan dicela. Teruskan celaan dan cemuhan kalian. Katakanlah bahawa orang ini jenis orang yang perasan bahawa tarbiyah dialah yang hebat, tarbiyah orang lain tidak betul. Macam kerja dia saja yang betul. Inilah orang yang suka tuduh orang lain tiada tarbiyah dan macam-macam lagi. Tazkirah sememangnya terasa pedas dan pedih untuk yang punya hati hidup namun ia takkan membekas untuk yang sinar mataharipun takkan dapat menerangi kembali hatinya yang tertutup dan lebih malang, hati yang ditutup oleh Allah SWT.

Kita kemukakan firman Allah di bawah sebagai muhasabah bersama, moga Allah menolong kita untuk kita bekerja menolong agamaNya :

“Orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, tidak akan meminta izin kepadamu untuk tidak ikut berjihad dengan harta dan diri mereka. dan Allah mengetahui orang-orang yang bertakwa.(44) Sesungguhnya yang akan meminta izin kepadamu, hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan hari Kemudian, dan hati mereka ragu-ragu, Karena itu mereka selalu bimbang dalam keraguannya.(45)” surah at Taubah : 44-45

Benarlah ucapan Ibnu Mas'ud rdh " Sejahat-jahat tuhan yang disembah di atas muka bumi adalah hawa nafsu".