"Ya Hayyu Ya Qayyum, Wahai Yang Maha Hidup Yang Maha Memelihara,
Ya Hayyu Ya Qayyum, Wahai Yang Maha Hidup Yang Maha Memelihara,
Ya Hayyu Ya Qayyum, Wahai Yang Maha Hidup Yang Maha Memelihara,
Turunkan para Malaikatmu untuk membantu para Mujahidin di Gaza dan Seluruh Palestina,
Sebagaimana telah kau turunkan ribuan Malaikat di Badar, di Khandaq dan di Tabuk.
Ya Hayyu Ya Qayyum, Wahai Yang Maha Hidup Yang Maha Memelihara,
Ringankanlah penderitaan saudara-saudara kami di Gaza,
Kuatkanlah terus generasi baru dari antara anak-anak mereka,
Menjadi generasi yang akan membawa kami pada kejayaan Islam lewat Jihad fii Sabiilillah.
Ya Hayyu Ya Qayyum, Wahai Yang Maha Hidup Yang Maha Memelihara,
Janganlah Kau biarkan kami termasuk orang-orang yang berpangku tangan melihat kezaliman atas saudara-saudara kami.
Daftarkan nama-nama kami dalam daftar panjang para Mujahidin Mukhlisin dan para Syuhada yang menjemput Syurga-Mu.
Jangan Kau biarkan dunia yang hina ini melingkupi kehidupan kami sampai lupa pada Negeri Akhirat-Mu.
Ya Hayyu Ya Qayyum, Wahai Yang Maha Hidup Yang Maha Memelihara,
Anugerahkan kepada kami kesabaran memegang teguh agama-Mu dan wafatkan kami dalam keadaan Muslim."
Wednesday, September 16, 2009
Ya Hayyu Ya Qayyum - Doa Untuk Palestin
Fahami Kasih Sayang Allah
Salam ukhuwwah kerana Allah,
Kasih sayang Allah SWT tiada tolak bandingnya. Kasih Allah pasti membawa kepada kejayaan dan syurga berbanding kasih saying manusia yang tidak semestinya membawa kepada kejayaan dan kebahagiaan. Bahkan kasih saying yang tidak bertempat akan membawa kehancuran dan kebinasaan.
Bila seorang ayah atau ibu mengasihi anaknya dengan cara yang salah maka akan terjadilah seperti yang dipaparkan oleh Tan Sri P Ramlee di dalam filem ‘Anakku Sazali’. Sehingga untuk menegur kesalahan pun tidak tahu bagaimana untuk menyusun ayat agar tidak terguris perasaan si anak, maka inilah sebab kepada kehancuran anak itu. Bila tanda kasih adalah dengan mencurahkan kekayaan dan kemewahan serta menunaikan segala kehendak si anak, maka akan lahirlah anak yang sombong dan bongkak.
Allah SWT mencintai hambaNya dengan pelbagai cara yang sangat mengandungi unsur tarbiyyah dan didikan. Tidak ada makhluk yang paling dicintai oleh Allah SWT selain daripada Saiyyiduna Rasulullah SAW. Namun Baginda tidak pernah sunyi dari ujian, kepayahan dalam dakwah serta kesusahan dalam kehidupan. Adakah itu semua bermakna Allah SWT tidak mengasihi Baginda SAW?. Jawabnya tidak sama sekali tidak!. Rasulullah SAW pernah ditawarkan gunung ganang Makkan ditukar menjadi emas lalu diberikan kepada Baginda SAW. Namun Baginda SAW telah menolak tawaran tersebut dengan penuh adab serta dengan ilham dari Allah SWT. Sebaliknya Baginda SAW memohon supaya dijadikan kenyang sehari dan lapar sehari. Semuanya itu adalah kerana Baginda mahu menjadi hamba yang bersyukur.
Dalam masa yang sama, Allah SWT mendidik sekalian hambaNya bahawa kesenangan hidup dan kekayaan harta bukanlah segala-galanya, ia bukan sebab kepada kebahagiaan dan ketenangan jiwa. Berapa ramai yang berputus asa dengan kehidupan dunia dan yang penuh tipu daya ini dan ramai jua yang telah tenggelam dengan mabuk dunia hingga hilang jatidiri dan rosaklah kejernihan hati.
Di dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW telah mengingatkan kita bahawasanya Allah SWT apabila mengasihi hambanya; maka Allah SWT akan menguji hambaNya itu dengan ujian serta musibah. Lalu sesiapa yang redha dan sabar, ia akan terpilih sebagai hamba yang sabar dan bersyukur di sisi Allah SWT. Terangkatlah ia di sisi Rabbul ‘Alamin sebagai hamba yang muqarrabin dan dekat denganNya lalu layak dicurahkan rahmat dan keampunan dariNya.
Sabar dan redha dengan ujian Allah jua menjadi sebab kepada terhapusnya dosa dan terangkatnya kedudukan dan darjat di sisi Allah. Semakina berat ujian maka semakin besarlah pahalanya dan semakin cerah peluang untuk dekat dengan Allah SWT. Rugilah mereka yang tidak diuji. Lebih besar kerugian mereka yang tidak sabar dengan ujian. Dan, siapa kita untuk tidak diuji oleh Allah SWT.
Wednesday, September 9, 2009
Sangat Sedikit Yang Memahami
Salam Islah,
Memperbaiki diri adalah asas kebaikan yang tiada tolak bandingnya. Rasulullah SAW ketika ditanya tentang siapakah orang yang bijak, maka Baginda menegaskan bahawa mereka adalah orang yang senantiasa memuhasabah diri serta menahannya dari menjadi pengikut kejahatan nafsu.
Imam Ibn ‘Athoillah di dalam Hikamnya telah menyebutkan bahawasanya cinta dunia adalah sebab manusia itu tidak sampai kepada maqam salihin yang mengabdikan dirinya hanya untuk Allah SWT. Kekeliruan terhadap hakikat kehidupan dunia juga adalah sebab mengapa tidak berlakunya peningkatan di dalam soal ketaatan dan ibadah.
Para sahabah radhiyallahu ‘anhum adalah qudwah unggul buat kita semua. Rasulullah SAW memeberi jaminan bahawa sesiapa sahaja di kalangan sahabat Baginda yang dijadikan qudwah pasti kita akan mendapat petunjuk. Lihatlah bagaimana para sahabah yang keluar ke medan Badar di bulan Ramadhan, walaupun menyedari bilangan mereka sedikit, persenjataan mereka tidak cukup serta keluar dalam keadaan lemah dan letih kerana menjalani ibadah puasa buat kali pertama, namu kerana mata hari yang cerah dan jernih serta tidak terikat dengan belenggu nafsu menjadikan mereka yakin dengan kemenangan dan pertolongan Allah. Lalu Allah membuktikan penjagaanNya serta pemeliharaanNya kepada hamba-hambaNya yang muttaqin.
BIJAK AMBIL PELUANG
Pakar-pakar motivasi mengatakan bahawa orang yang bijak adalah orang yang pandai mencari dan mengambil peluang. Mengintai segala peluang yang ada serta segera memanfaatkannya untuk Berjaya dalam hidup adalah sesuatu yang sangat digalakkan. Ramai yang telah berjaya dan menjadi kaya raya dengan kaedah ini. Yang paling bijak adalah Yahudi seluruh dunia. Dicelah-celah kelemahan umat Islam serta hancurnya kesatuan ummah ini, mereka segera mengambil peluang untuk memperkukuhkan negara haram mereka. Amerika pula mengambil peluang dari peristiwa letupan WTC untuk memerangi Islam atas nama ‘Perang Terhadap Keganasan’.
Saya kira, tidak ada kebodohan yang paling menyedihkan selain dari tidak mengambil peluang dengan kurniaan Ramadhan dari Allah yang Amat Pengasih dan Penyayang. Bak kata Ustaz Hasrizal Jamil, pasaraya sedang mengadakan jualan beli 1 barang dapat free 10 barang, kita duduk di rumah buat tak tahu, pekakkan telinga serta butakan mata, tiada perasaan dan ‘mati pucuk iman’.
INGAT MATI ~ SUMBER MOTIVASI IBADAH DAN PERJUANGAN
Imam Qurthubi menyebut dalam Tazkirahnya bahawa Ad Daqqaq rahimahullah telah menyebutkan 3 faedah mengingati mati. Pertama ; lekas bertaubat. Kedua; qana’ah dalam kehidupan dunia. Ketiga; bersemangat dalam ibadah.
Imam Qurthubi juga mengingatkan bahawa melupai mati itu adalah musibah yang terlebih besar dari kematian itu sendiri. Manusia melupakan mati dengan tidak mengingati mati walau sedikitpun, tidak pernah memikirkan kematian serta tidak beramal untuk berhadapan dengan saat kematiannya.
Jika kita selalu ingat mati dan merenung kematian yang kita bakal hadapi, nescaya ia akan menjadi motivasi terbaik dalam melakukan ‘pecutan’ dalam ibadah serta perjuangan. Mujahadah dalam ibadah akan menjadi bekalan paling penting ketika mati. Segala ujian, fitnah, mehnah, caci maki serta celaan manusia di sepanjang liku-liku perjalanan jihad serta perjuangan turut akan menjadi bekalan selepas mati. Semakin besar ujian dalam perjuangan , semakin besar janji pahalanya di sisi Allah SWT.
Sangat sedikit yang bersyukur. Sangat sedikit yang memahami. Sayang seribu kali sayang !
Tuesday, September 8, 2009
Allah Memerhati & Menghitung
Salam ukhuwwah fillah buat saudara-saudara seaqidahku sekalian,
Ramadhan mendidik kita menjadi hamba Allah yang hakiki. Antara rasa hati seorang hamba ialah pemerhatian dan intipan Allah SWT ke atas setiap gerak gerinya. Dalam kata lain, ia senantiasa merasai kebersamaan Allah di dalam setiap detik kehidupan. Tidak ada sesaat pun yang terlepas dari pandangan Allah SWT. Ia adalah ibarat seperti kita yang senantiasa di pantau oleh polis atau SB. Walaupun kita tidak buat sebarang kesalahan, namun kita pasti tertanya-tanya dan gedebar perut bila SB selalu telefon kita, kereta polis pagi petang ada di hadapan rumah kita dan selalu mengekori kita. Kita dengan sendirinya akan menjaga tingkah laku dan memerhatikan dengan sungguh-sungguh segala tindakan kita agar tidak melanggar undang-undang. Saudaraku, pemerhatian Allah jauh lebih halus dan lebih detail dari pemerhatian Polis atau SB.
Polis atau SB akan tidur sedang Allah tidak pernah tidur dan suci dari semua sifat makhluk. Polis akan berhenti rehat untuk makan minum dan sebagainya sedang Allah tidak makan, tidak minum dan tidak perlukan rehat macam kita. Pemerhatian Allah tiada batasan sedangkan pemerhatian Polis ada batas dan hadnya. Allah SWT mengetahui segala keadaan kita bahkan mengetahui apa yang kita bisikkan di hati sekalipun.
Justeru berwaspadalah dengan segala tindakan dan pertuturan bahkan gerak hati sepanjang kehidupan berbaki di dunia ini, kerana semuanya dalam pemerhatian Allah SWT.
Satu lagi, di samping merasai pemerhatian Allah kita juga harus merasakan setiap yang diperhatikan Allah SWT tidak juga akan terlepas dari perhitungan. Tidak ada yang kecil mahupun yang besar melainkan semuanya dalam hitungan Allah SWT sebagaimana yang telah Allah peringatkan di dalam surah az Zalzalah bahawa yang baik mahupun yang jahat walau sebesar atom sekalipun, pasti akan diperlihatkan dan dibalas di akhirat kelak.
Meyakini perhitungan Allah SWT ini adalah merupakan penawar jiwa bagi setiap Mukmin. Yakinlah mereka bahawa ketaatan dan kemaksiatan akan dib alas. Imam al Ghazali ‘alaihi rahmatullah menyebutkan di dalam Minhajul ‘Abidin bahawa apabila seorang hamba ingin melakukan dosa maka hendaklah ia segera mengingati akibat dari dosa tersebut iaitu neraka Allah, maka segera ia tertahan dari bermaksiat kepada Allah SWT.
Buat para da’ie dan pejuang agama serta penggerak amal islami, yakinlah bahawa segala kesusahan dan kepayahan demi perjuangan menegakkan syari’atullah dalam diri dan negara pasti diperhatikan dan dihitung dengan seadil-adilnya oleh Allah SWT yang Maha Melihat dan Maha Mengetahui. Di dalam kitab-kita sahih Hadis Rasulullah SAW, direkodkan bahawa debu-debu yang melekat di betis para mujahid akan menyebabkan betis tersebut tidak akan dimamah api neraka Allah SWT.
Yakinilah jua bahawa pengkhianatan pemerintah thaghut yang zalim serta munafiqin pengikut mereka sepanjang zaman pasti di dalam pemerhatian Allah serta perhitunganNya dan akan dibalas di akhirat kelak dengan seadil-adilnya di hadapan mahkamah Allah SWT.
Akhirnya, Rasulullah SAW mengingatkan kita bahawa HATI adalah tempat jatuhnya pandangan Allah SWT. Perbaikilah hati dengan mujahadah yang bersungguh-sungguh. Hiasilah ia dengan ikhlas dan taqwa. Isilah ia dengan ilmu dan makrifah. Nescaya ia akan jernih, bening, tenang serta bahagia menantikan janji-jani Rabnya tertunai di akhirat kelak.
Friday, September 4, 2009
Hidupkan Kefardhuan Jihad Di Tengah Ramadhan
Assalamu’alaikum warahmatullah,
Adalah menjadi harapan dan setinggi-tinggi cita-cita seorang Mukmin itu agar amalnya diterima oleh Allah SWT. Rasa takut amalan tidak diterima Allah SWT menyebabkan berlakunya muhasabah terhadap setiap amalan dan berlaku juga peningkatan serta penambahbaikan terhadap ibadah dan ama soleh. Dalam masa yang sama, harapan agar Allah SWT menerima segala amal tidak pernah kunjung padam bahkan semakin bertambah sangka baik kita dengan Allah bahawa ia pasti akan membalas segala kebaikan yang kita lakukan dengan syarat terpeliharanya keikhlasan serta dilakukan sebagaimana yang dikehendaki syara’.
Ramadhan adalan bulan pembersihan. Ia membersih hati dan jiwa, membersihkan tubuh dari penyakit, membersihkan hati dari penguasaan nafsu syahwat dan yang paling utama, Ramadhan membersihkan kita dari dosa.
Ramadhan adalah bulan maghfirah. Setiap kebaikan yang dilakukan di bulan ini dijanjikan keampunan dan kelepasan dari api neraka. Tidak ada waktu dan saat seumpama Ramadhan yang dapat menandingi kehebatannya dari sudut janji gandaan pahala serta keampunan dari Allah SWT.
Al Imam al Bukhari rahimahullah telah meriwayatkan sabdaan Nabi SAW ;
“Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan keyakinan (terhadap janji Allah SWT) maka diampunkan dosa-dosa yang dilakukannya”
Imam Ibn Khuzaimah dalam Sahihnya telah meriwayatkan hadis yang di sampaikan oleh Saiyyiduna Salman al Farisi bahawa Nabi SAW bersabda;
“Barangsia yang memberikan jamuan berbuka kepada orang yang berpuasa padanya( di dalam bulan Ramadhan) maka diampunkan dosa-dosanya serta dibebaskan batang lehernya dari neraka”
Bahkan lebih banyak lagi hadis yang menegaskan hal yang sama. Maka sabitlah keampunan Allah bagi mereka yang berpuasa serta bersungguh-sungguh beribadah di dalam bulan penuh berkah ini.
Para Sahabah yang mendapat tarbiyah lansung dari Rasulullah SAW adalah generasi yang sangat menjiwai perkara ini. Jika perkara-perkara sunat yang dilakukan di bulan Ramadhan dijanjikan keampunan oleh Allah SWT, maka sudah tentu perkara-perkara wajib akan mendapat habuan yang lebih besar dan hebat dari Allah. Kerana itulah mereka keluar ke medan jihad di bulan Ramadhan walaupun dalam keadaan penat, lapar, dahaga serta penuh dengan kekurangan serta jumlah bilangan yang sedikit.
Namun kerana ingin meraih redha dan maghfirah dari Allah yang Rahman dan Rahim, mereka melangkah ke medan jihad memerangi musuh Allah SWT seperti yang berlaku di medan Badr al Kubra. Ia berlaku ketika kefardhuan puasa kali pertama diperintahkan oleh Allah SWT pada tahun ke 2 Hijrah. Dengan jumlah yang sedikit berbanding musuh yang tiga kali ganda lebih ramai serta lengkap bersenjata, mereka mendepani musuh dengan tawakkal yang tinggi serta bercita-cita agar dipilih sebagai syahid.
Ini membuktikan bahawa, Ramadhan bukannya bulan untuk kita berehat dari jihad dan perjuangan. Beruntunglah mereka yang terus menghidupkan kefardhuan jihad ditengah umat walau di bulan Ramadhan sekalipun.