Tuesday, March 30, 2010

Tujuan Al Quran Diturunkan

Al-Quran ialah kalam Allah yang bermukjizat yang diturunkan kepada nabi s.a.w. yang ditulis di dalam mushaf yang dipindah dengan tawatur dan menjadi ibadat membacanya.

Penurunan Al-Quran mengandungi tujuan-tujuan (maqasid al-Quran) yang tertentu.



Pertama, tujuan al-Quran ialah membetulkan akidah, mensabitkan ketuhanan Allah yang Maha Esa, tugas nabi-nabi dan penyataan kewujudan hari akhirat. Al-Quran mengambarkan bahawa syirik merupakan satu perbuatan dosa yang besar dan tidak diampuni oleh Allah. Kesemua para nabi menyeru manusia kepada Allah yang Maha Esa. Firman Allah yang bermaksud : “ Dan sesunguhnya kami telah mengutus rasul pada setiap umat yang menyeru ; “sembahlah Allah saja dan menjauhi Thaghut itu.” (al-Nahl, ayat 36) Di samping itu, al-Quran menjelaskan keperluan manusia kepada nabi-nabi dan risalahnya, menerangkan tugas para nabi dan menolak dakwaan dan tanggapan yang salah mengenai nabi. Al-Quran juga menjelaskan kewujudan hari akhirat itu benar dan pasti setiap manusia akan menghadapinya.



Kedua, tujuan al-Quran ialah pengisytiharan terhadap kemuliaan manusia dan hak-haknya. Al-Quran menegaskan bahawa manusia adalah makhluk yang mulia yang dijadikan oleh Allah dengan sebaik-baik kejadian. Oleh sebab itu, al-Quran melarang sebahagian golongan pelampau yang mengharamkan perkara-perkara baik dan perhiasan seperti yang diungkapkan oleh Allah dalam surah al-Araaf, ayat 32. Al-Quran juga memperakui hak-hak asasi manusia seperti kebebasan bersuara, berfikir, beriktikad, tempat tinggal dan mencari reziki.



Ketiga, tujuan al-Quran ialah memberitahu bahawa manusia diciptakan adalah untuk beribadat kepada Allah. Allah yang menciptakan manusia, memberi reziki, mengurniakan pelbagai nikmat yang tidak dapat dihitung. Oleh itu, menjadi hak Allah untuk manusia bersyukur dan bertakwa kepadanya. Orang yang bertakwa akan mendapat keberkatan, reziki yang murah, terpelihara dari gangguan musuh, sentiasa mendapat petunjuk dari Allah dan berjaya dari azab akhirat.



Keempat, tujuan al-Quran adalah untuk menyucikan jiwa manusia (tazkiyyah al-Nafs). Al-Quran sentiasa menyeru manusia supaya membersihkan jiwanya dengan melakukan kebaikan. Beruntunglah orang yang dapat memimpin jiwanya ke arah keredhaan Allah. Secara fitrahnya, jiwa boleh terjerumus ke lembah kehinaan apabila ia tidak dididik dan jiwa boleh mencapai tahap termulia apabila ia dibersihkan. Firman Allah yang bermaksud : “ Dan jiwa serta penyempurnaan ciptaanya, maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu jalan kefasikan dan ketakwaannya. Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya.” (al-Syams, ayat 7-10)



Kelima, tujuan al-Quran ialah membina keluarga yang soleh yang menjadi teras kepada kekuatan umat. Al-Quran menggalakkan umatnya supaya berkahwin kerana perkahwinan itu dapat melahirkan ketenangan, kebahagiaan dan rahmat. Al-Quran memerangi golongan yang menghalalkan homoseksual dan lesbian kerana ia melanggari fitrah manusia. Di samping itu, Islam juga memerangi golongan yang mengharamkan perkahwinan atas alasan bahawa perkahwinan adalah perbuatan keji daripada amalan syaitan. Al-Quran juga memberi kedudukan yang mulia kepada wanita dengan mengangkat martabat mereka menyamai kaum lelaki dari segi amalan dan ganjaran pahala.



Keenam, tujuan al-Quran adalah untuk membina umat yang mempunyai kemuliaan dan menjadi saksi atas umat yang lain. Umat yang mengasaskan kehidupannya berteraskan kepada akidah, syariat dan akhlak Islam sekaligus membawa rahmat kepada manusia sejagat. Firman Allah yang bermaksud : “Dan tidak kami utuskan kamu (Muhammad) kecuali untuk membawa rahmat bagi seluruh alam.” (al-Anbiya’, ayat 107)



Antara keistimewaan umat Islam ialah ia adalah umat rabbani iaitu umat yang hidup kerana mencari keredhaan Allah, beribadat kerana Allah dan menjalankan manhaj Allah di atas muka bumi ini. Di samping itu, ia juga adalah umat sederhana dan seimbang, umat yang sentiasa berdakwah ke arah kebaikan dan umat yang sukakan kesatuan dan bersatu padu. Inilah empat ciri umat Islam berbanding dengan umat yang lain. Ketujuh, al-Quran menyeru kepada aspek keinsanan yang tolong menolong antara sesama manusia. Umat Islam bukan umat yang menyendiri tanpa menghiraukan bangsa-bangsa yang lain. Oleh itu, Islam menghormati kebebasan beragama dan perbezaan pendapat.Umat Islam berperanan untuk menyeru manusia ke arah hidayah Allah, keimanan, kemakmuran dan kebahagiaan yang hakiki. Dengan sebab demikian, Allah memuji umat ini kerana mereka menjalankan amar makruf wan nahi annil mungkar. Inilah tujuh perkara antara yang digariskan oleh para ulamak sebagai tujuan al-Quran diturunkan kepada manusia.

Monday, March 29, 2010

Tak Kenal Tak Cinta-Keistimewaan Al Quran

Allah telah memuliakan kita kaum muslimin dengan menurunkan sebaik-baik kitab iaitu al-Quran sepertimana Allah memuliakan kita dengan mengutuskan sebaik-baik rasul. Kaum muslimin adalah satu-satunya umat yang mempunyai perutusan dari langit yang terpelihara daripada penyelewangan dan kebatilan. Perkara ini disebabkan kerana Allah sendiri yang memeliharanya. Firman Allah yang bermaksud : “Sesungguhnya Kami yang menurunkan al-Quran dan sesungguhnya kami yang memeliharanya.” (al-Hajr, ayat 9)



Al-Quran adalah cahaya yang menerangi hati-hati manusia ke arah jalan kebaikan dan kebajikan. Antara ciri-ciri dan keistimewaan al-Quran adalah pertama, ia merupakan kitab ilahi iaitu datangnya dari Allah yang tidak ada keraguan padanya. Allah menurunkan al-Quran melalui Malaikat Jibrail. Firman Allah yang bermaksud : “ Suatu kitab yang ayat-ayatnya disusun dengan rapi serta dijelaskan secara teperinci yang diturunkan di sisi Allah Yang Maha Bijaksana lagi maha Mengetahui.” (Hud, ayat 1)



Kedua ialah al-Quran merupakan kitab yang terpelihara sepertimana jaminan yang telah diberikan oleh Allah untuk memeliharanya. Oleh demikian, kita dapati begitu ramai orang yang menghafal al-Quran dengan baik sejak kanak-kanak lagi dan Allah memudahkan mereka untuk mengingatinya. Pemeliharaan tersebut juga didapati dengan penulisan al-Quran yang rapi oleh para sahabat selepas ayat-ayat tersebut diturunkan dan dibukukan pada zaman khulafa’ al-Rasyidin.



Ketiga,al-Quran merupakan kitab mukjizat yang terbesar dikurniakan kepada nabi Muhammad yang mencabar kekuatan dan pemikiran manusia. Manusia tidak mampu untuk menandingi al-Quran sama ada dari segi bahasa, makna dan cerita-cerita yang terkandung di dalamnya. Firman Allah yang bermaksud : “ Dan jika kamu tetap ragu-ragu tentang apa yang kami wahyukan kepada hamba kami (Muhammad), maka datanglah satu surah sepertinya dan ajaklah penolong-penolong kamu selain Allah jika kamu benar-benar orang yang benar.” (al-Baqarah, ayat 23-24)



Keempat, al-Quran merupakan kitab yang mudah difahami dan jelas maksudnya. Ia bukan kitab falsafah yang mengandungi teori-teori yang memeningkan. Ahli falsafah menyebutkan bahawa falsafah itu apabila diterangkan dan tidak difahami itulah dinamakan falsafah. Al-Quran diturunkan kepada manusia untuk difahami dan sasaran adalah untuk manusia sejagat. Firman Allah yang bermaksud : “ dan sesungguhnya kami mempermudahkan al-Quran itu untuk diingati, maka adakah ada orang mahu mengambil pengajaran.” (al-Qamar, ayat 17)



Kelima, al-Quran merupakan kitab agama secara keseluruhannya yang mengandung aspek akidah, ibadah, akhlak dan perundangan. Sesiapa yang ingin memahami akidah yang betul dan suci, maka hendaklah ia menggali dari al-Quran. Al-Quran memberi dalil-dalil yang jelas tentang keesaan Allah. Firman Allah yang bermaksud : “ Sekiranya ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan selain Allah, tentulah kedua-duanya telah rosak binasa. Maka Maha Suci Allah yang mempunyai Arash daripada apa yang mereka sifatkan.” ( al-Anbiya’, ayat 22) Begitu juga al-Quran mengandungi syariat dan peraturan untuk kehidupan manusia. Syariat ini meliputi aspek individu, keluarga, masyarakat, ekonomi, politik dan hubungan antarabangsa. Di samping itu, al-Quran menegaskan pembinaan akhlak melalui penghayatan sifat sabar, gigih berusaha, tekun, bertawakkal dan reda dengan ketentuan ilahi.



Keenam, al-Quran merupakan kitab sepanjang zaman, bukan kitab untuk zaman tertentu atau untuk generasi tertentu. Ini bermakna bahawa al-Quran merupakan kitab yang kekal abadi hingga hari Qiamat. Oleh itu, tidak harus kaum muslimin mengatakan bahawa al-Quran itu sesuai untuk zaman nabi sahaja atau zaman para sahabat dan tidak sesuai lagi pada zaman moden ini.



Ketujuh, al-Quran merupakan kitab kemanusiaan dan kehidupan. Oleh sebab itu, Allah menjadikan al-Quran sebagai kitab petunjuk kepada manusia dan alam. Firman Allah yang bermaksud : “ Pada bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk kepada manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara hak dan batil).” (al-Baqarah, ayat 185)



Inilah tujuh perkara ciri-ciri keistimewaan al-Quran yang membezakan kitab-kitab yang lain. Al-Quran diturunkan untuk umat Islam mengimani dengan penuh keyakinan akan kebenarannya. Allah menyebutkan bahawa sifat mukmin sejati adalah mereka yang tidak sama sekali ragu tentang kandungan al-Quran. Nabi Muhammad apabila tiba bulan Ramadhan baginda akan bertadarus bersama Jibrail dan rumah yang sentiasa diterangi dengan bacaan al-Quran akan dilimpahi rahmat dan berkat. Penurunan al-Quran merupakan nikmat yang terbesar dikurniakan Allah kepada umat Islam. Oleh itu, kita harus bersyukur dengan membuktikannya melalui taat segala perintah al-Quran dan mengamalkan ajaran-ajaran yang terkandung di dalamnya dan menjadikan kita sebagai ahli al-Quran., bukan sahaja dalam bulan Ramadhan tetapi juga dalam bulan-bulan yang lain.

Sunday, March 28, 2010

Kisah Seorang Pemuda & Si Alim

Pada zaman dahulu tinggal seorang alim.Pada suatu hari,si alim tadi telah didatangi oleh seorang pemuda.Si pemuda tadi berkata,'Wahai tuan,saya ialah seorang pemuda yg jahil.Saya tidak pernah bersolat.Saya tidak pernah berbuat kebaikan.Saya seorang yg jahat.Saya selalu buat maksiat.Saya selalu langgar perintah Allah.Saya selalu berjudi.Saya selalu minum arak.Tetapi,saya mahu berubah.Izinkan saya menjadi pengikut tuan.'

Si alim tadi berkata sambil tersenyum,'Baiklah.Aku tersangat berbesar hati jika kamu mahu berubah dan insaf.Aku akan bantu kau'.

'Tetapi,saya ada satu masalah tuan',balas pemuda tadi perlahan.'Saya tidak mampu meninggalkan ketagihan saya kepada arak.'

Orang alim itu berkata,'Oh,tidak mengapa wahai anak muda.Perkara ketagihan itu bukan masalah.Kesanggupan kamu untuk cuba berubah itu sudahpun merupakan satu rahmat yang besar.Mulai hari ini,kamu bawa semua barang milikmu ke pondok kecilku.Aku mahu kau tinggal bersama-samaku'.

Sejak hari itu,pemuda kaki minum tadi tinggal bersama-sama orang alim itu.Dia belajar agama dengan si alim tadi.Namun,dia masih juga tidak mampu melepaskan keinginannya yg kuat kepada arak itu.Lalu pada suatu hari,dia meminta kebenaran utk minum arak dengan org alim itu.

'Wahai guru,aku sudah mencuba utk meninggalkan arak ini.Namun keinginanku membuak-buak menyebabkan aku tidak mampu menahan keiginanku ini.Izinkanlah aku untuk minum sebotol arak',pinta pemuda itu dgn bersungguh-sungguh.

'Tahukah kamu bahawa minum arak itu berdosa besar?',tanya si alim itu dgn lembut.

'Ya.aku tahu.Tapi aku benar-benar tidak mampu mengawal ketagihanku.Aku bimbang perkara yg lebih buruk akan berlaku jika aku tidak dapat minum'.

'Baiklah,jika begitu kau boleh minum tetapi kau mestilah minum di dalam tandas tanpa pengetahuan orang lain',jawab orang alim itu dengan meletakkan syarat

Maka,si pemuda tadipun pergilah ke tandas untuk minum arak itu.Setiap kali keinginannya memuncak,dia akan minum di dalam tandas tanpa pengetahuan sesiapapun.Suatu hari,semasa dia sedang menikmati arak itu,tiba-tiba dia tersedar.Sudah kerap sungguh dia minum arak secara sembunyi di dalam tandas.Dia terfikir betapa hinanya dirinya itu.Dia sedang menikmati minuman yg hina di tempat yg hina!Dia rasa malu dan menyesal lalu dia mencampakkan botol arak itu tika itu juga.

Sejak dari itu,dia sudah tidak lagi minum arak.Dia benar-benar sudah insaf dan bertaubat.

Thursday, March 11, 2010

Iman Semut VS Iman Manusia


Di zaman Nabi Allah Sulaiman berlaku satu peristiwa, apabila Nabi Allah Sulaiman nampak seekor semut melata di atas batu; lantas Nabi Allah Sulaiman merasa hairan bagaimana semut ini hendak hidup di atas batu yang kering di tengah-tengah padang pasir yang tandus.

Nabi Allah Sulaiman pun bertanya kepada semut: " Wahai semut apakah engkau yakin ada makanan cukup untuk kamu".

Semut pun menjawab: "Rezeki di tangan ALLAH, aku percaya rezeki di tangan ALLAH, aku yakin di atas batu kering di padang pasir yang tandus ini ada rezeki untuk ku". Lantas Nabi Allah Sulaiman pun bertanya: " Wahai semut, berapa banyakkah engkau makan? Apakah yang engkau gemar makan? Dan banyak mana engkau makan dalam sebulan?"
 
Jawab semut: "Aku makan hanya sekadar sebiji gandum sebulan". Nabi Allah Sulaiman pun mencadangkan: "Kalau kamu makan hanya sebiji gandum sebulan tak payah kamu melata di atas batu, aku boleh tolong". Nabi Allah Sulaiman pun mengambil satu bekas, dia angkat semut itu dan dimasukkan ke dalam bekas; kemudian Nabi ambil gandum sebiji, dibubuh dalam bekas dan tutup bekas itu. Kemudian Nabi tinggal semut di dalam bekas dengan sebiji gandum selama satu bulan.
 
Bila cukup satu bulan Nabi Allah Sulaiman lihat gandum sebiji tadi hanyadimakan setengah sahaja oleh semut, lantas Nabi Allah Sulaiman menemplak semut: "Kamu rupanya berbohong pada aku!. Bulan lalu kamu kata kamu makan sebiji gandum sebulan, ini sudah sebulan tapi kamu makan setengah".
 
Jawab semut: "Aku tidak berbohong, aku tidak berbohong, kalau aku ada diatas batu aku pasti makan apapun sehingga banyaknya sama seperti sebiji gandum sebulan, kerana makanan itu aku cari sendiri dan rezeki itu datangnya daripada Allah dan Allah tidak pernah lupa padaku. Tetapi bila kamu masukkan aku dalam bekas yang tertutup, rezeki aku bergantung pada kamu dan aku tak percaya kepada kamu, sebab itulah aku makan setengah sahaja supaya tahan dua bulan. Aku takut kamu lupa".
 
Itulah Iman Semut!!

IMAN MANUSIA??
 
Di zaman Imam Suffian, ada seorang hamba Allah yang kerjanya mengorek kubur orang mati. Kerja korek kubur orang mati bukan kerja orang ganjil. Bila ada orang mati, mayat terpaksa ditanam, oleh itu kubur perlu digali dulu. Tetapi yang ganjil mengenai hamba Allah ini ialah dia tidak gali kubur untuk tanam mayat.

Sebaliknya apabila orang mati sudah ditanam, waris sudah lama balik ke rumah dan Munkar Nakir sudah menyoal, barulah penggali ini datang ke kubur untuk korek balik. Dia nak tengok macam mana rupa mayat setelah di INTERVIEW oleh Munkar Nakir. Dia korek 1 kubur, 2 kubur, 3 kubur, 10 kubur, 50 kubur sampai 100 kubur.
 
Lepas itu, penggali pergi kepada Imam Suffian dan bertanya kepadanya: "Ya Imam, kenapakah daripada 100 kubur orang Islam yang aku gali, dua sahaja yang mana mayat di dalamnya masih berhadap kiblat. Yang 98 lagi sudah beralih ke belakang?". Jawab Imam Suffian:" Di akhir zaman hanya 2 dari 100 umat Islam yang percaya rezeki itu di tangan Allah. 98 orang lagi tidak percaya bahawa rezeki di tangan Tuhan".
 
Itulah sebabnya apabila umat Islam tertekan dengan SOGOKAN duit yang banyak, biasanya,iman dia akan beralih. Nyatalah iman semut lebih kuat dari iman manusia.
 
Kata Saidina Ali kepada Kamil: " ILMU ITU LEBIH BAIK DARIPADA HARTA, ILMU MENJAGA ENGKAU DAN ENGKAU MENJAGA HARTA, ILMU MENJADI HAKIM, HARTA DIHAKIMKAN, HARTA BERKURANGAN APABILA DIBELANJAKAN DAN ILMU BERTAMBAH APABILA DIBELANJAKAN" .
 
Wallahulam.
 

Tuesday, March 9, 2010

Sambungan...Malu Itu 10 Macam

Keenam ; Rasa malu kerana merasa diri terlalu hina seperti rasa malu seorang hamba yang memohon bermacam-macam keperluan kepada Allah SWT dengan menganggap bahawa ia adalah hamba yang terlalu hina di hadapan Allah SWT atas banyaknya hajat dan keperluannya kepada Allah SWT.

Ketujuh ; Rasa malu kerana cinta, iaitu rasa malu orang yang mencintai di hadapan kekasihnya bahkan ketika terlintas di dalam fikirannya saat berjauhan dengan kekasihnya, dia tetap merasa malu tanpa diketahui apa sebabnya, apalagi jika kekasihnya muncul secara tiba-tiba di hadapannya.

Kelapan ; Rasa malu kerana ubudiyah, yakni rasa malu yang bercampur dengan cinta dan rasa takut. Seorang hamba yang merasa ubudiyahnya masih kurang, sementara kekuasaan Yang Disembah terlalu agung, sehingga ubudiyahnya yang kurang dan cacat serta tidak sempurna itu membuatnya rasa malu.

Kesembilan ; Rasa malu kerana kemuliaan, yakni rasa malu seorang hamba yang memiliki jiwa agung tatkala berbuat baik atau memberikan sesuatu kepada orang lain. Sekalipun dia sudah terkorban dengan mengeluarkan sesuatu namun dia merasakan kekurangan dalam berbuat baik.

Kesepuluh ; Rasa malu terhadap diri sendiri, yakni rasa malu seseorang yang memiliki jiwa besar dan mulia andaikata dia memiliki rasa redha dengan kekurangan diri sendiri dan merasa puas pula melihat kekurangan orang selain dia. Dia merasa malu terhadap dirinya sendiri sehingga seakan dia memiliki dua jiwa, yang satu merasa malu terhadap yang lainnya. Ini merupakan rasa malu yang paling sempurna. Sebab, jika seorang hamba merasa malu terhadap dirinya sendiri maka dia lebih layak untuk merasa malu terhadap orang lain.

Allahumma, kurniakan kami hakikat rasa malu seperti yang Engkau kehendaki.