Monday, September 22, 2008

Bahayanya Bila Pimpinan Tidak Meyakini Apa yang Diperjuangkan

Salam ISLAH ;

Sememangnya di dalam Perlembagaan PAS tidak pernah disebutkan bahawa PAS akan menegakkan sebuah negara Islam seperti yang disebut oleh salah seorang Naib Presiden PAS dalam sedutan temuramah dengan beliau di dalam akhbar SIASAH baru-baru ini. Namun ‘Daulah Islamiyah’ atau Negara Islam adalah cita-cita dan matlamat utama perjuangan PAS sejak ia ditubuhkan dan tidak pernah bercanggah dengan tujuan PAS diasaskan oleh para ulama’ yang diketuai oleh Syeikh Abu Bakar al Baqir rahimahulLah. Tujuan saya menulis artikel ini adalah dengan tujuan mudah-mudahn tulisan saya ini dapat membersihkan jamaah ini daripada fikrah dan pemikiran yang songsang dan tersasar dari manhaj Islam yang suci kerana ia adalah suatu jenayah yang sangat besar.

PEMIMPIN MESTI YAKIN DENGAN APA YANG DIPERJUANGKAN

Salah satu syarat untuk menjadi pemimpin di dalam sebuah gerakan Islam ialah keyakinan terhadap apa yang diperjuangkan. Keyakinan seorang pemimpin terhadap apa yang diperjuangkannya adalah menjadi asas kekuatan dan kewibawaan kepimpinannya. Segala usaha dan pemikirannya akan diarahkan untuk mencapai dan menjayakan cita-cita perjuangannya. Dia akan menyusun saf dan mengerahkan anak-anak buahnya serta menyatukan fikrah dan tindakan mereka untuk bekerja keras mencapai matlamat perjuangannya. Jika Islam menjadi matlamat perjuangan maka ia akan bekerja keras ke arah mendaulatkan Islam secara ‘kaaffah’ (total) di dalam diri, keluarga, masyarakat dan negara. Jika Islam tidak menjadi matlamat perjuangan, maka sebaliknya pula akan berlaku.

Pemimpin yang punya keraguan dan mula samar terhadap matlamat perjuangan amat berbahaya kepada jamaah dan perjuangan Islam. Keraguan ini boleh berlaku dengan banyak sebab. Antaranya ialah ‘gila kuasa’ dan gelap mata disebabkan ditawarkan jawatan-jawatan penting, tinggi, berprestij dan bergaji besar dalam kerajaan baru yang akan tertubuh nanti contohnya. Adalah tidak mustahil ada di antara pimpinan PAS yang telah pun menerima tawaran ini terutamanya yang ‘rapat’ dengan Anwar Ibrahim dan dapat dipergunakan oleh Anwar untuk menyampaikan hasratnya di dalam PAS menjadikan golongan yang telah ‘dibeli’ ini sanggup melakukan apa sahaja walaupun terpaksa menggadai prinsip perjuangan sekalipun. Antara contohnya ialah, kalau dahulu mereka tidak bermasalah dengan ‘Negara Islam’ yang hendak dijelmakan oleh PAS dalam bentuk praktikalnya, maka sekarang ini, mereka mula senada dengan golongan Islam Liberal dalam PKR.

Pemimpin yang mula ragu dengan matlamat perjuangan PAS ini akan menggunakan pelbagai alasan dan hujjah untuk menyatakan apa yang mereka lakukan adalah batul dan selari dengan prinsip-prinsip asas Islam. Mereka akan berijtihad walaupun mereka tidak layak. Mereka akan berqiyas walaupun mereka tidak memahami syarat-syarat qiyas dan tersasar dari maksud sumber asalnya yakni Al Quran dan Al Hadith.

Bagaimana ahli bawahan PAS boleh mengangkat seorang pemimpin yang dia sendiri tidak punya gambaran dan tasawwur yang jelas terhadap Negara Islam yang diperjuangkan oleh PAS?. Lebih teruk lagi, nampak sangat kefahamannya terhadap Negara Islam idea Al Quran dan Al Hadith pun tidak difahami dengan jelas.

HIKMAH WUJUDNYA MAJLIS SYURA ULAMA’

Maka di sinilah letaknya hikmah dan besarnya manafaat kewujudan Majlis Syura Ulama’ dalam PAS. Segala keputusan, strategi, hala tuju, plan bertindak dan sebagainya adalah di bawah pantauan Syura Ulama’. Lebih khusus lagi berkaitan dengan dasar jamaah dan yang berkait dengan Ijtihad Syara’, maka Syura Ulama’ mestilah menjadi ikutan, dirujuk dan didokong sepenuhnya keputusan mereka.

Dokumen negara Islam yang dilancarkan ketika Dato’ Dr Harun Din menjadi Ketua Penerangan PAS adalah merupakan dokumen yang telah melalui tapisan Syura Ulama’ dan didokong sepenuhnya oleh Syura Ulama’. Setahu saya, Syura majlis belum membuat apa-apa perubahan keputusan terhadap dokongan Majlis Syura terhadap dokumen itu. Cuma saya diberitahu bahawa ada di kalangan Pimpinan PAS yang dijangkiti virus keraguan terhadap apa yang diperjuangkan oleh PAS telah mengeluarkan statement bahawa Dokumen Negara Islam tersebutlah yang telah menyebabkan kekalahan teruk PAS dalam pilihanraya 2004. Betapa malangnya mereka yang tidak diberikan petunjuk oleh Allah dalam memahami Sunnatullah dalam perjuangan dan lebih malang lagi mereka yang telah mengangkat manusia jenis ini untuk menjadi pimpinan mereka. Kemana agaknya arah tuju pimpinan mereka?.

KEPIMPINAN ULAMA’

Jelaslah bahawa kenyataan bahawa PAS tidak menyatakan hasrat menubuhkan negara Islam adalah kenyataan songsang yang bercanggah dengan Presiden PAS dan Mantan Presiden ( al Marhum Ustaz Fadhil Noor) yang telah menegaskan bahawa PAS bekerja kearah merealisasikan pembentukan Daulah Islamiyah dan konsep Al Qurannya adalah “Baldatun Thoiyyibatun wa Rabbun Ghafuur”.

Profesional bukannya tidak boleh menjadi pemimpin dalam PAS, bahkan penyertaan mereka amat dialu-alukan. Merekalah pelengkap perjuangan PAS. Dengan mereka PAS bergerak kearah kesempurnaan. Tetapi mereka mestilah menjadi pengikut setia ulama’. Mereka mesti bertugas menolong, membantu dan mendokong ulama’. Dalam soal Islam, jangan sekali-kali mendahului ulama’ apatah lagi mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan ruh Islam sedangkan mereka dikelilingi ulama’.

Dokongan kepada ulama’ yang memperjuangkan Al Quran dan Al Hadith adalaj kewajipan sekalian umat. Untuk mengangkat bukan ulama’ menjadi pemimpin, kita mesti berfikir dan mempertimbangkan 1000 kali. Jika tidak, akan berulang lagi kesilapan seperti ini. Ingatlah bahawa para ulama’ pewaris perjuangan anbiya’. Dokongan kepada kepimpinan mereka adalah rahmah dan barakah.

Sunday, September 21, 2008

Jatuhkan BN; Ijmak - Wajah Kerajaan Baru, Bagaimana?

Salam ISLAH,

Pertama
; Kita angkat setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana dengan taufiq dan hidayahNya jua kita telah ‘dipilih’ dan diizinkan untuk melangkah masuk ke dalam hari-hari 10 terakhir dari Ramadhan Al Mubarak. Inilah masanya ‘pemburu’ Lailatul Qadar mula menyibukkan diri dengan ibadah, terutamanya di malam hari dengan qiyam dan rukuk sujud di hadapan Allah SWT memohon keampunan dari dosa-dosa yang dilakukan agar Allah SWT membersihkan dosa-dosa tersebut dengan air taubat.

Kedua ; Sudah begitu lama saya tidak mengulas persoalan fiqh harakah dan amal Islamiy serta suasana politik semasa dalam blog saya ini. Dengan kacau bilau yang berlaku sekarang ini, khususnya khilaf yang berlaku tanpa kawalan lagi di dalam PAS khususnya, maka saya merasa terpanggil untuk kembali menyertai sahabat-sahabat lain hanya kerana ingin bersama memberikan sedikit sumbangan dalam memantapkan fikrah perjuangan.

Ketiga ; Ramai sahabat dan kawan bertanya pandangan saya mengenai Kerajaan 16 September yang tidak menjadi. Saya lebih banyak mengambil sikap menjawab acuh tak acuh dengan persoalan tersebut. Bukan kerana saya tidak sensitif dengan isu besar ini, atau kerana ingin memencilkan diri, saya cuma mahu menunggu dan melihat. Namun kerana kepentingan tertentu, saya merasakan bahawa saya ‘wajib’ bersama mengambil bahagian dalam membentuk sikap dan cara berfikir di kalangan sahabat dan masyarakat.

Keempat ; Bagi saya, samada kerajaan 16 September terbentu ataupun tidak, itu tidak penting. Semua pihak telah IJMAK bahawa kerajaan zalim dan korup BN wajib dijatuhkan dan digantikan dengan kerajaan lain yang lebih bersih, adil dan berkemampuan untuk memacu negara kearah kejayaan yang hakiki. Tidak ada yang khilaf dalam perkara ini. PAS, PKR dan DAP, seluruhnya bersepakat dalam hal ini. Jika kerajaan 16 September berjaya dibentuk, maka ia akan diingati sebagai tarikh keruntuhan kerajaan korup dan zalim BN dan UMNO.

Kelima ; Yang lebih penting bagi saya ialah bagaimana rupa wajah kerajaan baru yang akan dibentuk. Itu yang mustahak. Kalau sekadar menjatuhkan kerajaan BN kemudian naikkan kerajaan BN yang kedua, maka tidak perlulah tukar kerajaan. Apa maknanya menjatuhkan kerajaan yang ada sekarang kemudiannya menaikkan kerajaan yang lebih kurang serupa. Kita harus melihat pembentukan kerajaan dari kacamata Islam. Sebagai seorang Muslim, kita diajar oleh Al Quran bahawa kerajaan dan kekuasaan adalah milik Allah SWT yang dipinjam dan diamanahkan kepada manusia sebagai khalifah Allah di muka bumi. Tanggungjawab khalifah sepertimana yang dijelaskan oleh para ulamak kita adalah “menegakkan agama dan menguruskan siyasah dunia dengan panduan agama”. Jelas bahawa kerajaan yang kita perjuangkan adalah kerajaan yang menjaga kepentingan Islam dan kerajaan yang menaungi dunia dengan rahmat Islam. Penyelewengan dari Islam dalam pembentukan kerajaan adalah satu jenayah besar.

Keenam ; 16 Spetember yang lalu, Tuan Guru Presiden PAS telah menegaskan di dalam ucapannya di Kedah, bahawa PAS tidak akan menyertai kerajaan yang terbentuk jika sekiranya Islam tidak memandu dan menjadi tunjang kerajaan tersebut.Inilah prinsip perjuangan yang jelas yang telah ditunjukkan oleh seorang pemimpin yang sangat faham dan jelas apa yang diperjuangkan dan bagaimana ia diperjuangkan. Sebarang penyelewengan dari Islam dalam pembentukan kerajaan adalah satu pengkhianatan. Islam mesti diletakkan di hadapan dan memandu kerajaan. Haram kita biarkan Islam terpinggir dan nasibnya tidak diketahui akan kedudukannya di dalam kerajaan yang terbentuk kelak. Berjuanglah demi ISLAM.

Saturday, September 13, 2008

Pagarilah Amalmu Dengan 4 Perkara

Salam ISLAH,


Perkara yang paling ditakuti oleh orang yang banyak beribadah dan beramal soleh ialah rosaknya amalan yang dilakukan. Penat lelah bangun malam, berqiyamullail, bersedekah, membela anak yatim dan miskin akhirnya menjadi sia-sia. Amalannya menjadi seperti debu yang ditiup angin. Di tolak oleh Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW :


“ Sesungguhnya Allah SWT itu baik dan Allah tidak akan menerima melainkan yang baik dari hambaNya”


Al Imam Al Habib As Saiyyid Muhammad ibn ‘Alawi al Maliki al Hasani telah menulis sebuah buku yang berjudul “Kasyf al Ghummah bi Istina’ al Ma’ruf wa Rahmah al Ummah” yang di dalamnya, mahaguru yang mulia ini telah membicarakan tentang luasnya peluang melaksanakan amal kebaikan dan besarnya kedudukan amal ma’ruf di sisi Allah. Pada mukaddimah tulisannya, al Habib Muhammad telah memberikan 4 panduan penting bagaimana memelihara amal dan memagarinya agar tidak menjadi sia-sia :


Pertama : Menutup dan menyembunyikannya daripada disebarkan kepada pengetahuan orang ramai. Berkata para ulama’ umat ini ; “Apabila kamu melakukan kebaikan, hendaklah kebaikan itu kamu sembunyikan dari manusia, tetapi apabila dilakukan kebaikan kepada kamu, maka hendaklah kamu sebarkannya”. Tidak begitu penting sampai kepada manusia amal soleh yang kita lakukan kerana manusia tidak mampu memberikan apa-apa balasan terhadap amal kita. Sebaliknya, lakukan amalan kerana Allah SWT semata-mata kerana Allah sahaja yang mampu membalas kebaikan dan amal soleh yang kita lakukan.


Kedua : Memandang kebaikan dan amal yang kita lakukan itu dengan pandangan yang kecil supaya dapat mengelak dari sifat takabbur, ujub, riya’ dan sum’ah. Dalam panduan as Sunnah, kita dapati bahawa Rasulullah SAW menyuruh kita melihat orang lain lebih baik dan banyak amalan dalam urusan ibadah dan akhirat berbanding kita. Lalu timbul semangat ingin berlumba dalam melakukan kebaikan. Dan jangan lupa membandingkan amalan kita dengan amalan salaf as saleh umat ini terutamanya dari kalangan generasi para sahabah. Mereka membelanjakan harta dalam keadaan mereka kekurangan harta. Mereka berkorban demi Islam di saat mereka sangat memerlukan pertolongan dan bantuan. Dengan sebab itulah Rasulullah SAW bersabda :


“ Demi Allah, jika kamu membelanjakan pada jalan Allah emas sebanyak gunung UHUD sekalipun, tidak akan sama dengan segenggam gandum yang dibelanjankan oleh sahabatKu”


Ketiga : Jangan sekali-kali mengungkit dan menyebut kebaikan yang kita lakukan di hadapan manusia akan kebaikan yang kita lakukan dan berasa ujub dengan apa yang dilakukan, kerana ia akan menggugurkan kesyukuran kepada Allah dan menghapuskan ganjaran yang diperolehi. Firman Allah SWT :


“Wahai orang-orang yang beriman! jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang Yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan. dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.” Surah Al Baqarah : 264


Keempat : Tidak sedikit pun merasa hina dengan kebaikan yang telah dilakukan sekalipun sedikit kerana sedikit atau banyak kebaikan yang dilakukan adalah dengan taufiq dan pertolongan Allah jua. Mereka yang melakukan kebaikan adalah kerana mereka telah dipilih oleh Allah SWT untuk dihiasi peribadi mereka dengan amal soleh.



Friday, September 12, 2008

Manisnya Ukhuwwah

Salam ISLAH,



Semalam (11/9/2008), saya telah dijemput menyampaikan tazkirah Ramadhan di surau Ad Diniyah, Bandar Baru Selayang. Sdr Zulkifli Wahijan (sahabat yang saya kenali di Petronas KLCC) menyambut ketibaan saya dengan senyuman yang cukup ramah sambil berbisik ; “Dah dua tahun ustaz tak datang surau kami”. Saya hanya tersenyum.



Sememangnya kali terakhir saya menjejakkan kaki ke surau Ad Diniyah ini dua tahun dahulu. Entah apa yang menyebabkan saya tak dapat kunjung ziarah ke sini selama dua tahun saya pun kurang pasti. Ketentuan Allah jua atas segalanya. Banyak yang berlaku dalam hidup kita yang kita tidak pernah sangka. Lain yang kita hajati, lain pula yang kita dapat. Lain yang kita minta pada Allah, Allah berikan yang lebih baik dari apa yang kita minta.



Apa yang saya tidak sangka ialah, pertemuan saya dengan seorang ibu tua bernama Umi (saya tak ingat nama penuhnya) sebaik selesai solat terawih di Surau Ad Diniyah. Wanita yang senantiasa tersenyum manis dengan muka cerah, putih dan bersih dan senantiasa mengalirkan air mata bila bercakap soal amal ibadah dan akhirat. Umi bersama saya menunaikan umrah satu ketika dahulu. Ketika itu, saya memimpin 189 jamaah umrah bersama beberapa sahabat. Itulah umrah yang sangat mematangkan saya dan menjadikan saya kenal mana satu kawan dan mana satu lawan.



Umi senantiasa menjadikan saya tabah sepanjang menguruskan jamaah umrah yang ramai dan bermasalah tersebut (saya tidak mahu lagi mengingati peristiwa hitam tersebut yang telah menyebabkan saya kerugian hampr RM 60 ribu). Ibu Umi selalu ingatkan saya pada taqdir Allah dan menyuruh saya bersabar. Dalam pertemuan semalam, saya dan dia sangat terharu dengan pertemuan tersebut. Dia yang tinggal di Taman Harmoni Gombak datang berbuka di rumah anaknya di Bandar Baru Selayang. Allah taqdirkan kami bertemu setelah 2 tahun dahulu saya pernah bertandang ke rumah beliau untuk berbuka puasa bersama Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh dan Sdr Wan Haswari Wan Ahmad. Kehendak Allah jua yang menemukan kami semula. Bercambah semula benih ukhuwwah filLah yang sangat manis. Moga kekal keharumannya hingga hari qiyamat. Kami mengakhiri pertemuan dengan saling doa-mendoakan dunia dan akhirat masing-masing. SubhanalLah ! Manisnya silaturrahmi dan ukhuwwah kerana Allah.



Al Ustaz Fathi Yakan pernah menulis sebuah buku kecil yang membicarakan tentang ukhuwwah. Buku kecil tersebut sangat memberi bekas di jiwa saya. Walaupun saiz dan fizikal buku tersebut adalah kecil namun kandungannya sangat besar dan agung sekali. Mereka yang dapat mengecap nikmat ukhuwwah kerana Allah, sudah pasti tidak akan dapat melupainya hingga akhir hayat.



Saya baru sahaja dihubungi oleh sahabat lama, Ustaz Ahmad Akhyari ad Damanhuri yang kebetulan bersama Cikgu Sukarno dan Ustaz Halizal Alias bertandang ke Kuala Lumpur untuk misi dakwah mereka. Minda dan jiwa saya kembali segar dengan ingatan terhadap kenangan dalam ukhuwwah yang kami bina selama ini. Saya takkan dapat melupakan mereka yang telah ‘melahirkan’ saya sebagai perserta arena dakwah dan jihad. Saya bersama mereka suatu ketika dahulu bersama PPIK, Dar As Sofwah, Kem Bina Sahsiah dan pelbagai lagi acara istimewa yang telah mematangkan saya dan perjuangan.



Benarlah kata Ustaz Fathi Yakan bahawa ukhuwwah itu adalah kurnia agung dari Allah. Hembusan dari langit ke dalam jiwa-jiwa mukmin di dunia ini.



Allah akan berfirman di Mahsyar kelak :



“Di manakah mereka yang berkasih saying di dunia dahulu kerana keagunganKu. Akan ke teduhi mereka dengan teduhan arasyKu di hari tiada perlindungan dan teduhan melainkan naungan rahmat dan arsyKu”

Tuesday, September 9, 2008

Tazkirah Ehya' Ramadhan : Ustaz Hj Hashim Jasin

BismilLah, wal hamdulillah, wassolatu wassalamu ‘ala Saiyyidina Rasulillah, wa ba’du :



Salam ISLAH,



Semalam, bertempat di Balai Islam Markaz Tarbiyyah PAS Perlis, telah selesai berlangsungnya Program Ehya’ Ramadhan peringkat Negeri Perlis. Alhamdulillah, program berjalan lancar walaupun hujan lebat dengan kehadiran sekitar 300 orang. Dalam memperkasakan tarbiyyah di kalangan pendokong ‘amal Islamie di Perlis ini khususnya, pelbagai program cuba saya aturkan dengan bantuan sahabat-sahabat seperjuangan. Al Fadhil Ustaz Hj Hashim Jasin dalam ucapan aluan mesyuarat Badan Perhubungan PAS Perlis pada 31 Ogos 2008 yang lalu telah ‘mengarahkan’ agar Lajnah Tarbiyyah diperkasakan sepenuhnya untuk memantapkan aqidah perjuangan di kalangan pendokong perjuangan Islam di Perlis khasnya.



Majlis bermula dengan ifthor, jamuan makan malam, solat Isyak yang dipimpin imam ‘istimewa’ berasal dari Keningau Sabah, Ustaz Abd Karim Al Hafiz dan di akhiri dengan tazkirah Ramadhan oleh Ustaz Hj Hashim Jasin HafizafulLah.



Di bawah ini saya perturunkan isi tazkirah tersebut :



1. Ramadhan adalah bulan yang Allah SWT menghidangkan pelbagai makanan yang lazat-lazat untuk hambaNya yang soleh. Antaranya puasa, tarawih, tadarus, balasan amal yang berlipat kali ganda dan pelbagai janji hebat dari Allah SWT sepanjang Ramadhan yang mulia, paling terutama ialah Lailatul Qadr.



2. Antara hidangan Allah di Bulan Ramadhan juga ialah :



Sabda Rasulullah SAW :



“Ramadhan itu awalnya penuh dengan rahmat Allah, pertengahannya dipenuhi janji keampunan dari Allah dan akhirnya dijanjikan pembebasan dari neraka Allah SWT”



Sabda Baginda SAW lagi :



“ Sesungguhnya Al Quran ini adalah hidangan Allah, maka jamahlah olehmu akan hidangan Allah itu semampu kamu”

Kata Ustaz Hashim, persoalan yang harus di muhasabah bersama ialah, berapa ramai di kalangan umat ini yang mendapat faedah dari hidangan yang lazat-lazat ini di sepanjang bulan Ramadhan yang mulia ini. Berapa ramai pula yang masih leka dan lalai dari mengambil kesempatan dan peluang yang hanya datang setahun sekali.



3. Perumpamaan yang dikemukakan oleh Ustaz Hashim sangat menarik hati pendengar bilamana menjelaskan bahawa orang sakit takkan dapat menerima dan menikmati hidangan lazat. Sedap dan lazat macamana sekalipun hidangan makanan yang dimasak, orang sakit akan terasa pahit mulutnya dan tidak akan dapat menelan makanan serta hilang seleranya terhadap makanan dan lauk pauk.



4. Jika kedatangan Ramadhan dengan seribu satu tawaran dari Allah SWT, dan kita masih leka dari mengambil kesempatan, maka sudah barang tentu kita telah memiliki hati yang sakit. Hati yang sakit tidak akan punya ‘rasa’ terhadap ibadah dan ketaatan. Sebaliknya ia lebih cenderung kepada kemaksiatan dan kelalaian. Benarlah sabdaan Rasul SAW ; “Celakalah mereka yang telah berlalu Ramadhan tetapi masih tidak mendapat keampunan dari Allah SWT”. Ustaz Hashim membawa contoh tangkapan seorang lelaki Muslim berusia 70 tahun di Melaka yang ditangkap tidak berpuasa dan sedang makan di sebuah Restoran Cina!.



5. Tarbiyyah dan didiklah diri agar mempunyai ‘selera Ramadhan’ seumpama para Sahabah Jeilul Qurani yang sangat bersedih dengan pemergiaan Ramadhan. Di penghujung Ramadhan, mereka akan menangisi Ramadhan yang akan berakhir. Sedangkan kita, bersedih dengan ketibaan Ramadhan dan sangat gembira dengan berakhirnya Ramadhan dan ketibaan Hari Raya. Para sahabat adalah generasi yang ‘sihat’ dan cukup berselera menjamah hidangan Ramadhan.



6. Ustaz Hj Hashim Jasin mengakhiri tazkirah dengan pesanan dan wasiat supaya berterusan, bersungguh dan istiqamah melaksanakan kerja Islam dan teguh memperjuangkan agama. Penerimaan masyarakat terhadap Islam semakin baik sedangkan musuh makin lemah. Hendaklah kamu berusaha dan bukannya kamu yang menentukan kemenangan.

Program Istiqbal Ramadhan Surau An Nuur (Pusat Tarbiyyah Masyarakat Kelolaan Us Yussaine)- 31 OGOS 2008

Forum Perdana Istiqbal Ramadhan & Kemerdekaan Negara ke 51 sedang berlangsung dengan di pengerusikan oleh Ustaz Hj Yussaine bin Yahya. Panelnya terdiri daripada Ustaz Ahmad Yahya dan Yb Ustaz Ahmad Izat Mohd Shauqi (ADUN Bukit Lada,Pokok Sena Kedah).


Para peserta Muslimah yang terdiri dari masyarakat setempat dan ada juga yang datang dari jauh.



Ustaz Hj Yussaine sedang memimpin Tahlil dan doa sebelum program forum bermula. Di sebelahnya adalah Ustaz Ahmad Yahya (Mudir Madrasah Ta'limiyah Khairiyah, Tok Keling, Alor Setar, Kedah)


Ustaz Abdul Karim bin Mohd Redhuan, pelajar Ma'had Tahfiz Al Quran wal Qiraat, Pasir Mas Kelantan sedang membacakan ayat-ayat suci Al Quran.


Sedang menunggu bermulanya majlis.


Kehadiran sangat memuaskan. Masing-masing datang dengan seribu harapan untuk mendidik hati dan jiwa agar tunduk kepada perintah Allah SWT.


Sedang menikmati jamuan gulai tulang dan nasi putih. Turut bersama Ustaz Hj Salleh Adam (berbaju coklat).


Makanan rohani pun dapat, makanan jasmani pun dapat. Alhamdulillah.

Monday, September 8, 2008

Beginilah Amal Jama'ie

SALAM ISLAH,

Taat pada keputusan pemimpin

Alhakim mentakhrij dari Abdullah bin Buraidah, dia berkata, “Rasulullah SAW melantik Umr bin al-Ash menjadi komandan pasukan dalam perang Dzatus Salasil, yang di antara mereka juga ada Abu Bakar dan Umar. Ketika mereka tiba di tempat pertempuran, Amr memerintahkan agar mereka tidak menyalakan api sama sekali. Umar merasa tersinggung dan marah. Maka dia bermaksud hendak menemui Amr. Namun Abu Bakar melarangnya, dan menjelaskan kepadanya bahawa Rasulullah SAW melantik Amr sebagai komandan pasukan, kerana memang dia mahir dalam masalah peperangan”. Mendengar penjelasan Abu Bakar itu, Umar menjadi tenang.


Mahu mengalah

Urwah bin Zubair ra berkata, “Rasulullah SAW melantik AMr bin Al-Ash sebagai komandan satuan dalam perang Dzatus Salasil, yang harus masuk ke perbatasan Syam dari arah Bala. Sementara baginda memerintahkan Abdullah untuk menyusul pasukan di bawah komando Amr dari arah Qudha’ah. Melihat jumlah musuh yang terlalu banyak, Amr mengirim utusan pada Rasulullah untuk mengirim bala bantuan lagi. Maka baginda mengirim orang-orang Muhajirin yang ada di antara mereka Abu Bakar dan Umar. Baginda melantik Abu Ubaidah al-Jarrah sebagai komandannya. Ketika satuan pasukan ini berkumpul dengan pasukan Amr, maka Amr berkata, “Aku adalah komandan kalian ketika ini, kerana aku mengirim utusan kepada Rasulullah SAW untuk meminta bantuan kalian”.

Orang-orang muhajirin itu menyahut, “Bolehlah engkau menjadi komandan rakan-rakanmu. Tapi Abu Ubaidah tetap menjadi komandan orang-orang muhajirin”. Amr menyahut, “Kalian adalah bala bantuan yang aku minta”.

Abu Ubaidah, orang yang dikenali lemah lembut segera meredakan keadaan yang mula memanas ini dengan berkata, “Wahai Amr, harap engkau ketahui bahawa pesanan terakhir yang disampaikan Rasulullah kepadaku ialah, “Jika engkau sudah bertemu rakanmu, maka hendaklah kalian saling patuh mematuhi. Kalau engkau memang tidak mahu patuh kepadaku, maka akulah yang akan patuh kepadamu”. Lalu Abu Ubaidah menyerahkan kepemimpinan kepada Amr.

Pemimpin harus ditaati

Anas ra berkata, “Seorang sahabt terdekat Rasulullah SAW melarang beberapa hal, seraya berkata, “Janganlah kalian mencaci pemimpin-pemimpin kalian, janganlah menyusahkan dan membangkang mereka. Bertakwalah kepada Allah keraa kemenangan itu sudah dekat”. (Al-Kanzu 3/168)

Menjaga lidah dekat pemimpin

Ashim bin Muhammad berkata, “Ada seorang lelaki berkata kepada Ibnu Umar, “Kami pernah menghadap pemimpin kami, lalu kami sepakat untuk mengatakan sesuatu yang berbeza jika kami tidak lagi di hadapannya”. Ibnu Umar berkata, “Kami menganggap yang demikian itu termasuk kemunafikan.

Berkata yang benar di hadapan pemimpin

Ibrahim bin Atha berkata bahawa ayahnya pernah berkata, “Ziyad atau Ibnu Ziyad pernah mengutus Imran bin Hushain ra untuk mengumpulkan zakat dan sedekah. Setelah urusan selesai, dia kembali tanpa membawa sedikitpun. “Mana harta yang engkau kumpulkan?”, Tanya Ziyad. “Untuk harta itukah kau mengutusku?” Imran bertanya semula. Lalu dia berkata, “Kami mengambil harta itu seperti yang kami lakukan pada zaman Rasulullah SAW, dan kami menyalurkannya seperti yang kami lakukan pada zaman baginda”.

1001 Mukjizat Rasulullah SAW


AlhamdulilLah, wassolatu wassalamu 'ala Saiyyidina RasulilLah,wa ba'du ;


Salam ISLAH ;


Antara kurniaan Allah SWT kepada Rasulullah SAW untuk memperteguhkan dakwah dan menjadi bukti kenabian serta kerasulan Baginda SAW ialah mukjizat-mukjizat yang luarbiasa dan penuh kerahsiaan. Mukjizat adalah perkara yang di luar kebiasaan dan di luar logika akal manusia. Antara mukjizat Baginda SAW adalah :



Tunduknya pokok kepadanya



Anas r.a meriwayatkan katanya : Suatu hari Jibril datang kepada Rasulallah s.a.w dan Baginda sedang duduk bersedih.Kepala Baginda berlumuran darah kerana telah dipukul oleh sebahagian penduduk Makkah.

Lalu Jibril bertanya kepada Baginda : “ Mengapakah engkau ? ” Sabdanya : “ Mereka telah memukul aku ”.Katanya : “ Jibril berkata : “ Mahukah aku tunjukkan kepadamu satu tanda ? ” Lalu jawabnya : “ Ya ”.Maka Baginda memandang sebatang pokok di belakang lembah, lalu Jibril berkata : “ Panggillah pokok itu ”.Maka Baginda memanggilnya.Pokok itu lalu berjalan sehingga sampai di hadapan Nabi s.a.w.Jibril berkata : “ Suruh ia kembali semula ke tempatnya ”.Lalu disuruh pokok itu kembali.Maka pokok itupun kembali ke tempatnya semula.Rasulallah s.a.w bersabda : “ Ia sudah cukup mententeramkan jiwaku ”.



Tunduknya Dua Pokok dan Keduanya Bertaut Kemudian Berpisah Semula



Jabir bin Abdullah r.a meriwayatkan katanya : “ Kami berjalan bersama Nabi s.a.w sehingga kami turun pada sebuah lembah yang luas lalu Rasulallah s.a.w pergi membuang hajatnya.Aku mengekori Baginda dengan membawa sebekas air.Baginda memandang dan tidak melihat sesuatu untuk berlindung dengannya.Tiba – tiba Baginda melihat dua batang pokok di tepi lembah,salah satu pokok telah pergi kepada pokok yang lain lantas memegang salah satu dahannya, Baginda bersabda : “ Tunduklah kepadaku dengan izin Allah ”, lalu ia tunduk kepada Baginda sama seperti unta yang tunduk kepada tuannya, sehingga Baginda pergi ke pokok yang lain lantas memegang salah satu dahannya, lalu bersabda: “ Tunduklah kepadaku dengan izin Allah “, lalu iapun tunduk kepadanya sama seperti unta ang tunduk kepada tuannya.Kita berada di antara keduanya Baginda menghimpunkannya, dan bersabda : “ Berhimpunlah atasku ( untuk menutupiku ) dengan izin Allah, lalu keduanya berhimpun ”.

Jabir berkata : Maka aku berlari menjauhi tempat itu, takut jika baginda menyedari kedatanganku kepadanya.Apabila menoleh Rasulallah s.a.w sudah datang, serta kedua – dua pokok itu berpisah dan masing – masing berdiri tegak.Aku melihat Rasulallah s.a.w berdiri seketika dan memberi isyarat dengan kepalanya ke kiri dan ke kanan.



Ertinya Baginda memerintahkan kedua pokok tersebut agar kembali semula ke tempatnya setelah Baginda membuang hajatnya .Lantas pokok tersebut masing – masing kembali ke tempat asalnya.

Friday, September 5, 2008

Percaya Pada Allah SWT

Salam ISLAH,



Hari ini adalah hari kedua program saya di Kuala Lumpur. Kelmarin, 10.30 pagi saya bersama Muslimah Masjid Al Falah USJ 9, 1.00 tengahari di Wisma CELCOM Petaling Jaya dan malamnya saya menyampaikan tazkirah selepas tarawih di Surau Al Iman, Kemensah Height, Hulu Kelang. Pagi hari ni, jam 10.00 pagi saya bersama Muslimah Masjid Darul Ehsan, Taman TAR dan malam ini saya akan menyampaikan tazkirah selepas tarawih kepada jamaah Masjid Darul Ehsan Taman TAR, Ampang insya Allah.



Beginilah bila datangnya Ramadhan setiap tahun sejak tahun 2000. Ramadhan bulan barakah dan dalam masa yang sama menjadi bulan rezeki para pejuang dan mujahid di jalan Allah. Setiap Ramadhan saya akan berada sebulan di Kuala Lumpur untuk program kutipan infaq untuk Sekolah Rendah Islam At Taqwa, Beseri, Perlis dan tahun ini saya kena buat kutipan infaq untuk dana Darul Islah.



Hati-hati manusia muslim di Bulan Ramadhan ini sememangnya sangat ingin berbuat kebajikan dan kebaikan. Rahmat dan berkah Ramadhan ini sangat terasa di hati saya. Pernah kutipan infaq Ramadhan dapat menampung belanja program dakwah dan sekolah selama setahun dengan izin Allah, alhamdulilLah.



REZEKI PEJUANG AGAMA



Pagi 30 Ogos yang lalu, saya dijemput oleh Masjid Negeri Selangor untuk mengendalikan program Bicara Ad Din yang dianjurkan pihak masjid. Di kesempatan yang ada, saya petik tulisan Fadhilat Doktor Yusuf al Qaradhawi di dalam bukunya ‘Iman & Kehidupan’ di dalam satu bab yang membincangkan mengenai unsur-unsur kekuatan kepada seorang Mukmin iaitu “Percaya kepada Allah”.



Percaya kepada Allah SWT adalah asas kekuatan dalam kehidupan seorang Muslim. Aqidah Islam yang sahih dari sudut bahasanya adalah merangkumi 3 perkara asas yang penting ; Keyakinan , kepercayaan dan tidak ada keraguan selamanya. Tiga unsur penting aqidah inilah yang menunjangi kehidupan mukmin selama mereka hidup di atas muka bumi. Dengan asas inilah mereka berjaya mengharungi kehidupan dunia yang penuh dengan onak dan duri ini.



Sekalian Nabi dan Rasul ‘alaihimussolatu wassalam, kehidupan dakwah dan perjuangan mereka adalah berlatar belakangkan kepercayaan dan thiqah dan sangat kukuh kepada Allah SWT. Percaya pada Allah SWT telah menjadikan mereka kuat walaupun kelihatan lemah dan sedikit bilangan. Semangat dan roh perjuangan mereka sangat kental walaupun dalam keadaan serba kurang serba serbi. Semuanya adalah kerana kepercayaan teguh kepada segala janji Allah SWT. Dengan kerana itulah Nabi Ibrahim as menolak pelawaan Jibril untuk membantu di saat ia dilempar ke dalam api Namrud. Kata Ibrahim KhalilulLah ; " Adapun untuk meminta pertolonganmu wahai Jibril, tidak sama sekali. adapun dengan pertolongan Allah, cukuplah bagiku Allah dan Dialah sebaik-baik penolong".



Para pejuang dan mujahid yang mewarisi tugas dakwah mestilah mempunyai aqidah seperti para anbiya’ terutamanya dalam masalah rezeki. Percaya pada Allah bererti percaya dengan bulat dan yakin bahawa rezeki orang yang buat kerja agama dan membela Islam adalah di dalam jaminan Allah SWT. Belum ada kekasih Allah yang bekerja mengajak manusia kepada berubudiyah hanya kepada Allah dibiarkan mati kebuluran oleh Allah SWT. Hakikatnya, kita melihat dengan pandangan mata reality dan hakikat bahawa para pejuang agama telah dikurniakan hati yang lapang sehingga setiap yang sempit dipandang luas dan setiap kesusahan dihadapi dengan redha dan senyuman.



Setiap kali datangnya Ramadhan, saya melihat dengan mata kepala saya sendiri bahawa janji Allah itu benar. Allah SWT memberi jaminan bahawa rezeki para mujahid adalah di dalam tanggungan Allah SWT. Betapa Allah telah membuka dan melembutkan hati hamba-hambaNya di bulan mulia ini untuk bersedekah, berinfaq, bertabarru’, berzakat dan memberikan sebanyak-banyak sumbangan untuk mendokong usaha dakwah dan kerja membela Islam.



WasallalLahu ‘ala Saiyyidina Muhammadin wa ‘ala alihi wa ashabihi waman jaahada bijihaadihi ila yaumiddin.

Wednesday, September 3, 2008

Qudwah Para Mujahid - Saiyyiduna Abu Bakr As Siddiq


BismilLah, wassolatu wassalamu ‘ala Saiyyidina Rasulillah, wa ‘ala alihi wa ashabihi wa man nasarahum ila yaumiddin, wa ba’du :



Salam ISLAH;



Perjuangan Islam sama sekali tidak dapat dipisahkan daripada meneladani Sirah (catatan kehidupan) Baginda Rasulullah SAW. Semoga Allah SWT memberikan sebaik-baik balasan kepada sekalian para ulama’ mukhlisin yang telah merintis jalan dan membuat pengorbanan yang sangat tinggi dalam menghimpun, menyalin, mengkaji, menulis dan seterusnya menyebarkan ilmu berkaitan Sirah Rasulullah SAW ini.



Kita mendapati bahawa apa yang telah disebutkan oleh Rasulullah SAW telah menjadi kenyataan melalui sirah Baginda SAW. Antaranya ialah, bahawa tidak akan diutuskan seorang Rasul melainkan pasti akan ada diantara manusia ini yang akan dipilih oleh Allah SWT untuk menjadi penolong dan pembantu mereka.



Generasi para sahabah adalah sebuah generasi terpilih yang telah diangkat kemuliaan mereka itu dengan menjadi penolong dan pembantu Rasulullah SAW dalam jihad dan perjuangan mereka. Mereka telah meredah dan merintis jalan Dakwah Islam yang penuh dengan cabaran dan onak duri demi menjulang kemuliaan Islam serta memenangkan Islam di atas muka bumi. Mereka telah membuktikan kecintaan mereka kepada Allah dan Rasul dengan menabur sejuta pengorbanan yang tiada nilai. Merekalah generasi yang patah takkan tumbuh, hilang takkan berganti.



Antara contoh keteladanan yang sangat agung dalam perjuangan dan jihad pada jalan Allah adalah Saiyyiduna Abu Bakar As Siddiq RadhiyalLahi ‘anhu. Dialah qudwah para mujahid sepanjang zaman atas pembuktian kecintaan yang mendalam terhadap jalan dakwah kepada Allah dan Rasul SAW.



MEMBELA DAN MENOLONG NABI SAW



Dari ‘Urwah bin Zubair rdh berkata : “ Aku pernah berkata kepada Abdullah ibn ‘Amr ibn Ash : Beritahukan kepadaku akan gangguan terbesar orang-orang musyrik terhadap Rasulullah SAW ?” . Dia menjawab ; “Ketika Rasulullah SAW sedang solat di Hijir Ismail, tiba-tiba datang Uqbah bin Abi Mu’ith memegang tengkuk Rasulullah SAW kemudian melilitkan bajunya ke leher Baginda dan menariknya dengan kuat sehingga leher beliau tercekik. Pada waktu itu datanglah Abu Bakat memegang batang tangkuk Uqbah dan menolaknya sekuat hati agar jauh dari Rasulullah SAW seraya berkata dengan ucapan yang telah dirakam oleh Allah SWT di dalam keagungan wahyu Al QuranNya :



"Patutkah kamu membunuh seorang lelaki kerana ia menegaskan: `Tuhanku ialah Allah? ' - sedang ia telah datang kepada kamu membawa keterangan-keterangan dari Tuhan kamu?” Ghafir : 28



Ada sebuah riwayat dari Saiyyiduna ‘Ali ibn Abi Thalib bahawa pernah Ali menyebut : “ Tunjukkan kepadaku siapakah manusia yang paling pemberani? Mereka menjawab : “ Anda wahai Amirul Mukminin.” Ali berkata : “Abu Bakar. Ketika perang Badar, kami membuat bangunan pelindung untuk Rasulullah SAW. Kami berkata : “ Siapa yang akan bersama Rasulullah SAW menjaga Baginda supaya tidak ada seorang tentera musyrik pun yang dapat menghayun pedang kepada Baginda SAW?”. Demi Allah , tidak ada seorang pun yang menjaga Baginda melainkan Abu Bakr rdh yang sentiasa menghunuskan pedang melindungi Rasulullah SAW. Tidak ada seorang pun yang cuba menyerang Rasulullah SAW kecuali dia pasti akan melawannya. Dialah manusia paling pemberani.”