Thursday, June 19, 2008

Istiqamah Yang Sebenar

Oleh : Ybhg Ustaz Ahmad Adnan Fadhil


Soalan: Boleh ustaz jelaskan maksud istiqamah yang sebenar?


Jawapan ;
Assalamu 'alaikum.Secara dasarnya Istiqamah bermaksud; berdiri teguh di atas jalan Islam dalam segenap ruang kehidupan sama ada dari sudut aqidah dan pegangan, amalan, pandangan hidup, perjuangan dan sebagainya iaitu tidak akan berganjak sedikitpun dari jalan tersebut walaupun terdapat pelbagai godaan dan rintangan.
Diriwayatkan dari Sufyan Ibn ‘Abdullah r.a. menceritakan; ‘Aku telah berkata kepada Rasulullah s.a.w.; Ya Rasulullah! Nyatakan untukku di dalam Islam ini satu ungkapan yang mana aku tidak akan bertanya lagi tentangnya dari orang lain selain engkau’. Jawab Rasulullah s.a.w.; ‘Katakanlah; ‘Aku beriman kepada Allah’ dan kemudian hendaklah kamu istiqamah’. (Hadis riwayat Imam Ahmad, an-Nasai, Muslim, at-Tirmizi dan Ibnu Majah)Untuk lebih memahami makna Istiqamah, di bawah ini saya kemukakan ulasan ulamak tentang hadis di atas;1. Berkata al-Qadhi ‘Iyadh rhm; ‘Hadis ini antara ungkapan yang ringkas dan padat (Jawami’ul Kalim) dari Rasulullah s.a.w.. Sesungguhnya orang-orang yang berkata; Tuhan kami adalah Allah dan kemudian mereka beristiqamah di mana mereka tidak berpaling dari tauhid dan berterusan pula mereka beriltizam menta’ati Allah S.W.T. hinggalah mereka menemui kematian di atas iman dan istiqamah tersebut’. Jadi Istiqamah menurut Qadhi ‘Iyadh ini ialah; tetap teguh di atas landasan tauhid dan mentaati Allah hingga menemui ajal. (Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, juz. 2, kitab al-Iman)2. Menurut Imam al-Minawi dalam kitabnya “Faidhul Qadir”; seruan Rasulullah s.a.w. ‘Katakanlah; Aku beriman dengan Allah’, bermaksud; perbaharuilah iman kamu kepada Allah dengan menyebutnya dengan hati kamu serta menuturnya dengan lidah kamu dengan menghadirkan segala pengertian iman yang disyari’atkan. Adapun seruan baginda; ‘hendaklah kamu beristiqamah’ bermaksud; beriltizamlah mengerjakan amalan-amalan ketaatan dan menjauhi perkara-perkara yang bertentangan (dengan kehendak Allah). Jadi Istiqamah mengikut pandangan Imam al-Minawi ini ialah; kita sentiasa taat kepaad Allah dan menjauhi larangan-laranganNya. (Faidhul-Qadier, hadis no. 6143).
Untuk terhasilnya Istiqamah seseorang itu tidak dapat tidak mestilah berpegang-teguh dengan kitab Allah dan sunnah NabiNya. Dua sumber inilah yang berupaya mengikat manusia agar sentiasa berada di atas Islam iaitu jalan Tauhid dan ketaaatan kepada Allah. Selagi manusia berpegang teguh dengan al-Quran dan juga sunnah Nabi, selagi itulah ia dijamin oleh Rasulullah s.a.w. akan bebas dari penyelewengan dan kesesatan sebagaimana sabdanya; “Wahai sekelian manusia! Sesungguhnya aku telah tinggalkan untuk kamu sekelian satu peninggalan yang selagi kamu berpegang-teguh dengannya maka selagi itulah kamu tidak akan sesat selama-lamanya iaitu; Kitab Allah dan Sunnah NabiNya”. (Hadis riwayat Imam al-Hakim dari Ibnu ‘Abbas)
Wallahu a’lam.

Pak Sheikh Yussaine said : Terlalu banyak soalan yang timbul tentang istiqamah.Bila dijemput berceramah dalam program-program perkaderan ,selalunya inilah soalan yang akan bertalu-talu ditanya selepas ceramah.Mudah-mudahan artikel ini dapat membantu.Untuk mengamalkan memang sulit.Tidak sesulit menulis.Akhirnya,hanya Allah jua yang memilih di kalangan kita,siapa yang akan dikurniakan istiqamah dalam Islam dan perjuangannya.Kewajipan kita ialah berusaha untuk istiqamah.Natijahnya kita serah pada Allah dan kita harapkan kasih sayang Allah untuk membantu kita.


STRATEGI & DOA

Alhamdulillah,Wassolatu Wassalamu ‘Ala Saiyyidina Rasulillah Waba’du,
Balik dari menyampaikan tazkirah zohor di Surau Al Muhsinun,KLCC tengahari tadi,terdengar pemberita terkini sedang membicarakan salah satu parti kompenana BN akan keluar dari BN.Pak Lah akan mengdakan mesyuarat tergempar MT BN petang ini.Nampaknya makin gawat BN nih!.Cuma jangan ada yang menyangka bahawa kelemahan dalam Bn adalah disebabkan PR kuat!.Kemungkinan besarnya adalah kerana pertolongan dari Allah.Bila mulut,orang-orang yang lemah dan tertindas terkumat-kamit memohon pada Pemilik Seluruh ‘Alam,lalu Allah Yang Maha Esa dengan Kemurahan dan PengasihNya memperkenankan permintaan tersebut,maka kerana itulah BN nampak kucar kacir.


Akhir-akhir ini,saya selalu terdengar Tok Guru Nik Abdul Aziz berdoa dengan lafaz;
“Allahumma ‘alaika bi man zalamana,Allahumma ‘Alaika biman khaanana” (Ya Allah,kami serah kepada Kamu orang yang menzalimi kami.Ya Allah,kami serah kepadaMu orang yang mengkhianati kami”.
Banyak juga para asaatizah yang tiru doa Tok Guru ni.Maka banyak jugalah yang mengaminkannya.Maka beringatlah sikit orang-orang yang rasa dia berkuasa untuk buat apa sahaja termasuk tindas dan zalimi orang lemah dan juga orang-orang yang khianat terhadap amanah yang diberikan kepadanya.


KEKUATAN DOA


Lebih kurang seminggu selepas PRU ke 12 yang lalu,saya dan beberapa sahabat naik kapal terbang ke Kaherah.Antara ahli rombongannya ialah sahabat yang sangat saya hormati Ybhg Ustaz Hj Nasrudin Hasan Tantawi.Satu hari saya terlihat dia sedang menelaah sebuah buku tulisan al Qaradhawi yang menghurai prinsip-prinsip perjuangan Imam al Banna Rhm.Dia membacakan kepada saya satu perenggan petikan tulisan tersebut yang menyebut betapa ummah di akhir zaman mengabaikan satu sumber kekuatan Mukmin yang sangat teguh dan ampuh iaitu kekuatan doa.

Kita lihat pada hari ini,kekuatan munajat dan doa di samping kekuatan strategi selalunya diabaikan dan dipandang sepi oleh para pendakwah dan pimpinan gerakan Islam.Saya perhatikan,Tok Guru NA mempraktikkan secara bersungguh-sungguh doa sebagai sumber kekuatan dalam perjuangan dan hidup seluruhnya.Beliau selalu ajak rakyat Kelantan turun ramai-ramai ke Stadium Sultan Ismail untuk bermunajat.Lepas menag besar PRU ke 12 baru ni pun ajak rakyat bermunajat sebagai tnda syukur sebaik selesai kuliah Jumaat pertama selepas PRU 12.Doa dan munajat beliau kelihatan khusyuk dan tawadhuk penuh pengharapan kepada pertolongan Allah SWT agar dikurniakan kekuatan untuk menghalang benteng kerajaan Islam di Kelantan diterobosi dan diseroboh oleh kekuatan dan kejahatan musuh-musuhnya.
Saiyyiduna Rasulillah SAW & Ghazwah al Badr

Rasulullah SAW,dalam perang Badar yang sangat genting,telah dicatatkan oleh al Bukhariy bahawa pada malam akan berlakunya perang Badar,Baginda Saiyyiduna Rasulillah SAW tidak putus-putus berdoa kepada Allah.Baginda sedar bahawa 313 tentara Muslimin tidak akan berjaya berdepan dengan kekuatan 1300 tentera musyrikin.Jauh sekali bandingan kekuatan jumlah bilangan,kenderaan tunggangan,senjata dan sebagainya.Namun,sebagai pengajaran kepada ummah sepanjang zaman,bahawa doa adalah senjata paling ampuh milik mukmin,Baginda SAW berdoa sepanjang malam.Mengangkat setinggi-tingginya kedua tangan sehingga menampakkan kedua ketiak Baginda dan mengalirkan air mata sehingga membasahi janggut Baginda sebagai tanda pengharapan yang sangat tinggi hanya kepada pertolongan,nusrah dan al fath dari Allah SWT.Baginda menyebut :

“Ya Allah,jika engkau biarkan kumpulan yang sedikit ini dibinasakan musah pada esok hari,nescaya tiada lagi yang akan menyembahMu di atas muka bumi ini selama-lamanya.Ya Allah,kurnikan kemenangan yang Engkau janjikan”


STRATEGI & DOA


Sahabat,kita tak nafikan kemantapan penyusunan strategi dan kekuatan material juga sangat penting.Tetapi di situ bukannya pergantungan kita.Perjuangan tetap akan diteruskan walau susah dan payah.Walau terlempar jauh dari manusia.Walau dicela orang yang mencela.Namun alangkah manisnya jika pergantungan kepada Allah melebihi segalanya.Amat malang bagi mereka yang berjuang bilamana bertauhidkan strategi!.Lebih malang lagi jika mereka itu,pimpinan gerakan Islam!


1994,Jalan Permata 9,Taman Permata
Hulu Kelang,Selangor

Istiqamah Mendokong Kebenaran


Saya diminta mengulas perihal apa yang teman - teman dalam Dewan Pemuda PAS Selangor telah lakukan sehingga berkocak juga ‘ketenangan’ yang tengah dinikmati dan diimpikan selalu dalam Pakatan Rakyat.Soalan mereka kepada saya bukan banyak pun. Soalan biasa kepada seorang yang bergelar ustaz macam saya. Berhikmahkah cara itu? Ya, ada satu lagi soalan lain yang mungkin sekadar membayangkan keresahan bahawa ketenangan dalam Pakatan Rakyat itu mungkin tak akan bertahan lama. Bunyi soalan, bagaimana nak layan dan memahamkan mereka ( regu dalam PR )?Saya jawab begini, hikmah itu cara melaksanakan hukum. Bincang dan fahami hukum dulu. Tuhan berkata, ” Serulah ( berdakwahlah ) kepada jalan tuhanMu dengan hikmah dan peringatan yang baik.”Allah menyuruh kita berdakwah. Wajib berdakwah. Dakwah itu adalah seruan kepada kebaikan, menyuruh kepada yang makruf dan melarang daripada yang mungkar.

Demikianlah sebahagian petikan Yang Dikasihi Ustaz Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz dalam blog beliau dalam mengulas tindakan sahabat-sahabat dalam Dewan Pemuda PAS Selangor yang menghantar memorandum bantahan konsert mungkar yang akan diadakan sempena Piala Sultan Selangor 6 Julai nanti yang melibatkan Ella & Mas Idayu kepada YAB MB Selangor.


Panjang artikel UNA tersebut namun adalah tidak lengkap jika saya tidak kemukakan bahagian yang paling menyentuh jiwa saya dari tulisan penuh barakah tersebut :


Hikmah bukan bererti lembut. Hikmah itu lembut dan keras.PAS adalah sebuah gerakan Islam. Kerjanya bergerak dan menggerakkan ke arah keagungan Islam. Ia bergerak menyatukan umat Islam di dalam Islam. Keagungan adalah dengan bersatu di dalam Islam. Kerja PAS adalah dakwah dan geraknya adalah gerak dakwah. Hikmah terbesar di dalam PAS adalah istiqamah. Ia tidak layu ketika rakan - rakannya layu. Ia bertahan ketika diasak dan ia bergerak ketika ruang diberi.Yakini, selagi istiqamah pakaian PAS, hikmah adalah jahitannya.


Betapa peritnya mendokong dan menggenggam syariat Islam di zaman fitnah ini.Agaknya kerana itulah Saiyyiduna Rasulillah SAW telah menyebut satu tawaran besar di dalam hadith Baginda :


“Maka barangsiapa yang menghidupkan sunnahKu (ajaranKu) di saat berlakunya fitnah keruntuhan iman dan aqidah serta kerosakan umatKu,maka baginya pahala yang menyamai 100 orang mujahid yang mati syahid di medan jihad”


Namun,syabas dan tahniah kepada Pemuda PAS Selangor yang istiqamah mendokong kebenaran.Agar kemenangan ini benar-benar menjadi nikmat tidak istidraj.


Sabda Rasulillah SAW :

“ Akan datang ke atas umatKu satu zaman.Mengamalkan Islam di zaman itu seumpama menggenggam bara api”


WalLahu ‘alamu bissowab wa ilaihil marji’u wal maab

Wednesday, June 18, 2008

Keputusan Petisyen Dun Sanglang

BismilLah,Wassolatu Wassalamu ‘Ala Saiyyidina RasulilLah.Waba’du,

Assalamualaikum,

Saya baru sahaja pulang dari mengikuti perbicaraan kes petisen DUN Sanglang (Ybhg Us Hashim Hj Jasin vs Hj Abdullah Hassan) di Mahkamah Tinggi Kangar.Mahkamah telah memutuskan bahawa kerusi DUN Sanglang ‘dikosongkan’ dan keputusan seterusnya diserahkan kepada SPR.Saya tertanya-tanya kenapa kes ini dibawa ke mahkamah kalau hanya keputusan ‘tidak cerdik’ seperti ini yang akan dibuat.Teman di sebelah kedengaran menyebut, “kalau keputusan macam ni,saya pun reti nak buat ustaz”.Dari awal lagi PAS Perlis menuntut agar kemenangan diistiharkan kepada Us Hashim Jasin berdasarkan bukti-bukti kukuh yang kita kemukakan.Bahkan dalam salah satu sesi penghakiman,mahkamah diperdengarkan pengakuan pihak SPR sendiri bahawa mereka telah tersilap membuat keputusan dalam kes Sanglang.Bagaimana pula tiba-tiba hari ini kes ini telah diserah kembali kepada SPR.Memeningkan dan gila!

KEADILAN HANYA DENGAN ISLAM

Inilah akibatnya jika undang-undang manusia digubal untuk menegakkan keadilan.Sedangkan Allah SWT yang maha adil telah menentukan undang-undang yang harus berjalan di kalangan hamabaNya.Sudah tentulah Allah SWT sebagai pencipta atau ‘tukang buat’ (meminjam istilah TG Nik Abdul Aziz) manusia sangat mengetahui bagaimana hendak menjelmakan keadilan di kalangan manusia.Dalam kes Sanglang ini contohnya,jika Hj Abdullah Hassan sendiri mengaku salah dan meminta supaya diistiharkan kemenangan kepada Us Hashim,maka mahkamah Islam pasti pada waktu itu juga akan mengembalikan hak kepada yang berhak.

Terbukti dalam sejarah Islam,Umar al Khattab telah mengarahkan agar ‘Amru al ‘Ash mengembalikan tanah milik Yahudi tua di Mesir yang diambil secara tidak sah .Kemudian Umar berwasiat dengan TAQWA dan ADIL kepada semua gabenor wilayah Islam.Umar sendiri sangat berlaku adil bilamana anak sendiri dihukum dengan hokum had seratus sebatan bilamana terbukti anak itu berzina.

Rasulullah SAW sendiri telah bersabda “ Demi Allah,jika Fatimah anakku mencuri,akan kupotong tanganna”.Inilah keadilan Islam.

Banyak masa dan wang ringgit yang habis dalam menuntut keadilan dalam kes Sanglang.Tiba-tiba keputusan bacul sang hakim mahkamah manusia membuat keputusan yang sangat tidak disangkakan.Bukanlah kemenangan Sanglang yang kita nakkan sangat,tetapi kita mahu melihat keadilan ditegakkan!
Wallau A'lamu Bissowab Wa Ilaihil Marji'u Wal Maab
Pusat Dakwah & Tarbiyyah Darul Islah,Kangar.

Tuesday, June 17, 2008

Berkata Benarlah....


Berkata benarlah walaupun pahit,itulah pesan salah seorang khalifah Rasulillah SAW yang mendapat jaminan berjalan di atas kebenaran iaitu Saiyyiduna Ali bin Abi Thalib KarramalLahu Wajhah.Sememangnya ucapan di atas tampak ringkas tetapi yang pastinya mempunyai makna yang sangat mendalam.Hakikatnya yang benar itu memang pahit untuk diterima.Lebih pahit lagi untuk dilaksanakan.Seperti senang memberikan nasihat,namun untuk menerima nasihat amatlah payah.Tetapi manusia yang ikhlas dalam keyakinan dan perjuangannya pasti akan berdiri teguh dengan kebenaran walau tinggal seorang diri demi mencari redha Ilahi.


Firman Allah SWT : “ Dan terdapat sebahagian dari manusia mereka yang sanggup untuk menggadaikan dirinya demi mendapatkan redha Allah SWT” - al baqarah : 207


Demikian ayat di atas menerangkan kepada kita bahawa akan ada manusia mukmin yang yakin dengan janji Allah SWT yakni redhaNya,akan menjual dirinya demi memberi janji tersebut.Walau terlempar jauh dari manusia dan dicela manusia yang mencela.


Bersabda Saiyyiduna Rasulillah SAW : “Akan senantiasa ada di kalangan umatku mereka yang berdiri di atas kebenaran” – al bukhariy


TAHNIAH KEPADA USTAZ AZMAN SYAFAWI

Secara peribadinya,saya bersyukur kepada Allah SWT yang mengurniakan thabat dan keteguhan jiwa kepada pimpinan perjuangan Islam seperti Ustaz Azman Syafawi (Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat).menyatakan dengan tegas bahawa Dewan Pemuda PAS sentiasa komited dengan penegakkan syariat Islam dalam pentadbiran negeri dan negara.Sejak beliau belajar di Al Azhar lagi,sememangnya beliau terkenal dengan kelantangannya.Lebih membanggakan lagi,bila pulang ke tanah air,terus terjun ke medan perjuangan.Sikap inilah harus ditiru oleh mahasiswa/wi yang lainnya lebih-lebih lagi graduan timur tengah.Menilai perjuangan Islam dari luar takkan sama dengan terjun bergelumang di dalamnya.


NAMPAK SAHAJA SENANG TAPI HAKIKATNYA SUSAH

Allah SWT memudahkan kemenangan Pakatan Rakyat dalam PRU ke 12 baru ini.Rata-rata pimpinan PR bercakap soal tak pernah disangka kemenangan akan menjengah di 5 negeri sekaligus.Bagi PAS khasnya,kemenangan di 5 negeri ini sememangnya di permudahkan oleh Allah SWT tetapi hakikatnya,tidak pernah ada jalan mudah untuk menegakkan cita-cita murni pelaksanaan keadilan syariah Islam.

Semalam,16 Jun 2008,Program Memperingati 60 Tahun Naqbah Palestine di adakan di Balai Islam MADI,Kg Jejawi Dalam Perlis.Ustaz Nor Azli Musa dalam ucapannya menyebutkan bahawa Bumi Suci Baitul Maqdis takkan dapat diambil balik melalui meja rundingan dengan Yahudi.Sejarah tidak pernah mencatatkan bahawa rundingan meja bulat telah berjaya mengambil balik Baitul Maqdis.tetapi apabila Solahuddin Al Ayyubi menggunakan kaedah Saiyyiduna ‘Umar al Khattab dalam mengatur langkah mengambil kembali Baitul Maqdis maka Allah SWT telah mengurniakan kejayaan kepafa beliau.Apakah kaedah itu?...JIHAD!

Dalam suasana terkini Malaysia tercinta,PR mesti menghormati AQIDAH dan dasar perjuangan PAS yang berjuang kerana ketaqwaan dan untuk menegakkan Syariat Allah dalam pentadbiran negara.Nescaya mereka yang memahami Islam akan mendapati bahawa hanya Islam yang dapat menyatukan seluruh umat manusia dengan segala prinsip keadilan dan kebaikan.

5 Jun 2008 yang lalu,Cikgu Khoo (penganut setia Buddha) telah berucap dalam satu majlis di Kangar,Perlis bahawa hanya Islam yang mampu membawa keadilan kepada umat manusia.Nah! Inilah bukti bahawa Islam dan pelaksanaan syariatnya boleh diterima oleh yang bukan Islam.Dengan syarat,faham Islam.

Kini terbukti bahawa perjuangan menegakkan Islam ini penuh dengan onak duri dan liku-liku tajam.Tiada jalan senang dan jalan pintas untuk menegakkan Syariat Islam.Tidak akan ada yang memberikan alasan melainkan yang TIDAK YAKIN!

Semoga Tinta Ulama' Amilin Ditimbang Dengan Darah Para Syuhadak


Dengan Nama Allah Yang Amat Pemurah Lagi Amat Penyayang,Segala Puji Bagi Allah Rabbul 'Alamin,Selawat Salam Semulia-Mulianya Buat Habibi Rabbil 'Alamin Saiyyiduna Muhammad Al Mustafa,Sekalian Ahlul Bait,Para Sahabah,Para Taabi'ien Dan Sekalian Yang Mengikut Mereka Hingga Yaumiddin.

Alhamdulillah,walaupun banyak yang tersengih dan tersenyum sinis bila dengar Ustaz Yussaine nak menulis dalam blog,dapat juga usaha kecil ini diteruskan.Dengan pertolongan Allah jua.Terima kasih khusus untuk Amirul dan yang lainnya.Tak lupa juga buat anakanda Muhammad Al faateh yang sibuk bergayut di bahu baba dan bising berkali-kali dengan kalimah ISLAM di lidah.Terima kasih juga buat zaujah tercinta kerana sudi buatkan segelas 'besar' milo kosong untuk menghilang dahaga sewaktu blog ini mula ditulis.

Rasa ingin bersama sahabat2 yang lain dalam medan dakwah yang sangat luas inilah menjadi peransang kepada usaha kecil ini.Di samping ingin juga belajar2 menulis.Ingin juga kongsi pengalaman dan ilmu dengan sahabat2 yang lain.Semoga Allah SWT kurniakan daku ilham yang sofiy,hati yang ikhlas dan istiqamah serta sebaik2 pembantu dalam kerja buat yang kecil ini.Dan semoga TINTA PARA ULAMA' DITIMBANG ALLAH DENGAN DARAH PARA SYUHADA' DI AKHIRAT KELAK.

Friday, March 7, 2008

Brek.....


Saya amat meminati tazkirah yang disampaikan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Kerana isinya yang tepat dan padat. Walaupun dalam nada suara yang lemah lembut tapi amat menyentuh hatu nurani. Yang palin istimewa ialah kiasan-kiasan yang digunakan oleh TGNA dalam ucapan beliau. Bahasa kiasan yang beliau gunakan amat indah sekali dan memudahkan kefahaman terhadap isu yang dibincangkan.

Antara cirri-ciri khas ucapan TGNA adalah sering kedengaran beliau menyebut soal mati,akhirat, mahsyar, mizan, sirath , syafaat dan lain-lain lagi. Pada saya,seolah-olah tazkirah tentang zikrul maut ini menjadi ‘rukun’ ucapan TGNA.

Saya pernah membaca satu tulisan TGNA tentang pentingnya zikrul maut. Beliau menyebut bahawa ;

“Seorang pemandu kenderaan yang cermat pasti menjaga ciri-ciri keselamatan, bukan sekadar memandu dengan berhati-hati dan mematuhi peraturan jalan raya, malah dia juga tidak lupa meneliti kenderaan sebelum memandunya. Sekalipun enjin dalam keadaan baik, namun mereka belum boleh berpuas hati sebelum meneliti lain-lain peralatan penting. Di antara perkara utama ialah mempastikan samada brek dalam keadaan baik, kerana brek merupakan perkara utama untuk menjaim keselamatan di jalan raya.

Begitulah juga dalam kehidupan manusia memerlukan ciri-ciri keselamatan, bagi menjamin keselamatan hidup manusia di dunia dan terutamanya ialah keselamatan di akhirat. Seperti kenderaan tadi, manusia juga selain dari tidak lalai dan sentiasa waspada dalam mengharungi liku-liku hidup yang penuh pancaroba, dia juga mesti mempunyai brek bagi mempastikan dirinya tidak terbabas sehingga melampaui batas Allah SWT. Maka brek dalam kehidupan kita adalah ingat mati. Bila kita selalu ingat mati maka kita akan ‘tekan brek’ di hadapan maksiat dan perkara yang Allah larang”

Dunia hari ini mewah dengan maksiat dan dosa serta jenayah yang berlaku di kalangan manusia termasuk di kalangan muslimin. Baru-baru ini PDRM mengeluarkan kenyataan bahawa 8 kes rogol berlaku dalam sehari di Malaysia.Semua ini kerana rosaknya iman di dalam jiwa manusia.

Bila kita mengingati mati, kita akan sentiasa memelihara diri dari kemurkaan Allah SWT. Pemimpin akan beramanah, rakyat akan berakhlak dengan baik, orang miskin akan redha dengan kemiskinannya dan mahu mengambil pahala sabar. Masing-masing akan berhati-hati dengan ucapan dan tindakan kerana semuanya sedar bahawa mereka akan bertanggungjawab di hadapan Qadhi Rabbil Jalil.