Monday, December 1, 2008

Hormat Atau Patuh??

BismilLah wal hamdulillah wassolatu wassalamu ‘ala Saiyyidina Rasulillah, wa ba’du ;


Salam Islah,


Saya ingin memberikan beberapa ulasan mengenai fatwa senaman yoga yang telah dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan baru-baru ini.


Pertama ; Perkataan menghormati fatwa hanya sesuai digunakan untuk orang bukan Islam. Mereka sememangnya sangat dituntut untuk menghormati fatwa yang melibatkan hukum dan syariat Islam. Sementara untuk umat Islam, perkataan yang mesti digunakan untuk mereka ialah, umat Islam mesti mematuhi fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa. MF ada autoriti dalam hal ini. Ahli MF semuanya berilmu dan sangat dipercayai dan diyakini kemampuan keilmuan masing-masing. Saya yakin mereka tidak punya sebarang kepentingan peribadi dalam hal ini. Dalam sebuah negara yang agama rasminya adalah Islam, tambahan pula dengan konsep Islam Hadhari yang di perkenalkan, sepatutnya fatwa berkaitan hukum Islam tidak menjadi masalah dan sebab kepada perbalahan.


Firman Allah SWT :


“Bagi tiap-tiap umat, Kami adakan satu syariat yang tertentu untuk mereka ikuti dan jalankan, maka janganlah ahli-ahli syariat yang lain membantahmu dalam urusan syariatmu; dan serulah (Wahai Muhammad) umat manusia kepada ugama Tuhanmu, kerana sesungguhnya Engkau adalah berada di atas jalan yang lurus. Dan jika mereka mengemukakan bantahan kepadaMu, maka katakanlah: Allah amat mengetahui akan apa yang kamu lakukan.” Surah Al Hajj : 67-68


Kedua : Sebab utama kepada pengharaman yoga adalah bacaan mantera hindu yang mengandungi unsur penyatuan dengan tuhan yang sememangnya sangat ditegah dan dilarang serta membawa kepada kesyirikan kepada Allah SWT. Unsur penyatuan dengan tuhan adalah salah dan tertolak kerana Allah itu Esan dan Tunggal yang tidak ada seorang pun dari makhluk ini yang boleh menyerupai Allah SWT apatah lagi berupaya untuk menyatu dengan Allah SWT.


Firman Allah SWT :


“Katakanlah (Wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; "Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; Ia tiada beranak, dan ia pula tidak diperanakkan; Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya". Surah Al Ikhlas : 1-4


Ketiga : Ada individu yang membuat laporan polis terhadap fatwa ini kerana kononnya fatwa ini mengandungi unsur perkauman. Sudah barang tentu ada orang yang kecewa dengan fatwa ini. Bukan sahaja taukeh yoga, bahkan pendakyah Hindu juga akan merasakan kerugian dengan fatwa ini kerana usaha mereka untuk menerapkan ajaran agama hindu di kalangan bukan hindu akan terbantut. Saya merasa pelik kenapa isu perkauman yang ditimbulkan. Ini yang saya katakan bahawa Perdana Menteri mestilah memberi amaran kepada bukan Islam supaya mereka mesti ‘menghormati’ fatwa institusi Islam ini. Fatwa ini adalah perkara yang berkait dengan agama Islam. Ianya adalah untuk umat Islam dan bertujuan menjaga serta memelihara aqidah umat Islam.


Firman Allah SWT :


“ Katakanlah (Wahai Muhammad): "Hai orang-orang kafir!. Aku tidak akan menyembah apa Yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) Yang Aku sembah. Dan Aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara Aku beribadat. Bagi kamu ugama kamu, dan bagiku ugamaku". Surah Al Kafirun : 1-6


Keempat : Betapa kecewanya kita dengan seorang umat Islam yang memprotes fatwa ini kerana katanya dia sudah 5 tahun mengamalkan yoga namun aqidahnya tidak pun terpesong. Subhanallah!. Bagaimana boleh dikatakan tidak terpesong jika ada unsure mensyirikkan Allah SWT. Inilah yang dikatakan syirik. Ada yang jelas dan ada yang tersembunyi. Yang tersembunyi inilah yang payah dikenali kecuali dengan mengaji. Rasulullah SAW sendiri memohon perlindungan dari syirik. Rasulullah berdoa pagi dan petang :


“Ya Allah, aku berlindung denganMu daripada mensyirikkan Engkau dengan sesuatu yang aku ketahui (syirik jelas), dan aku mohon ampun padaMu ya Allah daripada aku menyengutukan Engkau dengan sesuatu yang tidak aku ketahui (syirik tersembunyi)” – rujuk al Ma’thurat bagi Al Imam Hassan Al Banna.


Betapa mereka yang sudah lama beramal dengan yoga ini berada di dalam dosa syirik. Dan sekarang ini ianya telah dijelaskan dengan fatwa ulamak maka bertaubatlah. Nescaya Allah mengampunkan kesilapan yang lalu.


Firman Allah SWT :


“Maka adakah orang-orang kafir menyangka bahawa mereka mengambil hamba-hambaKu sebagai makhluk-makhluk yang disembah, selain daripadaKu, dapat menolong mereka? Sesungguhnya Kami telah sediakan neraka jahannam bagi orang-orang kafir itu sebagai tempat tetamu. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya?. (Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan". Merekalah orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan dengannya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka akibatya Kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka, pada hari kiamat kelak.(Mereka Yang bersifat) demikian, balasannya neraka Jahannam, disebabkan mereka kufur ingkar, dan mereka pula menjadikan ayat-ayatKu dan Rasul-rasulKu sebagai ejek-ejekan.” Surah al Kahfi : 102-106


Wallahu waliyyu at taufiq.

Darul Islah : 11.12 malam.


No comments: