Thursday, January 1, 2009

Sirah : Bekerja...

Semasa Nabi Muhammad SAW berumur enam tahun, ibunya Aminah meninggal dunia. Oleh itu, baginda kemudian dipelihara oleh datuknya Abdul Muttalib, ketua Mekah. Walaupun Abdul Muttalib ketua Mekah tetapi hidupnya miskin kerana hartanya dihabiskan untuk memberi khidmat dan melayan tetamu-tetamu Kaabah.

Sejak daripada itu, boleh dikatakan sejak kecil Nabi Muhammad belajar kehidupan sebagai seorang fakir miskin dan menjadi anak muda yang tahan lasak. Nabi juga menjadi orang yang benar-benar tahu bagaimana kehidupan fakir miskin. Nabi sentiasa menemani datuknya Abdul Muttalib dalam majlis-majlisnya. Selama dua tahun baginda menghadiri semua majlis-majlis Abdul Muttalib yang sentiasa menerima kunjungan dariapada pembesar-pembesar Arab.

Apabila Nabi Muhammad berusia lapan tahun, Abdul Muttalib pula meninggal dunia. Muhammad kemudian dibela pula oleh bapa saudaranya Abu Talib yang juga ketua Mekah, menggantikan ayahnya Abdul Muttalib. Abu Talib lebih miskin daripada Abdul Muttalib. Anak-anaknya semua bekerja membantu kerja-kerja Abu Talib. Dengan bebanan yang terpaksa ditanggung oleh Abu Talib, maka Nabi Muhammad turut mula bekerja dengan sepupunya membantu meringankan tanggungan Abu Talib. Muhammad bekerja sebagai penggembala kambing bagi ahli keluarga dan penduduk Mekah. Oleh yang demikian, Nabi Muhammad selalu berada di padang pasir, di luar daripada kesibukan kota Mekah. Kadang-kadang berhari-hari dan bermalam-malam Nabi tidak balik ke Mekah.

Tempoh Nabi Muhammad bekerja sebagai gembala kambing agak lama iaitu daripada usia lapan tahun hingga baginda berusia dua puluh satu tahun. Rasulullah SAW pernah menyebut tentang dirinya, “Aku dahulu menggembala kambing penduduk Mekah dengan upah beberapa qirath. Dalam hadis lain ada menyebut, “Tidak ada nabi, melainkan semuanya pernah menggembala kambing”.

Kita melihat bahawa Rasulullah sudah mula bekerja sedari usianya masih muda iaitu ketika di alam remaja lagi. Terdapat beberapa pelajaran bagi kita tentang usaha Rasulullah SAW ini yang boleh dijadikan sautu motivasi bermakna bagi diri kita.

Pertama, selera tinggi dan perasaan halus yang dengan kedua-duanya ini Allah “memperindah” keperibadian Nabi-Nya, Muhammad SAW. Bapa saudaranya Abu Talib mengasuh dengan penuh kasih sayang sebagai seorang bapa. Namun begitu, dengan sifat Rasulullah dan merasakan kemampuan untuk bekerja, baginda segera melakukannya dan berusaha sekuat tenaga untuk meringankan sebahagian beban nafkah bapa saudaranya. Walaupun hasil yang diperolehi daripada hasil pekerjaan yang dipilih Allah tersebut tidak begitu banyak dan penting bagi Abu Talib, namun ia merupakan akhlak yang mengungkapkan rasa syukur, kecerdasan watak dan kebaikan perilaku.

Kedua, berkaitan dengan penjelasan tentang bentuk kehidupan yang diredhai Allah untuk para hamba-Nya yang soleh di dunia ini. Sangatlah mudah bagi Allah mempersiapkan Nabi SAW sejak awal kehidupannya dengan segala sarana kehidupan dan kemewahan yang dapat mencukupi, sehingga tidak perlu lagi memeras keringat menggembala kambing.

Tetapi, hikmah Ilahi menghendaki agar kita mengetahui bahawa harta manusia yang terbaik adalah harta yang diperoleh daripada usaha sendiri, dan memberi manfaat kepada masyarakat dan saudaranya. Sebaliknya harta yang terburuk ialah harta yang diperolehi seseorang tanpa bersusah payah atau tanpa memberi kemanfaatan kepada masyarakat.

Ketiga, hidup di padang pasir jauh daripada kesibukan orang ramai. Ia juga adalah satu proses pendidikan. Dengan itu baginda Nabi SAW belajar mengasihi binatang-binatang ternakan.

Keempat, merujuk kepada hadis “Tidak ada nabi, melainkan semuanya pernah menggembala kambing”, para ulama mencungkil kelebihan-kelebihannya. Mereka berkata, “Orang yang menggembala kambing selalu berada di padang pasir. Ini menyebabkan dia selalu bersendirian. Orang yang selalu bersendirian mempunyai banyak masa berfikir, meneliti dan melihat kebesaran Tuhan pada langit, matahari, bulan, bintang, awan dan alam sekelilingnya. Mereka juga akan dapat menilai diri atau muhasabah dirinya. Keadaan ini menjadikan jiwanya bersih dan jernih. Tetapi bagi orang yang hidup di bandar yang sibuk, kehidupan yang begitu sibuk itu tidak memberi ruang kepadanya berfikir, meneliti dan mengkaji apa lagi untuk selalu memuhasabah diri”.

Kelima, para aktivis dakwah (dakwah apa saja), dakwahnya tidak akan dihargai orang bila mana mereka menjadikan dakwah sebagai sumber rezekinya, atau hidup daripada mengharapkan pemberian dan sedekah orang.

Oleh itu, para aktivis dakwah Islam merupakan orang yang paling patut untuk mencari ma’isyah (nafkah)-nya melalui usaha sendiri atau sumber yang mulia yang tidak mengandungi unsur meminta-minta, agar mereka tidak “berhutang budi” kepada seorang pun yang menghalanginya daripada menyatakan kebenaran di hadapan “investor budi”.

Hakikat ini, kendatipun belum terlintas dalam fikiran Rasulullah SAW pada masa itu kerana baginda belum mengetahui bahawa dirinya akan memikul urusan dakwah dan risalah ilahi, tetapi manhaj yang ditetapkan Allah untuk itu telah mengandung tujuan ini. Ini juga menjelaskan bahawa Allah menghendaki agar tidak ada sesuatu pun daripada kehidupan Rasulullah SAW sebelum bi’tsah yang menghalangi jalan dakwahnya, atau menimbulkan pengaruh negatif terhadap dakwahnya seseudah bi’tsah.

Daripada sirah yang tersebut ini jelas kepada kita bahawa Rasulullah SAW sendiri sejak dari usia yang masih muda telah berusaha sendiri untuk menampung kehidupan. Apa yang pasti manusia dijadikan untuk beribadah kepada Tuhannya, Allah. Konteks beribadah bukan sekadar perintah-perintah wajib Allah sahaja dalam beramal ibadah tetapi ia juga melibatkan bagaimana manusia mengurus kehidupan itu sendiri. Di dalam Al-Quran Allah berfirman bahawa bekerja adalah aktiviti yang mulia dan sangat penting bagi kehidupan manusia.

“Dan Kami jadikan siang untuk mencari penghidupan” ( Q. An-Naba’ (78):11) Dalam firman Allah yang lain, “Tidak ada dosa bagimu untuk mencari kurnia (rezeki hasil perniagaan) dari Tuhanmu. Maka apabila kamu telah bertolak dari ‘Arafat, berzikirlah kepada Allah di Masy’aril Haram. Dan berzikirlah (dengan menyebut) Allah sebagaimana yang ditunjukkan-Nya kepadamu; dan sesungguhnya kamu sebelum itu benar-benar termasuk orang-orang yang sesat”. (Q. Al-Baqarah (2):198)

Dalam kitab Minhaj Al-Qashidin disebutkan, “Ketahuilah, Allah SWT dengan kelembutan dan kebijakan-Nya telah menjadikan dunia ini sebagai tempat kehidupan dan kematian. Manusia sebagai pelakunya dituntut untuk mengharungi dengan penuh aktif dan penuh berhati-hati. Ini kerana esensi kehidupan ini adalah sebuah ujian untuk menentukan yang terbaik di antara mereka dalam bekerja, beramal, dan berinteraksi dengan sesamanya dan Tuhannya.
Oleh itu Islam mendorong manusia untuk bekerja dengan sebaik-baiknya”.

Bekerja dengan sebaik-baiknya boleh diertikan sebagai bekerja dengan penuh ketekunan, dengan titik peluh sendiri dan mencari rezeki yang halal. Dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh Abu Nu’aim menyebut “mencari rezeki yang halal adalah jihad” dan sabda Rasulullah SAW diriwayatkan oleh Thabrani “Sesungguhnya Allah mencintai hamba yang bekerja”. Sabda Rasulullah lagi dalam hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari,

“Tiada makanan paling baik yang dimakan oleh seseorang melebihi hasil kerja tangannya sendiri, dan sesungguhnya Nabi SAW Daud telah makan dari hasil usaha tangannya”.

Ibnu Abbas RA berkata, “Nabi Adam AS adalah pembajak tanah, Nabi Nuh AS adalah tukang kayu, Nabi Idris adalah tukang jahit, Nabi Ibrahim dan Nabi Luth AS adalah petani, Nabi Soleh AS adalah pedagang, Nabi Daud AS adalah tukang besi, manakala Nabi Musa AS, Nabi Syu’aib dan Nabi Muhammad SAW adalah penggembala kambing”.

Imam Ahmad bin Hanbal pernah ditanya, “Apa pendapat anda tentang orang yangs selalu duduk-duduk di rumah atau di masjid, lalu berkata, “Aku tidak mahu bekerja hingga rezekiku datang sendiri?” Imam Ahmad menjawab, “Mereka adalah orang yang tidak memiliki ilmu pengetahuan. Apakah mereka tidak pernah mendengar sabda Rasulullah SAW “Sesungguhnya Allah telah menjadikan rezekiku di bawah bayang-bayang tombakku?”

Beberapa saat kemudian baginda berkata, “Burung terbang pada pagi hari dengan perut yang kosong dan pulang pada petang hari dengan perut yang kenyang”.

Daripada kata-kata Rasulullah ini jelas bahawa rezeki tidak akan datang bergolek tanpa kita berusaha untuk mendapatkannya. Dan seharusnya cara untuk mendapatkannya perlu dengan cara yang benar dan halal di sisi Islam.

Seperti yang kita sedia maklum bahawa salah satu ciri 10 muwasofat memenuhi keperibadian muslim adalah mengurus dan bekerja sendiri. Imam Hasan Al-Banna ada menyebut tentang tuntutan seorang muslim bahwa setiap muslim harus mampu berusaha dan tidak perlu bercita-cita untuk bekerja kerajaan. Bahkan ia harus menyukai pekerjaan mandiri yang produktif. Kerana itu Imam Hasan Al-Banna berusaha keras mendirikan badan-badan usaha perekonomian yang berhubung dengan kegiatan jamaah untuk mengaktifkan metode Islam dalam berekonomi jauh dari riba dan transaksi haram yang lain serta mendukung harakah Islamiyah.

Justeru, bagaimana kita sebagai “khairu ummah” dan penerus sunnah Rasulullah meletakkan diri kita sebagai umatnya?
“Ketuk kepala tanyalah iman di dada!”

No comments: