Saturday, June 28, 2008

Pasti Kita Mengajak Ummah Kepada Aqidah


Ketika Rasulullah SAW mengutuskan Mua’z Ibn Jabal r.a ke Yaman,Baginda berpesan ;


“ Wahai Mua’z, sesungguhnya engkau akan pergi kepada satu kelompok manusia dari kalangan Ahlul Kitab, maka apabila engkau sampai ke sana nanti hendaklah engkau mengajak mereka kepada menerima bahawa tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah dan bahawa Muhammad itu adarah pesuruh Allah SWT. Apabila mereka menerima dan memahami yang demikian itu, barulah engkau seru mereka supaya menunaikan solat ……sehingga akhir hadith”


Demikian arahan Nabi kepada sang pendakwah yang bernama Mua’z ibn Jabal supaya memulakan dakwahnya di Yaman dengan mengajak manusia kepada aqidah yang sahih. Aqidah yang berteraskan Al Quran dan As Sunnah.


Perjuangan yang benar adalah perjuangan yang mengajak manusia kepada aqidah,ibadah dan akhlak Islam serta kesyumulan Islam. Perjuangan Islam bersifat Rabbani (datang dari Allah) yang segala peraturan dan manhajnya adalah dari Allah SWT. Tiada campur tangan manusia sama sekali. Manusia hanya dibenar mengolah dengan jalan yang terbaik dan cara yang ditunukkan oleh petunjuk Nabi SAW.


“Katakanlah: "Inilah jalan (agama) ku, Aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujjah yang nyata, Maha Suci Allah, dan Aku tiada termasuk orang-orang yang musyrik". Yusuf : 108


KENAPA AQIDAH


Kerana dengan aqidah sahaja manusia mempertautkan hubungannya dengan Allah SWT maka inilah dakwah pertama sekalian nabi dan rasul. Ketika dalam perjalanan pulang dari Kota Bharu petang tadi, saya menatap akhbar METRO yang menyiarkan kisah seorang ibu yang cuba menyuap racun rumpai ke mulut kedua anaknya. Terkejut dan terkedu bukan kepalang melihat senario masyarakat hari ini. Bila kita teliti, nescaya jawapannya adalah kayakinan dan kepercayaan atau dengan kata lain aqidah yang setipis kulit bawanglah penyebabnya. Ibu tadi tertekan dan terhimpit dengan hutang. Kalau kita berada di tempat dia mungkin kita juga tak keruan jadinya. Namun kita pohon rahmat Allah agar memberikan kita kekuatan dengan aqidah dan pergantungan kita kepada Allah menjadi tunjang kehidupan kita.


Aqidah mengajak kita percaya adanya Tuhan yang namaNya Allah. Di sinilah bermula segalanya. Kekuatan, kegagahan, kecemerlangan, kegemilangan, modal insan, khaira ummah, jihad, syahid, tamadun, peradaban dan sebagainya. Dari noktah inilah Rasulullah SAW mengorak langkah. Ramai yang mengaku Islam tidak menunaikan tanggungjawabnya pada hari ini. Solat contohnya, ramai sangat yang abaikan solat. Kenapa dan mengapa? , maka jawapannya ialah rasa tidak bertuhan. Ubat untuk mereka hanyalah menanam aqidah dan keyakinan bahawa mereka punya tuhan!.


Aqidah mengajak kita supaya mengamalkan Islam secara menyeluruh. Firman Allah SWT :


“Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.” Al Baqarah : 208


Mengamalkan Islam separuh-separuh adalah antara perkara yang merosakkan aqidah. Dengan sebab itulah setiap perjuangan yang berteraskan Islam diistiharkan untuk mengajak manusia kepada Islam yang menyeluruh.


Sahabat, politik adalah sebahagian dari sunnah fi’liyyah Rasulillah SAW. Baginda berpolitik. Ada sesiapa yang mahu menafikan ??. Soal Rasulullah menubuh parti atau tidak itu adalah persoalan cara dan kaedah yang bersesuaian di setiap zaman yang diiktiraf oleh sunnah. Siapa lagi yang mahu menafikan??. Jangan kata saya marah dan mengajak kepada ummah kepada kemarahan. Kerana mengabaikan sunnah politiklah, Islam masih ditakuk lama. Mahu melaksanakan Islam dengan seminar dan kursus sahaja tidak akan sama sekali menjadi. DR MAZA Mufti Perlis sendiri nampaknya semakin hampir kepada menyertai politik. Takkanlah tokoh as Sunnah ini tersilap memilih jalan dengan lantang mengkritik pemerintah dan mengajak ummah ‘marah’ kepada pemerintah sari dua ini?.


ISLAM DAN KUASA


Menegakkan agama Allah SWT mesti punya kuasa. Demikianlah yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW di Madinah. Baginda membela maruah agama dengan kuasa yang dikurniakan Allah kepada Baginda. Bila ‘penguasa’ merompak harta rakyat, menipu umat dan menolak pelaksanaan Syariat Islam tanpa alasan yang kukuh, maka ia adalah dikernakan tiadanya kuasa mutlak agama di negara ini. Bukankah disaat ini menjadikan Islam berkuasa adalah wajib?

No comments: