Salam perjuangan buat sahabat sekalian,
Tuan Guru Nik Abdul Aziz memulakan ucapan perasmian Muktamar Ulama', Pemuda & Muslimat dengan menegaskan bahawa perjuangan bukanlah satu pilihan sebaliknya ia adalah kewajipan yg wajib ditunaikan oleh setiap Muslim terhadap agama dan Tuhannya.Saya memahami taujihat tersebut sebagai sebuah tazkirah yang paling bermakna dalam ucapan Tuan Guru buat semua ahli dan pimpinan PAS bahkan ia adalah mesej yang jelas buat sekalian umat.
Dalam kelekaan ummah yang terus dibuai mimpi 'cinta dunia' serta hanyut dipukul ombak 'al wahnu', maka peringatan TGNA adalah ibarat guruh yang berdetum kuat dilangit lalu menggoncang hati dan perasaan agar terus menggenggam erat bara perjuangan serta mengemudi bahtera perjuangan sepanjang hayat sehingga sampai ke destinasinya ; menang atau syahid.
Rasulullah saw pernah mengingatkan bahawa kita pasti akan bersua wajah dengan satu saat di mana umat hanya mementingkat pangkat dan perut. Budaya gila dunia akhirnya menghancurkan umat serta melemahkan keyakinan terhadap janji-janji Allah SWT. Pemimpin gila dunia serta ulama' hamba dunia juga akhirnya merosakkan ummah. Betapa besarnya perjuangan kita untuk mengembalikan diri serta umat kepada keredhaan Allah SWT.
Tuan Guru juga memperingatkan ulama' agar senantiasa berada di hadapan dalam memandu ummah kepada kebenaran Islam. Umat Melayu dalam negara tercinta ini mesti disirami 'segera' dengan siraman kebenaran Islam. Faham yang memisahkan antara agama dan kehidupan telah terbukti menjadi racun yang merosakkan agama,bangsa dan negara.
TGNA memetik ucapan Hujjatul Islam al Imam al Ghazali 'alaihi rahmatul Baari bahawa ulama' adalah garam Allah di muka bumi. Bererti ulama' adalah penyelamat umat dari kerosakan seperti garam yang menyebabkan ikan tahan lama dengan kemasinannya.Kata TGNA, bagaimana pula jika ulama' itu sendiri tidak masin?.
Akhirnya TGNA mengingatkan kita para pejuang agar mengikhlaskan segala kerja buat kita untuk Allah semata-mata tidak kerana yang lainnya. Saya kira, inilah pesanan yang paling penting yang akan menjadi vitamin kepada kepada untuk terus cergas cerdas memacu perjuangan kerana perjuangan kerana selain Allah itu pasti akan kecundang di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat.
No comments:
Post a Comment