Saturday, July 25, 2009

Islam, Agama Yang Mementingkan Nasihat


Oleh ~ Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang

Nasihat menjadi tonggak penting dalam agama Islam, agar kebenaran dapat ditegakkan dan kebatilan dapat dimansuhkan. Peranan untuk menegakkan nasihat menjadi kewajipan seluruh umat di semua peringkat dan lapisan. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : "Agama itu adalah nasihat." Para sahabat bertanya: "Untuk siapa? Sabda Rasulullah s.a.w: "Untuk Allah, Rasul-Nya, untuk kitab-Nya, untuk para pemimpin dan orang ramai." - Hadis Sohih riwayat Imam Muslim dalam kitab al-Imam.

Nasihat untuk Allah ialah dengan menepati hukum-Nya, menegakkan agama-Nya dan hukum-hakam-Nya kerana Allah semata-mata. Bukan kerana mengampu, sehingga tidak berani untuk mencegah kemungkaran, tetapi hanya menyuruh yang baik secara terhad dan menjadi pengecut untuk mencegak kezaliman yang dilakukan oleh pemimpin yang berkuasa di dalam negara.

Umat Islam menjadi bertambah malang dengan kewujudan mereka yang disebut oleh Imam al-Ghazali di dalam kitabnya 'Ihya' 'Ulumddin' sebagai 'ulama su' yang bersekongkol dengan mereka yang zalim serta sanggup menjadi syaitan bisu. Ini dilakukan kerana takutkan manusia sama seperti takutkan Allah SWT, atau lebih daripada takutkan Allah atau menganggap rezekinya di tangan pemerintah bukannya datang daripada Allah SWT.

Nasihat untuk Rasulullah pula ialah dengan menjadikan baginda contoh teladan di dalam semua perkara. Juga nasihat agar menepati sunnahnya dan meneruskan ajarannya setelah baginda wafat. Nasihat kerana Rasulullah sentiasa hidup, tidak wafat dengan kewafatan baginda, juga mencontohi keberanian baginda yang tidak gentar menghadapi sesiapa, walaupun kuasa besar dunia yang zalim.

Juga percaya kepada amanat Rasulullah s.a.w di dalam hadis yang sohih bahawa menasihati kerajaan yang zalim adalah jihad akhbar (paling besar). Manakala riwayat yang menyatakan jihad hawa nafsu adalah paling besar, adalah dikira hadis daif, bahkan ada ulama hadis yang menyenaraikannya daripada kalangan hadis palsu, iaitu bukan hadis, tetapi kata-kata seorang yang bernama Ibrahim bin Ablah.

Nasihat kerana kitab Allah ialah dengan menegakkan isi kandungannya dalam segenap aspek. Ia termasuk akidah, syariat, akhlak, dan sistem kehidupan seluruhnya termasuk dalam perkara undang-undang supaya diamalkan dengan tepat. Juga menasihati mereka yang tidak beramal dengan cara yang tidak tepat supaya memperbetulkannya dengan cara menepati matlamat hukum yang terdapat di dalam kitab Allah Yang Maha Adil lagi Maha Bijaksana.

Melalui nasihat, pemimpin berpeluang membetulkan rakyatnya yang tidak betul, bahkan berpeluang untuk membetulkan dirinya sendiri supaya menjadi contoh kepada rakyat. Nasihat juga mengajarnya untuk bersikap kepadanya dan dia tidak melenting apabila benar-benar melakukan kesilapan, kerana pemimpin adalah mahkluk manusia yang tidak boleh berlagak menjadi Tuhan.

Nasihat juga menjadi hak rakyat, untuk memberi nasihat kepada pemimpin dan menerima nasihat di kalangan mereka serta menerima nasihat daripada pemimpin. Rakyat juga berperanan untuk menasihati pemimpin, sekiranya pemimpin mereka menyeleweng. Hak rakyat untuk memberi nasihat tidak boleh dinafikan oleh kerajaan.

Allah berfirman melalui surah al-'Asr yang bermaksud: "Demi Mass! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal salih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan sabar."

Tetapi kewajipan nasihat ini telah diabaikan kerana terdapat sindrom yang melanda umat Islam di negara kita hingga ke tahap yang sangat membimbangkan.

Sindrom yang mengongkong para pemimpin : Negara dikepalai oleh barisan kepimpinan yang diikat dengan budaya menonjolkan diri dengan membariskan pimpinan bawahannya semata-mata untuk membina kekuatan kedudukannya, iaitu membariskan pelapis yang takut kepada siapa sahaja yang menjadi pemimpin utama. Pekara ini menyebabkan kita diperintah oleh kalangan yang tidak dapat membetulkan kelemahan-kelemahan yang berlaku.

Antara punca yang menimbul gejala ini ialah perkara-perkara berikut:

Hub al-Riasah wa al-Jah (Rakus untuk menjadi pemimpin dan gila kuasa.

Sifat ini menyebabkan seseorang sanggup melakukan apa sahaja untuk menaikkan dirinya, bukan sahaja sanggup mebaurkan wang, bahkan sanggup mengorbankan kawan sendiri. Berkawan bukan kerana Allah tetapi kerana ada kepentingan untuk naik lebih tinggi.

Dalam Umno, penghormatan yang sewajarnya tidak lagi diberi kepada orang yang sudah jatuh, yang dikira tidak boleh memberi apa-apa kepada orang lain, seperti Tun Musa Hitam dan Tun Ghafar Baba. Apa yang berlaku kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim adalah malapetaka daripada sifat yang buruk ini.

Sebenarnya beliau dijatuhkan kerana adanya unsur perebutan kepimpinan. Tuduhan-tuduhan yang mengheret beliau ke mahkamah dipercayai oleh kebanyakan orang sebagai penyangkut yang dicipta untuk menjatuhkan beliau. Hanya segelintir rakan-rakan daripada Umno yang menunjukkan semangat persahabatan dan terlalu sedikit yang sanggup bersama. Kebanyakan mereka selama ini lebih bersemangat mangampun untuk kepentingan diri masing-masing.

Penyakit ini menyebabkan pemimpin tidak mendapat pertolongan dan keberkatan Allah S.W.T. Sangat benar sabda Rasulullah s.a.w kepada sahabatnya iaitu Abdul Rahman bin Samurah maksudnya: "Wahai Abdul Rahman Samurah! Janganlah anda meminta untuk menjadi ketua. Jika sesuatu jawatan yang diberi kepadamu kerana permintaan engkau sendiri, nescaya ia akan diserakan kepadamu tanpa pertolongan. Sekiranya ia diberi kepadamu tanpa engkau memintanya, nescaya engkau akan diberi pertolongan." (Hadis Sohih riwayat Imam Bukhari dalam kitab al-Ahkam)

daripada buku 'Qazaf mangsa fitnah, halaman 45-49

Dengan NamaMu Aku Hidup ~ TGNA


Dapatkan karya terbaru Tuan Guru al Mursyidul 'Am Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat ~ untuk keterangan lanjut, sila hubungi www.anbakri.com


Kelebihan Negeri Serambi Mekah

Nota dari jihadtegakislam.blogspot : Biarlah orang kata copypaste pun, tak mengapalah. Tapi artikel ini memang ana nak sangat direkodkan di dalam blog ini. Ada nilai tarbawi yang tinggi !

Oleh : AL-BRANGI ~ Baru pulang dari Negeri 'Serambi Mekah'. Perubahan yang jelas ketara ialah Pasar Siti Khadijah dan Pasar Malam Wakaf Che Yeh sudah bertambah bersih walaupun masih ada ruang untuk mempertingkatkan kebersihannya.

Saya amat yakin rakyatnya amat sayang kepada negeri mereka, sehingga ada yang melabelkan rakyatnya sebagai kuat semangat kenegeriannya. Saya amat sokong 'tag' tersebut dari sudut positifnya. Saya rasa jika kempen kesedaran berkaitan dengan menjaga kebersihan, negeri Kelantan lebih mendahului daripada negeri-negeri lain.

Dalam politik mereka menggunakan semangat kenegerian mereka untuk memilih pemimpin yang boleh memandu mereka ke arah yang diredhai oleh Allah dunia dan akhirat walaupun calon tersebut berasal dari luar.

Pengamatan saya secara rambang semasa mengunjungi Pasar Malam Wakaf Che Yeh selama dua malam berturut-turut, saya dapati pengunjung daripada negeri lain (berdasarkan slang percakapan mereka) amat kurang kesedaran sivik mereka kerana membuang kulit rambutan dan puting rokok di tepi-tepi jalan walaupun tong sampah disediakan.

Satu lagi kelebihan dan kekuatan peniaga-peniaga negeri ini, mereka dengan senyum menarik, peramah dan tak lekang mengamalkan akad jual beli. Perkataan-perkataan seperti, "Raso jo, tak beli tak apo." "Jual deh". (Rasa saja, tak beli tak mengapa. Saya jual ya. Kekika membeli sambal serunding).

Soal timbangan dalam jualan sangat-sangat dititik-beratkan dalam Islam. Semasa singgah di Gua Musang untuk membeli buah dokong (RM5.00/2kilogram), saya membantu Mak Cik penjual di tepi jalan untuk memilih buah yang elok-elok sambil tolong menimbang. Bacaannya ialah 2.2 kilogram. Mak Cik tu berkata, "2 kelo untuk anok, hok lebih untuk Mak Cik" (2 kilogram untuk anak, yang selebihnya untuk Mak Cik). Saya menghulurkan wang kertas RM10 dan dia memulang duit RM5.00. Saya berkata, "Lebih ni Mak Cik."
Dia menjawab, "2 kilogram untuk anak, yang selebihnya untuk Mak Cik.". Dia bermaksud mensedekahkan 200 gram untuk dia mendapat pahala.

Adakah fenomena ini kedapatan di Kuala Lumpur atau negeri-negeri lain?

Melayu & Islam Perlu Bangsa ISA ?

Oleh : PENARIK BECA

Saya bersyukur menjadi seorang Muslim. Satu-satunya Din di sisi Allah s.w.t. ialah Islam. Saya juga bersyukur dengan ketetapan Allah yang menjadikan saya orang Melayu.

Islam saya junjung dan Melayu yang menjadi pengenalan diri saya setelah Allah menjadikan manusia dari pelbagai bangsa agar kita saling kenal-mengenal (Surah al-Hujurat: 13).

Hari ini, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) telah membentuk satu suku kaumnya yang tersendiri, bangsa ISA. Tuhan mereka adalah rasuah dan nabi mereka adalah nafsu. Jika anda menemui orang bertuhankan rasuah dan bernabikan nafsu, tidak kira dari parti apa sekalipun termasuk yang mengaku menjadi ahli PAS, itulah dia bangsa ISA.

Orang yang tidak bertuhankan rasuah dan bernabikan nafsu tidak memerlukan ISA atau bangsa ISA.

The demarcation line between the Malay Muslims and bangsa ISA is getting clearer and more vicious. The Malays and the Muslim, I was told, are more than ready to face bangsa ISA.

Persoalannya, adakah Islam dan Melayu dihidupkan oleh bangsa ISA? Adakah Islam dan Melayu memerlukan bangsa ISA? Adakah bangsa ISA mempertahankan Islam dan Melayu? Berapa orang yang masih tidak tahu kezaliman dan penganiyaan bangsa ISA ke atas bangsa Melayu? Berapa orang yang masih tidak sedar penentangan bangsa ISA terhadap Allah Yang Maha Agung lagi Maha Menghakimkan?

Bangsa ISA sebenarnya menentang dan mencabar Allah. Dan, oleh kerana kita hamba Allah, kita tidak ada pilihan melainkan menentang mereka. There's no two ways about it.

Thaqafah : Fiqh as Siyam ~ 1 - Gosok Gigi

Bersugi (menggosok) gigi pada siang hari di bulan Ramadhan, adalah dibolehkan dengan syarat berhati-hati jangan sampai ubat gigi atau air liur yang bercampur dengan ubat gigi atau air liur yang bercampur dengan darah gusi (bagi orang yang mudah berdarah gusinya) atau lain-lain benda luaran termasuk ke dalam kerongkong atau melewati had makhraj (anak lidah).

Kalau benda-benda yang tersebut di atas masuk ke dalam kerongkong sehingga melewati anak lidah,maka BATALLAH puasanya.

Adapun hukum menggosok gigi bagi orang yang berpuasa pada siang hari apabila selepas tergelincir matahari yakni setelah masuk waktu zohor dan semasa menggosok itu ia dapat mengawal daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa sepertimana yang telah disebutkan di atas, maka hukumnya adalah makruh (dikeji atau tidak disukai oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW). Adapun jika menggosok gigi dilakukan sebelum tergelincir matahari maka hukumnya adalah HARUS (dibolehkan).

Bagi individu yang berpuasa adalah kami nasihatkan agar bersugi yakni menggosok gigi sebelum terbitnya fajar,kerana bagi mengelakkan sisa makanan termasuk ke dalam kerongkong lalu melewati anak lidah lalu BATALLAH puasanya. Wallahu ‘alamu bissowab.

Wednesday, July 15, 2009

Di mana Allah ? ~ Us Adnan Fadhil

Soalan : Assalamualaikum,Ustaz, saya nak tanya, apakah persoalan 'di mana Allah' itu termasukdalam perkara cabang?dan bagaimana pula dengan aqidah orang kebanyakan(orang awam) yang tidak langsung mengetahui mengenai perkaraini(samada persoalan Allah itu ada di mana mana / Allah bersemayam diarash)?

Jawapan :

Perkara tentang Allah tidak harus sesiapa pun memandai-mandai tentangnya. Jawapan yang soheh bagi segala persoalan tentang Allah ialah yang terbit dari al-Quran dan al-Hadith. Termasuklah persoalan "Di mana Allah?".

Kita tidak boleh menjawab dengan hanya logik akal, sebaliknya hendaklah menjawab dengan jawapan yang diberikan al-Quran dan Hadith. Persoalan "Di mana Allah?" bukan persoalan cabang kerana ia disentuh oleh banyak ayat al-Quran dan Hadith Nabi s.a.w..

Kerana itu persoalan tersebut wajib dipelajari oleh umat Islam dengan mengetahui jawapannya dari penjelasan al-Quran dan as-Sunnah, bukan penjelasan ahli falsafah atau ahli kalam kerana aqidah Islam terasnya adalah wahyu, bukan akal atau ramalan atau rasa hati.

Wallahu a'lam.

Tuesday, July 14, 2009

PETUNJUK SEPANJANG ZAMAN ~ NUR WAHYU

Salam perjuangan buat sahabat sekalian,

Firman Allah SWT :

إن الذين يخشون ربهم بالغيب لهم مغفرة وأجر كبير {12} وأسروا قولكم أواجهروا به إنه عليم بذات الصدور {13} ألا يعلم من خلق وهو اللطيف الخبير {14}

12. Sesungguhnya orang-orang yang takut (melanggar hukum) Tuhannya semasa mereka tidak dilihat orang dan semasa mereka tidak melihat azab tuhan, mereka beroleh keampunan dan pahala yang besar.

13. Dan tuturkanlah perkataan kamu dengan perlahan atau dengan nyaring, (sama sahaja keadaannya kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada.

14.Tidakkah Allah yang menciptakan sekalian makhluk itu mengetahui (segala-galanya)? sedang ia Maha Halus urusan pentadbiranNya, lagi Maha Mendalam pengetahuanNya!

Surah Al Mulk – Surah Ke 67 – Ayat 12 hingga 14

TADABBUR AYAT :

1- Berkata Imam Ibn Kathir di dalam tafsirnya ( ms 1923/jilid 4) bahawa Allah SWT menegaskan di dalam ayat 12 surah Al Mulk orang yang mempunyai rasa takut dan gerun pada Allah SWT dalam keadaan tersembunyi dari pandangan manusia kecuali antara ia dengan Allah SWT sahaja, lalu ia segera berhenti dari melakukan dosa dan maksiat kepadaNya dan segera ia melakukan taat sedang tiada seorang yang mengetahui dan melihat melainkan hanya antara ia dan Allah sahaja maka Allah SWT akan mengampunkan dosanya serta mengurniakan kepadanya pahala yang besar.




2- Allah SWT akan mengurniakan orang yang mempunyai rasa ‘khauf’ (takut) dan gerun kepada pembalasan Allah SWT di atas segala perbuatan dosa dan maksiatnya, keampunan serta menghapuskan dosanya dan memberi pahala yang besar.

Sebagaimana yang telah sabit di dalam Sahih Imam Bukhari dan Muslim mengenai hadis 7 golongan yang akan mendapat perlindungan teduhan arash Allah pada hari kiamat kelak yang salah satu darinya ialah “ seorang lelaki yang dipujuk rayu oleh seorang wanita cantik lagi kaya untuk diajak berzina lalu ia menolak dengan berkata ; bahawa sesunggunya aku takutkan Allah SWT”.

3- Al Imam Al Hafiz Abi Bakr Al Bazzar rahimahullah telah meriwayatkan dari Saiyyiduna Anas Ibn Malik radhiyallahu ‘anhu bahawa para sahabah telah berkata kepada Rasulullah SAW ; “ Bahawa kami ya Rasulullah, bila kami berada bersamamu iman kami penuh di dada, tetapi bila kami berpisah denganmu kami berada dalam hal keadaan yang lain pula”. Lalu Rasulullah SAW bertanya mereka ; “Bagaimana iman kalian dengan Allah SWT?” . Jawab mereka : “ Kami sentiasa mengingati Allah samada ketika sunyi mahupun ditengah ramai”. Maka berkata Rasulullah SAW ; “Ketahuilah dengan demikian itu tidak dinamakan nifaq”.

4- Hendaklah kita merasai intaian dan intipan Allah pada kita. Tiada yang tersembunyi dari pengetahuan Allah SWT walau bisikan kalbu sekalipun. Mereka yang berani bermaksiat dalam terang sememangnya tidak punya rasa takut dan gerun kepada Allah SWT yang memiliki langit bumi serta mengetahui dengan detail akan setiap penciptaannya di ala mini.


Monday, July 13, 2009

5 Fokus Kedatangan Ramadhan - Bulan Tarbiyah

FOKUS KITA DALAM MENYAMBUT KEDATANGAN RAMADHAN

Pertama ; Menjaga dan memelihara sesungguhnya kesatuan umat kerana ia adalah satu kewajipan yang disepakati oleh ummah tanpa sebarang khilaf. Jangan kerana perkara khilafiah kita bergaduh dan bermasam muka. Para ulama’ telah menegaskan bahawa perkara khilafiah itu berlaku di antara yang ‘benar’ dan yang ‘paling benar’ bukannya berlaku di antara yang benar dan yang salah. Selagimana setiap pendapat yang dikemukakan oleh mana-mana pihak berasaskan dalil yang sahih dari Al Quran, Al Hadith, Ijmak dan Qiyas maka kita harus berlapang dada dan bertolak ansur.

Kedua ; Kita wajib mengambil peluang sebaik mungkin untuk meraih taqwa yang telah Allah janjikan dengan kedatangan Ramadhan. Sememangnya Ramadhan itu diprogramkan oleh Allah SWT untuk melahirkan hamba-hamba yang bertaqwa kepada Allah agar lebih ramai yang berpotensi untuk memasuki jannah. Boleh dikatakan bahawa semua program yang diperintahkan oleh Allah serta disuruh oleh Rasulullah SAW di dalam bulan Ramadhan seperti tadarus, iktikaf, infaq, zakat fitrah, solat tarawih, qiyamullail, sahur, ifthor, memberi makan kepada yang berpuasa dan sebagainya adalah menjurus kepada melahirkan insan muttaqin.

Firman Allah SWT : “Wahai orang-orang yang beriman! kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” Al Baqarah : 183

Ketiga ; Ramadhan adalah bulan al Quran. Seharusnya kita jadikan Ramadhan sebagai bulan untuk kita kembali menghayati dan mengingati fungsi dan tujuan sebenar penurunan Al Quran. Kegagalan umat Islam zaman ini memahami tujuan sebenar penurunan Al Quran serta mengamalkan seluruh isi kandungannya menyebabkan mereka lemah, berpecah serta dikuasai musuh. Isi kandungan Al Quran hanya menjadi perhiasan dinding serta pemula majlis sedang ajarannya tidak diamalkan serta dilaksanakan dalam kehidupan umat Islam

شَهْرُرَمَضَانَ الَّذِىْ اُنْزِلَ فِيْهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ ، فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ.


"Bulan Ramadan itulah bulan di dalamnya diturunkan al-Quran yang menjadi petunjuk bagi manusia, menjadi keterangan-keterangan dari petunjuk itu sehingga membezakan antara yang hak dengan yang batil. Maka barangsiapa antara kamu melihat bulan itu hendaklah ia berpuasa".Al-Baqarah, 2:185

وَكَانَ يَلْقَاهُ فِى كُلِّ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ يَتَدَارَسَهُ الْقَرْآنَ


"Yang mana baginda (Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam) bertemu Jibril pada setiap malam dari bulan Ramadan, baginda bertadarus al-Quran". H/R Al Bukhari

Keempat : Berhati-hati dengan perkara-perkara yang boleh merosakkan pahala puasa. Kita seharusnya belajar serta memberi penekanan untuk melatih serta mengingatkan diri agar berhati-hati dengan semua pengikis pahala puasa yang diperingatkan oleh Rasulullah SAW. Kalau boleh kita tulis besar-besar semua perkara tersebut dan lekatkan di dinding rumah yang paling mudah kita lihat setiap hari supaya ia menjadi ‘pentazkirah’ kepada diri kita yang mudah lalai ini.

اَلصَّوْمُ جُنَّةٌ فَاِذَا كَانَ اَحَدُكُمْ يَوْمًا صَائِمًا فَلاَ يَرْفَثْ وَلاَ يَجْهَلْ فَاِنِ امْرُؤٌ شَتَمَهُ اَوْ قَاتَلَهُ فَلْيَقُلْ اِنِّيْ صَائِمٌ.


"Puasa itu perisai, apabila ada salah seorang kamu di suatu hari sedang berpuasa, maka janganlah berkata-kata keji (kotor), jangan berlaku jahil dan jika ada seseorang memakinya atau mahu membunuhnya maka katakanlah sesungguhnya aku sedang berpuasa". H/R Ahmad

Kelima ; Bersedia dengan kefahaman dan target yang jelas untuk menggunapakai segala cara dan kaedah yang diajar oleh Rasulullah SAW untuk meraih pahala dan redha Allah di bulan ini. Jangan sia-siakan kedatangan bulan berkat dan bulan maghfirah ini. Jangan hanya habiskan masa dengan tidur dan memerap di rumah. Rasulullah SAW menjadikan Ramadhan bulan jihad dan perjuangan. Baginda keluar ke medan Badar di bulan Ramadhan. Baginda mengirim 6 sariah (rombongan kecil tentera Islam) untuk menjalankan misi jihad Islam. Baginda berkahwin dengan Zainab dan Hafsaf rdh di bulan ini. Baginda telah nikahkan Saidatuna Fatimah dengan Saiyyidina Ali di bulan berkat ini serta banyak lagi aktiviti amal soleh yang Baginda tinggalkan buat ikutan umat.

يَقُوْلُ عَزَّ وَجَلَّ : اَلصَّوْمُ لِيْ وَاَنَا اَجْزِيْ بِهِ ، يَدَعُ شَهْوَتَهُ وَاَكْلَهُ وَشُرْبَهُ مِنْ اَجْلِيْ ، وَالصَّوْمُ جُنَّةٌ ، وَلِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ ، فَرْحَةٌ حِيْنَ يُفْطِرُ ، وَفَرْحَةٌ حِيْنَ يُلْقَى رَبَّهُ.


"Azza Wajalla berfirman: Puasa itu untuk Aku dan Akulah memberinya pahala. Ia meninggalkan syahwatnya, makanannya dan minumannya kerana Aku. Puasa itu perisai. Bagi orang yang berpuasa dua kegembiraan, kegembiraan semasa berbuka dan kegembiraan semasa menemui Tuhannya". H/R Al Bukhari

كُلُّ حَسَـنَةٍ يَعْمَلُهَا ابْنُ آدَمَ فَلَهُ عَشْرُ اَمْثَالِهَا اِلاَّ الصِّيَامَ لِيْ وَاَنَا اَجْزِيْ بِهِ


"(Hadis Kudsi): Segala kebaikan yang dikerjakan oleh anak Adam baginya sepuluh kebaikan sepertinya, kecuali puasa, ia untukKu dan Aku sendirilah yang memberi ganjarannya". H/R An Nasaai

عَنْ اَبِى هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُـوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : مَنْ قَامَ رَمَضَانَ اِيْمَانًا وَاحْتِسَابَا غُفِرَ لَهُ مَاتَقَدَّمَ لَهُ مِنْ ذَنْبِهِ


"Dari Abi Hurairah radiallahu 'anhu berkata: Bersabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam: Barangsiapa yang bangun (menghidupkan ibadah) dibulan Ramadan dengan penuh keimanan dan ihtisab (mengharapkan balasan yang baik), maka diampunkan dosanya yang telah lalu". H/R Al Bukhari

Zakat Gaji & Pendapatan - Ustaz Adnan Fadhil

Soalan: Bagaimana caranya saya hendak mengeluarkan zakat pendapatan dan gaji?

Jawapan;
Zakat pendapatan termasuk dalam zakat mal mustafad yang dijelaskan tadi. Oleh demikian, cara mengeluarkan zakat ke atasnya tertakluk dengan cara mengeluarkan zakat ke atas mal mustafad tadi dari segi perkiraan haul, nisab dan kadarnya. Huraian lanjut tentang zakat ke atas pendapatan ini adalah seperti berikut;


Jenis-jenis pendapatan

Pendapatan dapat dibahagikan kepada dua jenis iaitu;

a) Pendapatan secara berakad (kontrak); iaitu seseorang mengikat kontrak dengan pihak lain (sama ada kerajaan, syarikat atau individu) untuk melakukan kerja sama ada bersifat guna tenaga atau pemikiran atau kedua-duanya sekali dan sebagai imbalannya ia akan mendapat gaji atau pendapatan secara tetap mengikut harian, mingguan, bulanan atau sebagainya. Pendapatan jenis ini dinamakan sebagai pendapatan gaji.

b) Pendapatan bebas; iaitu seseorang bekerja sendiri tanpa mengikat kontrak dengan orang lain dan pendapatan yang diperolehinya tidak bersifat tetap tetapi berubah-ubah. Pendapatan jenis dinamakan juga pendapat khidmat profesional. Contohnya ialah; pendapatan seorang doktor, peguam, mekanik dan sebagainya.

Perkara terpenting yang membezakan antara dua jenis pendapatan tersebut ialah dari segi sifat pendapatan sama ada tetap dan bersistem atau tidak. Pendapatan secara kontrak adalah tetap dan bersistem mengikut kontrak sama ada harian, mingguan, bulanan atau sebagainya. Sementara pendapatan bebas atau khidmat profesional tidak tetap dan tidak bersistem. Ia adakalanya terhasil dalam jangka masa yang cepat dan adakalanya lambat, adakalanya banyak dan adakalanya sedikit. Walaupun ada perbezaan tersebut, namun antara kedua-duanya ada titik persamaan yang ketara iaitu kerja. Kedua-dua jenis pendapatan tersebut merupakan hasil kerja atau dalam pengertian lain kerja adalah sebab pokok terhasilnya pendapatan tersebut.

Kedua-dua jenis pendapatan di atas wajib dikeluarkan zakat jika mencukupi nisab iaitu kadar minima pendapatan yang ditetapkan Syarak untuk mewajibkan zakat. Selain itu, disyaratkan juga pendapatan itu dari kerja yang halal kerana Allah itu baik dan Ia tidak menerima melainkan yang baik.

Nisab zakat pendapatan

Nisab bagi zakat pendapatan ialah sebagaimana nisab zakat al-Mal al-Mustafad iaitu 85 gram emas. Kiraan nisab hendaklah berdasarkan kepada pendapatan bersih. (Zakat; Menuju Pengurusan Profesional, Mujaini Tarimin, hlm. 62).

Oleh demikian, seseorang yang memperolehi pendapatan bersih tahunan menyamai atau melebihi nilai semasa 85 gram emas, wajiblah ke atasnya mengeluarkan zakat dari harta pendapatannya.

Cara menentukan nisab zakat pendapatan

Sebagaimana kita sedia maklum bahawa sistem pendapatan hari ini sama ada secara kontrak (yakni pendapatan gaji) atau pendapatan bebas (kerja sendiri) kebiasaannya berdasarkan bulanan. Maka jika penentuan nisab dilakukan dengan melihat kepada jumlah gaji atau pendapatan setiap bulan, sudah tentu bagi kebanyakan orang, gaji atau pendapatan mereka secara bulanan tidak akan mencecah kadar nisab tadi lebih-lebih lagi jika ditolak perbelanjaan-perbelanjaan perlu. Jika ukuran itu dipakai, sudah tentu kebanyakan orang yang makan gaji atau berpendapatan tetap bulanan dari hasil kerja itu tidak perlu mengeluarkan zakat kerana tidak cukup nisab. Sedangkan jika gaji atau pendapatan mereka dikira dalam setahun, maka ia lebih banyak dari hasil perolehan orang lain yang bergiat dalam perniagaan, pertanian, penternakan dan sebagainya. Jadi untuk mengelak berlakunya keadaan di mana orang yang berpendapatan sedikit membayar zakat sedangkan yang berpendapatan banyak tidak mengeluarkan zakat (dengan dakwaan tidak cukup nisab), maka para ulamak memutuskan bahawa nisab zakat gaji atau pendapatan hendaklah dihitung berdasarkan jumlah pendapatan setahun, bukan mengikut jumlah pendapatan bulanan. Jadi, harta-harta perolehan (mal mustafad) pada setiap bulan dicampurkan antara satu sama lain selama setahun, kemudian dari jumlahnya dikira nisab.

Kadar zakat pendapatan

Kadar zakat yang dikenakan ke atas pendapatan ialah 2.5% dari harta bersih setelah ditolak kos/belanja sara hidup asasi.

Langkah-langkah mengeluarkan zakat gaji atau pendapatan

1. Hitungkan jumlah gaji atau pendapatan selama setahun.

2. Kemudian tolak kos dan belanja berikut;

a) Belanja keperluan asasi
b) Hutang-hutang kepada orang lain
c) Cukai kerajaan dihitung

2. Setelah itu, pastikan jumlah yang tinggal mencukupi nisab atau tidak?

3. Jika didapati mencukupi nisab, keluarkan zakat dengan kadar 2.5% dari jumlah pendapatan bersih setelah ditolak kos-kos tadi.

4. Nilai zakat itu boleh dibayar sekaligus untuk setahun atau boleh juga dibayar mengikut bulanan setelah nilai zakat itu dibahagikan dengan 12 bulan.

Wallahu A’lam.

Rujukan:

1. Fiqhu az-Zakah, Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, cet. Maktabah Wahbah/Kaherah, Mesir (1994).
2. Zakat Menuju Pengurusan Pfofesional, Mujaini Tarimin.