Monday, July 13, 2009

5 Fokus Kedatangan Ramadhan - Bulan Tarbiyah

FOKUS KITA DALAM MENYAMBUT KEDATANGAN RAMADHAN

Pertama ; Menjaga dan memelihara sesungguhnya kesatuan umat kerana ia adalah satu kewajipan yang disepakati oleh ummah tanpa sebarang khilaf. Jangan kerana perkara khilafiah kita bergaduh dan bermasam muka. Para ulama’ telah menegaskan bahawa perkara khilafiah itu berlaku di antara yang ‘benar’ dan yang ‘paling benar’ bukannya berlaku di antara yang benar dan yang salah. Selagimana setiap pendapat yang dikemukakan oleh mana-mana pihak berasaskan dalil yang sahih dari Al Quran, Al Hadith, Ijmak dan Qiyas maka kita harus berlapang dada dan bertolak ansur.

Kedua ; Kita wajib mengambil peluang sebaik mungkin untuk meraih taqwa yang telah Allah janjikan dengan kedatangan Ramadhan. Sememangnya Ramadhan itu diprogramkan oleh Allah SWT untuk melahirkan hamba-hamba yang bertaqwa kepada Allah agar lebih ramai yang berpotensi untuk memasuki jannah. Boleh dikatakan bahawa semua program yang diperintahkan oleh Allah serta disuruh oleh Rasulullah SAW di dalam bulan Ramadhan seperti tadarus, iktikaf, infaq, zakat fitrah, solat tarawih, qiyamullail, sahur, ifthor, memberi makan kepada yang berpuasa dan sebagainya adalah menjurus kepada melahirkan insan muttaqin.

Firman Allah SWT : “Wahai orang-orang yang beriman! kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” Al Baqarah : 183

Ketiga ; Ramadhan adalah bulan al Quran. Seharusnya kita jadikan Ramadhan sebagai bulan untuk kita kembali menghayati dan mengingati fungsi dan tujuan sebenar penurunan Al Quran. Kegagalan umat Islam zaman ini memahami tujuan sebenar penurunan Al Quran serta mengamalkan seluruh isi kandungannya menyebabkan mereka lemah, berpecah serta dikuasai musuh. Isi kandungan Al Quran hanya menjadi perhiasan dinding serta pemula majlis sedang ajarannya tidak diamalkan serta dilaksanakan dalam kehidupan umat Islam

شَهْرُرَمَضَانَ الَّذِىْ اُنْزِلَ فِيْهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ ، فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ.


"Bulan Ramadan itulah bulan di dalamnya diturunkan al-Quran yang menjadi petunjuk bagi manusia, menjadi keterangan-keterangan dari petunjuk itu sehingga membezakan antara yang hak dengan yang batil. Maka barangsiapa antara kamu melihat bulan itu hendaklah ia berpuasa".Al-Baqarah, 2:185

وَكَانَ يَلْقَاهُ فِى كُلِّ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ يَتَدَارَسَهُ الْقَرْآنَ


"Yang mana baginda (Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam) bertemu Jibril pada setiap malam dari bulan Ramadan, baginda bertadarus al-Quran". H/R Al Bukhari

Keempat : Berhati-hati dengan perkara-perkara yang boleh merosakkan pahala puasa. Kita seharusnya belajar serta memberi penekanan untuk melatih serta mengingatkan diri agar berhati-hati dengan semua pengikis pahala puasa yang diperingatkan oleh Rasulullah SAW. Kalau boleh kita tulis besar-besar semua perkara tersebut dan lekatkan di dinding rumah yang paling mudah kita lihat setiap hari supaya ia menjadi ‘pentazkirah’ kepada diri kita yang mudah lalai ini.

اَلصَّوْمُ جُنَّةٌ فَاِذَا كَانَ اَحَدُكُمْ يَوْمًا صَائِمًا فَلاَ يَرْفَثْ وَلاَ يَجْهَلْ فَاِنِ امْرُؤٌ شَتَمَهُ اَوْ قَاتَلَهُ فَلْيَقُلْ اِنِّيْ صَائِمٌ.


"Puasa itu perisai, apabila ada salah seorang kamu di suatu hari sedang berpuasa, maka janganlah berkata-kata keji (kotor), jangan berlaku jahil dan jika ada seseorang memakinya atau mahu membunuhnya maka katakanlah sesungguhnya aku sedang berpuasa". H/R Ahmad

Kelima ; Bersedia dengan kefahaman dan target yang jelas untuk menggunapakai segala cara dan kaedah yang diajar oleh Rasulullah SAW untuk meraih pahala dan redha Allah di bulan ini. Jangan sia-siakan kedatangan bulan berkat dan bulan maghfirah ini. Jangan hanya habiskan masa dengan tidur dan memerap di rumah. Rasulullah SAW menjadikan Ramadhan bulan jihad dan perjuangan. Baginda keluar ke medan Badar di bulan Ramadhan. Baginda mengirim 6 sariah (rombongan kecil tentera Islam) untuk menjalankan misi jihad Islam. Baginda berkahwin dengan Zainab dan Hafsaf rdh di bulan ini. Baginda telah nikahkan Saidatuna Fatimah dengan Saiyyidina Ali di bulan berkat ini serta banyak lagi aktiviti amal soleh yang Baginda tinggalkan buat ikutan umat.

يَقُوْلُ عَزَّ وَجَلَّ : اَلصَّوْمُ لِيْ وَاَنَا اَجْزِيْ بِهِ ، يَدَعُ شَهْوَتَهُ وَاَكْلَهُ وَشُرْبَهُ مِنْ اَجْلِيْ ، وَالصَّوْمُ جُنَّةٌ ، وَلِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ ، فَرْحَةٌ حِيْنَ يُفْطِرُ ، وَفَرْحَةٌ حِيْنَ يُلْقَى رَبَّهُ.


"Azza Wajalla berfirman: Puasa itu untuk Aku dan Akulah memberinya pahala. Ia meninggalkan syahwatnya, makanannya dan minumannya kerana Aku. Puasa itu perisai. Bagi orang yang berpuasa dua kegembiraan, kegembiraan semasa berbuka dan kegembiraan semasa menemui Tuhannya". H/R Al Bukhari

كُلُّ حَسَـنَةٍ يَعْمَلُهَا ابْنُ آدَمَ فَلَهُ عَشْرُ اَمْثَالِهَا اِلاَّ الصِّيَامَ لِيْ وَاَنَا اَجْزِيْ بِهِ


"(Hadis Kudsi): Segala kebaikan yang dikerjakan oleh anak Adam baginya sepuluh kebaikan sepertinya, kecuali puasa, ia untukKu dan Aku sendirilah yang memberi ganjarannya". H/R An Nasaai

عَنْ اَبِى هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُـوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : مَنْ قَامَ رَمَضَانَ اِيْمَانًا وَاحْتِسَابَا غُفِرَ لَهُ مَاتَقَدَّمَ لَهُ مِنْ ذَنْبِهِ


"Dari Abi Hurairah radiallahu 'anhu berkata: Bersabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam: Barangsiapa yang bangun (menghidupkan ibadah) dibulan Ramadan dengan penuh keimanan dan ihtisab (mengharapkan balasan yang baik), maka diampunkan dosanya yang telah lalu". H/R Al Bukhari

No comments: