Tuesday, July 7, 2009

Lawan UMNO - Kempen Supaya Manusia Sedar

Mursyidul Am Pas, Tok Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan kenyataannya menyamakan UMNO dengan komunis dan ajaran sesat bukan strategi untuk memancing undi bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai.

Beliau menyifatkan setiap kenyataannya sebagai ‘kempen’ kepada manusia dan akan dibuat sepanjang masa semata-mata kerana mahu menegakkan agama Islam.

Katanya, sekiranya tidak ada pilihan raya sekalipun, beliau akan tetap mengeluarkan kenyataan tersebut ketika berceramah atau menyampaikan kuliah.

“Waktu saya buat kenyataan itu, saya buat kenyataan kerana Allah. Kempen saya kepada manusia supaya sedar.

”Selagi tidak turut kepada agama, manusia akan meraba dalam hidup dia dan bagaimana kita nak pastikan laluan ke syurga kalau kita tinggal agama.

“Kaitan itu (berkempen) munasabah pilihan raya, kalau tidak ada pilihan raya pun saya tetap berkempen Islam, sama saja.

”UMNO dengan Pas baru 50 tahun (penubuhan), Islam sudah 1,500 tahun,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kelmarin Penasihat Pilihan Raya Pas Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, parti itu percaya tindakan UMNO ‘menyentuh’ Nik Abdul Aziz dalam kempen Pilihan Raya Kecil DUN Manek Urai akan lebih menguntungkan parti itu.

Justeru, pihaknya membuka ruang seluas-luasnya kepada UMNO untuk menyerang peribadi pemimpin itu yang kebelakangan ini membuat pelbagai kenyataan keras mengecam UMNO.

Ketika mengulas dakwaan Pas memfitnah UMNO dengan menyebarkan bahawa parti itu menolak Islam, Tok Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, perkara itu adalah kenyataan dan menyifatkan UMNO bermuka-muka dalam perjuangannya.

“Tolak Islam ini sama ada secara total atau tolak secara buat-buat. Zaman Nabi ada Abdullah bin Ubai. Dia buat masjid, tapi masjid itu ditolak. (UMNO) buat Islam tetapi dalam perutnya tolak. Orang panggil munafik, tolak juga,” katanya.

Beliau meminta anak-anak Kelantan yang menjadi pengundi di Manek Urai supaya kembali mengundi dengan menyifatkan tanggungjawab itu sebagai ‘kerja agama’ dan bukannya politik.

Penamaan Calon bagi Pilihanraya Kecil DUN Manek Urai akan diadakan pada hari ini 6 Julai. 2009. jika ada pertandingan, Pengundian akan diadakan pada 14 Julai 2009.


sumber: Jiwokelate

No comments: