Monday, October 20, 2008

Tarbawi : Tribulasi Dakwah - Siri Ke 3


Salam ISLAH,

"Dan tidaklah Kami mengutus engkau (ya Muhammad) kecuali (untuk berdakwah) bagi seluruh manusia……. " surah Al Maidah ayat 48.

Fenomena kurangnya kefahaman dan tidak ashalahnya dakwah dapat menjadi persoalan yang merbahaya serta dapat memesongkan perjalanan dakwah. Perbincangan kita terhadap persoalan dakwah yang seterusnya adalah membincangkan mengenai pelaksanaan misi dakwah yang tidak jelas, karut dan kacau baik dari aspek fahaman mahupun implementasinya.

Kejelasan misi dakwah baik dari aspek prinsip-prinsipnya, kaedah-kaedahnya serta langkah-langkh pelaksanaannya akan menjadi tuntunan bagi para duah agar mereka mampu mengharungi jalan dakwah dengan berkesan dan efektif.

Perkara sedemikian sangat penting untuk diketengahkan sebab Allah SWT memerlukan masa yang panjang bagi mengajar, mendidik serta membimbing Nabi SAW di dalam menjalankan misinya. Proses yang bertolak angsur, tadaruj, step by step telah dilaksanakan oleh Nabi SAW dengan melalui berbagai-bagai cabaran, dugaan dan ujian. Ianya dijalankan bagi menjadi i'tibar yang lengkap serta sempurna bagi para duah. Kesempurnaan ajaran dan misi Islam ini menjadi kata kunci bagi kejayaan dakwah Islamiyah. Firman Allah : "Pada hari ini telah Ku sempurnakan bagimu agamamu, dan telah Ku sempurnakan atasmu nikmatKu dan Aku redha Islam menjadi agamamu…" surah Al Maidah ayat 3.

Bagi menasihati Abdullah bin Abbas, Rasul SAW bersabda : "….Telah (Allah) angkat pena dan telah habislembaran-lembaran" HR Imam Muslim di dalam kitab Arba'in Nawawiyah. Kalimat hadith di atas memberi gambaran bahawa Islam adalah ajaran yang telah lengkap dan sempurna serta ianya tidak memerlukan tambahan dan pengurangan. Islam adalah ajaran yang syamil, kamil dan mutakamil. Oleh yang sedemikian, wajib bagi para duah untuk memahami, menghayati serta melaksanakan misi Islam secara kaffah, menyeluruh dan tidak sepotong-potong, sepertimana yang telah dilaksanakan oleh Rasul Allah SAW.

3. Misi dakwah yang tidak jelas

Manakala misi dakwah yang di jalankan oleh duah ianya kebanyakannya tidak lengkap, tidak jelas dan tidak ashalah. Pelaksanaan dakwah sedemikian akan menyebabkan pelaksanaan dakwah yang kacau (at tahawwur), terbantut bahkan menyesatkan. Duah sedemikian bukan sebab ia tak mampu berbahasa arab atau membaca kitab, tetapi seringnya mereka tidak mendapatkan pendedahan secara talaqi mengenai pelaksanaan misi dakwahnya selain itu kerana ia adalah syahsiyah yang tidak shaleh dan tidak ikhlas.

Rasul SAW dibekalkan dengan misi yang bersepadu sepertimana di firmankan Allah : "Sebagaimana Kami telah mengutus bagi kamu seorang rasul, yang ia membacakan ayat-ayat Kami, membersihkan (jiwa) kamu serta mengajarkan kamu (ilmu) al kitab dan hikmah dan mengajarkan kamu (apa-apa) yang tidak kamu ketahui" surah Al Baqarah ayat 151. Ayat ini menggambarkan bahawa Rasul SAW melaksanakan misinya melalui 3 pendekatan iaitu :

1. Membacakan ayat-ayat Allah, agar muslimin mengenal dan mengetahui gambaran hakikat kehidupan dan penciptaannya secara benar dan tepat.

2. Membersihkan jiwa muslimin, agar mereka menjadi manusia yang sensitive (peka) di dalam kehidupan yang Islami. Mereka mengetahui mana yang Islam mana yang bukan walaupun ianya di dalam perkara-perkara yang halus.

3. Mengajarkan (ilmu) mengenai al kitab dan hikmah, yang ianya hanya dapat diperolehi melalui kehidupan yang sentiasa mengharap bimbingan daripada Allah sahaja, kerana hakikatnya ilmu adalah milik Allah SWT.

Manakala duah dibina bukan oleh tarbiyah yang menggunakan pendekatan sedemikian, maka akan lahir duah yang bingung dan membingungkan, bahkan boleh jadi sesat dan menyesatkan. Perkara seumpama ini dapat dilihat daripada wujudnya aliran-aliran sesat di dalam Islam seperti Ahmadiyah Qadhiyani, Islam Jamaah dan lain-lainnya.

Kefahaman tentang misi Islam yang tidak lengkap dan tidak sempurna menyebabkan berlakunya dakwah kehilangan ruh. Para duah dalam keadaan sedemikian terlihat sibuk tetapi dakwah hanya berlegar di tempat yang sama. Bahkan bukan hanya mad'u yang semakin berkurangan, duahpun pada akhirnya hilang atau lost in the space (LIS).

Ketidak jelasan misi ini juga akan menjadikan perjalanan dakwah tidak dapat mengenali : di mana kita perlu bermula (munthalaq), di mana perlu berehat (waqfah), seberapa panjang jalan yang akan di lalui, di mana sempadan-sempadan, di mana kita perlu perlahankan perjalanan dan di amanaia perlu dipercepat, di mana perlu berundur dan kemudian melompat beberapa langkah kehadapan, di mana kita perlu menaiki tangga-tangga dakwah, pendekatan macamana kita melangkah, siapa yang patut bersama kita, macamana membina dan membimbing mereka, apa karakteristik yang diperlukan oleh mereka, apa karakteristik tahapan-tahapan dakwah, apa syarat-syarat kejayaan dakwah, apa matlamat setiap tahapan. Bila perlu menonjolkan diri, apa syarat-syaratnya serta apakah matlamat akhir dakwah. Selagi para duah dan pimpinan duah tidak dapat mengenali dan mendefinasikan perkara-perkara di atas secara jelas, maka mereka akan tertipu (ghurur) dengan pencapaian dakwah yang seumpama fatamorgana.

Ia juga dapat menyebabkan konflik dalaman di dalam jemaah dakwah akan bertambah besar, ramai duah yang kecewa dan lari dari tanggung jawab dakwah. Pada keadaan lain pimpinan dakwah mula berbuat tidak terpuji bagi menutupi kelemahan mereka terhadap kefahaman mengenai misi dakwahnya. Mereka bermain politik (politiking) di dalam dakwah agar ahli-ahli jamaahnya tetap thiqah dan taat dengan cara menipu, berbuat licik, mengata "kita paling tahu mengenai kita, sedang orang lain tidak tahu mengenai kita" bagi mengelakkan orang lain mengetahui tentang kelemahan mereka. Akibat keadaan sebegini, duah tidak akan memiliki pengetahuan yang mencukupi bagi mengemban amanah dakwah. Mereka tidak tahu mana perkara ushul dan mana perkara furu' dan wasilah, mana yang ibadah mahdhah dan ibadah ghair mahdhah. Juga mereka tidak dapat menimbang antara perkara misi risalah (ushul) dengan keutuhan tanzim jamaah (wasilah), tak dapat membezakan mana perkara dakwah dan mana perkara politik, mana yang benar-benar ikhlash dan mana yang licik. Pada keadaan sedemikian ummah hanya dijadikan sebagai lembu perahan oleh para pimpinannya.

Sebahagian kecil duah yang ikhlas pada akhirnya menjalankan misi dakwahnya dengan "apa adanya" secara peribadi-peribadi. Mereka mencoba melaksanakan tanggungjawab dakwah secara perlahan-lahan, dari satu majelis ilmu ke majelis ilmu yang lain, dari satu surau ke surau yang lain. Mereka membina, membimbing serta membangun dakwah sesuai dengan corak dan gayanya sendiri, mempunyai wibawa serta di jadikan rujukan dan sumber fatwa bagi para pengikutnya. Sekiranya keadaan sedemikian berlaku, maka akan lahir "raja-raja kecil" di dalam dakwah.

Ramai dari mereka amat sukar untuk dipersatukan dengan duah yang lain, kerana pengalaman mereka dengan jamaah-jamaah yang ada atau kerana pengikutnya tak bersedia berkongsi kehidupan Islam bersama pengikut duah yang lainnya. Pada akhirnya mereka menganggap kumpulan mereka sebagai "the best" dan untuk itu tidak jarang duah yang menggunakan ayat-ayat Allah untuk berhujah mengenai keadaan mereka.

Namun bagi duah yang tidak ikhlas, mereka mempermainkan tanggungjawab dakwah bagi kepentingan diri dan kumpulannya. Sungguh malang nasib ummah yang memiliki duah dan pimpinan sedemikian. Dakwah tidak dikucuri keberkatan dan rahmat daripada Allah SWT. Berbagai-bagai usaha bagi menyelesaikan permasalahan dakwah dan ummah seolah-olah ia menemui jalan mati. Kegelisahan dan kebingungan ummah serta duah ahli jamaah akan menggugat kewujudan jamaah dakwah tersebut baik ketika ianya di dunia mahupun di akhirat nanti.

Oleh itu adalah perkara yang wajar manakala terjadi perpecahan di dalam ummah Islam. Ianya kebanyakannya disebabkan oleh perbuatan pimpinan dakwah dan duah yang tidak mempunyai misi yang jelas serta tidak bertanggungjawab. Ummah yang tidak mempunyai kefahaman yang mencukupi akan ikut secara membuta tuli (taqlid) apa-apa yang diperkatakan oleh pimpinannya walaupun pada hati kecilnya merasai adanya perkara-perkara yang tidak patut. Ummah akan berhujjah : "Kami lebih mempercayai pimpinan kami daripada yang lain", walaupun perkara yang diperkatakan pimpinan adalah perkara yang pelik lagi ganjil, fitnah dan tidak sesuai dengan akal waras. Mereka telah kehilangan pertimbangan syariat yang menyebutkan bahawa : "perkataan seseorang boleh diterima atau ditolak, kecuali perkataan Rasul SAW yang ma'shum". Mata hati mereka telah tertutup oleh bujuk rayu syaitan yang menyamar di dalam diri manusia.

Salah satu contohnya adalah para pengikut Ahmadiyah Qadhiyani. Mereka bersedia di penjara atau di hukum walaupun para ulama, duah dan mubaligh telah berusaha menjelaskan tentang kesesatan ajaran Mirza Ghulam Ahmad pimpinan mereka yang mengaku sebagai nabi setelah Rasul SAW. Keadaan yang sama berlaku bagi para pengikut Islam Jamaah yang menganggap pimpinannya Ubaidah Hasan sebagai nabi.

Berbagai-bagai cara dan pendekatan dilakukan bagi membujuk ummah selain menggunakan pendekatan mengaku sebagai nabi atau orang shaleh, pada tujuannya adalah semata-mata untuk menyesatkan ummah dari memperjuangkan misi yang bersih yang bersumber daripada Al Quran dan As Sunnah Rasul SAW.


Wallahu a'lam. Bersambung…

Ditulis berdasarkan pengalaman dakwah, mudah-mudahan ia menjadi I'tibar bagi orang-orang yang sentiasa mengeluarkan peluh, potensi dan tenaganya bagi menjayakan dakwah

No comments: