Tuesday, August 12, 2008

Peliharalah Hak Allah SWT

Salam ISLAH,

Saya sudahi program saya bersama ummah pada malam semalam dengan Usrah Tarbawi Dewan Pemuda PAS Kawasan Kangar di Darul Islah. Jadual saya agak padat hari semalam. Setelah terlepas program tarbawi setiap Isnin Darul Islah sepanjang bulan Rejab dan Sya’ban iaitu puasa sunat kerana terlewat bangun, saya menerima makluman dari seorang sahabat mengenai kematian Ayahanda Cikgu Wan Hassan (Naib Yang Dipertua Pas Kawasan Kangar). Saya bergegas ke Balai Islam MADI untuk solat janazah pada jam 11.00 pagi kemudian berpatah balik ke Pejabat Perhubungan PAS Perlis kerana ada pertemuan dengan Al Fadhil Ustaz Hj Hashim Jasin (Pesuruhjaya PAS Perlis).

Saya balik ke rumah sebelum masuk waktu zohor dan selepas solat saya segera menyiapkan keperluan dan kelengkapan pejabat baru Darul Islah. Saya minta Tarmizi (SUK Lajnah Tarbiyyah) bersihkan sawang, sapu dan mop lantai sedang saya menghubungi Chew Aircond untuk pasangkan aircond di dalam pejabat. Saya cuba melakukan dengan secepat mungkin kerana selepas asar, saya akan memimpin usrah Darul Islah. Alhamdulillah, malam ini saya dapat menulis dalam keselesaan dingin udara pejabat Darul Islah. Semua kelengkapan ini adalah hasil infaq sepanjang 3 hari saya di Kuala Lumpur mengumpul infaq untuk kelancaran gerak kerja Pusat Dakwah dan Tarbiyyah Darul Islah yang saya tubuhkan sebagai cabang kepada Lajnah Tarbiyyah & Kepimpinan PAS Perlis.

Maghrib, saya dijemput untuk menyampaikan Kuliah Haraki di Markaz Tarbiyyah Pas Kawasan Kuala Kedah. Saya tidak dimaklumkan mengenai fokus kuliah adalah Isra’ dan Mi’raj, namun alhamdulillah Allah SWT menolong saya untuk melaksanakan amanah ini dengan baik walaupun tidaklah sesempurna mana.

Dalam kuliah tersebut saya menekankan bahawa setiap pejuang dan pembela agama wajib memelihara hak-hak Allah SWT dalam setiap gerak kerja jamaah. Ini adalah kerana tujuan Isra’ Mi’raj adalah untuk mendatangkan ketenangan dan kebahagian di dalam hati Nabi SAW setelah kematian Khadijah dan Abu Thalib serta peristiwa sedih lagi menyayat hati di Taif. Allah SWT ingin menunjukkan kepada Nabi SAW kehebatan dan kebesaran kerajaan Allah serta keagungan ciptaanNya demi meyakinkan Rasul SAW bahawa Allah SWT senantiasa berada bersama Baginda SAW dalam setiap gerak langkah yang Baginda lakukan dalam strategi dakwah.

Apabila Baginda dihalau oleh penduduk Taif, Baginda mengadu kepada Allah SWT akan hal Baginda yang sangat memerlukan pertolongan Allah SWT dalam meneruskan gerak kerja dakwah. Maka di saat inilah Baginda dijemput Allah ke langit, suatu tempat yang tidak akan ada makhluk yang pernah sampai kepadanya melainkan yang sangat istimewa di sisi Allah SWT.

Pengajaran penting dari peristiwa tersebut ialah, Allah SWT senantiasa bersama-sama dengan pejuang dan pembela agamaNya. Allah SWT pasti akan menolong orang yang menolong agamaNya. Allah SWT akan memenangkan orang yang berjuang untuk memartabatkan agamaNya. Dengan syarat, selagimana mujahid tersebut senantiasa memelihara hak-hak Allah dalam kerja buatnya. Solat berjamaah, zikir, auraad, qiyamullail, meletakkan keutamaan kepada perintah wajib dan bersungguh-sungguh memelihara yang sunat.

Kita selalu menjadikan kesibukan tugas jamaah sebagai alasan untuk meninggalkan solat berjamaah, ma’thuraat dan sebagainya. Kita selalu menjadikan alasan tidur lewat dan keletihan kerana banyak tugas sebagai alasan untuk meninggalkan qiyamullail. Sedangkan perkara-perkara yang saya sebutkan tadilah yang menjadi asas paling teguh untuk pembinaan syakhsiah dan keperibadian da’ie yang mantap dan teguh dengan akhlak dan adab sepatutnya.

Benarlah pesan Nabi SAW kepada Saiyyiduna Mu’az bin Jabal radhiyalLahu anhu, “ Wahai Mu’az, peliharalah Allah (dengan menunaikan hak-hak Allah) nescaya Allah akan memeliharamu. Peliharalah Allah nescaya kamu akan dapati Allah senantiasa berada bersamamu untuk menolongmu”.

Kita dikurniakan banyak kemenangan oleh Allah SWT dalam PRU 12 yang lalu adalah kerana kita mempunyai niat dan tekad untuk melaksanakan perintah Allah dengan penegakan dan pelaksanaan syariat Allah di dalam pemerintahan negara. Yang menghairankan ialah, kenapa selepas kita dikurniakan kemenangan, kita mengubah niat dan pendirian kita?. Kenapa ada di kalangan kita yang berkata bahawa kita mesti menjaga dan mengambil kira sokongan orang bukan Islam kepada kita?. Kemungkinan besar yang memberikan undi kepada kita dari kalangan orang bukan Islam juga sangat berharap agar kita melaksanakan keadilan Islam dan syariatnya yang syumul bila kita memerintah negara. Persoalan yang lebih besar dari itu ialah, pernahkan kita berjanji kepada pengundi bukan Islam sebelum PRU ke 12 yang lalu bahawa kita tidak akan melaksanakan Islam bila kita memerintah?. Benarlah sabda Rasulullah SAW “ Niat seorang mukmin itu terkadang lebih baik dari perbuatan dan amalannya”.

No comments: