Sunday, August 10, 2008

Seorang Muslim Wajib Pertahan Islam

Salam ISLAH,

Saya baru sahaja ‘mendarat’ di rumah dari Kuala Lumpur. Sebelum saya mula update blog ini, saya suka membaca tulisan sahabat-sahabat yang lain untuk mencari kekuatan bagi memulakan tulisan saya sendiri. Memang benar apa yang disebutkan kekanda Nik Abduh kepada saya, nak buka blog memeng senang, tapi nak istiqamah menulis yang payah.

Pertama sekali saya mengucapkan tahniah kepada pihak Polis yang segera menghentikan Forum ‘Memeluk Islam’ yang dianjurkan oleh Majlis Peguam. Tahniah juga kepada sahabat-sahabat Pemuda PAS dan Unit Amal yang senantiasa istiqamah dalam menangani isu-isu aqidah dan kemuliaan Islam. Usaha yang kalian lakukan pasti akan mendapat ganjaran di akhirat kelak. Ketika Rasulullah SAW di mi’rajkan, Baginda terhidu keharuman ruh keluarga Yasir dan Masyitah tukang sikat rambut puteri Firaun. Inilah menjadi berita gembira kepada pejuang agama sepanjang zaman bahawa mati kerana mempertahankan aqidah itu akan mendapat ganjaran yang besar di akhirat kelak.

Terus terang saya katakana bahawa saya agak hairan sedikit dengan cara pihak kerajaan menangani isu seperti ini pada kali ini. Agak tegas, cepat dan tanpa berselindung. Berbanding isu-isu yang sama sebelum ini yang membabitkan tuntutan IFC dan sebagainya, pada kali ini pihak kerajaan cepat bertindak. Saya harap, ini bukanlah usaha untuk mengambil hati pihak tertentu tetapi dating dari keikhlasan pemimpin negara yang memang punya kemahuan yang tinggi dalam mempertahankan kemuliaan Islam.

Saya melihat dari sudut yang agak berlainan. Walaupun pihak kerajaan meyebut bahawa forum yang dianjurkan oleh Majlis Peguam ini boleh mengancam keselamatan negara, tetapi yang lebih betul dan benar ialah menjadi kewajipan seorang Muslim mempertahankan kesucian dan kemuliaan agamaNya.

Saya bersetuju dengan apa yang disebutkan oleh Datuk Seri Syed Hamid al Bar (Menteri Dalam Negeri) yang dipetik sebagai berkata “ Kita tidak mahu perasaan marah itu membawa kesan yang diluar dugaan” namun apa yang lebih saya persetujui adalah menjadi kewajipan seorang pemimpin Islam dan pemerintah sebuah negara yang diistiharkan negara Islam untuk mempertahankan Islam dan menghalang sesuatu yang boleh mendatangkan kekeliruan terhadap Islam.

Datuk Seri Hisammuddin Hussein pula berkata bahawa isu seperti ini sepatutnya ditangani dengan mengambil kira majoriti umum dan mesti ditangani dengan penuh hemah agar tidak menyentuh sensitivity mana-mana pihak. Bagi saya, seorang Muslim harus menyedari bahawa dia wajib memberikan wala’ dan ketaatan kepada Allah dan Rasul SAW. Dalam berhadapan dengan isu seumpama ini, Islam adalah perkara yang mesti dipertahankan. Jika tidak, maka gugurlah ketaatan kepada Allah dan Rasul serta kembalilah wala’ dan ketaatan itu kepada yang tidak diizinkan oleh Allah SWT. Maka inilah batasan aqidah yang wajib dipelihara agar tidak terjerumus ke kancah kekufuran.

Dalam menunaikan tuntutan dan hak bukan Islam di dalam negara ini, pemimpin negara harus memahami dasar-dasar aqidah Islam yang jelas. Kita diperintahkan oleh Nabi SAW supaya memelihara hak-hak bukan Islam sebaik-baiknya. Namun memanjakan mereka, dan menunaikan permintaan melampau serta mencabar kewibawaan dan kesucian hak Islam maka di sini ada batasnya. Mahu tahu batasan tersebut, silalah merujuk kepada Al Quran dan Al Hadis serta ajaklah Majlis Fatwa Kebangsaan bersama-sama dalam hal ini. Tentu mereka akan memperjelaskan sejelas-jelasnya kepada anda semua bagaimana menangani masalah ini. Agar anda selamat, aqidah anda selamat, negara selamat dan agama dapat dijulang.

Oleh kerana Malaysia ini negara sekular, maka para ulama’ dijauhkan dari pemerintahan. Kalau diajak untuk menyertai pemerintahan pun, dipastikan agara yang diajak itu akan menutup mulut dari memperkatakan yang benar. Akibatnya, kudis dan barah akibat kehancuran aqidah yang sahih ini semakin hari semakin menular dan membahayakan. Islam semakin berani dicabar. Bak kata Tuan Guru Nik Abdul Aziz, kenapa sekarang baru timbul isu peluk Islam sedangkan sejak dahulu lagi sudah beratus ribu orang bukan Islam yang memeluk Islam, tiada siapa yang berani bantah. Kenapa sekarang baru mahu membantah?. Jawapannya, bila terlalu bebas dan terlalu longgar, maka beginilah jadinya. Tafsiran terhadap Islam sebagai agama rasmi negara perlu diperjelaskan dan diperkukuhkan. Cengkaman yang jelas terhadap perkara ini wajib dipertegaskan. Jika tidak, apa yang akan berlaku selepas ini masih belum dapat kita bayangkan.

No comments: