Sunday, January 24, 2010

Jiwa Khalid



Hakikatnya, memimpin diri sendiri adalah jauh lebih payah dari memimpin orang lain. Saya masih teringat kata guru saya; Baba Khairul, ramai pahlawan dan panglima perang yang hebat di medan perang, tetapi kalah dengan diri sendiri. Jalaluddin ar Rumi pernah berkata ; “Aku melihat ramai yang pandai berenang tetapi lemas di laut, akan tetapi aku belum pernah melihat sampan yang bernama iman dan cinta itu karam di lautan”.
Saiyyiduna ‘Umar al Khattab rdh pernah memberi ingat bahawa seseorang yang mahu menjadi pemimpin mesti terlebih dahulu mendalami Islam. “Tafaqqahu qabla an tasawwadu”, begitulah lebih kurang bunyinya yang bererti “Faqihkan dirimu (pelajari dan fahami Islam) sebelum engkau memimpin. Sangat dalam pengertian ucapan yang pendek ini. Maksudnya, menjadi pemimpin dalam keadaan jahil lalu menurut hawa nafsu amat bahaya sekali. Ia akan menatijahkan kerosakan lebih banyak dari kebaikan.
Kerana itu jugalah Asy Syahid Hasan Al Banna mendahulukan faham sebelum amal,jihad,pengorbanan dan yang lainnya. Jika yang memimpin amal dan perjuangan itu jahil dan nafsu, nescaya rosaklah segalanya.
Selasa 19 Januari baru ini, saya sempat berusrah bersama qiyadah PAS Perlis yang dinaqibkan oleh YB Ustaz Hashim Jasin. Satu pandangan yang samat menyentuh jiwa dan minda yang telah dilontarkan oleh Pemangku Ketua Dewan Ulama’ PAS Perlis iaitu Ustaz Salleh Adam iaitu mengenai membentuk ‘jiwa Khalid’ di kalangan da’ie dan pendokong dakwah. Bahawa betapa pentingnya kita menghayati istiqamah dan ikhlasnya Khalid al Walid ketika menggalas amanah perjuangan. Berjuangnya Khalid bukan kerana jawatan dan pangkat melainkan untuk mencari keredhaan Allah. Buku “Afaat ‘ala Ath Thariq” karangan Dr Syed Muhammad Nuh telah menjelaskan kepada kami betapa sebab yang mencetuskan “isti’jaal” atau kegopohan dan tidak sabar di lambung ombak mehnah dalam perjuangan ialah bilamana seseorang aktivis amal islami itu terlupa bahawa tujuan tertinggi perjuangan adalah untuk menuntut keredhaan Allah SWT.
Kita harus menerima hakikat bahawa ‘jiwa Khalid’ ini sangat sedikit dimiliki di kalangan kita. Mungkin yang menulis ini pun sama juga. Namun nasihat Ustaz Salleh saya akan pegang selamanya. Kita mesti suburkan jiwa Khalid di kalangan kita.

1 comment:

Anonymous said...

bagaimana dengan pemimpin yang bukan berugama islam?bagaimana cara mereka memimpin?