Wednesday, December 31, 2008

Wow!!!

KUALA LUMPUR : Dewan Rakyat diberitahu, Kerajaan Malaysia menyewa kediaman Perdana Menteri, Sri Perdana sebanyak RM4.15 juta setahun atau RM345, 833.33 sebulan dari Putrajaya Holding.


Untuk menyelenggarakannya pula, kerajaan menanggung RM1.89 juta setahun atau RM158,051.40 sebulan.


Kediaman Timbalan Perdana Menteri pula yang bernama Seri Satria, kerajaan menyewa sebanyak RM2.74 juta setahun atau RM228,333.33 sebulan manakala penyelenggaraannya adalah RM94,156 sebulan.


Ini bermakna, kerajaan menanggung RM27,545 sehari untuk membayar sewa dan menyelenggarakan kedua-dua istana pemimpin negara ini.

"Inilah bangunan yang Almarhum Datuk Fadzil Nor dulu cadang untuk dilelongkan jika BA (ketika itu) berkuasa. Saya tidak tahu tentang anda tetapi saya sendiri tidak terbayang begitu banyaknya wang yang dibelanjakan untuk menampung PM dan TPM kita sekeluarga," tulis Roslan Shahir, Setiausaha Akhbar Presiden PAS dalam blognya.Sewa sehari Seri Perdana bersamaan RM11,527.77 sehari, sedangkan gaji pokok permulaan seorang guru dengan diploma hanyalah RM1,405.71.Dengan RM1,405.71 inilah guru tadi menampung keluarga dan kehidupan hariannya sedangkan kita membayar RM11, 527.77 sehari buat PM kita! Malah menurut jadual tangga gaji baru seorang Ketua Polis Negara pun dibayar lebih murah (perbandingan gaji pokok permulaan) dari kita menyewakan Seri perdana untuk Perdana Menteri kita.


Gaji pokok permulaan KPN adalah RM9, 615.98 (menurut Pekeliling Perkhidmatan Bil. 8 tahun 2007) sebulan.


"Jadi apa nak kita lakukan?" tanya Roslan. Dalam pada itu, tulisnya, rakyat diseru berjimat cermat. Tahun depan mungkin keadaan ekonomi semakin gawat, syarikat-syarikat gergasi dunia sudah mula memberhentikan para pekerjanya."Dan kita dalam susah-susah memuntahkan dari isi perut hampir RM10 juta setahun bagi menempatkan tak sampai 10 orang.




Tuesday, December 30, 2008

Mulakan Dengan Dirimu...

Salam Islah,


Pertamanya : Saya mohon maaf atas kegagalan untuk update blog ini. Saya taknak bagi alasan namun apakan daya, saya terpaksa juga beralasan dengan kesibukan dan tuntutan amal Islami yang lebih mustahak. Alhamdulillah, petang ini rasanya Allah SWT telah mengurniakan sedikit kekuatan untuk membuat beberapa coretan dan catatan.


Kedua ; Saya mengucapkan Selamat Tahun Baru Hijrah 1430 kepada semua umat Islam di seluruh dunia. Marilah kita perbaharui keazaman, pertingkatkan keimanan, suburkan ketaqwaan, perteguhkan semangat jihad dan teruskan istiqamah dalam perjuangan, semoga dengan keberkatan Hijrah Rasul SAW, kita akan terus dipimpin oleh Allah SWT kepada hasanah dunia dan hasanah akhirat.


Ketiga : Hijrah bukan sekadar sambutan dan perayaan, tetapi yang lebih dituntut adalah penghayatan dan amalan. Berbelanja besar untuk sambutan hijraj tidak salah, tetapi ianya hanya akan menjadi satu pembaziran jika ruh, semangat dan pengajaran dari peristiwa hijrah itu tidak diamalkan dan dilaksanakan dalam kehidupan.


Keempat : Menjadi tanggungjawab individu untuk menghayati sepenuhnya ‘ibrah dan istifadah daripada Hijrah ar Rasul SAW, namun perlu diingatkan bahawa mereka yang dipinjamkan kekuasaan di muka bumi oleh Allah SWT lebih besar tanggungjawabnya untuk memastikan agar tuntutan dan penghayatan sebenar dari hijrah itu diterapkan di dalam pentadbiran negara dan sistem pemerintahan. Kerana apa dan mengapa? Jawapannya ialah kerana mereka ada KUASA!.


Kelima : Rasulullah berhijrah dari Makkah ke Madinah adalah kerana diperintahkan oleh Allah SWT. Bukannya atas kehendak Baginda sendiri dan jauh sekali untuk lari dari musyrikin Makkah. Makkah, walaupun bumi yang sangat dicintai oleh Rasulullah, namun ia tidak subur untuk dakwah dan perkembangan Islam buat masa itu. Di Madinah, ada sokongan dan dokongan yang menanti seperti yang dijanjikan wakil Aus dan Khazraj dalam perjanjian ‘Aqabah. Maka Allah telah memerintahkan Baginda dan para Sahabah berhijrah demi ketuanan Islam dan perkembangan dakwahnya. Tiba di Madinah, Baginda telah manjalankan sunnah yang sangat besar iaitulah menubuhkan negara. Pendek kata, Islam perlukan dokongan dan sokongan samada dari ummah ataupun pemerintah. Agama adalah Sultan sedangkan kerajaan dan pemerintahan adalah penjaganya. Persoalannya, dimanakah tempat letaknya sunnah ini di zaman kita?. Mungkin telah ditongsampahkan.


Keenam : Kita sambut tahun baru Hijrah 1430 dengan pembunuhan 300 nyawa umat Islam Palestine. Inilah hakikatnya kedudukan umat Islam di zaman kita. Hijrah Rasulullah dan sahabah telah meninggikan ketuanan Islam dan menjulang tinggi kalimah Allah di bumi sedangkan kita memperingati hijrah dengan iringan air mata dan darah saudara kita di sana. Apa ertinya sambutan ini jika hanya sebagai retorik semata?. Bekerja dan beramallah serta bersungguhlah wahai saudara. Mulakan sekarang dan mulakan dengan dirimu!.



Sunday, December 21, 2008

Nur Wahyu : at Taubah 40-41

BismilLah, wal hamdulillah, wassolatu wassalamu ‘ala Saiyyidina Rasulillah wa ba’du ;


Salam Islah buat pencinta perjuangan Islam sekalian,


“Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah pun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negeriNya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: "Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita". maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah Dengan sehina-hinanya), dan kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”


“Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (di sebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam), yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.” - surah at Taubah : 40-41


JIKA KAMU ENGGAN


Di dalam ayat ke 40 , Allah SWT telah memberikan penegasan bahawa jika tidak ada yang mahu menjadi penolong agama dan perjuangan Nabi SAW, maka Allah pasti akan menolong Rasulullah SWT dengan kekuatan dan qudrah yang tidak terlawan dan terbayang dek manusia. Di hujuang ayat ke 40, Allah telah memberikan janji dan kepastian kepada seluruh pejuang agama bahawa Allah pasti akan menjulang tinggi kalimah Allah yakni Islam dan Allah pasti akan mengalahkan seruan kufur dan syirik. Walaupun kemenangan itu lambat tiba, namun ia sesuatu yang pasti. Kebathilan itu tampak kuat namun ia tidak akan kekal. Kebenaran itu tampak lemah namun ia mendapat jaminan nusrah dan keteguhan dari Allah SWT.


Dr Hamka telah menjelaskan juga bahawa ayat ke 40 ini adalah ayat yang jelas turun untuk menjelaskan kedudukan Saiyyiduna Abi Bakr rdh sebagai umat nombor satu di sisi Rasulullah SAW. Ayat ini juga menggambarkan betapa mendalamnya cinta dan kasih Abu Bakr terhadap Rasulullah SAW yang tergembar melalui keresahan dan kerisauan beliau terhadap keselamatan Rasulullah SAW sewaktu mereka berdua bersembunyi di dalam Gua Tsur sehingga terpaksa ditenangkan oleh Rasullah SAW serta diperteguhkan keyakinannya kepada pertolongan dan nusrah dari Allah SWT.


WAJIB BERJUANG SAMADA BERAT ATAU RINGAN


Setelah Allah menegaskan pada ayat yang ke 40, bahwa meskipun kamu enggan menolong Rasulullah SAW dan para pejuang agama, Allah pasti akan menolongnya jua, Allah SWT dalam ayat berikutnya menjelaskan bahawa kita kita boleh menyerahkan saja kepada Allah untuk membela Nabi SAW dan menegakkan agama. Kita sendiri wajib berjuang melaksanakan perintah jihad samada ringan ataupun berat.


Menurut Imam Mujahid maksud ringan ialah kaya dan maksud berat adalah miskin sedang al Hasan menafsirkan ringan dengan maksud muda dan berat sebagai tua.


Zaid bin Ali dan al Hakam bin ‘Utbah bula memberi erti ringan ialah tidak banyak urusan yang merintangi dan berat adalah banyak urusan yang merintangi.


Menurut Zaid bin Aslam , ringan ialah yang belum berkeluarga dan berat ialah yang telah banyak tanggungan keluarga.

Menurut Ibnu Zaid pula, ringan ialah orang yang tidak mempunyai harta benda, berat ialah orang yang mempunyai banyak harta sehingga begitu payah dan susah untuk meninggalkannya.


Ayat yang ke 41 juga menjelaskan juga bahawa wajib kita mengorbankan harta dan nyawa dalam menegakkan agama Allah. Allah juga memberikan jaminan bahawa orang yang mengorbankan harta dan nyawa pada jalan Allah telah melakukan satu tindakan yang tepat dan baik.


Pengajaran ayat :


  • Allah SWT pasti akan memenangkan agamaNya walau kita tidak berjuang dan berjihad sekalipun. Maka kitalah yang akan beroleh kerugian disebabkan melepaskan peluang yang telah Allah berikan untuk mendapat pahala dan redha Allah melalui jihad, perjuangan dan pengorbanan harta dan nyawa.
  • Sedarlah bahawa tiada keringanan dan persoalan jihad dan perjuangan. Kecil, besar, tua , muda, kaya atau miskin dan siapa sahaja dari umat Muhammad, wajib bekerja dan berjuang menegakkan agama Allah SWT.
  • Setiap sen harta dan nyawa yang terkorban demi Islam akan mendapat nilai besar di sisi Allah.

Wednesday, December 17, 2008

Demi Masa....

Kisah Ibnu Nafis


Beliau adalah seorang doktor perubatan yang terkenal. Beliau juga adalah orang pertama yang menjumpai teori perjalanan darah pada kurun ketujuh Hijrah.


Diriwayatkan bahawa Ibnu Nafis seorang yang tidak suka membuang masa. Apabila ingin menulis beliau akan memalingkan mukanya mengadap dinding, kemudian mula menulis daripada ilmu pengetahuannya tanpa merujuk apa-apa kitab. Dikatakan beliau menulis laju seperti air yang mengalir. Apabila penselnya tumpul beliau akan mencampaknya ke suatu tempat khas kemudian mengambil pensel baru, oleh yang demikian beliau akan pastikan pensel-pensel yang telah diasah tersedia di atas mejanya sebelum memulakan penulisan kerana ditakuti masanya akan terbuang dengan mengasah pensel-pensel berkenaan.


Satu ketika, beliau masuk tandas untuk mandi, kemudian keluar kembali seraya meminta pen, dakwat dan kertas, justeru menulis satu karangan mengenai denyutan nadi. Setelah itu beliau masuk semula ke dalam tandas untuk menghabiskan mandiannya.


Kisah Ibnu Jauzi


Setiap kali selepas mengasah penselnya, Ibnu Jauzi akan mengumpul habuk tersebut di dalam satu bekas khusus. Apabila beliau jatuh sakit, beliau mewasiatkan agar habuk tersebut dijadikan bahan bakar untuk memasak air mandian mayatnya. Apabila beliau wafat, sahabat dan kerabat beliau melaksanakan wasiat yang ditinggalkan, ternyata habuk pensil tersebut sempat memanaskan air mandian mayatnya malah ianya masih berbaki sedikit.


Kisah Imam at-Tabari


Beliau seorang ahli tafsir yang masyhur. Beliau juga terkenal dengan pengawasannya terhadap ilmu pengetahuan. As-Simsimi berkata: Beliau menulis setiap hari empat puluh helaian dalam masa empat puluh tahun.


Muridnya (al-Qadhi Abu Bakar) telah meriwayatkan bahawa beliau seorang yang terlalu menjaga rutin hariannya. Selepas mengambil sarapan pagi beliau akan tidur kemudian bangun dan solat zohor. Sejurus kemudian beliau akan mula menulis hingga masuk waktu Asar. Pabila selesai menunaikan Fardhu Asar, dia akan bersama murid-muridnya menelaah ilmu sehingga Maghrib. Selepas Maghrib pula beliau akan mengajar ilmu Feqah sehingga larut malam.


Kalau kita perhatikan, betapa beliau pandai membahagikan masa dan usianya demi kepentingan agama, masyarakat dan dirinya sendiri. Beliau tidak pernah membazirkan walaupun sesaat pada perkara yang tidak berfaedah, masa baginya biarlah digunakan untuk perkara-perkara yang berfaedah ataupun untuk mengambil faedah daripada orang lain. Inilah dia ikutan kita, seorang ahli agama yang menggadaikan umurnya semata-mata untuk agama, untuk Allah, untuk beribadah dalam erti kata yang sebenarnya.


Sebuah kisah lain, antara lainnya mengisahkan kehidupan Imam at-Tabari yang tidak boleh terpisah daripada ilmu. Kisah ini diriwayatkan oleh salah seorang sahabat beliau (al-Murafi bin Zakaria) yang datang menziarahi waktu sakitnya. Apabila Imam at-Tabari mendengar salah seorang pelawat membaca doa ke atasnya lalu dia berkata, tolong ambilkan aku sebatang pen dan sehelai kertas, kemudian beliau menulis doa tersebut. Salah seorang daripada mereka bertanya: Apakan kamu masih menulis ilmu sedangkan kamu dalam keadaan begini? Jawab beliau: Sememangnya menjadi kewajipan setiap manusia untuk tidak meninggalkan ilmu berlalu pergi begitu sahaja hingga mati.


Kisah Sulaim ar-Razi


Imam Sulaim ar-Razi ini merupakan seorang yang amat mementingkan masa dan ilmu, warak dan selalu menghisab dirinya. Beliau tidak pernah meninggalkan sedetik waktu tanpa faedah. Samada beliau akan belajar, mengajar, menyalin ataupun membaca. Diriwayatkan daripada beliau sendiri: Aku sempat menghabiskan satu juzuk (bab) bacaanku di dalam perjalanan pulang ke rumahku.


Perkara ini diakui oleh salah seorang sahabat beliau (al-Muammil bin al-Hassan): Aku terlihat Sulaim mengasah pensel sambil mulutnya terkumat kamit menyebut sesuatu. Pabila ditanya, aku mengetahui beliau sedang membaca al-Quran semasa mengasah pensel nya, kerana ditakuti masa akan berlalu begitu sahaja tanpa beliau mengambil apa-apa faedah ataupun suatu tindakan yang positif. Inilah dia seorang ulama’ Islam yang hidup di zaman silam, oelh sebab itulah tidak dinafikan bahawa Islam pada zaman mereka telah melalui satu zaman kegemilangan yang tidak ada tolok bandingnya.


Ambillah Pengajaran :


  • Hayati dan beramallah dengan Surah al 'Asr yang kita baca setiap kali kita berpisah dari satu pertemuan dan majlis, bahawa yang tidak menjaga dan memelihara masa hanya akan beroleh kerugian.
  • Manafaatkan setiap waktu dan masa kurniaan Allah dengan menunaikan tuntutan keimanan,amal soleh, berdakwah dan berpesanan dengan kesabaran.
  • Semua manusia berjaya di dunia ini adalah manusia yang sangat memanafaatkan waktu dan sekali-kali tidak membiarkan masa berlalu dengan sia-sia.

Monday, December 15, 2008

Mengislamkan Orang Islam

Salam Islah,


Saya membicarakan tentang hukum orang yang berpuasa tetapi tidak solat dalam kuliah maghrib mingguan di kampung tempat lahir saya semalam. Sudah lapan tahun saya mengajar di situ sejak tahun 2000. Kampung saya memang terkenal sebagai kubu kuat UMNO/BN sejak sekian lama. Bukan sedikit halangan dan cabaran yang saya hadapi selama 8 tahun. Sabtu lepas, salah seorang ‘murid setia’ kuliah saya mengadakan kenduri khatan anaknya.


Tidak terlintas di fikiran saya, murid setia selama 8 tahun akan menjemput kumpulan kugiran untuk menyanyi dan memainkan alat muzik yang hangar bangar dalam majlis kenduri khatan!. Tetapi itulah hakikat yang berlaku. Saya hanta tersenyum kepada tuan rumah. Dia datang membisikkan di telinga saya ; “ Macamana ustaz, boleh kot no?”. Dan saya tersenyum lagi.


Susahnya mendidik dan mentarbiyah umat. Inilah kelemahan dan kekurangan saya. Dalam soal mahu mengislamkan ‘orang Islam’ pun saya dah tak mampu,macamana pula dengan kerja-kerja dakwah terhadap yang bukan Islam. Islam telah terhijab dari pandangan mata hati non muslim disebabkan orang Islam sendiri. Saya kagum dengan sahabat-sahabat yang ada kekuatan untuk aktif berdakwah kepada non muslim. Mereka telah diberikan kekuatan oleh Allah berkat kesungguhan mereka dan saya mendoakan keikhlasan mereka dan kejayaan kerja buat mereka.


Sebab itu saya hanya mampu bekerja keras untuk menumbangkan kerajaan thagut yang langsung tidak menyumbang ke arah sampainya seruan dakwah kepada non muslim walaupun mereka ada kemampuan untuk melakukannya. JAKIM dan YADIM harus digerakkan untuk maksud itu. Majunya Islam dengan tersebar luasnya agama Allah ini kepada sekalian alam. Dan tugas dakwah, mestilah disampaikan juga kepada yang tidak Islam. Bahkan mereka lebih utama disamping jangan mengabaikan umat Islam sendiri. Saya juga sangat bersetuju dengan pendapat yang mengatakan bahawa zaman Pakatan Rakyat inilah kita mesti mengambil peluang untuk sampaika dakwah kita kepada non muslim. Sememangnya pelaksanaan tidak semudah cakap, namun adat hidup berjamaah memang begitu, berat sama dipikul dan ringan sama dijinjing. Dengan sebab itu jualah, bika kita berkuasa, jamaah yang mesti memerintah bukan individu.


Berbalik soal mengislamkan orang Islam tadi. Sememangya benarlah ungkapan para murabbi umat, Islam tidak tertegak dengan kata-kata. Ustaz-ustaz yang sememangnya hebat berceramah dan berkuliah, mereka mungkin hebat dalam teori dakwah, namun cuba lah terjun ke medan dan bersama masyarakat, belum tentu segala teori hebat tersebut dapat dilaksanakan. Kejayaan tarbiyyah memerlukan sasaran dakwah yang komited, murabbi yang ikhlas dan bersungguh serta suasana yang membantu. Dalam bab suasana inilah kita sangat berhajat kepada kekuasaan pemerintahan, baru boleh kita wujudkan suasana.


Susana yang terbentuk pada hari ini adalah mengarah rakyat kepada menggilai hiburan dan keseronokan berbanding mengajak mereka untuk membentuk jatidiri dan kekuatan rohani. Inilah yang dikatakan susahnya nak islamkan orang islam. Sebab itu, sahabat-sahabat yang gigih dengan dakwah non muslim, teruskanlah dan kudoakan kejayaan kalian. Namun usaha mengislamkan orang Islam ini pun sangat perlu dan tidak boleh diabaikan. Kalian pula ku pohon agar mendoakan kami dalam usaha ini. Mari kita lengkap melengkapi dan tongkat menongkati antara kita. Selesai masalah!



Friday, December 12, 2008

Pastikan Ia Segar di Jiwa

Salam Islah,


Pertama – Kita baru sahaja selesai meraikan Eidul Adha yang telah mengunjungi kita dengan keimanan dan kesyukuran kepada Allah SWT. Semoga ia menjadi wasilah untuk kita mendekatkan diri kepada Allah SWT dan semoga segala ibadah yang telah kita lakukan, ibadah qurban khususnya diterima Allah SWT.


Kedua – Walaupun ibadah qurban itu telah selesai kita laksanakan, namun penghayatan terhadapnya amatlah mustahak untuk kita segarkan di dalam jiwa sepanjang hayat kita. Dengan kerana itu jua, Eidul Adha itu telah disyariatkan agar dilaksanakan oleh setiap Muslim saban tahun demi memperingatkan kita semua akan falsafahnya dan penghayatannya di dalam kehidupan kita. Sia-sialah ibadah yang kita laksanakan tanpa penghayatan. Sebagaimana solat yang tidak dapat mencegah daripada kekejian dan maksiat maka seperti itu jualah ibadah qurban yang tidak dapat menatijahkan semangat pengorbanan yang tinggi dalam mentaati perintah Allah SWT dan menjulang kalimah Allah di atas muka bumi.


Ketiga – Ketaatan tanpa banyak bicara oleh Nabi Ibrahim ‘alaihissalam mesti menjadi ikutan umat di zaman mutakhir ini. Inilah dia agama yang sebenar dan jalan yang lurus yang dicari. Inilah dia pelambangan kepada aqidah yang tulus, suci , sahih dan ikhlas kepada Allah SWT. Mentaati perintah Allah dengan penuh keyakinan kepada janji Allah SWT serta tanpa rasa ragu terhadap suruhan Allah adalah intipati ajaran tauhid ‘laailaahaillallaah’. Hakikatnya, kerana sudah terlalu jauh dari zaman nubuwwah maka aqidah di zaman kita telah melalui tokok tambah, penambahan dan pengurangan yang sangat dahsyat. Berwaspadalah daripada tipudaya musuh yang senantiasa aktif merancang dan merencana demi merosakkan kemurnian dan ketulenan aqidah yang sahih.


Keempat – Akal kurniaan Allah adalah pemberian yang terlalu istimewa. Sayyid Sabiq menyebut di dalam tulisan beliau – al ‘Aqaidul Islamiyah- bahawa akal mesti digunakan untuk mencari Tuhan seterusnya menyakini qudrah dan iradahNya. Islam memberikan ruang yang cukup kepada akal untuk berfungsi degan baik bagi membantu manusia dalam segenap hal terutamanya dalam mencapai apa jua yang dihajati dalam hidup. Maka sudah tentulah tugas akal yang terbaik adalah membantu manusia bermakrifah kepada Allah SWT. Jelasnya, jangan gunakan akal untuk mempertikaikan perintah Allah SWT. Jangan gunakan akal untuk mengingkari Allah dan biadap terhadap Allah SWT. Sepatutnya, semakin tinggi pencapaian akal maka semakin ia tunduk kepada Allah dan inilah sifat para anbiyaa’. Adapun Iblis, semakin tinggi pencapaian akalnya maka semakin ia takabbur terhadap Allah SWT.


Kelima- Semoga qurban kita diterima Allah berkat aqidah kita yang benar terhadap Allah. Jika tidak, maka banyaklah lembu yang ‘terbunuh’ pada Eidul Adha yang lalu, bukannya tersembelih kerana diqurbankan kerana Allah.



Thursday, December 4, 2008

Dalam Situasi Bagaimana Aqiqah Diutamakan Dari Qurban?

SOALAN:

SEMASA kecil ibu bapa saya tidak pernah melakukan ibadah korban dan akikah kerana kesempitan hidup. Anak sulung saya sudah melakukan akikah pada tahun lepas.

Bagaimana caranya jika saya ingin melakukan ibadah tersebut untuk diri sendiri. Adakah saya perlu melakukan akikah dahulu sebelum korban?

JAWAPAN:

SEBENARNYA kita boleh melakukan ibadah akikah ke atas diri kita bila-bila masa sahaja, kerana ibadah akikah tidak seperti ibadah korban yang biasanya dilakukan pada hari-hari tasyrik pada bulan Zulhijjah.

Sepatutnya tanggungjawab melakukan akikah di bawah tanggungan ayah. Tetapi harus si datuk melakukan akikah untuk cucunya seperti baginda Rasulullah SAW melakukan akikah untuk kedua-dua cucu baginda iaitu al-Hasan dan al-Husein.

Namun mungkin kerana kegawatan ekonomi menyebabkan akikah tidak dapat dilaksanakan, jadi tidak salah. Malah sah hukumnya dan tetap mendapat pahala sekiranya tuan punya diri melakukan ibadah akikah untuk diri sendiri.

Hal ini dapat kita lihat dalam beberapa riwayat bagaimana Rasulullah SAW melakukan ibadah akikah untuk diri baginda.

Adapun persoalan yang mana perlu diutamakan, jawapannya ialah akikah, kerana yang tertanggung ke atas kita sejak kita lahir ialah akikah. Sehinggakan dalam hadis Rasulullah SAW menyebut “terikat” atau “tertanggung” ke atas anak-anak yang lahir.

Ini bermaksud tanggungan yang terawal ialah akikah. Maka adalah lebih utama kita mendahulukan tuntutan yang terawal. Walaupun demikian ada pandangan ulama yang mengira ibadah korban dapat melupuskan tuntutan akikah seperti pendapat Ibn Sirin dan al-Hasan al-Basri.

Namun pandangan ini berbeza dengan pandangan jumhur ulama yang berpendapat kedua-dua ibadat itu tidak dapat ganti-mengganti antara satu sama lain. Malah kedua-dua ibadat sunat muakkad itu dilakukan berasingan.

Sekiranya duit yang cukup untuk melakukan ibadat akikah, maka lakukan ibadah akikah dahulu. Apabila sudah ada rezeki barulah buat ibadah korban.

Dari segi bahasa, akikah adalah rambut di kepala kanak-kanak. Sementara pengertian akikah dari segi syarak ialah binatang yang disembelih pada hari mencukur rambut bayi.

Akikah sebagai ibadah yang telah disyariatkan oleh Allah SWT sebagaimana penjelasan Rasulullah dengan sabdanya yang bermaksud: “Setiap anak yang lahir itu terpelihara dengan akikahnya yang disembelih untuknya pada hari ketujuh (daripada hari kelahirannya), dicukur dan diberi nama”. (riwayat Abu Dawud, al-Turmidzi dan Ibnu Majah)

Ibnu Majah menerangkan maksud “… terpelihara dengan akikah…” (pada mafhum hadis di atas) adalah bahawa akikah itu sebagai sebab yang melepaskan kanak-kanak tersebut daripada gangguan syaitan yang cuba memesongkannya daripada melakukan kebaikan.

Daripada Salman bin Amir al-Dhabley, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Untuk anak lelaki itu akikahnya. Tumpahkan atasnya darah dan hilangkanlah daripadanya kekotoran dan najis”. (Riwayat Abu Dawud, al-Turmidzi dan Ibnu Majah).

Menurut Imam Ahmad bin Hanbal, bahawa apabila seseorang kanak-kanak itu mati dalam keadaan belum diakikahkan lagi, maka anak itu tidak dapat mensyafaatkan kedua-dua orang tuanya di akhirat kelak.

Hukum akikah itu adalah sama dengan ibadah korban iaitu sunat muakkad kecuali dinazarkan menjadi wajib.

Penyembelihan akikah adalah pada hari ketujuh dari kelahiran bayi atau pada hari ke-14 atau ke-21. Jika tidak dapat maka bila-bila masa selagi anak itu belum baligh.

Jika anak telah baligh, maka gugur tuntutan atas walinya dan sunat bagi dirinya (individu yang berkenaan) mengakikahkan untuk dirinya sendiri.

Bagi anak zina, akikahnya sunat dilakukan oleh ibunya kerana nafkah hidup anak zina itu tanggungan ibunya bukan bapanya. Demikian pendapat Ibnu Hajar dan Syeikh Ramli, manakala Khatib Syarbini pula berpendapat, adalah tidak sunat bagi ibu mengakikahkan anak zinanya meskipun si ibu memberi nafkah kepadanya.

Anak lelaki disembelihkan dua ekor kambing (tetapi sah sekiranya seekor) dan perempuan memadai dengan seekor kambing.

Diriwayatkan daripada Aisyah, bahawa Rasulullah SAW memerintahkan para sahabat agar menyembelih akikah untuk anak lelaki dua ekor kambing yang umurnya sama dan untuk anak perempuan seekor kambing. (riwayat al-Turmidzi).

Daripada Ibnu Abbas r.a. pula menyatakan bahawa Rasullullah SAW menyembelih akikah untuk Hasan dan Husin masing-masing dengan seekor kambing. (riwayat Abu Dawud)

Hayatilah Taujihat Asy Syaikhul Mujahid Musthofa Masyhur

Setiap orang yang bermusafir mestilah mempunyai bekalan yang diperlukan di dalam perjalanan. Dengan itu is menyediakan sebab musabab yang membolehkan ia meneruskan perjalanan agar dapat menuju matlamatnya. Ia juga membuat pertimbangan terhadap apa yang akan berlaku di dalam perjalanannya. Kemungkinan berlaku sesuatu yang menghadang jalannya dan menghalang ia meneruskan perjalanannya. Adakalanya berlaku suatu yang menjauhkannya dari matlamat atau sekurang-kurangnya mencacatkan perjalanannya.


Jalan da’wah adalah segala-galanya di dalam kehidupan seorang da’i kepada Allah. Ia adalah jalan yang paling utama untuk diberikan perhatian. Mestilah juga ada bekalan yang memelihara dari terpesong, terhalang, terhenti, terbantut atau tergelincir di jalan. Natijahnya, kerugian yang nyata dan hilangnya kebaikan dan kejayaan yang besar.


Pertama sekali, bekalan ini terdapat di dalam keimanan yang kuat dan ketaqwaan kepada Allah, ianya merupakan bekalan yang terbaik.. Setelah itu, bantuan-bantuan lain seperti persahabatan yang yang baik dan pembimbing yang menunjukkan pengalaman dan percubaa, serta lain-lain perkara yang dapat memperbaharui keupayaan dan keazaman dan mengelakkan dari penyelewengan dan kesalahan.


Dalil yang menunjukkan kepada kemestian dan kepentingan bekalan ini ialah : Jika sebuah kereta yang digunakan oleh orang yang bermusafir kehabisan minyak ketika perjalanan dan tidak mempunyai minyak yang mencukupi, maka jadilah ia seperti potongan-potongan besi yang tidak dapat membantunya untuk bergerak walaupun selangkah. Demikianlah juga orang yang mengharungi jalan dakwah, apabila bekalan iman dan taqwanya berkurangan atau kehabisan tanpa diperbaharui atau ditambah, maka jadilah ia seperti jenazah yang kaku atau orang yang sakit dan tidak berdaya untuk bergerak. Benarlah firman Allah SWT :


“Dan adakah orang yang mati (hatinya dengan kufur), kemudian Kami hidupkan dia semula (dengan hidayah petunjuk), dan Kami jadikan baginya cahaya (iman) Yang menerangi (sehingga dapatlah ia membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan dapatlah) ia berjalan dengan suluhan cahaya itu dalam masyarakat manusia, (adakah orang yang demikian keadaannya) sama seperti yang tinggal tetap di dalam gelap-gelita (kufur), yang tidak dapat keluar sama sekali daripadanya? Demikianlah (sebagaimana iman itu diperlihatkan keelokannya kepada orang-orang yang beriman), diperlihatkan pula pada pandangan orang-orang yang kafir itu akan keelokan apa yang mereka telah lakukan (dari perbuatan kufur dan segala jenis maksiat).” Surah Al An’aam : 122


Firman Allah SWT :


“Wahai orang-orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan RasulNya apabila ia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna; dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah berkuasa mengubah atau menyekat di antara seseorang itu dengan (pekerjaan) hatinya, dan sesungguhnya kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan.” Surah Al Anfal : 21


Bekalan iman dan taqwa kepada Allah ini terpancar dari sumber yang baik di dalam jiwa dan melahirkan tenaga, menaikkan semangat dan keazaman. Maka pergerakan menjadi mudah , tarikan keduniaan berkurangan, halangan dapat ditempuhi , liku-liku boleh diharungi dan petunjuk di sepanjang jalan kelihatan jelas. Lahirlah kebenaran, keikhlasan, keazaman, keteguhan dan juga mewujudkan pencapaian yang hampir menyerupai mu’jizat dapat dibuktikan di jalan dakwah.


Monday, December 1, 2008

Hormat Atau Patuh??

BismilLah wal hamdulillah wassolatu wassalamu ‘ala Saiyyidina Rasulillah, wa ba’du ;


Salam Islah,


Saya ingin memberikan beberapa ulasan mengenai fatwa senaman yoga yang telah dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan baru-baru ini.


Pertama ; Perkataan menghormati fatwa hanya sesuai digunakan untuk orang bukan Islam. Mereka sememangnya sangat dituntut untuk menghormati fatwa yang melibatkan hukum dan syariat Islam. Sementara untuk umat Islam, perkataan yang mesti digunakan untuk mereka ialah, umat Islam mesti mematuhi fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa. MF ada autoriti dalam hal ini. Ahli MF semuanya berilmu dan sangat dipercayai dan diyakini kemampuan keilmuan masing-masing. Saya yakin mereka tidak punya sebarang kepentingan peribadi dalam hal ini. Dalam sebuah negara yang agama rasminya adalah Islam, tambahan pula dengan konsep Islam Hadhari yang di perkenalkan, sepatutnya fatwa berkaitan hukum Islam tidak menjadi masalah dan sebab kepada perbalahan.


Firman Allah SWT :


“Bagi tiap-tiap umat, Kami adakan satu syariat yang tertentu untuk mereka ikuti dan jalankan, maka janganlah ahli-ahli syariat yang lain membantahmu dalam urusan syariatmu; dan serulah (Wahai Muhammad) umat manusia kepada ugama Tuhanmu, kerana sesungguhnya Engkau adalah berada di atas jalan yang lurus. Dan jika mereka mengemukakan bantahan kepadaMu, maka katakanlah: Allah amat mengetahui akan apa yang kamu lakukan.” Surah Al Hajj : 67-68


Kedua : Sebab utama kepada pengharaman yoga adalah bacaan mantera hindu yang mengandungi unsur penyatuan dengan tuhan yang sememangnya sangat ditegah dan dilarang serta membawa kepada kesyirikan kepada Allah SWT. Unsur penyatuan dengan tuhan adalah salah dan tertolak kerana Allah itu Esan dan Tunggal yang tidak ada seorang pun dari makhluk ini yang boleh menyerupai Allah SWT apatah lagi berupaya untuk menyatu dengan Allah SWT.


Firman Allah SWT :


“Katakanlah (Wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; "Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; Ia tiada beranak, dan ia pula tidak diperanakkan; Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya". Surah Al Ikhlas : 1-4


Ketiga : Ada individu yang membuat laporan polis terhadap fatwa ini kerana kononnya fatwa ini mengandungi unsur perkauman. Sudah barang tentu ada orang yang kecewa dengan fatwa ini. Bukan sahaja taukeh yoga, bahkan pendakyah Hindu juga akan merasakan kerugian dengan fatwa ini kerana usaha mereka untuk menerapkan ajaran agama hindu di kalangan bukan hindu akan terbantut. Saya merasa pelik kenapa isu perkauman yang ditimbulkan. Ini yang saya katakan bahawa Perdana Menteri mestilah memberi amaran kepada bukan Islam supaya mereka mesti ‘menghormati’ fatwa institusi Islam ini. Fatwa ini adalah perkara yang berkait dengan agama Islam. Ianya adalah untuk umat Islam dan bertujuan menjaga serta memelihara aqidah umat Islam.


Firman Allah SWT :


“ Katakanlah (Wahai Muhammad): "Hai orang-orang kafir!. Aku tidak akan menyembah apa Yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) Yang Aku sembah. Dan Aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara Aku beribadat. Bagi kamu ugama kamu, dan bagiku ugamaku". Surah Al Kafirun : 1-6


Keempat : Betapa kecewanya kita dengan seorang umat Islam yang memprotes fatwa ini kerana katanya dia sudah 5 tahun mengamalkan yoga namun aqidahnya tidak pun terpesong. Subhanallah!. Bagaimana boleh dikatakan tidak terpesong jika ada unsure mensyirikkan Allah SWT. Inilah yang dikatakan syirik. Ada yang jelas dan ada yang tersembunyi. Yang tersembunyi inilah yang payah dikenali kecuali dengan mengaji. Rasulullah SAW sendiri memohon perlindungan dari syirik. Rasulullah berdoa pagi dan petang :


“Ya Allah, aku berlindung denganMu daripada mensyirikkan Engkau dengan sesuatu yang aku ketahui (syirik jelas), dan aku mohon ampun padaMu ya Allah daripada aku menyengutukan Engkau dengan sesuatu yang tidak aku ketahui (syirik tersembunyi)” – rujuk al Ma’thurat bagi Al Imam Hassan Al Banna.


Betapa mereka yang sudah lama beramal dengan yoga ini berada di dalam dosa syirik. Dan sekarang ini ianya telah dijelaskan dengan fatwa ulamak maka bertaubatlah. Nescaya Allah mengampunkan kesilapan yang lalu.


Firman Allah SWT :


“Maka adakah orang-orang kafir menyangka bahawa mereka mengambil hamba-hambaKu sebagai makhluk-makhluk yang disembah, selain daripadaKu, dapat menolong mereka? Sesungguhnya Kami telah sediakan neraka jahannam bagi orang-orang kafir itu sebagai tempat tetamu. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya?. (Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan". Merekalah orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan dengannya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka akibatya Kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka, pada hari kiamat kelak.(Mereka Yang bersifat) demikian, balasannya neraka Jahannam, disebabkan mereka kufur ingkar, dan mereka pula menjadikan ayat-ayatKu dan Rasul-rasulKu sebagai ejek-ejekan.” Surah al Kahfi : 102-106


Wallahu waliyyu at taufiq.

Darul Islah : 11.12 malam.


Saturday, November 29, 2008

Hayatilah...

Salam Islah,


Saya mengucapkan selamat pengantin baru kepada mereka yang melangsungkan pernikahan sempena kesempatan cuti sekolah sekarang ini. Esok, Us Zubir, sahabat usrah Islah akan melangsungkan perkahwinannya di Pondok Tanjung Kapur, Jitra. Saya dan sahabat-sahabat Islah akan menghadiri dan meraikan Us Zubir dan zaujah esok insya Allah.


HAYATILAH


Apa yang penting ialah menghayati falsafah dan hikmah di sebalik perkahwinan. Al Quran adalah sebaik-baik dan seterang-terang penyuluh untuk memahami rahsia Allah ini. Allah SWT menjelaskan bahawa tujuan perkahwinan adalah untuk mendatangkan ketenangan di dalam hati serta menimbulkan kasih sayang dan kecintaan antara suami dan isteri.


Ketenangan terhasil melalui hubungan yang halal di antara lelaki dan perempuan. Sedangkan sesuatu yang halal mempunyai unsur yang sangat penting iaitu keberkatan dari Allah SWT. Hubungan yang tidak diberkati Allah SWT adalah ibarat kayu yang rapuh. Tali simpulan yang mengikatnya adalah tidak kukuh.


Perkahwinan yang ‘mahal’ harganya bukanlah menjadi jaminan kepada keberkatan perkahwinan dan hubungan yang kekal selamanya. Bahkan Rasulullah SAW telah menegaskan di dalam hadis Baginda bahawa sebaik-baik wanita yang ingin dikahwini adalah mudah urusan perkahwinannya dan murah maharnya.


WANITA SOLEHAH


Sebab itu, Rasulullah SAW memerintahkan umatnya agar memilih wanita solehah untuk dijadikan isteri. Sabda Baginda ;


“Dinikahi akan wanita itu kerana empat perkara ; kerana kecantikannya, dan kerana keturunannya, dan kerana hartanya dan kerana agamanya. Maka pilih olehmu wanita yang beragama nescaya akan beruntung kedua tanganmu”


Imam Muslim telah meriwayatkan sebuah lagi hadis mengenai wanita solehah ;


“Dunia itu merupakan mata benda, dan sebaik-baik mata benda dunia adalah wanita yang solehah”


Syarat utama memilih bakal pasangan hidup adalah ‘agama’. Maka bagi saya, kalau memang confirm wanita yang kita bakal kahwini itu wanita solehah dan kuat pegangan agamanya, biarlah mahal sekalipun mahar nikahnya sekalipun tidak mengapa. Kalau yang kita ingin kahwini itu tidak solehah, maka mahar yang mahal hanya akan kerugian.


Isteri solehah adalah sebaik-baik teman. Dia juga adalah sebaik-baik penasihat. Jika dia wanita beragama, maka agama dan taqwanya akan memandu hidupnya serta dapat membantu kita dengan nasihat dan tegurannya. Kecantikan isteri juga oenting namun ia bukan syarat utama. Tidak ada gunanya isteri yang cantik yang kecantikannya itu hanya untuk tatap n orang lain. Mendedahkan kecantikannya pada apa yang diharamkan Allah.


CANTIK DI SISI ALLAH


Kecantikan yang hakiki adalah kecantikan pada pandangan Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW ;


“Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa parasmu, dan bukan juga kepada tubuh badanmu. Tetapi Allah memandang kepada amalanmu dan juga hatimu”


Cantik bukannya pada kepandai memperagakan tubuh, bukan juga pada rambut yang diurai di hadapan lelaki ajnabi jauh sekali kecantikan yang hanya untuk dipuji manusia sebaliknya dikeji Allah kerana perbuatan mendedahkan aurat yang diharamkan Allah. Tatpi cantik yang sebenar adalah kecantikan iman dan taqwa serta keikhlasan ibadah dan kesungguhan taat kepada Allah SWT.


Ambil contoh Saiyyiduna Bilal, walaupun hitam belegam kulitnya, namun hatinya lebih putih dari susu. Kekuatan iman dan aqidahnya telah menjadikan dia mulia di sisi Allah SWT.