BismilLah, wal hamdulillah, wassolatu wassalamu ‘ala Saiyyidina Rasulillah wa ba’du ;
Salam Islah buat pencinta perjuangan Islam sekalian,
“Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah pun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negeriNya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: "Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita". maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah Dengan sehina-hinanya), dan kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”
“Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (di sebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam), yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.” - surah at Taubah : 40-41
JIKA KAMU ENGGAN
Di dalam ayat ke 40 , Allah SWT telah memberikan penegasan bahawa jika tidak ada yang mahu menjadi penolong agama dan perjuangan Nabi SAW, maka Allah pasti akan menolong Rasulullah SWT dengan kekuatan dan qudrah yang tidak terlawan dan terbayang dek manusia. Di hujuang ayat ke 40, Allah telah memberikan janji dan kepastian kepada seluruh pejuang agama bahawa Allah pasti akan menjulang tinggi kalimah Allah yakni Islam dan Allah pasti akan mengalahkan seruan kufur dan syirik. Walaupun kemenangan itu lambat tiba, namun ia sesuatu yang pasti. Kebathilan itu tampak kuat namun ia tidak akan kekal. Kebenaran itu tampak lemah namun ia mendapat jaminan nusrah dan keteguhan dari Allah SWT.
Dr Hamka telah menjelaskan juga bahawa ayat ke 40 ini adalah ayat yang jelas turun untuk menjelaskan kedudukan Saiyyiduna Abi Bakr rdh sebagai umat nombor satu di sisi Rasulullah SAW. Ayat ini juga menggambarkan betapa mendalamnya cinta dan kasih Abu Bakr terhadap Rasulullah SAW yang tergembar melalui keresahan dan kerisauan beliau terhadap keselamatan Rasulullah SAW sewaktu mereka berdua bersembunyi di dalam Gua Tsur sehingga terpaksa ditenangkan oleh Rasullah SAW serta diperteguhkan keyakinannya kepada pertolongan dan nusrah dari Allah SWT.
WAJIB BERJUANG SAMADA BERAT ATAU RINGAN
Setelah Allah menegaskan pada ayat yang ke 40, bahwa meskipun kamu enggan menolong Rasulullah SAW dan para pejuang agama, Allah pasti akan menolongnya jua, Allah SWT dalam ayat berikutnya menjelaskan bahawa kita kita boleh menyerahkan saja kepada Allah untuk membela Nabi SAW dan menegakkan agama. Kita sendiri wajib berjuang melaksanakan perintah jihad samada ringan ataupun berat.
Menurut Imam Mujahid maksud ringan ialah kaya dan maksud berat adalah miskin sedang al Hasan menafsirkan ringan dengan maksud muda dan berat sebagai tua.
Zaid bin Ali dan al Hakam bin ‘Utbah bula memberi erti ringan ialah tidak banyak urusan yang merintangi dan berat adalah banyak urusan yang merintangi.
Menurut Zaid bin Aslam , ringan ialah yang belum berkeluarga dan berat ialah yang telah banyak tanggungan keluarga.
Menurut Ibnu Zaid pula, ringan ialah orang yang tidak mempunyai harta benda, berat ialah orang yang mempunyai banyak harta sehingga begitu payah dan susah untuk meninggalkannya.
Ayat yang ke 41 juga menjelaskan juga bahawa wajib kita mengorbankan harta dan nyawa dalam menegakkan agama Allah. Allah juga memberikan jaminan bahawa orang yang mengorbankan harta dan nyawa pada jalan Allah telah melakukan satu tindakan yang tepat dan baik.
Pengajaran ayat :
- Allah SWT pasti akan memenangkan agamaNya walau kita tidak berjuang dan berjihad sekalipun. Maka kitalah yang akan beroleh kerugian disebabkan melepaskan peluang yang telah Allah berikan untuk mendapat pahala dan redha Allah melalui jihad, perjuangan dan pengorbanan harta dan nyawa.
- Sedarlah bahawa tiada keringanan dan persoalan jihad dan perjuangan. Kecil, besar, tua , muda, kaya atau miskin dan siapa sahaja dari umat Muhammad, wajib bekerja dan berjuang menegakkan agama Allah SWT.
- Setiap sen harta dan nyawa yang terkorban demi Islam akan mendapat nilai besar di sisi Allah.
No comments:
Post a Comment