Wednesday, December 17, 2008

Demi Masa....

Kisah Ibnu Nafis


Beliau adalah seorang doktor perubatan yang terkenal. Beliau juga adalah orang pertama yang menjumpai teori perjalanan darah pada kurun ketujuh Hijrah.


Diriwayatkan bahawa Ibnu Nafis seorang yang tidak suka membuang masa. Apabila ingin menulis beliau akan memalingkan mukanya mengadap dinding, kemudian mula menulis daripada ilmu pengetahuannya tanpa merujuk apa-apa kitab. Dikatakan beliau menulis laju seperti air yang mengalir. Apabila penselnya tumpul beliau akan mencampaknya ke suatu tempat khas kemudian mengambil pensel baru, oleh yang demikian beliau akan pastikan pensel-pensel yang telah diasah tersedia di atas mejanya sebelum memulakan penulisan kerana ditakuti masanya akan terbuang dengan mengasah pensel-pensel berkenaan.


Satu ketika, beliau masuk tandas untuk mandi, kemudian keluar kembali seraya meminta pen, dakwat dan kertas, justeru menulis satu karangan mengenai denyutan nadi. Setelah itu beliau masuk semula ke dalam tandas untuk menghabiskan mandiannya.


Kisah Ibnu Jauzi


Setiap kali selepas mengasah penselnya, Ibnu Jauzi akan mengumpul habuk tersebut di dalam satu bekas khusus. Apabila beliau jatuh sakit, beliau mewasiatkan agar habuk tersebut dijadikan bahan bakar untuk memasak air mandian mayatnya. Apabila beliau wafat, sahabat dan kerabat beliau melaksanakan wasiat yang ditinggalkan, ternyata habuk pensil tersebut sempat memanaskan air mandian mayatnya malah ianya masih berbaki sedikit.


Kisah Imam at-Tabari


Beliau seorang ahli tafsir yang masyhur. Beliau juga terkenal dengan pengawasannya terhadap ilmu pengetahuan. As-Simsimi berkata: Beliau menulis setiap hari empat puluh helaian dalam masa empat puluh tahun.


Muridnya (al-Qadhi Abu Bakar) telah meriwayatkan bahawa beliau seorang yang terlalu menjaga rutin hariannya. Selepas mengambil sarapan pagi beliau akan tidur kemudian bangun dan solat zohor. Sejurus kemudian beliau akan mula menulis hingga masuk waktu Asar. Pabila selesai menunaikan Fardhu Asar, dia akan bersama murid-muridnya menelaah ilmu sehingga Maghrib. Selepas Maghrib pula beliau akan mengajar ilmu Feqah sehingga larut malam.


Kalau kita perhatikan, betapa beliau pandai membahagikan masa dan usianya demi kepentingan agama, masyarakat dan dirinya sendiri. Beliau tidak pernah membazirkan walaupun sesaat pada perkara yang tidak berfaedah, masa baginya biarlah digunakan untuk perkara-perkara yang berfaedah ataupun untuk mengambil faedah daripada orang lain. Inilah dia ikutan kita, seorang ahli agama yang menggadaikan umurnya semata-mata untuk agama, untuk Allah, untuk beribadah dalam erti kata yang sebenarnya.


Sebuah kisah lain, antara lainnya mengisahkan kehidupan Imam at-Tabari yang tidak boleh terpisah daripada ilmu. Kisah ini diriwayatkan oleh salah seorang sahabat beliau (al-Murafi bin Zakaria) yang datang menziarahi waktu sakitnya. Apabila Imam at-Tabari mendengar salah seorang pelawat membaca doa ke atasnya lalu dia berkata, tolong ambilkan aku sebatang pen dan sehelai kertas, kemudian beliau menulis doa tersebut. Salah seorang daripada mereka bertanya: Apakan kamu masih menulis ilmu sedangkan kamu dalam keadaan begini? Jawab beliau: Sememangnya menjadi kewajipan setiap manusia untuk tidak meninggalkan ilmu berlalu pergi begitu sahaja hingga mati.


Kisah Sulaim ar-Razi


Imam Sulaim ar-Razi ini merupakan seorang yang amat mementingkan masa dan ilmu, warak dan selalu menghisab dirinya. Beliau tidak pernah meninggalkan sedetik waktu tanpa faedah. Samada beliau akan belajar, mengajar, menyalin ataupun membaca. Diriwayatkan daripada beliau sendiri: Aku sempat menghabiskan satu juzuk (bab) bacaanku di dalam perjalanan pulang ke rumahku.


Perkara ini diakui oleh salah seorang sahabat beliau (al-Muammil bin al-Hassan): Aku terlihat Sulaim mengasah pensel sambil mulutnya terkumat kamit menyebut sesuatu. Pabila ditanya, aku mengetahui beliau sedang membaca al-Quran semasa mengasah pensel nya, kerana ditakuti masa akan berlalu begitu sahaja tanpa beliau mengambil apa-apa faedah ataupun suatu tindakan yang positif. Inilah dia seorang ulama’ Islam yang hidup di zaman silam, oelh sebab itulah tidak dinafikan bahawa Islam pada zaman mereka telah melalui satu zaman kegemilangan yang tidak ada tolok bandingnya.


Ambillah Pengajaran :


  • Hayati dan beramallah dengan Surah al 'Asr yang kita baca setiap kali kita berpisah dari satu pertemuan dan majlis, bahawa yang tidak menjaga dan memelihara masa hanya akan beroleh kerugian.
  • Manafaatkan setiap waktu dan masa kurniaan Allah dengan menunaikan tuntutan keimanan,amal soleh, berdakwah dan berpesanan dengan kesabaran.
  • Semua manusia berjaya di dunia ini adalah manusia yang sangat memanafaatkan waktu dan sekali-kali tidak membiarkan masa berlalu dengan sia-sia.

No comments: