Monday, June 30, 2008

Mengapa Pilih PASTI ?





BismilLah,alhamdulilLah,wassolatu wassalaamu ‘ala Saiyyidina wa Imamina Rasulillah,wa ‘ala aalihi wa ashaabih wa ba’du ;
Assalamulaikum wrt…

Alhamdulillah program bersama al Fadhil Us Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz di Perlis pada malam ini berjaya dilaksanakan dengan baik serta mendapat kerjasama dari semua pihak,ummah terutamanya. Pertamanya program Majlis Makan Malam Dana PASTI Perlis di Restoran Anjung Keli,Behor Pulai dan Tazkirah di Surau Taman Jali. Walaupun hujan lebat menyambut awal amal malam hari ini,akhirnya tampak luasnya rahmat Allah SWT, rupanya untuk menyejukkan suasana malam dan menjadikan udara sangat selesa.

Saya ingin memetik apa yang diucapkan oleh Al Fadhil Ustaz Nik Abduh dalam ucapannya dalam Majlis Makan Malam Dana PASTI. Antara yang disebutkan ialah ;

PERLUNYA KEMBALI KEPADA FITRAH

Firman Allah SWT :

“Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah; (tetaplah atas) fitrah Allah yang Telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. tidak ada peubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui” [1168], surah ar Ruum : 30

[1168] fitrah Allah: maksudnya ciptaan Allah. Manusia diciptakan Allah mempunyai naluri beragama yaitu agama tauhid. kalau ada manusia tidak beragama tauhid, Maka hal itu tidaklah wajar. mereka tidak beragama tauhid itu hanyalah lantara pengaruh lingkungan.

Ayat inilah yang dijadikan muqaddimah ucapan beliau. Menjadi satu persoalan besar kenapa sebuah parti politik seumpama PAS tiba-tiba membuat keputusan untuk menubuhkan sebuah institusi pendidikan yang bernama Pusat Asuhan Tunas Islam atau singkatannya PASTI. Pada ayat inilah titik tolaknya. Kerana kata beliau, hanya hati yang mempunyai fitrah yang bersih sahaja akan menerima Islam, mencintai Islam dan menerima perjuangan Islam. PASTI mempunyai 60 ribu pelajar di seluruh Malaysia. Di sinilah fitrah beragama disemai, dibaja dan disuburkan di dalam jiwa anak-anak PASTI.

TANGGUNGJAWAB

Menjadi amanah dan tanggungjawab besar ibubapa mendidikk dan menyuburkan fitrah Islam di dalam jiwa anak-anak. Ramai ibu bapa yang mengabaikan perkara ini. Jiwa beragama dan bertuhan harus dipupuk dalam jiwa anak-anak. Mereka harus membesar dalam suasana kecintaan kepada Allah. Mereka mesti dibesarkan dalam keadaan mengenal Allah SWT. Mereka mesti dihidupkan untuk Allah SWT. Inilah fitrah!.

Sabda Rasulillah SAW;

“ Setiap anak yang dilahirkan adalah lahir dalam keadaan fitrah. Maka ibubapanyalah yang bertanggungjawab menyahudikannya atau menjadikan ia nasrani atau menjadikan ia majusi”

Kata Ustaz Nik Abduh, “Saya akan berbangga jika anak saya hanya dapat 1 A dalam UPSR, tak dapat 5 A pun tak mengapa”. 1 A yang dimaksudkan beliau ialah A dalam beragama dan Al Quran. Berbangga dengan anak yang dapat khatam Al Quran pada usia 12 tahun. Ramai pula yang berbangga dengan pencapaian 5 A di usia 12 tahun sedangkan agamanya dan kemahiran AL Qurannya E.

Demikianlah tujuan PASTI ditubuhkan oleh PAS. Kerana cinta Allah dan kenal Allah dalam sistem pendidikan negara telah diabaikan. Demi mendidik jiwa fitrah. SOKONG PASTI !

Sunday, June 29, 2008

Hidup Itu Satu Perjuangan


BismilLah,alhamdulillah,wassolaatu wassalaamu ‘ala Saiyyidina Rasulullah,wa ‘ala aalihi wa ashaabihi wa ba’du,



Assalamualaikum wrt..


Firman Allah SWT :

“Dan bahwa (yang kami perintahkan ini) adalah jalanKu yang lurus, Maka ikutilah Dia, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain)[152], Karena jalan-jalan itu mencerai beraikan kamu dari jalannya. yang demikian itu diperintahkan Allah agar kamu bertakwa.” Al An’aam :153


Imam Ahmad Ibn Hanbal rahimahulLah telah meriwayatkan dari Ibn Mas’ud r.a bahawa Rasulullah SAW telah menggaris satu garisan yang lurus lalu bersabda ; “ Inilah jalan Allah yang lurus”, kemudian Baginda menggaris beberapa garisan lagi di sebelah kanan dan beberapa garisan lagi di sebelah kiri. Lalu Baginda bersabda ; “ Inilah jalan-jalan yang setiap satunya ada syaitan yang senantiasa menipu daya manusia kepadanya” , kemudian Baginda membacakan ayat di atas.


PERJUANGAN MENCARI JALAN YANG BENAR


Tiada kehidupan tanpa perjuangan. Demikianlah ungkapan yang sentiasa diungkapkan oleh para murabbi ummah dan ulamak mukhlisin sepanjang zaman. Hidup tanpa perjuangan adalah kehidupan yang tiada makna dan erti. Layu dan kosong tanpa isi. Kehidupan para pejuang lebih-lebih lagi pejuang agama senantiasa mekar wewangi bahkan apa yang mereka perjuangkan sentiasa merentasi zaman. Rasulullah SAW, walaupun sudah 1500 tahun pergi meninggalkan ummah, perjuangan Baginda segar mewangi menerangi ummah dari kegelapan dan senantiasa ada penerusnya. Demikianlah juga mereka yang menurut jejak langkah Baginda dalam perjuangan ini, perjuangan mereka juga pasti seharum perjuangan Rasulullah SAW.


Realiti kehidupan yang dapat kita perhatikan ialah, perjuangan dalam semua aspek kehidupan adalah amat diperlukan. Ingin berjaya dalam kehidupan dunia pun mesti ada perjuangan, lebih-lebih lagi jika ingin berjaya di akhirat.


Mutakhir ini, Pak Lah PM Malaysia pun sibuk dan bertungkus lumus berjuang untuk menyelamatkan pemerintahannya dari ranap dan hancur dihanyutkan tsunami politik negara. Lebih malang lagi, Pak Lah dikelilingi oleh manusia yang sangat sedikit boleh diharapkan untuk penjadi tongkat dan pendayung buat menyelamatkan sampan pemerintahan yang sedang kuat dilanda arus dan ombak.


Hari ini, Anuar Ibrahim juga sedang berjuang mempertahankan diri dari tuduhan liwat seorang remaja. Laporan polis oleh remaja tersebut di buat petang semalam dan Anuar sedang berdepan dengan satu lagi saat getir dalam hidupnya.


Kita juga sedang berjuang untuk mempertahankan dasar dan prinsip perjuangan kita dari dikhianati dan dirobek ganas oleh tangan-tangan yang tidak bertanggungjawab. Kita tetap jelas dengan dasar perjuangan kita untuk menegakkan Daulah Islamiyah bermula di dalam diri kita hinggalah di atas tanah air kita. Kita sentiasa komited dengan hal ini.


Apa yang sangat penting ialah, kita mesti berjuang untuk mencari jalan yang benar. Yang agak susah ialah, jalan yang beanr hanya satu dan jalan syaitan pula sangat banyak. Di setiap jalan syaitan tadi pula sentiasa ada tipu daya dan pujuk rayu. Kalau kita lemah dan tiada persediaan atau lalai, nescaya kita akan gugur dan kalah di medan perjuangan ini.


PIMPINAN ALLAH


Hanya Allah SWT yang mampu menunjuki kita jalan yang benar. Kita juga disuruh agar memohon hidup di atas jalan yang benar ini setiap kali kita berdiri di hadapan Allah SWT. Tanpa petunjuk Ilahi mana mungkin kita akan memperolehi kekuatan untuk berada di atas jalan yang benar ini. Rasulullah SAW sentiasa berdoa :


“ Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati manusia, teguhkanlah hatiku di atas agamaMu dan taat padaMu”


Allah SWT juga mengajar kita supaya berdoa :


(mereka berdoa): "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan karuniakanlah kepada kami rahmat dari sisi Engkau; Karena Sesungguhnya Engkau-lah Maha pemberi (karunia)". Ali Imraan : 8


Bersambung…..

Takrifan Sebenar Negara Islam ( siri 2)


Oleh : Ybhg Ustaz Ahmad Adnan Fadzil



Soalan; Apa kedudukan pelaksanaan syariat dalam takrif negara Islam mengikut pandangan ulama'? (* Untuk memahami dengan sempurna pemasalahan ini, pembaca dinasihatkan membaca terlebih dahulu siri pertama kerana siri kedua ini adalah rentetan daripada perbahasan siri pertama)



Jawapan ;



Bismillahirrahmanirrahim Jika dilihat kepada dalil-dalil Syara’ (al-Quran dan as-Sunnah), melaksanakan Syari’at Allah adalah wajib ke atas kaum muslimin dalam segenap ruang kehidupan mereka merangkumi urusan peribadi, keluarga, masyarakat dan juga negara. Nas-nas tersebut antaranya telah kita nyatakan dalam tajuk-tajuk yang lalu dan sebagai tambahannya ialah;



“Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mu'min dan tidak (pula) bagi perempuan yang mu'min, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsiapa mendurhakai Allah dan Rasul-Nya maka sungguhlah dia telah sesat, sesat yang nyata”. (Al-Ahzab; 36)



“Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Qur'an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya”. (An-Nisa’; 59)


Oleh itu, sama ada dimasukkan atau tidak di dalam takrif Negara Islam, Syari’at Allah atau Undang-undang Islam tetap menjadi kewajipan ke atas kaum muslimin untuk melaksanakannya di dalam negara mereka. Mereka berdosa kepada Allah jika mengabaikannya. Perkara ini tidak ada khilaf di kalangan ulama’ –sama ada dulu atau sekarang- kerana kewajipan menegakkan Syari’at adalah sabit dengan nas yang sarih (jelas/terang) dari syara’ (Allah dan Rasul) dan menjadi ijma’ para ulama’. Pengakuan terhadap hal ini adalah jelas dari ulama’-ulama’ yang memasukkannya di dalam takrif Negara Islam yang mereka kemukakan.



Dengan memasukkan perlaksanaan Syari’at atau Undang-undang Islam dalam takrif Negara Islam, maka mereka secara langsung telah menegaskan kepada kita bahawa sesuatu negara itu tidak akan sempurna keislamannya jika tidak ditegakkan di dalamnya Syari’at/Undang-undang Islam. Jika dinamakan sekalipun negara tersebut sebagai Negara Islam –dengan sebab wujudnya kekuasaan dan keamanan orang-orang Islam di dalamnya-, namun ia bukanlah Negara Islam yang sebenar –yang dikehendaki oleh Islam- kerana ia telah kehilangan ruh keislamannya iaitu tunduk-patuh kepada Syari’at/Hukum-hakam Allah S.W.T..



Adapun ulama’ yang tidak memasukkan unsur perlaksanaan Syari’at/Undang-undang Islam dalam takrif mereka, apakah bermakna mereka menafikannya? Jika kita menyatakan “Ya” kepada persoalan ini, kita sebenarnya telah mengadakan suatu pendustaan yang amat besar kepada ulama’-ulama’ tadi kerana kita mendakwa ke atas mereka apa yang tidak mereka iktiqadkan. Para ulama’ mukhlisin sekali-kali tidak akan mengeluarkan sesuatu keputusan atau pendapat yang bertentangan dengan hukum Syara’. Mereka sekali-kali tidak akan menafikan sesuatu yang dikatakan wajib oleh Syara’.



Tidak ada ulama’-ulama’ Islam yang muktabar dari dulu hingga kini yang sanggup menyatakan bahawa Negara Islam tidak wajib melaksanakan Syari’at atau Undang-undang Islam atau beranggapan harus bagi Negara Islam untuk berhukum dengan hukum yang lain dari hukum-hakam Islam. Oleh itu, walaupun mereka tidak menyebutkan perlaksanaan syari’at Islam dalam takrif Negara Islam yang mereka kemukakan tadi, mereka selama-lamanya tidak bermaksud menafikan kewajipannya atau menafikan kedudukannya sebagai ciri utama bagi Negara yang dikehendaki oleh Islam. Dalam hal ini, Dr. Abdul Karim Zaidan dalam bukunya “Ar-Fardu Wa ad-Daulah Fi Asy-Syari’atil Islamiah” telah menjelaskan;“Takrif-takrif yang dikemukan beberapa ulama’ terdahulu tentang negara Islam bukanlah bersifat menonjolkan semua unsur negara Islam, tetapi ia menonjolkan sebahagian sahaja unsur negara Islam dan mengabaikan sebahagian unsur yang lain. Namun begitu, unsur-unsur yang tidak ditonjolkan itu sebenarnya tersirat di dalam takrif jika diamati. Sebagai contohnya; Imam As-Sarakhsi menyatakan; “Negara Islam ialah nama bagi tempat/kawasan yang berada di bawah kekuasaan orang-orang Islam”.



[1]Takrif ini pada lahirnya –menurut Dr. Abdul Karim Zaidan- hanya menonjolkan unsur kekuasaan dan unsur tempat/kawasan. Tetapi secara tersirat, takrif ini merangkumi juga unsur sistem/undang-undang (yakni perlaksanaan Syari’at). Ini kerana menjadi suatu yang lumrah bahawa orang-orang Islam wajib melaksanakan undang-undang atau syari’at Islam. [2]Begitu juga, dalam kitabnya yang lain iaitu “Majmu’atu Buhusi Fiqhiyyah” (Kumpulan Perbahasan Fiqh), Dr. Abdul Karim menyatakan bahawa; para Fuqaha’ terdahulu tidak memasukkan unsur perlaksanaan Syari’at Islam dalam takrif Negara Islam kerana –pada pandangan mereka- perlaksanaan syari’at merupakan suatu yang badihi (yakni sedia dimaklumi) apabila sesebuah negara itu diperintah oleh seorang pemerintah/pemimpin Islam. Ini kerana kewajipan para pemerintah Islam ialah melaksanakan Syari’at Islam.[3]Memang menjadi suatu yang lumrah dan badihi (yakni sedia dimaklumi) bahawa orang-orang Islam wajib melaksanakan undang-undang atau syari’at Islam.



Seseorang manusia itu tidak akan menjadi muslim yang hakiki jika ia enggan patuh kepada Syari’at atau hukum-hakam Allah. Ini kerana kedudukannya ketika itu berada antara kufur, zalim atau fasiq….maka bagaimana ia akan menjadi muslim yang sebenar?



“Dan barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir”. (Al-Maidah; 44)



“Dan barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim”. (Al-Maidah; 45)



“Dan barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik”. (Al-Maidah; 47)



Kewajipan melaksanakan syari’at Allah atau undang-undang Islam bukanlah suatu yang masih samar di kalangan kaum muslimin. Ia telah menjadi ijma’(persepakatan) oleh para ulama’ sekelian. Bahkan Dr. Yusof al-Qardhawi menghitungnya dalam “Al-Ma’lum Min ad-Din Bi adh-Dharurah” (yakni perkara-perkara yang diketahui secara nyata di dalam agama –tanpa ada kesamaran lagi- di mana sesiapa di kalangan umat Islam yang mengingkarinya akan terkeluar dari agama (yakni murtad)). Beliau menyatakan dalam bukunya ‘Min Fiqhi ad-Daulah fil Islam’;“Aku meyakini bahawa di antara perkara-perkara yang terkandung di dalam ‘Al-Ma’lum min ad-Din bi adh-Dharurah’ (Suatu yang dimaklumi dari agama secara nyata/tanpa ada kesamaran) ialah; ‘Allah tidak menurunkan hukum-hakam yang termaktub di dalam kitabNya dan diungkapkan oleh lidah RasulNya semata-mata untuk diambil berkat dengannya atau untuk dibaca kepada orang-orang mati atau digantung di dinding-dinding (dijadikan perhiasan). Akan tetapi ia diturunkan supaya diikuti dan dilaksanakan dan supaya ia memutuskan hukuman bagi segala interaksi antara manusia dan mengawal perjalanan kehidupan menepati perintah dan larangan Allah, hukum-hakam dan Syari’atNya”.[4]Dr. Said Ramadhan al-Buti adalah antara ulama’ yang tidak memasukkan perlaksanaan syari’at/undang-undang Islam dalam takrif Negara Islam di mana beliau mentakrifkan Negara Islam sebagai; “Negara atau tanah-air yang berada di bawah kekuasaan orang-orang Islam dan ketuanan mereka’.[5] Namun dalam pada itu, beliau telah menegaskan;“Di antara hukum-hakam berkenaan Negara Islam ialah; wajib mempertahankannya dan wajib melaksanakan keseluruhan hukum-hakam/undang-undang Syari’at Islam di dalamnya[6]……Melaksanakan hukum-hakam Syari’at Islam adalah salah satu kewajipan dari kewajipan-kewajipan Negara Islam yang tertanggung di tengkuk-tengkuk kaum muslimin[7]….Kelalaian kaum muslimin melaksanakan hukum-hakam syari’at Islam dalam negara mereka menyebabkan mereka menanggung dosa dan kesalahan[8]”.



[1] Imam As-Sarkhasi, As-Siyarul Kabir, juz. 1/hlm. 81.

[2] Dr. Abdul Karim Zaidan, Ar-Fardu Wa ad-Daulah Fi Asy-Syari’atil Islamiah, hlm. 17-18, ter. IFFSO (1978).[3] Dr. Abdul Karim Zaidan, Majmu’at Buhus Fiqhiyyah, hal. 50-51.

[4] Hlm. 102.

[5] Dr. Said Ramadhan al-Buti, Al-Jihad Fil Islam; kaifa nafhamuhu wa kaifa numarisuhu, hlm. 80, ter. Dar al-Fikri, Damsyiq (1993).

[6] Hlm. 80

[7] Hlm. 81

[8] Hlm. 81

Saturday, June 28, 2008

Pasti Kita Mengajak Ummah Kepada Aqidah


Ketika Rasulullah SAW mengutuskan Mua’z Ibn Jabal r.a ke Yaman,Baginda berpesan ;


“ Wahai Mua’z, sesungguhnya engkau akan pergi kepada satu kelompok manusia dari kalangan Ahlul Kitab, maka apabila engkau sampai ke sana nanti hendaklah engkau mengajak mereka kepada menerima bahawa tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah dan bahawa Muhammad itu adarah pesuruh Allah SWT. Apabila mereka menerima dan memahami yang demikian itu, barulah engkau seru mereka supaya menunaikan solat ……sehingga akhir hadith”


Demikian arahan Nabi kepada sang pendakwah yang bernama Mua’z ibn Jabal supaya memulakan dakwahnya di Yaman dengan mengajak manusia kepada aqidah yang sahih. Aqidah yang berteraskan Al Quran dan As Sunnah.


Perjuangan yang benar adalah perjuangan yang mengajak manusia kepada aqidah,ibadah dan akhlak Islam serta kesyumulan Islam. Perjuangan Islam bersifat Rabbani (datang dari Allah) yang segala peraturan dan manhajnya adalah dari Allah SWT. Tiada campur tangan manusia sama sekali. Manusia hanya dibenar mengolah dengan jalan yang terbaik dan cara yang ditunukkan oleh petunjuk Nabi SAW.


“Katakanlah: "Inilah jalan (agama) ku, Aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujjah yang nyata, Maha Suci Allah, dan Aku tiada termasuk orang-orang yang musyrik". Yusuf : 108


KENAPA AQIDAH


Kerana dengan aqidah sahaja manusia mempertautkan hubungannya dengan Allah SWT maka inilah dakwah pertama sekalian nabi dan rasul. Ketika dalam perjalanan pulang dari Kota Bharu petang tadi, saya menatap akhbar METRO yang menyiarkan kisah seorang ibu yang cuba menyuap racun rumpai ke mulut kedua anaknya. Terkejut dan terkedu bukan kepalang melihat senario masyarakat hari ini. Bila kita teliti, nescaya jawapannya adalah kayakinan dan kepercayaan atau dengan kata lain aqidah yang setipis kulit bawanglah penyebabnya. Ibu tadi tertekan dan terhimpit dengan hutang. Kalau kita berada di tempat dia mungkin kita juga tak keruan jadinya. Namun kita pohon rahmat Allah agar memberikan kita kekuatan dengan aqidah dan pergantungan kita kepada Allah menjadi tunjang kehidupan kita.


Aqidah mengajak kita percaya adanya Tuhan yang namaNya Allah. Di sinilah bermula segalanya. Kekuatan, kegagahan, kecemerlangan, kegemilangan, modal insan, khaira ummah, jihad, syahid, tamadun, peradaban dan sebagainya. Dari noktah inilah Rasulullah SAW mengorak langkah. Ramai yang mengaku Islam tidak menunaikan tanggungjawabnya pada hari ini. Solat contohnya, ramai sangat yang abaikan solat. Kenapa dan mengapa? , maka jawapannya ialah rasa tidak bertuhan. Ubat untuk mereka hanyalah menanam aqidah dan keyakinan bahawa mereka punya tuhan!.


Aqidah mengajak kita supaya mengamalkan Islam secara menyeluruh. Firman Allah SWT :


“Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.” Al Baqarah : 208


Mengamalkan Islam separuh-separuh adalah antara perkara yang merosakkan aqidah. Dengan sebab itulah setiap perjuangan yang berteraskan Islam diistiharkan untuk mengajak manusia kepada Islam yang menyeluruh.


Sahabat, politik adalah sebahagian dari sunnah fi’liyyah Rasulillah SAW. Baginda berpolitik. Ada sesiapa yang mahu menafikan ??. Soal Rasulullah menubuh parti atau tidak itu adalah persoalan cara dan kaedah yang bersesuaian di setiap zaman yang diiktiraf oleh sunnah. Siapa lagi yang mahu menafikan??. Jangan kata saya marah dan mengajak kepada ummah kepada kemarahan. Kerana mengabaikan sunnah politiklah, Islam masih ditakuk lama. Mahu melaksanakan Islam dengan seminar dan kursus sahaja tidak akan sama sekali menjadi. DR MAZA Mufti Perlis sendiri nampaknya semakin hampir kepada menyertai politik. Takkanlah tokoh as Sunnah ini tersilap memilih jalan dengan lantang mengkritik pemerintah dan mengajak ummah ‘marah’ kepada pemerintah sari dua ini?.


ISLAM DAN KUASA


Menegakkan agama Allah SWT mesti punya kuasa. Demikianlah yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW di Madinah. Baginda membela maruah agama dengan kuasa yang dikurniakan Allah kepada Baginda. Bila ‘penguasa’ merompak harta rakyat, menipu umat dan menolak pelaksanaan Syariat Islam tanpa alasan yang kukuh, maka ia adalah dikernakan tiadanya kuasa mutlak agama di negara ini. Bukankah disaat ini menjadikan Islam berkuasa adalah wajib?

Thursday, June 26, 2008

Miskin Harta KAYA JIWA



Baru-baru ini saya menatap sebuah kitab yang sangat terkenal di kalangan penuntut ilmu,TANBIIHUL GHAFILIN karangan Imam al Faqih Abul Laith as Samarqandy.Diriwayatkan di dalam kitab tersebut sebuah Hadith yang bermaksud :


“Akan datang ke atas umatKu suatu zaman yang mana di zaman itu mereka mencintai 5 perkara dan membenci 5 perkara. Mereka amat mencintai hidup dan membenci mati . Mereka mencintai dunia dan membenci akhirat. Mereka membina istana dan melupai kubur. Mereka mencintai harta dan melupai hisab. Mereka mencintai makhluk dan melupai pencipta”


Makna hadith ini sangatlah benar. Jika kita melihat ke dasar kehidupan ummah hari ini,maka inilah fenomena yang kita dapat lihat ‘diamalkan’ secara meluas. Apa yang saya ingin fokuskan ialah bagaimana keasyikan menghimpunkan harta menyebabkan kita lupa bahawa harta yang kita himpunkan itu setiap satunya akan disemak dan dihitung oleh Allah SWT. Sedangkan kita diajar bahawa Allah SWT amat mengetahui segala sesuatu dan tidak akan ada yang akan terlepas dari perhitungan Allah SWT.Firman Allah :


“Dan diletakkanlah kitab, lalu kamu akan melihat orang-orang bersalah ketakutan terhadap apa yang (tertulis) di dalamnya, dan mereka berkata: "Aduhai celaka kami, Kitab apakah Ini yang tidak meninggalkan yang kecil dan tidak (pula) yang besar, melainkan ia mencatat semuanya; dan mereka dapati apa yang Telah mereka kerjakan ada (tertulis). dan Tuhanmu tidak menganiaya seorang juapun". Al Kahfi : 49


MUSLIM SEJATI & HARTA


Kita disuruh mencari harta dunia seakan-akan kita akan hidup lama. Begitulah prinsip Islam. Al Quran mengingatkan kita supaya bertebaran di muka bumi mencari harta yang halal. Namun sahabat, kita diajar supaya beramal untuk akhirat seolah-olah kita akan mati esok hari dan redha dengan kurnia Allah dari harta yang sedikit. Yang sedikit jika ianya halal adalah lebih baik dan barakah daripada banyak tetapi bersumberkan dari yang haram dan melalaikan. Pendek kata,muslim sejati tidak akan disibukkan dengan mencari harta dari tanggungjawabnya kepada Ilahi apatah lagi terlalai dengannya.Kata Allah Jalla Jalaaluhu :


“Laki-laki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak (pula) oleh jual beli dari mengingati Allah, dan (dari) mendirikan sembahyang, dan (dari) membayarkan zakat. mereka takut kepada suatu hari yang (di hari itu) hati dan penglihatan menjadi goncang.”
An Nuur : 37


DAI’E & HARTA :


Antara ujian besar kepada para pejuang agama dan pendakwah adalah ujian harta. Lebih-lebih lagi di zaman yang umat amat mementingkan perut (ditunjukkan oleh hadith riwayat ad Dailami). Ramai sudah yang gugur di tengah-tengah perjalanan dakwah dengan sebab ujian harta. Hakikatnya, bila Nabi SAW memilih kehidupan yang sederhana maka tujuannya adalah untuk mendidik para sahabah agar dengan kesederhanaan itu mereka dapat bersungguh-sungguh berjihad menyebarkan Islam. Jika para sahabat semuanya hidup senang lenang, maka keseronokan hidup akan menghalang jihad. Thareq ibn Ziyad takkan sampai di pantai Andalus. Saad ibn Abi Waqqas takkan sampai ke China. Uqbah bin Nafie’ takkan membuka kota Qairawan dan Habib Abdullah dari Yaman takkan mendarat di Pantai Melaka!.


YANG PERTAMA SAMPAI KE TELAGA KAUTHAR


Imam at Tirmiziy meriwayatkan di dalam sunannya bahawa yang pertama mula sampai ke Telaga Kauthar Rasulullah SAW adalah ‘Fuqara’ul Muhajirin” (orang-orang miskin yang berhijrah bersama Nabi ke Madinah). Kata Tuan Guru Nik Abdul Aziz, ini adalah kerana pengorbanan mereka demi agama. Merekalah generasi pertama yang membantu Nabi dalam dakwah Baginda. Merekalah yang senang susahnya bersama Baginda. Merekalah walaupun miskin, tetap istiqamah dengan perjuangan bersama Nabi SAW. Mereka tidak pernah lemah dan putus asa walaupun miskin harta. Ini adalah kerana mereka kaya jiwa !.



Fatwa Mufti Al Azhar - Fadhilat Ash Sheikh Dr 'Ali Jum'ah


Hukum Memakai Mekap Dengan Tipis

Soalan:

“Aku adalah seorang wanita berjilbab. Alhamdulillah aku selalu taat kepada ajaran agama. Akan tetapi aku memakai mekap di wajahku dengan sangat tipis. Ketika aku keluar wajahku kelihatan alami, suamiku juga berkata, “aku ingin melihatmu di dalam dan di luar rumah di alam keadaan cantik.” Oleh kerana itu aku memakai mekap dengan tipis. Adakah ini halal atau haram? Ketika aku di hadapan lelaki lain yang bukan mahram, adakah aku harus memakai sepatu dan sarung kaki atau tidak?”

Jawapan:

Permasalahan memakai mekap dengan amat tipis sehingga tidak boleh dibezakan dengan wajah yang tidak memakai mekap serta tujuan tujuan memakainya hanya agar wajah kelihatan berseri maka itu tidak mengapa. Ini kerana mekap tersebut tidak menjadi bahan perhatian orang lain lebih-lebih bagi lelaki serta tidak termasuk dalam cara bermekap jahiliyah pertama. Hal itu hanya setakat memperlakukan wajah dengan baik. Ini adalah berhias yang diperbolehkan secara syar’i. Aisyah r.a. juga pernah memperbolehkan sahabiyat dan hamba perempuannya untuk memakai alat kosmetik dengan dengan tipis.

Para sahabiyah juga biasa memperbincangkan perihal mencelak kedua belah mata. Mereka mengkategorikannya sebagai perhiasan zahir yang tidak mengapa dilakukan.

Apabila memakai mekap bertujuan untuk menghias muka dan berubat yang tidak diketahui orang lain kecuali para ahli dan wanita, maka itu tidak mengapa.

Adapun tentang sarung kaki. Adakah ketika keluar rumah seorang wanita muslimah harus memakai sarung kaki atau tidak? Sebaiknya seorang wanita muslimah memakai sarung kaki, kerana Imam Syafie berpendapat bahawa bahagian tubuh yang ditutupi oleh sarung kaki adalah aurat bagi wanita, begitu juga dengan majoriti ulama yang berpendapat bahawa seharusnya seorang wanita tidak menampakkan bahagian tubuhnya kecuali wajah dan kedua belah tapak tangan. Apa yang menjadi landasan adalah kegigihan seorang wanita untuk menutup auratnya. Menutup aurat adalah sesuatu yang amat patut bagi seorang wanita muslimah yang baik dan boleh menjaga diri. Oleh kerana itu seorang wanita muslimah haruslah memakai sarung kaki sehingga dia dapat menutup auratnya dengan sempurna.

Sumber Islam Adalah WAHYU bukan SULTAN

BismilLah,wassolaatu wassalamu ‘ala saiyyidina RasulilLah wa ba’du,

Assalamualaikum wrt…


Selesai mesyuarat program makan malam dana PASTI negeri dan melayan beberapa orang adik muslimah yang datang berziarah saya sempat menatap muka hadapan tranungkite.net. Mata saya terus terpandang tulisan sahabat seperjuangan al bakistani mengenai komentar beliau terhadap seks bebas dan menyatakan dengan tegas bahawa hudud adalah penyelesaiannya.

ISLAM ADALAH PENYELESAIAN

Pertama yang saya ingin katakan bahawa,jika sesiapa sahaja yang mengkaji Islam nescaya mereka terpaksa menerima kebenaran Islam dan terpegun dengan keadilan dan penyelesaian masalah yang ditawarkan oleh Islam. Al Marhum Profesor Dr Muhammad al Mehdi (pengasas rangkain system pendidikan AL KHALIFA METHODE) asalnya adalah seorang saintis yang tidak percaya kewujudan tuhan. Tetapi akhirnya apabila mengkaji Islam,dia menemui kebenaran Islam dan manisnya bertuhankan Allah Yang Esa (tidak 3 seperti kepercayaan Kristian) dan bernabikan Muhammad SAW. Yang lebih hebat,dia menghabiskan ‘segalanya’ demi memperjuangkan kehebatan dan kebenaran Islam.

Ketika Karpal Singh mengeluarkan kenyataan berbentuk amaran kepada PAS bahawa Pakatan Rakyat tidak akan sama sekali menerima pelaksanaan Islam dalam negara,Tuan Guru Nik Abdul Aziz segera mengajak beliau ke Kelantan dan melihat bagaimana pendekatan kerajaan negeri yang berlandaskan membangun bersama Islam dilaksanakan selama 18 tahun di Kelantan Darul Naim. Karpal Singh dipelawa untuk bertemu masyarakat bukan Islam di Kelantan dan bertanya serta menyelidiki sendiri pandangan mereka terhadap dasar Islam yang dilaksanakan Kerajaan Kelantan.

Masalahnya,Karpal Singh melihat Islam dari kacamata Barat dan belajar Islam dari Islam Hadhari.Manakan beliau akan dapat melihat kesyumulan dan kebenaran Islam. Barat sangat khianat terhadap Islam sedangkan Islam Hadhari merosakkan kefahaman manusia terhadap Islam yang sebenar.

ISLAM BERSUMBERKAN WAHYU BUKAN SULTAN

Perlu ditegaskan bahawa sumber Islam adalah Al Quran & As Sunnah.Para ulamak Islam berijtihad dengan keduanya dan berqiyas juga dengan keduanya.Sesiapa jua yang hendak mengetahui kebenaran Islam hendaklah mengambil dari keduanya.

Sultan sememangnya ketua agama Islam. Tetapi bila Sultan bertitah dengan yang tidak selari dengan wahyu Allah maka di sini letaknya titik pemisah. Sultan wajib taat pada Allah dan mengikut sunnah Rasul. Mufti wajib menasihati Sultan ke arah kebenaran yang berpaksikan wahyu Allah bukannya mengambu dan membodek serta punya hati yang cenderung kepada pihak tertentu.Jika tidak,mufti kena ikut nasihat Tuan Guru Nik Abdul Aziz untuk sertai parti politik. Tentukan sikap dan senang untuk kami (ummah) membuat penilaian.

Ketika Sultan Perak bertitah dalam Perasmian Sidang DUN Perak tidak membenarkan persoalan politik dikupas di dalam masjid,ini amat bercanggah dengan amalan Rasulillah SAW. Elok sangat kalau Mufti Perlis fatwakan bid’ah. Kerana Rasulillah SAW mentadbir Madinah di dalam Masjid Baginda SAW. Maka kita dapati bahawa mereka yang rosak kefahaman Islamnya dan tipis pulak aqidahnya akan mengambil kesempatan untuk mengampu atas dasar kebatilan bukannya menasihati dengan kebenaran. Ingatlah bahawa Sultan juga akan berdiri di hadapan Allah pada hari Qiyaamah. Penghulu sekalian manusia pada hari itu adalah Saiyyiduna Rasulillah SAW bukannya Yang Di Pertuan Agung. Sultan yang tidak ikut ajaran Nabi SAW takkan dapat syafaat Baginda SAW pada hari Qiyaamah kelak.

PAKATAN RAKYAT & HUDUD

Saya bersetuju bahawa setiap perjanjian itu ada syarat dan batasnya. Jika syarat dilanggar maka terungkailah ikatan perjanjian. Rasulullah pernah mengikat janji dengan Munafiq dan Musyrik tetapi dengan syarat yang jelas. Perjuangan Islam ada matlamatnya. Allah SWT sebagai matlamat mencari redha. Rasulullah SAW sebagai ikutan . Al Quran sebagai rujukan. Jihad adalah jalan dan mati syahid adalah setinggi-tinggi cita-cita dan harapan. Mengorbankan matlamat perjuangan bukan resmi pejuang agama. Maka ketika tujuan perjuangan dikobarkan dihalang kerana perjanjian,sudah barang pasti, akan terungkailah pakatan.

Wednesday, June 25, 2008

Politikkan Kematian Eric Chia????

BismilLah,alhamdulilLah,wassolaatu wassalaamu ‘ala saiyyidina Rasulillah wa ba’du,

Assalamualaikum wrt…

Semalam,saya menerima sms dari harakah memaklumkan bahawa Tan Sri Eric Chia meninggal dunia di Sungai Petani kerana masalah pernafasan. Saya tidak terkejut sangat dengan berita ini kerana mati hidup ni adalah ketentuan Allah. Mukmin pun mati,kafir pun mati dan semua kita akan mati. Tiap-tiap yang bernyawa pasti akan merasai mati.

Firaun yang mengaku tuhan itu pun mati jua akhirnya inikan pula Tan Sri EC. Kiranya kehebatan Firaun dalam peperangannya dengan Allah SWT cukup hebat,namun noktah akhir seorang makhluk ciptaan Allah,pasti dia akan ‘dipaksa’ kembali kepada Allah. Nak atau tidak,mau atau tidak,rela atau paksa kita tetap akan kembali kepada Allah.

Siapa tak kenal EC dalam sejarah penyelewengan dan rasuah Malaysia. Antara kalam Tun Mahathir ialah sekarang ini, Malaysia sudah terlalu busuk dengan rasuah. Maka EC adalah di antara watak dalam menambah kebusukan negara dengan rasuah dan penyelewengan. Dan yang ‘istimewanya’,dia selalu terlepas dari pendakwaan.

Sebagai seorang mukmin,kita diajar bahawa bila kita mati,kita akan disoal siasat oleh Kerajaan Allah SWT setiap yang kita lakukan di dunia. Setiap yang berdosa dan engkar di dunia akan berhadapan dengan pendakwaan Allah SWT :

12. Dan, jika sekiranya kamu melihat mereka ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya, (mereka berkata): "Ya Tuhan kami, kami Telah melihat dan mendengar, Maka kembalikanlah kami (ke dunia), kami akan mengerjakan amal saleh, Sesungguhnya kami adalah orang-orang yang yakin."

13. Dan kalau kami menghendaki niscaya kami akan berikan kepada tiap- tiap jiwa petunjuk, akan tetapi Telah tetaplah perkataan dari padaKu: "Sesungguhnya akan Aku penuhi neraka Jahannam itu dengan jin dan manusia bersama-sama."

14. Maka rasailah olehmu (siksa ini) disebabkan kamu melupakan akan pertemuan dengan harimu ini. Sesungguhnya kami Telah melupakan kamu (pula) dan rasakanlah siksa yang kekal, disebabkan apa yang selalu kamu kerjakan.

Surah as Sajdah : 12-14

Dalam pada itu,saya terbaca satu komen dalam laman web tranungkite dari satu hamba Allah yang mengatakan PAS telah mempolitikkan kematian Eric Chia. Pertamanya saya suka nak jelaskan bahawa Islam takkan boleh dipisahkan dengan politik atau siyasah selama-lamanya.Rasulullah SAW berpolitik dan beriktiqad bahawa politik mesti dipisahkan dari agama boleh merosakkan aqidah kerana menafikan kesempurnaan dan kesyumulan Islam. Kedua,kita harus melihat semua perkara yang berlaku dalam kehidupan kita dengan pandangan iktibar dam mengambil pelajaran. Tanda mati hati ialah tidak mengambil pelajaran dari apa yang dilihat.Hatta pengajaran itu wajib diambil walau dari orang kafir atau gila sekalipun.

Persoalannya,mahukah kita sebagai seorang muslim,mencipta atau membiarkan kematian kita menjadi tragedi seperti kematian EC??..Harimau mati meninggalkan belang,manusia mati meninggalkan nama.Kita mesti berusaha untuk mencipa husnul khaatimah.

Genggam Bara....

Rasulullah SAW adalah suri tauladan sepanjang zaman.Terutamanya kepada para pencinta dan pejuang agama Allah SWT.Antara bekalan para pendakwah dan pejuang agama menurut al marhum Syeikh Musthafa Masyhur ialah menurut sunnah Rasul dan menghidupkannya dalam kehidupan da’ie.

Para da’ie adalah kekasih Allah sepanjang zaman.Mereke berjuang menegakkan agama dalam diri mereka dan ummah.Mereka berusaha siang dan malam tanpa rasa malas dan jemu untuk menegakkan ‘daulah islamiyah’ dalam diri mereka terlebih dahulu demi tertegaknya daulah di atas tanahair mereka.

Firma Allah ‘Azza wa Jalla :

“Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang saleh, dan berkata: "Sesungguhnya Aku termasuk orang-orang yang menyerah diri?" al Fussilat : 33

GHURABAA’- yang terasing

Rasulullah SAW juga mengingatkan bahawa pencinta dan pejuang Islam sepanjang zaman akan menjadi golongan terasing.Mereka akan menjalani kehidupan yang susah,miskin dan sempit dek kerana ‘layanan dingin’ manusia terhadap mereka.Mereka akan terlempar jauh dan dicela oleh lidah-lidah pencela sepanjang zaman.

Rasulullah SAW bersabda :

“Sesungguhnya bermula Islam itu dalam keadaan terasing (gharib),dan ia akan kembali menjadi asing sebagaimana ia bermula.Beruntunglah mereka yang ghuraba’”

GENGGAM BARA

Melaksanakan Islam di zaman ini adalah ibarat menggenggam bara.Hadith Rasulillah SAW ada menunjukkan kepada perkara ini.Para mujahid harus menggenggam bara perjuangan Islam ini hingga ia menjadi arang.Para pejuang agama akan senantiasa berhadapan dengan dendam dan salah sangka manusia.Mereka akan dituduh melakukan perkara yang tidak mereka lakukan.

Bacalah tulisan Ustaz Fathi Yakan dalam bukunya “Bahtera Penyelamat Bagi Para Dua’aah”,nescaya kita akan dapai di dalamnya ada penawar dan ubat buat luka dan duka para da’ie.
p/s antara contoh perjuangkan Islam ibarat genggam bara rujuk tulisan Sdr Roslan SMS dalam blognya n32.blogspot.com. mengenai etika berpakaian Majlis Bandaraya Islam Kota Bharu.


Wajib Qadha' Solat

Oleh : Syaikhuna Ustaz Ahmad Adnan Fadzil

Soalan: Adakah saya wajib mengqadha (mengganti) solat yang telah saya tinggalkan? Bagaimana caranya untuk saya menggantikan solat-solat yang saya tinggalkan dalam jangka waktu yang lama?
Jawapan;
Solat atau sembahyang merupakan kewajipan dalam Islam yang mesti ditunaikan oleh setiap muslim yang mukallaf.
Al-Quran menegaskan;“Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan sembahyang, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring. kemudian apabila kamu telah merasa tenteram (berada Dalam keadaan aman) maka dirikanlah sembahyang itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan Yang Diwajibkan atas orang-orang Yang beriman, Yang tertentu waktunya”. (an-Nisa’: 103)
“Kitaban Mauqutan” dalam ayat di atas bermaksud “Kewajipan yang ditetapkan ke atas mukallaf dan ditentukan waktu-waktunya”.
Al-Quran juga menegaskan;“Peliharalah solat-solat kamu dan solat wusta (yakni solat Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam solat kamu) dengan tunduk dan khusyuk”. (al-Baqarah: 238)
Apabila seorang muslim tertingal satu solat atau lebih, wajib atasnya mengqadha secara tartib (yakni mengikut urutan) jika bilangan solat yang tertinggal itu kurang dari lima solat. Jika lebih dari lima, maka tidak wajib tartib.Jika ia mengetahui dengan pasti bilangan solat yang ia tinggalkan, hendaklah ia mengqadha dengan bilangan yang sempurna. Adapun jika ia tidak mengetahui dengan pasti, hendaklah ia mengqadha dengan bilangan yang kuat sangkaannya bahawa ia telah mengganti bilangan yang tertinggal itu. Ia hendaklah berusaha memastikannya sekadar termampu sekalipun ia tidak dapat menentukannya secara tepat.Dengan melakukan demikian, akan gugurlah darinya dosa kerana meninggalkan solat. Tinggal lagi dosa melewatkan solat dari dari waktunya, maka dosa ini tidak terbebas darinya kecuali dengan taubat dan istighfar.
Bagi seorang yang meninggalkan solat dalam jangka-masa yang panjang seperti enam bulan sebagai contohnya, antara cara untuk ia mengqadha ialah dengan menentukan tempoh qadha mengikut tempoh lama ia meninggalkan solat itu, iaitu; setiap kali masuk waktu solat, ia menunaikan solat wajib di dalam waktu tersebut, kemudian diikuti dengan solat qadha yang sama jenis dengan solat wajib tersebut.
Contohnya; apabila masuk waktu subuh, ia menunaikan solat subuh, kemudian setelah itu menunaikan pula solat qadha subuh. Bila masuk waktu zohor, ia melakukan seperti itu juga. Begitu juga pada waktu-waktu yang lain hinggalah sampai tempoh atau jangka-masa yang ia meninggalkan solat. Dengan melakukan demikian, akan bebaslah dari dirinya tanggungan solat yang ditinggalnya.
Adalah harus meninggalkan solat-solat sunat rawatib yang mengiringi solat-solat fardhu untuk memberi tumpuan kepada mengqadha solat-solat yang tertinggal, sehinggalah apabila selesai dari qadha barulah kembali kepada solat-solat sunat rawatib itu.Wallahu A’lam.
Rujukan;1. Yasalunaka Fi ad-Din Wa al-Hayah (Jil. 4), Syeikh Dr. Ahmad as-Syirbasi, Dar al-Jil, Beirut – Lubnan.
Berkata Saiyyiduna ‘Ali bin Abi Thalib r.a :


1. “ Barangsiapa beramal untuk kepentingan akhiratnya,maka Allah akan memelihara urusan agama dan dunianya”

2. “ Barangsiapa yang baik batinnya,maka Allah akan memperbaiki zahirnya”

3. “ Barangsiapa yang ikhlas amal ibadahnya kepada Allah,maka Allah akan menjamin kebaikan hubungan antara dia dan sesama manusia”

4. “Jadilah manusia paling baik di sisi Allah “

5. “ Jadilah manusia paling buruk pada pandangan dirimu”

6. “Jadilah manusia biasa di hadapan orang lain”


Sumber : Nashaihul ‘Ibaad oleh Syeikh Al Murabbi Imam Muhammad Nawawi Umar Al Bantani

p/s : untuk kita amalkan,lembutkan hati,lunakkan jiwa,teguh peribadi.

Tuesday, June 24, 2008

Majlis Ilmu & Munajat


1.Kuliah Perbandingan Agama Bersama Dato' Dr Haron Din


Tempat : Balai Islam MADI,Kg Jejawi Dalam Perlis.


Tarikh : 28 Jun 2008 (SABTU)


Masa : 7.30 malam


2. Qiyamullail Bersama Ustaz Yussaine bin Yahya


Tempat : 29 Jun 2008 (AHAD)


Masa : 4.30 pagi


Tempat : Balai Islam MADI,Kg Jejawi Dalam,Kangar Perlis


AYUH HADIR BERAMAI-RAMAI !!

Pilihanraya Kecil Sanglang

Bila saya sampai dari Alor Setar atas satu urusan saya terus dihubungi oleh Ketua Penerangan PAS Perlis (Sdr Hairy Hashim bin Hashim) memaklumkan bahawa ‘signal’ pilihanraya kecil DUN Sanglang semakin jelas.Kemungkinan besar Pilihanraya Kecil Sanglang akan berlaku jika dikehendaki Allah SWT.

Dalam mesyuarat AJK PAS Kawasan Kangar semalam pun,kita telah melaksanakan arahan Jentera Pilihanraya Negeri untuk membuat agihan tugas dan membincangkan persiapan untuk berhadapan dengan Pilihanraya Kecil Sanglang.

Nampak gayanya PAS Perlis kali ini lebih bersedia tetapi tidaklah over cinfident macam PRU 12 yang lalu.Bagi saya,persiapan teknikal dan strategi perlu diselesaikan dengan baik kerana itulah ‘ikhtiar’.Namun pengharapan dan sandaran pada Allah jangan sekali-kali dilupakan.

Apa yang saya lihat dalam PRU ke 12 yang lalu ialah betapa kekuatan hubungan dengan Allah di kalangan petugas jamaah agak terabai.Kita tidak nafikan bahawa adanya usaha ke arah itu,namun tidak tersusun rapi dan ‘kurang bersungguh-sungguh’(dengan maaf).Marilah kita mengambil contoh negeri Kelantan ketika berhadapan dengan PRU baru-baru ini.Tuan Guru Nik Abdul Aziz selalu mengingatkan seluruh rakyat dan pendokong perjuangan Islam agar memperkukuhkan hubungan dengan Allah SWT.TGNA sendiri turun padang dengan mengajak rakyat bermunajat di tengah padang dalam stadium (sesuatu yang sangat pelik di zaman ini),merintih merayu kepada Allah SWT agar memlihara kerajaan Islam di Kelantan.TGNA sendiri bermunajat sambil menitiskan air mata seperti Rasulullah SAW dalam peperangan mengharapkan pertolongan Allah.Sewaktu diistiharkan kemenangan besar PAS Kelantan,kalimat ALHAMDULILLAH adalah yang pertama keluar dalam ucapan TGNA.

Saya melihat bahawa peranan yang saya akan mainkan dalam Pilihanraya Kecil Sanglang (jika berlaku) adalah membangkitkan kesedaran di atas di kalangan pendokong PAS.Tak tahulah macamana nak buat.Namun syura pasti akan menatijahkan idea dan kaedah pelaksanaan.Kepada Allah jua saya pohon kekuatan untuk amanah besar ini.Ada cadangan?
p/s Contohi Rasulullah saw dalam berjuang!

Monday, June 23, 2008

Bila TG Nik Aziz Nasihat Dr Asri...

BismilLah,Wassolaatu Wassalamu ‘Ala Saiyyidina Rasulillah,wa ba’du,


Assalamualaikum wrt….


Hari ini,saya memperuntukkan masa untuk bersama keluarga di kampong.Abi Batas Paip,begitulah nama kampungnya lebih kurang.Satu masa dulu pernah juga nak cari apa asal usul nama kampung ni.Tiada yang tahu!.labi kurang jam 9.30 malam,mesyuarat AJK Kerja PAS Kawasan Kangar akan diadakan.Sebelum tu,curi masa berehat sekejap antara maghrib isyak dengan keluarga.Sambil tu curi-curi dengar Buletin TV3.Tiba-tiba keluar temuramah dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz mengulas senario terkini Dr Asri Mufti Perlis.

TOK GURU NIK AZIZ CADANG ASRI SERTAI PARTI POLITIK

Tok Guru cadangkan Dr Asri sertai parti politik untuk berdakwah dan laksanakan Islam.Rentetan daru desas desus mengatakan Dr Asri isi borang PKR,maka Tok Guru keluarkan cadangan ‘mulia’ ini.Kata Tok Guru :

“Semua tamadun dan agama di atas muka bumi ada kerajaan.Mana boleh Islam tak punyai kerajaan.Untuk laksana arahan agama mesti ada kuasa.Maka pada hari ini,amat relevanlah sertai parti politik untuk laksana perintah agama”

Demikian lebih kurang tok guru sebut.Kalau direnung nasihat TGNA pasti terserlah kebenarannya.Islam dipijak,dirobek dan dihina hari ini adalah kerana tidak ada ‘DAULAH’.Daulah ni kerajaan dan kuasalah.Sejak kejatuhan daulah Islamiyah 1924,umat Islam ibarat anak ayam yang kehilangan ibu.Tiada pembelaan dan kekuatan.Yahudi Zionis dan musuh-musuh agama menyembelih umat Islam sewenangnya.Tanah negara milik umat ini dirampas.Muslim menjadi pelarian di atas tanah sendiri.Inilah yang dibayangkan oleh Rasulullah SAW 1500 tahun dahulu bahawa umat ini akan dikerumuni oleh bangsa-bangsa dunia seperti setalam hidangan makanan yang dikerumuni manusia banyak.Umat yang banyak bilangan tetapi ibarat buih di lautan.Tiada kesatuan apatah lagi kekuatan.

WAJIB BERSAMA KELOMPOK YANG PERJUANGKAN AL HAQ

Dr Asri patut tentukan sikap.Mana boleh bebas merdeka.Penentuan benar salah adalah fitnah besar akhir zaman.Tentukan kita bersama siapa.2 Bulan dahulu Dr Asri pernah kata Islam Hadhari sesat.Pengasasnya perlu taubat.Tiba-tiba sementelah ini sebut Islam Hadhari ada kebaikannya pulak!.Saya nasihatkan mufti-mufti turun melihat keadaan ummah.Jangan hanya jadi penunggu pejabat.Lihat sejauh mana pemahaman ummah terhadap Islam.Barulah tahu nak melabuh pukat.Waktu mana air pasang waktu mana pula surutnya.Jangan main labuh aja tanpa mengambil kira airnya.

IMAM KENA TIPU??

Baru-baru ini ada seorang imam masjid sebuah negeri ditipu SMS menang 14 ribu ringgit dari pertandingan sms Akademi Fantasia.RM240 duit dia lesap.Persoalannya sejauh mana kefahaman Islam imam tadi?.Tak semak dulukan kontrak pertandingan?.Darimana sumber duit tersebut?AF halalkah?.Kalau setakat ini sahaja kefahaman tok imam,bagaimana pula tok makmun?.

Bila dua kelompok terbesar umat berpecah dua di Malaysia mesti ada yang benar dan ada yang salah.Kalau dua orang bertanding,mesti ada sorang yang menang dan sorang yang kalah.Mana boleh lama-lama berdiri di atas pagar.Mesti jatuh jua akhirnya.Pertembungan al haq dan al bathil adalah sunnatulLah sepanjang zaman.Kita pula mesti tentukan sikap! Agar di akhirat kelak kita akan bersama dengan kelompok kebenaran(saya gunakan istilah kelompok kerana ada orang tak setuju guna istilah jamaah).Kita pinjam balik kalimah dia untuk ajak dia pada kebenaran.

Yang penting,TGNA ikutan dan pautan saya kerana saya yakin dia berdiri di atas jalan Al Quran & As Sunnah.Tenang hati saya bila saya ambil sikap sertai perjuangan parti politik rupanya TGNA sejalan dengan saya (sebenarnya saya ukut jalan dia).Syukurlah imam yang saya ikut adalah TGNA.Bagaimana pula anda?

Mengenang 6 Thn Pemergiaan Ust Fadhil Noor

Hari ini,23 Jun genaplah 6 tahun pemergian mujahid ulung PAS,al marhum Ustaz Fadhil Noor.Melihat suasana politik tanah air dan pasang surut perjuangan PAS maka bertambah rindu hati kepada al marhum.Saya bukanlah orang yang dikenali oleh al marhum,namun jejak langkah perjuangan al marhum sentiasa saya telusuri.Antara pesanan al marhum yang senantiasa saya ingat ; “Jangan biarkan satu hari pun berlalu dalam hidupmu melainkan digunakan untuk berjuang menegakkan agama Allah”.

Jumaat minggu ke 3 setiap bulan adalah giliran saya menyampaikan kuliah haraki di Markaz Tarbiyyah Taman Melewar.Kitab rujukan yang saya pilih ialah “Aqidah & Perjuangan” tulisan al marhum Ustaz Fadhil.Terima kasih kepada Abang Zain ‘penjaga’ MTTM yang cadangkan saya gunakan buku tersebut.Tulisan dan pemikiran serta rentang perjuangan al marhum dalam buku tersebut sangat ‘jelas’.Prinsipnya tegas dan siyasahnya amat bijak sekali.Membaca buku tersebut seoalah-seolah sedang mendengar ucapan al marhum semasa hidup beliau.

Kebijaksanaan al marhum mencipta pakatan awal parti-parti politik dan ngo dalam GERAK masih segar dalam ingatan.Namun kejelasan matlamat perjuangan tetap menjadi prinsip perjuangan beliau.Rujuklah ucapan dan ceramah beliau.Nescaya itulah yang kita dapati.Saya pernah ‘diceritakan’ bahawa ada juga mulut-mulut gatal yang cuba ubah prinsip perjuangan PAS di waktu itu,tetapi awal-awal lagi al marhum ‘cantas’!.

Jangan sekali-kali kita mudah melupakan jalan yang dirintis oleh pejuang terdahulu.Jerit perih mereka membangunkan jamaah harus dikenang.Tanpa mereka di mana kita.Jangan sekali-kali menjadi parasit atau dedalu yang merosakkan jamaah.

Al Faatihah untul al marhum.Semoga kita dihimpunkan bersama beliau dan para mujahid sepanjang zaman bersama Saiyyiduna Rasulillah SAW pada hari berhimpunnya manusia di hari Qiyaamah.

Fitnah!....

Puas hati….begitulah rasanya bila selesai bercakap dengan Ustaz Harun Taib sebentar tadi.Terasa panasnya bahana fitnah kembali menyejuk.Hairan juga bila Sdr Bakaq Haq menulis tentang Ustaz Harun Taib adalah orang yang ‘berperanan penting’ dalam usaha penyatuan PAS – UMNO.Atas pertanggungjawaban apa artikel tersebut ditulis?.Ustaz Harun Taib dengan jelas menyatakan bahawa pendirian beliau adalah sepertimana kenyataan yang pernah dikeluarkan oelh YB Hj Mahfuz Omar tak berapa minggu lalu.Tiada kerjasama dengan UMNO!.


Yang menarik dalam perbualan saya dengan UHT tadi,belau sempat menyebut kepada saya,apa gunanya dapat memerintah negara bila Islam tidak dapat dilaksanakan.Perjuangan kita ada matlamat katanya.Matlamat perjuangan kita adalah untuk melaksanakan Islam dalam masyarakat dan negara.Pada pandangan saya ,bila melihat kepada senario di Selangor,tidak ada guna mempertahankan pakatan kalau untuk menentang maksiat pada Allah pun diserang habis-habisan.Berpakat mesti di atas dasar taat kepada perintah Allah.Kalau kita menentang mungkar,rakan yang kita berkapat dengannya memarahi kita,adalah haram kita taat kepada dia dan wajib ketaatan kita hanya kepada Allah.Inilah prinsip AQIDAH Islam.Takkan sahabat-sahabat dalam PAS tak faham prinsip aqidah ini?.


Ustaz Azman Sahafawi ketika menyebut pelaksanaan siyasah syar’iyyah dalam negeri PR adalah di dalam program ‘dalaman’ PAS.Dia menyebutnya di dalam majlis PAS.Wajib seorang pimpinan berdiri dengan jelas di atas dasar perjuangan.Jika menjadi pimpinan hanya untuk mendapatkan pangkat,nak cepat melangkah ke PUTRAJAYA sehingga sanggup ‘menutup’ dasar perjuangan,NYAHLAH dari persada perjuangan suci ini!.Tiada tempat untuk kamu di sini.


Ada suara menyebut,kita takut DAP marah bila Ustaz Azman sebut macam tu.Wajib kita jawab,kita lebih takut Allah marah.

Sunday, June 22, 2008

Contohi Bilal Ibn Rabaah

BismilLah,alhamdulillah,wassolaatu wassalaamu ‘ala Saiyyidina Rasulillah,wa ‘ala alihi wa ashaabih wa ba’du :

Assalamualaikum wrt,

Dua hari lepas,ketika membaca sebuah buku maka saya tertatap sebuah cerita mengenai seorang sahabat Nabi SAW yang sangat dekat dengan Baginda ,muazzin Rasulillah SAW Saiyyiduna Bilal Ibn Rabah radhiyalLahu ‘anhu.
Seorang manusia pilihan Allah yang menjadi tauladan dan bandingan kepada sekalian ummah hingga hari kiamat.Berkulit hitam,seorang hamba abdi pada asalnya,miskin,faqir dan pendatang di bumi Makkah.Dengan rahmat Allah dia terpilih untuk menerima hidayah Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

Ketika ‘tuannya’ Umaiyyah bin Khalaf mendapat berita keislaman Bilal,tindakan pertamanya ialah ‘mencekik’ Bilal.Kemudian,kekasih Allah itu disebat di seluruh tubuhnya.Ketika enggan kembali kufur menyembah Laata dan ‘Uzza,dia ditelanjangkan tanpa seurat benang.Ditiarapkan di atas pasir yang panas dan diletakkan bongkahan batu besar di atasnya hingga hampir putus nafas.Akhirnya,dia dibeli Abu Bakar lalu dimerdekakan.

PERJUANGAN YANG DIIKTIRAF

Diriwayatkan bahawa bila berlaku peristiwa Isra’ Mi’raj,Rasulullah SAW mendengar bunyi ‘tapak kaki’ Bilal di dalam syurga Allah SWT.Berita gembira itu langsung dikhabarkan kepada Bilal.

Inilah bukti bahawa perjuangan ‘si kulit hitam’ yang mulia dengan iman ini diiktiraf Allah SWT.Kalimah ‘ahad….ahad…ahad..” yang diucapkan oleh Bilal ketika disiksa menggambarkan kepanasan iman yang menggelegak di lubuk jiwanya.Jawapannya kepada ugutan Umaiyyah ; “ Yang menjadi milik belianmu adalah tubuhku,namun hati dan keyakinanku,tiada siapa yang boleh menguasai dan mempengaruhinya”.

Perhatikanlah wahai yang punya akal fikiran yang waras!.Inilah sikap dan pendirian yang sepatutnya dijadikan aqidah mukmin sepanjang zaman.Jika wujud peribadi seperti Bilal di zaman ini nescaya thagut akan dihalau jauh dari bumi Allah.Nescaya takkan bertapak sebarang bentuk jahiliyyah.Kira rindukan peribadi seperti ini dari umat ini.

PERTAHANKANLAH

Ayuh semua pendokong perjuangan Islam.Pemimpin dan orang bawahannya.Kita pertahankan dasar perjuangan yang diistihar di atas asas menunaikan tanggung jawab taqwa dan melaksanakan Islam sebagai ad dien dalam masyarakat dan negara.Jangan sekali-kali cuba dijual dengan harga yang murah!.Jangan sekali-kali cuba digadai hanya semata-mata mau cepat melangkah ke PUTRAJAYA.Tiada guna tergopoh gapah kalau tergadai bangunan perjuangan yang dibina sebelum ini.Bahkan diingatkan oleh Rasulullah SAW; tergopoh gapah itu dari Syaitan dan ketenangan itu dari Allah SWT.

Saturday, June 21, 2008

BUKTIKAN IMAN DENGAN 6 PERKARA

Al Quran menyebut 6 perkara yang MESTI dibuktikan/dilaksanakan jika kita benar-benar beriman :

1.AL YAQIN (keyakinan yang mantap)

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu hanyalah orang-orang yang percaya (beriman) kepada Allah dan Rasul-Nya, Kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjuang (berjihad) dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah. mereka Itulah orang-orang yang benar.” Al Hujuraat : 15

2. AT TASLIM (berserah diri sepenuhnya kepada Allah)

“Maka apakah mereka mencari agama yang lain dari agama Allah, padahal kepada-Nya-lah menyerahkan diri segala apa yang di langit dan di bumi, baik dengan suka maupun terpaksa dan Hanya kepada Allahlah mereka dikembalikan.” Ali Imran :83
3. AS SAMU’ WATH THA’AH (dengar & taat bukannay dengar dan ingkar)

t”Sesungguhnya jawaban oran-orang mukmin, bila mereka dipanggil kepada Allah dan rasul-Nya agar Rasul menghukum (mengadili) di antara mereka[1045] ialah ucapan. "Kami mendengar, dan kami patuh". dan mereka Itulah orang-orang yang beruntung. An nuur :51

[1045] Maksudnya: di antara kaum muslimin dengan kaum muslimin dan antara kaum muslimin dengan yang bukan muslimin.

4. ITBA’UL MANHAJ (terima,ikut & laksana system Islam)

18. Kemudian kami jadikan kamu berada di atas suatu syariat (peraturan) dari urusan (agama itu), Maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu ikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak Mengetahui.
Al Jaatsiyah : 18

5. ‘ADAMUL HARAJ (tidak merasa keberatan menerima & melaksanakan hukum Allah SWT)

65. Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakekatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, Kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap putusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya.
An nisa’ : 65

6. ‘ADAMUL KHIYARAH (tidak memilih dan membuat pilhan selain ketentuan Allah jua)

36. Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan rasul-Nya Telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. dan barangsiapa mendurhakai Allah dan rasul-Nya Maka sungguhlah dia Telah sesat, sesat yang nyata. Al ahzab :36

Penerang Hati & Penguat Ingatan

Mutiara amalan 1 :

Membaca Surah al Faatihah sebanyak 70 kali satu hari selama 7 hari berturut-turut dan dihembuskan ke dalam sebekas air.Jika diberi minum pada yang ebbal dan benak hati untuk belajar insya Allah akan di perkenankan Allah hajat untuk terang hati & kuat ingatan.

Mutiara amalan 2 :

Tulis surah al Insyiraah pada permukaan piring,kemudian lunturkan dengan air dan diberi minum kepada orang yang pelupa.Insya Allah dikuatkan ingatannya.


SELAMAT BERAMAL !

Ikhlas ; Tunjang Perjuangan Kita

IKHLAS DALAM PERJUANGAN


1. Maksud Ikhlas ialah mengkehendaki keredhaan Allah dalam sesuatu amal dan membersihkannya dari segala noda individual mahupun duniawi.

2. Ikhlas adalah buah TAUHID yang murni :

2.1 Buah tauhid yang sempurna iaitu menunggalkan ibadah dan isti’anah hanya kepada Allah SWT.
2.2 Dengan ikhlas seorang mukmin benar-benar menjadi hamba kepada Allah.

3. Kepentingan Ikhlas bagi orang yang meniti Jalan Allah SWT :

3.1 Sabda Rasulullah SAW : ( Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada jasad dan rupa kamu.Tetapi Dia melihat kepada hati kamu) – riwayat Imam Muslim.
3.2 Berkata Hujjatul Islam Al Imam Al Ghazali RHM : ( Dengan hujjah iman yang nyata dan cahaya Al Quran,orang-orang yang mempunyai hati mengetahui bahawa kebahagian tidak akan tercapai kecuali dengan ilmu dan ibadah.Semua orang pasti akan binasa kecuali orang-orang yang berilmu.Orang-orang yang berilmu pasti akan binasa kecuali orang-orang yang aktif beramal.Semua orang yang aktif beramal akan binasa kecuali yang ikhlas )


4. Berbezanya pahala amal menurut perbezaan niatnya.

5. Niat yang ikhlas adalah dasar penerimaan amal :

5.1 Firman Allah SWT : ( Di antara kamu ada yang mengkehendaki dunia dan di antara kamu ada orang yang mengkehendaki akhirat ) – Ali Imran : 152
5.2 Firman Nya lagi : ( Barangsiapa mengharap perjumpaan dengan Rabbnya,maka hendaklah ia mengerjakan amal yang salih dan janganlah ia mempersekutukan seorang pun dalam beribadah kepada Rabbnya ) – Al Kahfi : 110

6. Beberapa unsur penting dalam membentuk ikhlas :
6.1 Mengutamakan pandangan KHALIQ bukan MAKHLUQ.
6.2 Samarata antara zahir dan batin.
6.3 Menganggap sama antara celaan manusia dan pujian mereka.
6.4 Tidak boleh memandang ikhlas dirinya sehingga takjub diri.
6.5 Melupakan tuntutan pahala amal di akhirat.
6.6 Takut penyusupan riya’ dalam jiwa.

Ayuh Kita MUHASABAH!

Kekalkah Kecantikan ?

BismilLah,Alhamdulillah,Assolaatu Wassalaamu ‘Ala Saiyyidina RasulilLah,Wa ba’du,

Muka depan METRO hari siarkan fokus artis wanita banya tertipu dengan bomoh dan dukun susuk.Kerana nak kekal cantik jelita dan terus laris di lapangan hiburan,mereka sanggup jumpa bomoh untuk masukkan susuk ke dalam wajah demi kekal cantik.

KEKALKAH KECANTIKAN MANUSIA?

Allah SWT menciptakan manusia pada sebaik-baik kejadian.Bahkan Allah SWT mudahkan manusia berjalan dan menggunakan langit bumi.Allah berikan kepada bani Adam dari rezeki yang baik-baik.Dan Allah SWt lebihkan anak Adam dari seluruh makhluk ciptaan Allah yang lainnya.

Namun sebagai membenarkan janji Allah kepada makhluk yang baharu,Allah SWT telah menentukan putaran kehidupan manusia.Satu hari manusia akan mati.Kita akan balik mengadap Allah samada kita suka atau tidak.Rela atau terpaksa.

Dalam kehidupan dunia,tiada yang kekal.hidup tidak kekal.Muda tidak kekal.Sihat tidak kekal.Kaya juga tidak kekal.Kuasa pemerintahan pun tidak kekal.Apa yang kekal hanyalah apa yang di sisi Allah jua.Harta yang kekal,ialah yang diinfaqkan pada jalan Allah.ilmu yang bermanafaat,yang disampaikan dengan terus terang ,jelas dan benar dan yang diamalkan.Kecantikan yang kekal ialah ketika kita semua dimasukkan ke dalam jannah Allah SWT.Kekal kita di dalamnya ,muda belia,sihat,cantik,gembira dan bahagia.

Banyak yang mencari yang tidak kekal dan mengabaikan yang kekal.Banyak yang sibuk membina dunia dan meruntuhkan akhirat.Sibuk menghimpunkan harta dan melupakan hisab.Sukakan kehidupan dan melupakan mati.Sibuk membina istana melupakan kubur tempat kembali semua makhluk.

Saudara,satu hari kita akan tua jua.Kulit akan berkedut dan tulang temulang akan menjadi rapuh.Persiapan yang sepatutnya adalah amal soleh.

AQIDAH TIDAK MEMBENARKAN PERBUATAN SYIRIK

Bertemu bomoh yang menggunakan sihir dan jin untuk memasukkan susuk ke dalam wajah adalah perbuatan salah,dosa besar dan mensyirikkan Allah.Sihir adalah diharamkan Islam.Yang menampakkan cantik di wajah orang yang menggunakan susuk adalah kerana Iblis serta Jin yang ‘menampakkan’ kecantikan itu.Bukan kecantikan yang hakiki.Buktinya bila nak mati,susahnya bukan main lagi.Bila susuk dibuang segera tampak kedut dan hodohnya wajah sebenar.Lebib-lebih lagi pengamal susuk tak dibenarkan solat dan membaca Al Quran.Apa sebabnya? Sudah tentu kerana Jin dan Iblis yang berdamping dengan si pemakai susuk.

Sabda Rasulillah SAW : “Sesiapa bertemu Allah dalam keadaan tidak pernah mensyirikkan Allah dengan sesuatu apapun akan masuk syurga.Sesiapa bertemu Allah dengan mensyirikkanNya akan masuk neraka” (riwayat Imam Muslim dai Saiyyuduna Jabir r.a.)
Sabda Baginda SAW lagi : “ Tiga jenis manusia tidak akan masuk syurga ; orang yang ketagihan arak,orang yang memutuskan silatur rahmi dan orang yang mempercayai sihir” (riwayat Imam Ahmad,ath Thabrani dan al Hakim dari Saiyyiduna Abi Musa al Asy’ari)

JANGAN GADAI AQIDAH DEMI DUNIA DAN KEMASYHURAN

Janganlah menggadai aqidah yang suci murni yang akan menyelamatkan kita dari neraka Allah SWT dengan dunia dan popularity yang sementara sahaja.Kita akan balik mengadap Allah SWT.Di kala itu,hanya aqidah Islam yang benar akan dapat menyelamatkan kita.Hari yang tiada memberni manafaat harta benda dan anak pinak yang banyak kecuali orang yang datang kepada Allah dengan hati yang terisi iman dan aqidah.

Friday, June 20, 2008

Pendekatan Siasah Syari'yyah di Malaysia


Pendekatan Siasah Syari’yyah di Malaysia Khasnya di Negeri Pakatan Rakyat .
Oleh : Syeikh Nasrudin Hj Hassan ath Thanthawi

Pelbagai pihak kelihatan masih keliru dan curiga terhadap Pendekatan Siasah Syari’yyah yang dicadangkan oleh Dewan Pemuda PAS Pusat untuk dilaksanakan di Negara ini , khasnya di negeri – negeri yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat . Lebih malang apabila ia ditempelak dan dibahas tanpa ilmu sebaliknya penuh curiga dan berniat tidak baik terhadapnya.
Saya melihat fenomena ini berurutan dari sindrom Islamphobia yang dialami oleh masyarakat hari ini dan biasnya turut dirasai oleh sebahagian muslim yang bersyahadah . Semakin hari ruang kecurigaan terhadap Islam dan perlaksanaannya semakin lebar , sementara para ulama yang diharapkan untuk mempertahankan kesucian Islam , sebahagiannya lebih memberi tumpuan terhadap isu – isu khilafiah atau persoalan tengek bengek yang sering menimbul ketegangan dan keresahan dikalangan ummah tanpa mendidik mereka dengan ilmu yang jelas dan mencukupi.


Terdapat jua sebahagian pemimpin ummat Islam yang hanya menumpu kepada strategi untuk mengekalkan survival politik mereka dengan tidak memberikan perhatian terhadap strategi bagaimana Islam dapat dipraktiskan malah dihayati secara benar dan jujur sehingga tersingkap segala kecurigaan mahupun salah faham terhadapnya.
Banyak pihak perlu mengambil tanggungjawab dengan tercetusnya fenomena ini .


Pertama :
kepada golongan Islam agar tidak prejudis terhadap agama anutan sendiri . Jua tidak melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan salah tanggap terhadap agama suci ini. Elakkan diri dari terjebak dalam kancah maksiat dan aktiviti yang tidak bermoral dengan membawa palit lumpur lalu mencemarkan kesucian Islam ini.
Pemegang urusan politik ummat Islam pula jangan dilihat hanya mementingkan karier politik mengatasi kecintaan terhadap agama. Membiar Islam dibelasah saban waktu asal cita – cita politik tercapai adalah sikap yang tidak wajar justeru politik ummat Islam tidak seharusnya gelincir dari landasan Islam itu sendiri.


Kedua :
Kepada golongan non muslim yang pastinya tidak memahami secara mendalam bagaimana Islam sebagai cara hidup mestilah terlebih dahulu mendapat pandangan atau maklumat jelas dari para ulama’ Islam sebelum membuat sebarang kenyataan atau dakwaan , apatah lagi berupa kritikan terhadap Islam.
Janganlah membuat kesimpulan mengenai Islam berasaskan apa yang dilihat oleh mata kasar lalu membuat nilaian secara melulu . Tentu sahaja perbincangan atau dialog mampu menenangkan keadaan sekaligus menceritakan betul duduknya yang sebenar.
Tindakan berasaskan dendam politik atau rasa curiga antara satu sama lain pastinya tidak membawa kepada kerukunan hidup bermasyarakat apatah lagi berbeza ideology dan anutan agama. Tiada masaalah yang tidak dapat dirungkai , sementelah pula masaalah itu adalah masaalah agama yang sememangnya agama mengajar penganutnya menjadi insan yang baik .
Nilai kebaikan itulah yang akan menjadi modal untuk membolehkan dialog , muzakarah atau perbincangan dilakukan dengan semangat inginkan kesejahteraan , kedamaian dan ketenteraman antara kaum dan agama dalam Negara ini .


Kerajaan Pakatan Rakyat


PRU 12 telah menyaksikan bagaimana Pakatan Rakyat meraih kemenangan dengan upaya membentuk kerajaan di 5 buah negeri . Tentu sahaja kemenangan itu bermaksud rakyat memberi harapan kepada Kerajaan Pakatan Rakyat untuk menggantikan kerajaan Barisan Nasional setelah mereka tidak lagi mampu menanggung sengsara berada di bawah system pemerintahan dan pentadbiran Barisan Nasional yang penuh dengan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.
Harapan mereka agar Kerajaan Pakatan Rakyat , biarpun parti mana yang dominan di negeri – negeri tersebut membawa sinar keadilan , ketelusan , kesaksamaan , ketenteraman dan kesejahteraan kepada seluruh rakyat jelata.
Punah dan musnah harapan rakyat andai Pakatan Rakyat gagal membawa sinar baru kepada mereka malah kesal dan kecewalah mereka kerana memberi mandat dan kuasa kepada Pakatan Rakyat yang hanya mengulang sejarah pincang Kerajaan Barisan Nasional .
Dalam erti dan nilai yang lain , mereka tidak mahu menumbangkan kerajaan Buaya dan menegakkan kerajaan Harimau , di mana mereka tetap menjadi mangsa .


Pendekatan Siasah Syari’yyah .


Dewan Pemuda PAS Pusat rasa terpanggil bagi memastikan agar rakyat tidak terus menjadi mangsa kepincangan sebuah pemerintahan setelah mereka sekian lama menderita dan sengsara berada di bawah regim Barisan Nasional yang tidak sudah – sudah mengeksploitasi rakyat yang mereka pimpin.


Bertolak dari keinsafan ini , Dewan Pemuda PAS Pusat sebagai sayap penting kepada Parti Islam Se Malaysia ( PAS ) yang pastinya pula Islam menjadi asas perjuangan , ingin mencadangkan satu pendekatan yang boleh diguna pakai dalam system pentadbiran dan pemerintahan Negara amnya dan negeri – negeri Pakatan Rakyat khasnya , agar keadilan , ketelusan , kesejahteraan dan keamanan benar – benar dapat ditegakkan dan rakyat terbela.


Itulah cita – cita murni Dewan Pemuda PAS Pusat dan saya percaya semua pihak bersetuju untuk mewujudkan keadilan , ketelusan , kesaksamaan , kesejahteraan dan keamanan dalam Negara ini walau apa pun anutan agama dan ideology .
Justeru itu , inilah yang mahu dibawa oleh Dewan Pemuda PAS Pusat melalui cadangan Pendekatan Siasah Syari’yyah dalam pentadbiran dan pemerintahan Kerajaan Pakatan Rakyat sebagaimana yang dikemukakan oleh al Fadhil Ustaz Azman Syafawi Abd Rani selaku Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat ketika merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan baru – baru ini .


Saya tidak Nampak ianya perlu dicurigakan apalagi menolak dan mentohmahnya dengan pelbagai tanggapan dan sinis yang tidak wajar terhadap cadangan tersebut . Selain daripada ianya masih diperingkat cadangan , Pendekatan Siasah Syari’yyah perlu diberi peluang untuk dibentang dan dikemukakan dahulu sebelum pihak – pihak tertentu mengkritik dan menghentam sehingga lajaknya sampai mempertikaikan kesucian agama Islam dan peribadi ulama’ – ulama’ Islam yang beramal dengannya.


Atas sifatnya sebagai satu cadangan , selayaknya ia dialu – alukan untuk disemak dan dinilai bahkan dibincang dan dibahas apakah ia boleh diterima atau tidak . Mana – mana negeri yang tidak mahu menerimanya , selain daripada mereka berhak menolak dengan baik tanpa perlu memperlekeh apalagi mempertikai Islam itu sendiri , mereka juga diberi peluang untuk membuktikan dimana kesalahan Pendekatan Siasah Syari’yyah sehingga ia wajar ditolak ?
Islam sendiri tidak pernah memaksa mana – mana pihak non muslim untuk menerima dan menganut Islam sebaliknya sering mengajak agar semua pihak berfikir dengan wajar dan rasional dalam menilai kebenaran. Islam juga mengajar agar kita menerima suatu yang bermanafaat dan menolak suatu yang mengundang mudharat .
Siasah Syari’yyah mempunyai prinsip umum dalam perlaksanaanya , dimana menurut perkiraan Dewan Pemuda PAS Pusat ia wajar dilaksana atau diterapkan dalam pentadbiran dan pemerintahan Kerajaan Pakatan Rakyat . Prinsip – prinsip umum yang saya maksudkan itu seperti :


As Sadduz Zaraai’ السد الذرائع Ar Raf’ul Haraj الرفع الحرج Tahqiqul A’daalah تحقيق العدالة Ad Dar ul Mafaasid afdhal min Jalbil Masoolih الدرء المفاسد أفضل من جلب المصالح


As Sadduz Zaraai’ السد الذرائع
Satu prinsip yang membentuk tindakan , peraturan atau undang – undang pencegahan agar tidak berlaku malah tidak mendorong tercetusnya maksiat dan mungkar atau penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa. Ianya seperti menghalang apa jua unsur yang menyuburkan mungkar tersebut . Prinsip ini menepati kaedah mencegah tentu sahaja lebih baik daripada merawat.


Ar Raf’ul Haraj الرفع الحرج
Mengangkat , merungkai atau menyelesaikan apa jua yang menjadi batu penghalang agar undang – undang , peraturan dan apa jua keputusan yang membawa kebaikan kepada masyarakat umum dapat dilaksanakan dengan baik .


Tahqiqul A’daalah تحقيق العدالة
Memastikan keadilan tertegak dan ianya boleh dialksanakan melalui pembentukan satu jawatankuasa khas atau suruhanjaya bebas yang mengawal tindakan kerajaan agar tidak menyeleweng dan menyalahgunakan kuasa. Badan – badan seperti Hisbah dan lainnya turut membawa maksud yang sama demi mengawal Kerajaan Yang dibentuk agar tidak terjebak dalam pengkhianatan hak dan amanah rakyat .


Ad Dar ul Mafaasid afdhal min Jalbil Masoolih الدرء المفاسد أفضل من جلب المصالح
Menolak kerosakan atau kemusnahan terlebih afdhal daripada mengundang kebaikan apabila situasi ini berlaku dalam satu masa yang sama . Justeru menolak kerosakan atau kejahatan itu sendiri adalah satu kebaikan buat ummah . Sebagai contoh , menolak aktiviti – aktiviti tertentu yang menghela ke arah mungkar sekalipun dilihat boleh membawa pulangan ekonomi yang lumayan kepada masyarakat .
Atau juga boleh difahami dengan tumpuan dan peruntukan yang dilabur untuk membenteras dan menghapuskan segala kerosakan , kemungkaran atau kejahatan itu terlebih baik dan wajar walaupun peruntukan dan pelaburan untuk aktiviti kebaikan yang lain menjadi kecil . Lantaran tindakan menghalang atau menghapuskan mungkar dan kerosakan merupakan satu kebaikan yang besar buat rakyat seluruhnya.


Jika ini prinsip dan kaedah yang dicadangkan oleh Dewan Pemuda PAS Pusat kepada Kerajaan Pakatan Rakyat melalui Pendekatan Siasah Syari’yyah , sila beritahu kepada saya , dimanakah salah dan silapnya sehingga ada pihak – pihak tertentu berasa curiga dan bimbang .
Lebih malang kalau ada dikalangan pemimpin muslim sendiri yang tidak mahu perkara ini dilontarkan kerana bimbang ianya merugikan politik Pakatan atau bimbang kalau – kalau ia tidak disenangi oleh non muslim .


Persoalannya sampai bila mereka mahu bersikap tidak jujur dalam perjuangan dan politiknya. curiga dikalangan rakan – rakan non muslim terhadap Islam agama suci ini . Menyembunyikan Islam yang diperjuang kerana ingin membeli hati non muslim , inilah satu sikap berpura – pura yang sering mengundang kekeliruan dan rasa curiga .


Kenapa tidak dijelaskan kepada mereka hasrat perjuangan dan risalahnya kepada non muslim melalui pendekatan Islam yang benar sebagaimana Nabi saw. tidak pernah menyembunyikan Islam untuk menawan hati non muslim . Sebaliknya Nabi saw berjaya menawan hati non muslim dengan memberikan penjelasan yang tepat mengenai Islam .


Islam bukan agama ciptaan manusia bahkan bukan juga ciptaan Muhammad saw. Ia adalah wahyu Ilahi , tuhan yang mencipta manusia . Berasaskan reality ini pemimpin jamaah Islam sendiri mesti yakin dan optimis terhadap Islam yang diperjuangkan oleh mereka . Sebagaimana Islam yang di dokong itulah Islam yang mesti dikemukakan kepada non muslim secara jujur dan berani . Tidak ada Islam berlainan pakej untuk dikemukakan kepada non muslim .
Saya percaya non muslim akan cepat memahami dan menyedari malah menerima bahawa Islam adalah agama yang benar sekali pun enggan untuk menganut agama Islam , sementara Islam sememangnya tidak memaksa sesiapa pun untuk menganut agamanya.


Seminar Pendekatan Siasah Syari’yyah

Dewan Pemuda PAS Pusat akan mengadakan seminar khas untuk membincangkan Pendekatan Siasah Syari’yyah di negeri Pakatan Rakyat yang melibatkan panel dan peserta dari kalangan ulama’ , tokoh – tokoh sarjana Islam , professional , aktivis social dan penganalisis politik sebelum satu dokumen cadangan Pendekatan Siasah Syari’yyah di kemukakan .


Nasrudin bin Hassan at Tantawi

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.

Thursday, June 19, 2008

Takrifan Sebenar Negara Islam ( siri 1)

TAKRIFAN SEBENAR NEGARA ISLAM (Siri 1)
Oleh : Syaikhuna Ustaz Ahmad Adnan Fadhil

Soalan : Apa pandangan ulamak berkenaan takrtifan negara Islam?


Jawapan :Persoalan takrif negara Islam ini, banyak takrif kita dapati dari para ulama’ dan fuqaha’ Islam sama ada dulu atau sekarang. Namun begitu, ia –sebagaimana yang dinyatakan oleh Syeikh Muhammad Abu Zuhrah- berlegar antara dua pandangan iaitu:


[1]1) Pandangan pertama; Merujuk kepada hukum-hakam dan undang-undang. Jika hukum-hakam dan undang-undang yang dilaksanakan di dalam negara adalah Islam, maka negara tersebut adalah negara Islam. Jika sebaliknya yang berlaku, maka negara tersebut bukanlah negara Islam walaupun didakwa sebagai Islam.2) Pandangan kedua; Merujuk kepada keamanan orang-orang Islam dan kekuasaan mereka. Jika orang-orang Islam berkuasa dalam negara dan mereka hidup dengan aman dalam negara tersebut, maka negara itu adalah negara Islam. Jika tidak maka ia adalah negara Harb.Di antara takrif Negara Islam yang dapat kita petik dari ulama’-ulama’ terdahulu dan sekarang ialah;


[2]1) “Golongan teramai para Fuqahak berpendapat; “Negara Islam ialah negara yang diduduki oleh orang-orang Islam dan berjalan padanya undang-undang/hukum-hakam Islam dan selagi mana tidak berjalan padanya hukum-hakam Islam maka ia bukanlah negara Islam”. ( Al-‘Allamah Ibnu Qayyim al-Jauziah, meninggal tahun 728 hijrah)


[3]2) “Sesebuah negara itu menjadi negara kafir jika zahir (jelas nyata) hukum-hakam/undang-undang kufur dalam negara tersebut”.


[4] (Imam Abu Yusuf, meninggal tahun 182 hijrah dan Imam Muhammad bin al-Hasan asy-Syaibani, meninggal 189 hijrah)3) “Sesebuah negara itu dikatakan negara Islam jika sekiranya zahir (yakni jelas kelihatan) Islam di dalamnya dan yang dimaksudkan zahir Islam itu ialah zahir hukum-hakamnya. Sebuah negara akan menjadi negara Islam dengan jelas kelihatan (perlaksanaan) hukum-hakam Islam di dalamnya dan akan menjadi negara kufur jika sekiranya yang jelas kelihatan itu ialah hukum-hakam kufur”. (Imam ‘Alauddin Abu Bakar bin Mas’ud al-Kasani, meninggal tahun 587 hijrah)

[5]4) “Negara Islam ialah nama bagi suatu tempat/kawasan yang berada di bawah kekuasaan orang-orang Islam di mana mereka beroleh keamanan/ketenteraman berada di dalamnya”. (Imam Muhammad bin Abi Sahl as-Sarakhsi, meninggal tahun 482 hijrah)


[6]5) “Negara Islam ialah negara yang berada di bawah kuasa pemerintahan orang Islam. Kekuatan dan pertahananya dikuasai orang Islam. Negara sedemikian wajib dipertahankan oleh setiap individu muslim”. (Syeikh Abu Zuhrah)


[7]6) “Negara Islam (Dar al-Islam) ialah setiap tempat/kawasan yang mana hukum-hakam Islam nampak nyata di dalamnya…Negara Kafir (Dar al-Harb) ialah setiap tempat/kawasan yang mana hukum-hakam kufur nampak nyata di dalamnya”. (Al-Mausu’at al-Fiqhiah (Ensiklopedia Fiqh))


[8]7) “Dar al-Islam (Negara Islam) ialah; Negara yang majoriti penduduknya adalah kaum muslimin, mereka menikmati kemanan dalam negara itu dan mereka diperintah dengan sistem-sistem/undang-undang Islam”.(‘Mu’jam Lugatul Fuqaha’’ (Dictionary of Islamic legal terminology) oleh Prof. Dr. Muhammad Rawas Qal’aji)


[9]8) “Yang menjadi sandaran untuk membezakan negara (sama ada negara Islam atau negara lainnya) ialah; (1) Kekuasaan, dan (2) Perjalanan hukum-hakam/undang-undang. Jika kedua-duanya itu berwajah Islam, maka negara itu adalah negara Islam. Jika tidak berwajah Islam, maka negara adalah negara harb”. (Prof. Dr. Wahbah az-Zuhaili)


[10]9) “Negara Islam ialah negara yang berjalan di dalamnya hukum-hakam/undang-undang Islam dan penduduk di dalamnya –sama ada muslim atau zimmi- beroleh keamanan berdasarkan pemerintahan yang dikuasai oleh kaum muslimin”. (Syeikh Abdul Wahhab Khallaf)


[11]10) “Perkiraan untuk menentukan sesuatu negara itu negara Islam atau negara kufur hendaklah dilihat kepada dua perkara; (1) Pemerintahan yang berdasarkan hukum-hakam Islam, dan (2) Kekuasaan dalam negara adalah milik kaum muslimin. Jika terdapat kedua-dua syarat ini dalam sebuah negara, maka negara itu adalah negara Islam”. (Syeikh Taqiyyuddin an-Nabhani)


[12]Merujuk kepada takrif-takrif di atas, kita dapati bahawa kebanyakan ulama’ menyebutkan perlaksanaan hukum-hakam/undang-undang Islam sebagai satu unsur penting bagi negara Islam. Bahkan menurut Imam Ibnul Qayyim al-Jauziyah, ia merupakan pendapat jumhur atau golongan teramai dari para Fuqahak. Kata beliau tadi; “Golongan teramai para Fuqahak berpendapat; “Negara Islam ialah negara yang diduduki oleh orang-orang Islam dan berjalan padanya undang-undang/hukum-hakam Islam dan selagi mana tidak berjalan padanya hukum-hakam Islam maka ia bukanlah negara Islam”.Cuma di sana ada beberapa ulama’ memfokuskan takrifan negara Islam kepada; “kekuasaan orang-orang Islam ke atas negara dan keamanan yang mereka kecapi di dalamnya”. Iaitu mereka tidak menyebutkan tentang “penegakan/perlaksanaan Syari’at atau undang-undang Islam” dalam takrif mereka. Antara ulama’ yang selalu dirujuk dengan takrifan sebegini ialah Imam Muhammad bin Abi Sahl as-Sarakhsi, Syeikh Muhamman Abu Zuhrah, Dr. Said Ramadhan al-Buti dan beberapa lagi.Ini menyebabkan setengah pihak menganggap perlaksanaan Syari’at atau undang-undang Islam dalam negara bukanlah suatu yang penting kerana ia tidak menentukan sesebuah negara itu Islam atau tidak. Mereka menjadikan takrif beberapa ulama’ ini sebagai hujjah mereka. Adakah tepat dan benar anggapan mereka ini? Adakah ulama’-ulama’ yang mengemukakan takrif-takrif tadi juga beranggapan seperti itu? Jawapan bagi persoalan ini akan saya huraikan dalam siri kedua, Insya-Allah.Wallahu A’lam.


[1] Syeikh Muhammad Abu Zuhrah, Nazariah al-Harb Fil Islam, hlm. 37-38, ter. Al-Majlis al-‘Ala Lisy-Syuun al-Islamiah (Kementerian Wakaf Mesir) (1961).
[2] Kebanyakan takrif/teks di bawah dirujuk melalui internet iaitu dalam laman web ‘Jami’ al-Fiqh al-Islami’ beralamat; fhttp; //feqh.al-islam.com/ (Laman web ini memuatkan kitab-kitab rujukan muktabar dalam bidang Fiqh Islam).
[3] Lihat kitabnya ‘Ahkam Ahli az-Zimmah’, jil. 1/hlm. 366.
[4] Lihat kitab Hasyiah Ibn ‘Abidin, jil. 3, hlm. 390 dan ‘Badai’ as-Sanai’ fi Tartibi asy-Syara’i, Imam al-Kasani, jil. 7, hlm. 130.
[5] Lihat dalam kitab ‘Badai’ as-Sanai’ fi Tartibi asy-Syara’i, oleh Imam al-Kasani, jil. 7, hlm. 130.
[6] Lihat Syarhu as-Siyari al-Kabir, Imam as-Sarakhsi.
[7] Dipetik dari kertas kerja bertajuk “Malaysia Negara Islam”, oleh JAKIM dalam laman web JAKIM (http: //www.islam.gov..my/) bertarikh 20 Nov. 2001.
[8] Al-Mausu’at al-Fiqhiyyah (Ensiklopidia Frqah) ditulis oleh sekumpulan ulama’, dikeluarkan oleh Kementerian Waqaf, Kuwait. (lihat dalam laman web ‘Jami’ al-Fiqh al-Islami’)
[9] Prof. Dr. Muhammad Rawas Qal’aji, ‘Mu’jam Lugatul Fuqaha’’ (Dictionary of Islamic legal terminology), hlm. 182, ter. Dar an-Nafais (1996).
[10] Lihat dalam bukunya “A-tsar al-Harb”, hlm. 155.
[11] Lihat dalam bukunya as-Siyasah as-Syar’iyyah, hlm. 69.
[12] Lihat bukunya “as-Syakhsiyyah al-Islamiyyah”, hlm. 215.