Sunday, June 22, 2008

Contohi Bilal Ibn Rabaah

BismilLah,alhamdulillah,wassolaatu wassalaamu ‘ala Saiyyidina Rasulillah,wa ‘ala alihi wa ashaabih wa ba’du :

Assalamualaikum wrt,

Dua hari lepas,ketika membaca sebuah buku maka saya tertatap sebuah cerita mengenai seorang sahabat Nabi SAW yang sangat dekat dengan Baginda ,muazzin Rasulillah SAW Saiyyiduna Bilal Ibn Rabah radhiyalLahu ‘anhu.
Seorang manusia pilihan Allah yang menjadi tauladan dan bandingan kepada sekalian ummah hingga hari kiamat.Berkulit hitam,seorang hamba abdi pada asalnya,miskin,faqir dan pendatang di bumi Makkah.Dengan rahmat Allah dia terpilih untuk menerima hidayah Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

Ketika ‘tuannya’ Umaiyyah bin Khalaf mendapat berita keislaman Bilal,tindakan pertamanya ialah ‘mencekik’ Bilal.Kemudian,kekasih Allah itu disebat di seluruh tubuhnya.Ketika enggan kembali kufur menyembah Laata dan ‘Uzza,dia ditelanjangkan tanpa seurat benang.Ditiarapkan di atas pasir yang panas dan diletakkan bongkahan batu besar di atasnya hingga hampir putus nafas.Akhirnya,dia dibeli Abu Bakar lalu dimerdekakan.

PERJUANGAN YANG DIIKTIRAF

Diriwayatkan bahawa bila berlaku peristiwa Isra’ Mi’raj,Rasulullah SAW mendengar bunyi ‘tapak kaki’ Bilal di dalam syurga Allah SWT.Berita gembira itu langsung dikhabarkan kepada Bilal.

Inilah bukti bahawa perjuangan ‘si kulit hitam’ yang mulia dengan iman ini diiktiraf Allah SWT.Kalimah ‘ahad….ahad…ahad..” yang diucapkan oleh Bilal ketika disiksa menggambarkan kepanasan iman yang menggelegak di lubuk jiwanya.Jawapannya kepada ugutan Umaiyyah ; “ Yang menjadi milik belianmu adalah tubuhku,namun hati dan keyakinanku,tiada siapa yang boleh menguasai dan mempengaruhinya”.

Perhatikanlah wahai yang punya akal fikiran yang waras!.Inilah sikap dan pendirian yang sepatutnya dijadikan aqidah mukmin sepanjang zaman.Jika wujud peribadi seperti Bilal di zaman ini nescaya thagut akan dihalau jauh dari bumi Allah.Nescaya takkan bertapak sebarang bentuk jahiliyyah.Kira rindukan peribadi seperti ini dari umat ini.

PERTAHANKANLAH

Ayuh semua pendokong perjuangan Islam.Pemimpin dan orang bawahannya.Kita pertahankan dasar perjuangan yang diistihar di atas asas menunaikan tanggung jawab taqwa dan melaksanakan Islam sebagai ad dien dalam masyarakat dan negara.Jangan sekali-kali cuba dijual dengan harga yang murah!.Jangan sekali-kali cuba digadai hanya semata-mata mau cepat melangkah ke PUTRAJAYA.Tiada guna tergopoh gapah kalau tergadai bangunan perjuangan yang dibina sebelum ini.Bahkan diingatkan oleh Rasulullah SAW; tergopoh gapah itu dari Syaitan dan ketenangan itu dari Allah SWT.

No comments: