Thursday, August 21, 2008

Program-program terkini Darul Islah...

16/08/2008 (Sabtu)...bersama masyarakat KG Beseri Dalam, meraikan sambutan Malam Nisfu Sya'ban dengan tilawah, zikir, solat dan tazkirah...semoga amalan soleh diangkat ke langit...

Ruang Solat surau dipenuhi jamaah lelaki dan perempuan...alhamdulillah,sambutan masyarakat setempat sangat baik.
Ustaz Mohd Adnin Yahya (murid al Habib Umar bin Hafidz Hadhramaut) menjadi Tuan Rumah majlis tersebut...saya diberikan sedikit kesempatan untuk menyampaikan tazkirah...banyakkan beramal soleh di zaman fitnah, demikian pesan Rasulullah SAW.
Kami bertiga bersekolah bersama di Madrasah Alawiyah Ad diniah Arau...yang di tengah, Ustaz Mohd Zainie...baru berkahwin dengan anak usrah saya di UiTM arau, penyambung generasi perjuangan.
Pagi 17/08/08 (Ahad), menyudahkan program qiyamullail dan solat gerhana bulan dengan bacaan Qasidah dan Maulid...
21/8/08...kelihatan Ustaz Hj Hashim Jasin sedang menikmati jamuan makan tengahari majlis tahnik adik Nurul Ain Fatihah, anak saudara Sadr Hairy Hashim (YDP PAS Kangar)
Sedang menunggu majlis bermula....sabar menahan lapar.
Sedang menyuapkan air zam-zam ke mulut Nurul Ain Fatihah...Ya Allah, faqihkan dia dalam urusan agamaMu dan ajarkan dia takwil.
Sedang mentahnikkan Nurul Ain Fatihah, anak saudara kepada Sdr Hairy Hashim bin Hashim, Yang Dipertua PAS Kawasan Kangar.

Wednesday, August 20, 2008

Usrah Qiyadi PAS Perlis - Ogos 2008


BismilLah, wassolatu wassalamu ‘ala Saiyyidina RasulilLah, waba’du :



Salam ISLAH,



Setiap Selasa minggu ketiga jam 9.30 malam, seluruh saf kepimpinan PAS Perlis semua peringkat akan berhimpun di Dewan Dato’ Fadhil Noor, Balai Islam Markaz Tarbiyyah Pas negeri untuk sama-sama berusrah dengan al Fadhil Ustaz Haji Hashim Jasin. Beruntungnya kami di Perlis ini kerana punya pimpinan seperti beliau. ‘Alim, wara’, luas pengalaman, ditarbiyyah oleh Ikhwan Muslimun Iraq serta sangat matang dalam membuat pertimbangan kerana usianya yang menjangkau 60 tahun lebih.



Teks perbincangan usrah qiyadi sebulan sekali tersebut adalah buku ‘Aafaat ‘ala ath thariiq’ karangan Dr Syed Muhammad Nuh yang diterjemahkan oleh Dewan Ulamak PAS Kedah dengan tajuk ‘Wabak Sepanjang Jalan’. Malam semalam, perbincangan kami telah masuk ke wabak yang ke 3 yang akan menyerang pejuang-pejuang Islam yang lalai iaitu ‘al Isti’jaal’ iaitu gopoh / terburu-buru.



APA ITU ISTI”JAL?



Apa yang saya fahami dari isti’jal yang diterangkan oleh Ustaz Hashim dalam usrah semalam adalah perasaan ingin cepat mencapai natijah dari sesuatu usaha dan ingin disegerakan dan dicepatkan tercapai maksud dan tujuannya tanpa pertimbangan yang sepatutnya.



ISTI’JAL DALAM KEHIDUPAN DA’IE



Iaitu keinginan untuk merubah reality penghidupan masakini dalam sekelip mata tanpa menilai kesan di samping sikap terburu-buru dan gopoh tersebut. Sikap ini juga menjadikan golongan musta’jilun tidak menyediakan sebarang persiapan awal atau cara pendekatan yang bersesuaian. Mereka berharap apabila mereka tidur di waktu malam, mereka akan bangun di pagi hari dalam keadaan manusia akan berubah sepenuhnya. Jahuliyah akan runtuh dan panji-panji Islam akan berkibar sepenuhnya.



Sedangkan telah menjadi tabiat medan juang dan dakwah Islam itu dipenuhi dengan kepayahan dan kesusahan serta rintangan yang tidak pernah kunjung henti. Yang lebih mustahak difahami ialah, perjalanan yang jauh, kepayahan, keletihan, kesusahan, luka dan derita di sepanjang jalan perjuangan ini telah dijanjikan pahala yang besar di akhirat, ketinggian darjat serta keampunan dari Allah SWT. Maka dengan sebab itulah bagi sesetengah pejuang ynag tinggi keikhlasannya, mereka lebih suka berjuang dalam kepayahan berbanding diuji dengan nikmat kemenangan. Firman Allah SWT ;



“Kalau apa yang Engkau serukan kepada mereka (Wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang mudah didapati, dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutMu; tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka. Dan mereka akan bersumpah dengan nama Allah dengan berkata: "Kalau Kami sanggup, tentulah Kami akan pergi bersama kamu". (dengan sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka itu orang-orang yang berdusta (tentang tidak sanggupnya mengikutMu)” Surah at Taubah : 42



MANUSIA ITU DICIPTAKAN TABIATNYA GOPOH



Firman Allah SWT :



“Jenis manusia dijadikan bertabiat terburu-buru dalam segala hanlya; Aku (Allah) akan perlihatkan kepada kamu tanda-tanda kekuasaanKu; maka janganlah kamu meminta disegerakan (kedatangannya).” Surah Al Anbiyak : 37



Kata Ustaz Hashim Jasin, syara’ telah menyekat tabiat terburu-buru dan gopoh manusia itu serta mengatur agar tabiat tersebut digunakan serta disalurkan kepada kebaikan dan dipergunakan kea rah kebaikan.



Jika Allah SWT menyegerakan segala permintaan manusia dan menunaikan segala kehendak manusia dengan segera maka ianya akan mendatangkan kesan yang buruk. Contohnya, jika seseorang berdoa disegerakan turunnya bala dan kejahatan, lalau disegerakan oleh Allah SWT permintaan tersebut, sudah tentulah ia akan membawa kesan buruk pada manusia , kerana manusia sebenarnya tidak mengetahui sebab dan kesan terjadinya sesuatu perkara atas dirinya yang telah ditaqdirkan oleh Allah SWT.



Firman Allah SWT :



“Dan manusia berdoa Dengan (memohon supaya ia ditimpa) kejahatan sebagaimana ia berdoa Dengan memohon kebaikan, dan sememangnya manusia itu (bertabiat) terburu-buru.” Surah al Israa’ : 11



Firman Allah SWT lagi :



“Dan kalau Allah menyegerakan bagi manusia azab sengsara yang mereka minta disegerakan, sebagaimana mereka minta disegerakan nikmat kesenangan, nescaya binasalah mereka dan selesailah ajal mereka. oleh itu, (Kami tidak menyegerakan azab yang dimintanya), Kami biarkan orang-orang yang tidak menaruh ingatan menemui Kami itu meraba-raba dalam kesesatannya.” Surah Yunus : 11



bersambung.....

Tuesday, August 19, 2008

FAKTOR-FAKTOR YANG MEMBAWA KE ARAH PENYELEWENGAN

Oleh As-Syeikh Al Ustaz Mustafa Masyhur

Kekosongan jiwa agama, di mana para pemuda dibiarkan hanyut pada tahun-tahun yang lampau, kedangkalan pelajaran agama, tidak ada tarbiah agama, berkembang merebaknya banjir kerosakan akhlak dan ibahiyah (mengharuskan segala perkara), berleluasanya keraguan dan syak wasangka di dalam akidah, di samping itu hilang ghaibnya Qanun dan undang-undang di dalam strategi jamaah yang bertanggungjawab mengatur dan mengorganisasi para pendokong dakwah kepada Allah.

Tambahan pula dakwah dan para pendokongnya dipenjara, ditindas dan diganggu. Semuanya itu membangkitkan tindakbalas, cabaran-cabaran lantas menyalakan semangat orang-orang yang mempunyai ghairah ke atas Islam terutamanya di kalangan pemuda Islam dan ini adalah merupakan perkara tabii yang tidak dapat disangkal. Arus kesedaran seperti ini mesti diikat dan ditahan dengan ikatan yang bertujuan memeliharanya dari tergelincir dan terpesong supaya kelak tidak terdedah kepada berbagai tindakan dan pengalaman yang sia-sia dan menghasilkan akibat yang tidak disenangi.

Kita Tidak Menuduh Niat Mereka

Dalam kita menyatakan tentang penyelewengan-penyelewengan yang jauh dari jalan dakwah yang sebenar, kita hanya bertujuan memberi nasihat dan tunjuk ajar dengan semata-mata mengharap keredhaan Allah. Tidak pernah terlintas di fikiran kita untuk menuduh dan meragui niat mereka, ataupun mengganggu seseorang ataupun hendak membuat jahat kepada seorang muslim.

Terdapat beberapa penyelewengan yang biasa berlaku yang menyebabkan keciciran dan penyimpangan dari jalan yang benar.

Ilmu dan Penyelewengan

Tempat tergelincir yang paling merbahaya ialah fitnah ilmu. Kadangkala orang yang melalui jalan dakwah yang mencari ilmu dasar ma'rifah akan mendapat sedikit sebanyak ilmu kemudiannya ia akan merasakan satu perubahan yang besar dalam drinya, setelah merasai hidup dalam kekosongan dan kesesatan. Dia kagum dan silau matanya dengan sinaran ilmu dan makrifah yang diperolehinya dari hasil kajiannya dan dalam kitab-kitab dan buku dakwah Islam.

Dia yakin pula bahawa ilmu yang diperolehinya itu telah banyak lantas menyangka dia telah mempunyai kemampuan untuk beristinbat dan mengeluarkan hukum dari ilmu yang telah diketahuinya dari nas-nas, dalil-dalil Al-Quran dan Sunnah Rasullah s.a.w. (tidak perlu lagi buku-buku Ulamak yang muktabar) Kadangkala pula dia berpegang teguh pada sebab lahiriah satu-satu dalil dan tidak mahu menerima hujah orang lain. Ketika lain pula dia mudah terpedaya lantas menganggap dirinya telah sampai kepada darjah mujtahid lantas dengan beraninya mengeluarkan fatwa-fatwa hukum syara' di dalam beberapa perkara yang dikemukakan kepadanya. Benarlah ada orang yang berkata:

"Orang yang paling berani mengeluarkan fatwa ialah orang yang paling kurang ilmunya".

Lebih merbahaya dari itu dia berani pula merendah-rendahkan darjah imam-imam mujtahidin yang silam jika didapati pandangannya bertentangan dengan pandangan mereka mereka atau sekurang-kurangnya dia berkata: "Mereka itu lelaki dan kita pun lelaki juga".

Satu lagi tempat tergelincir ilmu iaitu apabila orang yang berjalan di atas jalan dakwah telah dikuasai oleh kelazatan dan keenakan ma'rifah nabi, dimabukkan oleh pembacaan dan mutala'ah semata-mata, sehinggalah jihadnya tertumpu di dalam bidang itu sahaja tanpa melibatkan dirinya lagi di dalam jihad dan amal yang lain yang dituntut oleh agama. Akhirnya hatinya menjadi terlalu seronok dan kyusuk dalam membaca berbagai kitab dan berlumba-lumba membaca berbagai majalah yang dipenuhi makalah ilmiah semata-mata. Ini membuatkan dia leka dari memberi perhatian ke arah menyuburkan iman, memperkuat jihad dan latihan dakwah Islam. Ini adalah membaliksongsangkan segala pertimbangan dan menyalah-gunakan segala pertimbangan dan menyalah-gunakan pengertian yang menyokong usaha tolong menolong yang membawa hasil.

Cara untuk memelihara diri dari yang demikian ialah dengan cara menuntut ilmu yang berguna tanpa mudah terpedaya dan tidak melampaui batas, dan selalulah merasa yakin bahawa apa yang telah kita ketahui adalah lebih baik dari apa yang belum kita ketahui. Barangsiapa yang mengaku bahawa dia telah mengetahui maka dia telah menjadi jahil. Kemudian kita cantum ilmu dengan amal. Janganlah kita terlalu berani mengeluarkan fatwa. Kita mestilah sentiasa berlapang dada tanpa menutup diri dan membekukannya dengan kefahaman yang terbatas. Kita mestilah meletakkan manusia dan menilai mereka menurut darjah dan kedudukan mereka. Semoga Allah memberi rahmat kepada seseorang yang mengenali kadar dirinya.

Di Antara Furu'iah (Cabang) dan Usul

Satu lagi penyelewengan yang berlaku ke atas orang yang berjalan di atas jalan dakwah ialah lebih mementingkan bentuk lahir daripada isi dan batin, atau sibuk mengurus lahir sebelum mengurus isi dan batin. Ini adalah salah dan bahaya pada waktu ini. Pada hal sepatutnya sebelum kita menyuruh orang yang kita seru dengan perkara-perkara furu'iah kita mestilah terlebih dahulu bersama mereka mengukuhkan dan menegakkan perkara-perkara usul atau dasar akidah Islam dalam diri kita. Ini nantinya akan mendorong kita untuk menyerah diri mengikuti perintah Allah lantas bangun melaksanakan segala ajaran Islam. Mulai dari kuliah hinggalah kepada juz'iah. Kita akan dengan rela hati menerima baik segala ajaran Islam dari yang sebesar-besarnya hingga kepada yang sekecil-kecilnya sebagai ibadat kita kepada Allah.

Tetapi kalau kita jadikan perkara furu'iah (cabang-cabang) sebagai asas yang kita mesti iltizam dengannya sebagai asasi sedangkan kita baru mulai berjalan di atas jalan dakwah, maka da'i yang sedemikian rupa menjadikan mereka yang kita seru menjauhkan diri dari dakwah kita dan secara langsung kita menghalang mereka dari berjalan di atas jalan dakwah bersama kita. Akhirnya secara tidak disedari kita dapati diri kita terasing disebabkan oleh uslub dan cara yang salah. Kita mestilah mampu membezakan di antara mengiltizamkan diri dan mengiltizamkan orang lain dari diri kita. Kita telah pun maklum pada diri kita bahawa akidah Islam itu bermula dengan menegakkan akidah; iman dan tauhid di dalam jiwa dan iman itulah yang mendorong para da'i untuk menyerahkan diri pada Allah mengikut perintah Allah tanpa ragu dan bimbang. Oleh kerana kita tidak boleh menyeleweng dari manhaj dan cara yang bijaksana ini.

"Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan nikmat dan nasihat yang baik". (AnNahl:125)

Antara Berkeras-keras dan Bersusah-payah

Kadang-kadang orang yang berjalan di atas jalan dakwah terlepas dari penyelewengan yang lain yang tidak kurang bahayanya. Dia terlalu berkeras sangat, bersusah-susah sangat lalu membebankan dirinya dengan melakukan tugas-tugas ketaatan dan ibadat yang di luar kemampuannya dengan keyakinan bahawa perlakuan yang demukian untuk melatih diri dalam rangka memudahkannya untuk mengikut manhaj Ilahi. Akhimya ia tidak mampu meneruskan perjalannya lalu tercicir di tengah jalan hingga sanggup mencuai-cuaikan perkara-perkara yang fardhu dan asasi hinggalah kepada perkara-perkara sunat dan nawafil. Rasulullah telah mengarahkan kita supaya mengelakkan diri dari cara yang demikian. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak jemu sehingga kamu jemu".

Di sini kita wajib membezakan di antara tindakan yang tegas penuh kesungguhan dengan berpayah-payah serta membebankan diri di luar kemampuan. Sesungguhnya nafsu itu adalah ibarat anak kecil, apabila dia dicuaikan akan terus mencintai penyusuan tetapi apabila dipisahkan daripadanya ia akan berhenti menyusu kepada ibunya. Jadi tidak boleh tidak mestilah nafsu itu ditundukkan dan dikendalikan di dalam batas-batas kemampuan kerana Allah Taala telah berfirman sebagai ajaran untuk kita:

"Ya Tuhan kami janganlah Engkau membebankan kami sesuatu bebanan yang tidak sanggup kami memikulnya". (Al-Baqarah: 286)

Jalan dakwah itu adalah panjang dan sukar jadi para pendokong dakwah yang ingin maju meneruskan dakwah janganlah membebankan dirinya dengan bebanan yang dia sendiri tidak mampu memikulnya. Kerana amal yang sedikit tetapi berterusan itu lebih baik dari amal yang banyak tetapi terputus dan terhenti di tengah jalan. Kita juga tidaklah sepatutnya bersikap melampau dan cuai, kerana bebanan kita banyak, sementara itu pula dakwah memerlukan para pendokongnya yang mempunyai cita-cita yang tinggi, kemahuan yang kuat, keazaman yang tegas, tangkas dan unggul.

Di Antara Sikap Terburu-buru dan Longgar

Adakalanya orang yang berjalan di atas jalan ini terlalu optimis. Apabila ia tidak melihat sebarang tanda-tanda kemenangan sedangkan pada hematnya ia telah mengalami berbagai-bagai kepayahan dan ujian disepanjang jalannya, dan ia telah memberi pengorbanan yang semaksimanya. Dia mungkin terdorong oleh semangatnya yang berapi-api dan penuh ghairah untuk menggunakan kekuatan senjata sebagai cara untuk mempercepatkan perjalanan. Lidahnya seolah-olah berkata:

"Walaupun aku yang datang kemudian, aku mestilah mampu membuat sesuatu yang tidak dapat dibuat oleh orang-orang dahulu".

Dengan demikian, dia dan orang-orang yang bersetuju dengannya membuat sesuatu di luar perencanaan yang rapi, yang di dorong oleh semangat yang berapi-api dan membabi-buta. Akhirnya bukan sahaja tidak sampai kepada matlamat yang dicita-citakan bahkan merosakkan dan membahayakan harakah Islam. Wajib difahami secara mendalam bahawa kekuatan yang pertama ialah kekuatan akidah dan keteguhan iman dan diiringi pula dengan kekuatan persatuan dan perpaduan. Akhir sekali barulah kekuatan tangan dan senjata. Itu pun jika sudah tidak mempunyai jalan dan pilihan lain.

Di Antara Politik dan Tarbiah

Di sana ada lagi satu penyelewengan yang boleh menjauhkan kita dari jalan yang sihat iaitu kita memandang ringan terhadap proses tarbiah, pembentukan dan perlunya beriltizam dengan ajaran Islam dalam membentuk dasar dan asas yang teguh. Lantas kita seolah-olah melatah lalu menggunakan cara dan uslub politik menurut sikap dan telatah parti-parti politik. Kita akan mudah terpedaya dengan kuantiti anggota yang kita ambil yang dianggap menguntungkan tanpa mewujudkan iltizam tarbiah. Ini adalah satu jalan dan cara yang sangat merbahaya yang tidak dipercayai akibatnya. Ini mungkin menyediakan anasir yang kukuh yang mampu memikul hasil kemenangan, kekukuhan dan kekuasaan untuk Islam.

Sebenarnya kita tidak kekurangan kuantiti, tetapi kita kekurangan kualiti. Kita kekurangan bentuk dan contoh Islan yang kuat imannya yang membulatkan dirinya untuk dakwah, rela berkorban pada jalan dakwah dan jihad fi-sabilillah dan yang sentiasa istiqamah hinggalah bertemu Tuhannya. Oleh kerana itu marilah kita beriltizam dengan tarbiah dan janganlah kita redha menukarkannya dengan cara yang lain.

Di Antara Dakwah dan Manusia

Kita adalah manusia yang kadangkala benar dan kadangkala salah dan kadangkala kita berbeza pendapat. Ini merupakan perkara biasa bagi sesiapa yang bekerja dan berusaha di dalam sesuatu bidang. Tetapi, di bawah naungan cinta, kasih sayang dan persaudaraan kerana Allah, dan dorongan ikhlas dan tajarrud (membulatkan diri kerana Allah), segala kesalahan boleh diperbetulkan, perbezaan pendapat boleh diperbaiki, penerangan boleh dibentangkan, dipertimbangkan dan dirumuskan serta diselaraskan. Hal ini melahirkan tolong-menolong dan bahu-membahu di antara kita semua.

Perbezaan pendapat di dalam sesuatu perkara tidak merbahaya selagi ditauti oleh rasa cinta dan kasih sayang. Tetapi jika ditonjolkan oleh orang-orang yang tertentu yang mempunyai kepentingan lalu dikobarkan di dalam suasana marah kerana membela diri ditambah lagi rasa bangga di dalam melakukan dosa dan mengampu orang-orang yang tertentu yang boleh merugikan dakwah. Maka di sinilah syaitan masuk campur dan akan melahirkan perpecahan. Akhirnya segala usaha menjadi hancur berantakan, waktu dihabiskan dalam perbalahan kemudian berusaha pula membuat perdamaian. Jika perkara seperti ini terus terjadi dan berulang maka dakwah dan kepentingannya akan terkorban di dalam suasana yang sedemikian. Pada hal sewajarnyalah segala usaha yang membina perlu ditumpukan kepada generasi yang sedang tumbuh dan mekar dalam mendidik dan mempersiapkan mereka dengan sebaikbaiknya.

Penutup

Inilah sebahagian dari penyelewengan dan ketergelinciran di sepanjang jalan dakwah. Marilah kita sedari dan pelihara diri kita daripadanya. Kita sentiasalah tanpa henti meminta pertolongan kepada Allah Taala supaya dia membawa kita, memimpin kita melalui jalan yang benar dan menunjuki kita jalan lurus kerana sesungguhnya Dia Maha Kuasa membuat apa yang dikehendakinya.

Monday, August 18, 2008

Bulan Tarbawi Semakin Hampir


BismilLah, walhamdulilLah, wassolatu wassalamu ‘ala Saiyyidina RasulilLah, wa ba;du;



Salam ISLAH,



Madrasah Ramadhan semakin hampir. Kurang lebih dua minggu lagi akan menjelmalah bulan rahmah, bulan maghfirah dan bulan kelepasan dari neraka ini. Bulan yang sangat dirindui oleh kekasih-kekasih Allah serta pencinta amal soleh. Para sahabah menantikan kedatangan Ramadhan setiap tahun dengan penuh kerinduan dan persediaan yang sangat rapi. Demikianlah juga seharusnya yang ada di dalam diri setiap pejuang agama dan mujahid sepanjang zaman.


Ramadhan adalah satu program tarbiyyah dari Allah khusus untuk hamba-hambanya. Mereka yang berjaya melalui Ramadhan itu dengan penuh penghayatan dan pengharapan terhadap keredhaan dan keampunan Allah, mereka adalah ‘mahasiswa’ kelulusan Ramadhan yang mendapat segulung ijazah ‘taqwa’.



Jelas kepada kita bahawasanya tujuan tarbiyyah puasa Ramadhan itu disyariatkan adalah kerana untuk melahirkan ‘muttaqin’. Insan muttaqin inilah yang akan membawa kebaikan ke seluruh alam dan apabila manusia muttaqin ini memenuhi alam maka terhasillah makna keamanan dan kesejahteraan yang sebenar. Ini adalah kerana tiada keamanan dan kesejahteraan melainkan dengan Islam dan seluruh manusia tunduk patuh menyembah Allah yang Esa.



Apabila tiba Ramadhan Al Mubarak Rasulullah SAW berkhutbah dan menyampaikan taushiyah Baginda kepada sekalian manusia mukmin :

“Wahai manusia! Sungguh telah datang pada kalian bulan Allah dengan membawa berkah, rahmat dan maghfirah. Bulan yang paling mulia disisi Allah. Hari-harinya adalah hari-hari paling utama. Malam-malamnya adalah malam-malam yang paling utama. Jam demi jamnya adalah jam-jam paling utama. Inilah bulan ketika kamu diundang menjadi tamu Allah dan dimuliakan-Nya. Di bulan ini nafas-nafasmu menjadi tasbih, tidurmu adalah ibadah, amal-amalmu diterima, dan doa-doamu diijabah.

Bermohonlah kepada Allah Rabbmu dengan niat yang tulus dan hati yang suci agar Allah membimbingmu untuk melakukan syiyam dan membaca kitab-Nya. Celakalah orang yang tidak mendapat ampunan Allah di bulan yang agung ini. Kenanglah dengan rasa lapar dan hausmu, kelaparan dan kehausan di hari kiamat. Bersedekahlah kepada kaum fukara dan masakin. Muliakanlah orang-orang tuamu, sayangilah yang muda, sambunglah tali persudaraanmu, jaga lidahmu, tahan pandanganmu dari apa yang tidak halal kamu memandangnya, dan pendengaranmu dari apa yang tidak halal kamu mendengarkannya.”

Dari pesanan Rasulullah SAW di atas maka jelaslah kepada kita bahawa sememangnya Ramadhan itu sangat mulia di sisi Allah dan ia merupakan program khas dari Allah untuk mengangkat martabat keimanan hamba-hambaNya.

Sesungguhnya nilai tarbiyyah Ramadhan buat para pejuang Islam amatlah besar dan agung. Ayuh kita ambil kesempatan ini untuk melengkapkan pembinaan dan pembentukan al fardul muslim yang kita cita-citakan agar tertegaknya daulah di tangan kita dan Allah muliakan Islam dengan kerja buat kita.

Saturday, August 16, 2008

Mencegah Lebih Baik Dari Mengubat

Salam ISLAH,

Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah mengeluarkan kenyataan bahawa PAS telah membantah sekeras-kerasnya penganjuran forum anjuran Majlis Peguam yang bertajuk ‘memeluk Islam’. Saya kemukakan di bawah ini kenyataan rasmi Presiden PAS tersebut ;


Parti Islam Se Malaysia (PAS) membantah sekeras-kerasnya hasrat Majlis Peguam Malaysia untuk mengadakan forum bertajuk "Memeluk Islam" yang dijadual diadakan di ibu negara pada 9 Ogos ini.

PAS mengakui bahawa hak kebebasan bersuara memberikan jaminan kepada semua pihak untuk berdailog dan berbincang berhubung isu-isu kepentingan umum, namun demikian isu-isu berkaitan dengan hak dan kepentingan Islam adalah seasuatu yang mutlak yang dijamin oleh Perlembagaan Negara dan dipelihara oleh perlembagaan negeri-negeri.

Oleh itu PAS merasakan kiranya forum ini diteruskan ia nanti mampu mencetuskan syak wasangka dan ketegangan hubungan antara penganut Islam dan penganut pelbagai agama dalam negara. Dan ini sudah pasti akan menjejaskan keharmonian negara dan akan merugikan semua pihak.

Bagi PAS Islam adalah agama yang membawa dan menjanjikan kebaikan buat semua, oleh yang demikian sebarang perbincangan berkenaan dengannya perlulah melibatkan pihak yang memiliki ilmu dan kuasa (authority) kerana Islam berdiri berteraskan sumber-sumbernya sendiri.

Kerana itu PAS berpandangan inisiatif Majlis Peguam Malaysia ini yang bersumberkan fahaman sekular akan hanya menyelewengkan pemahaman sebenar terhadap Islam lantas mencetuskan konflik dan akhirnya ketegangan yang tidak memberikan manfaat kepada mana-mana pihak.

Demi menjamin kestabilan dan hubungan antara agama dan kaum PAS menyeru pihak penganjur agar membatalkan sahaja forum berkenaan.

Dari kenyataan tersebut saya dapat simpulkan beberapa perkara :


1/ Penganjuran program tersebut boleh menimbulkan syak wasangka di kalangan masyarakat dan boleh menimbulkan suasana tidak baik serta menjejaskan keharmonian hidup rakyat dalam negara ini.


2/ PAS menghormati kebebasan bersuara, berdialog dan berbincang serta kebebasan bertukar-tukar pendapat namun dalam masa yang sama PAS menuntut supaya hak keistimewaan Islam yang dijamin perlembagaan dihormati semua pihak.


3/ PAS mahu memastikan bahawa perbincangan tersebut mestilah berdasarkan pemhaman terhadap Islam yang bersih dan sebenar. PAS yakin apa yang cuba dianjurkan oleh Majlis Peguam adalah berdasarkan kefahaman sekular yang hanya akan menyelewengkan perbincangan tersebut kea rah negative dan akhirnya menimbulkan ketegangan.


4/ Demi menutup pintu-pintu fitnah terhadap Islam ditambah pula kefahaman Islam yang sebenar telah banyak diselewengkan, maka PAS membantah sekeras-kerasnya forum tersebut dan menuntut supaya ia dibatalkan.


Di sinilah letaknya hikmah kepimpinan ulamak. Melihat sesuatu isu dengan garis panduan yang telah ditetapkan oleh Islam. Mencegah lebih baik dari berubat. Walaupun ada pihak dalam PAS sendiri yang tidak bersetuju dengan bantahan tersebut, saya yakin ianya tidak didasarkan atas pertimbangan yang tepat.


Sememangnya benar kita akan terlepas peluang berbincang dengan agama-agama lain dalam persoalan ini, namun adalah jauh lebih baik daripada tergelincir ketika berbincang. Hakikatnya, tiada perbincangan dalam persoalan keluar atau masuk Islam. Islam akan berdialog dalam perkara menentukan yang mana benar antara Islam dan agama yang lain. Dalam mempertahankan kebenaran Islam, bukan sahaja dialog, bahkan nyawalah galang ganti dalam mempertahankan Islam.

Muktamar PAS Pusat Ke 54- Terompah Kayu


Salam ISLAH,

Di dalam ucapan dasar Presiden semalam, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah mengingatkan semua pimpinan dan ahli Pas supaya jangan sekali-kali menjadikan Majlis Syura Ulama’ seperti ‘terompah kayu’.



Terompah kayu selalunya digunakan waktu hendak ke tandas dan yang paling mulia pun pekerjaannya ialah dipakai orang ketika hendak berwudhuk di surau dan masjid. Terompah kayu juga amat sinonim dengan apek-apek dan tokey-tokey cina di Malaysia ini.



Saya kira, kata sindiran Tuan Guru Presiden tersebut amatlah tajam dan perlu mendapat perhatian dari semua pihak dalam PAS. Kemungkinan besar sindiran ini dikeluarkan adalah untuk mempertahankan majlis syura ulamak dalam PAS serta mengingatkan pihak-pihak dalam dan luar PAS agar sama sekali tidak cuba menggugat keutuhan dan cengkaman institusi syura dalam PAS. Jelas sekali di dalam perlembagaan PAS, bahawa Majlis Syura Ulamak yang ditubuhkan adalah untuk memelihara dan menjaga dasar perjuangan PAS agar tidak terkeluar dari manhaj Al Quran dan As sunnah, Ijmak dan Qiyas.



Jika kita menghayati perlembagaan PAS, kita akan dapati juga bahawa Majlis Syura Ulamak berhak mengeluarkan perintah dan arahan agar semua keputusan yang dibuat oleh jamaah mesti dan wajib ditaati dan dipatuhi.



Bertitik tolak dari inilah, keutuhan dan permuafakatan dalam jamaah dapat dipelihara sepanjang masa. Kepelbagaian fikrah dan pendapat dapat disatukan dengan ketaatan kepada syura. Tidak perlu saya kemukakan nas-nas syara’ yang mewajibkan semua urusan umat diputuskan melalui syura yang diangkat oleh ummah sendiri. Barulah tidak terjadi seperti yang berlaku ketika kenyataan Tuan Guru Presiden dikeluarkan di Pulau Pinang bahawa PAS tidak akan menyertai kerajaan yang tidak didominasi oleh Islam, ada pula kenyataan yang menyebut bahawa, ‘kita baru sahaja bernikah, toksah cakap mengenai cerai lah’. Amat malang lagi, kenyataan ini dating dari pimpinan. Malas saya nak ulas lagi, nanti dikata orang bahawa saya perasan bahawa tarbiyyah yang saya perolehi lebih baik dari tarbiyyah orang lain.

Muktamar PAS ke 54-Bukan Rahsia

Salam ISLAH,


Saya sangat pasti bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh Tuan Guru Presiden di dalam Konvensyen PAS Pulau Pinang baru-baru ini adalah bukan di dalam program ‘dalaman jamaah’.



Saya juga sangat pasti bahawa Konvensyen tersebut ‘dipenuhi’ wartawan dan wakil media yang saya difahamkan telah dijemput oleh Dr Mujahid Yusuf Rawa. Maka dengan sendirinya program yang dihadiri oleh media tidak boleh diperkirakan sebagai program dalaman yang perlu dirahsiakan isinya.



Umum mengetahui bahawasanya di dalam program tersebutlah Tuan Guru Presiden telah memberikan penegasan bahawa jika sekiranya kerajaan yang terbentuk pada 16 September nanti (jika berlaku) tidak didominasi oleh Islam maka PAS tidak akan menyertai kerajaan tersebut.



Jadi, menulis atau memperkatakannya di hadapan khalayak atau menulis di dalam blog bukanlah satu kesalahan kerana melanggar disiplin dan adab berjamaah disebabkan mendedahkan kerahsiaan parti dan jamaah.



Saya bercakap dengan orang yang memberitahu Tuan Guru Presiden bahawa ucapan beliau di dalam konvensyen tersebut telah disiarkan di dalam akhbar Sinar Harian, lalu dijawab oleh Tuan Guru Presiden , “baguslah kalau begitu”. Ini lebih terang dan jelas bahawa Tuan Guru Presiden juga sependapat dengan saya bahawa program tersebut bukannya program dalaman jamaah yang perlu dirahsiakan.



Persoalannya, salahkan mendedahkan penegasan tersebut kepada umum?. Apa yang hendak ditakutkan?. Di sinilah letaknya kehebatan PAS dalam bersiyasah. PAS mesti memastikan bahawa harga dirinya adalah mahal dan tidak ternilai sebenarnya. Membuka laluan kepada PKR untuk menonjolkan dirinya sebagai pimpinan Pakatan Rakyat pun sudah kira cukup bagus dan melambangkan keterbukaan PAS. Kenyataan tersebut juga melambangkan bahawa PAS tetap teguh berdiri mempertahankan prinsip perjuangannya untuk mengakkan syariat Allah dan hukumnya serta hak-hak Allah di atas muka bumi ini melalui sisayahnya. Jangan dicabar lagi penegasan ini.



Persoalan yang kedua, individu yang tidak mahu berdiri di belakang Presiden dalam mempertahankan kenyataan ini, apakah sebenarnya yang mereka ingin pertahankan?. Kenapa sanggup meretakkan kesatuan tindakan dengan pimpinan Presiden PAS dalam hal ini.



Saya puji dan mengucapkan tahniah kepada Yb Ustaz Nik Mohd Amar ( Exco Kerajaan Kelantan) atas penegasannya bahawa individu yang paling layak menjadi PM jika terbentuk kerajaan Pakatan Rakyat adalah Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang. Bukankah Anuar menghormati pendirian ini? Kenapa anda tidak?.

Friday, August 15, 2008

Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat - 14/8/2008

Bersama Tuan Hj Anuar Tahir, AJK PAS Pusat dan wakil PAS Pusat ke Muktamar Ulamak. Orang Perlis jati. Bertanding di N06 Bintong, Kangar Perlis dalam PRU 12 yang lalu.
Di sebalah kanan saya Tuan Guru Hj Abdul Rahim Sg Jagung yang sangat terkenal dengan keilmuan dan kefasihan bertutur dengan bahasa arab dan ketegasan menyampaikan pandangan. Sebelah kiri saya, Ustaz Yusuf Mahmud, Setiausaha Dewan Ulamak PAS Kedah.
Sebelah kanan saya al Fadhil Ustaz Azhar Yahya, bekas pimpinan PMRAM,Mesir dan senior saya di Azhar. Sementara di kiri saya, Ustaz Ahmad 'Arif, kekanda saya dan yang banyak memberikan tunjuk ajar pada saya di dalam perjuangan ini. Mereka mewakili DU Wilayah.
Bersama sahabat dan blogger terkenal, Ustaz Wan Ji Al Bakistani. Mewakili Selangor dan melancarkan jualan buku pertama tulisan beliau " Pakatan Rakyat dalam kacamata Siyasah Syar'iyyah".
Dr Hammam Said, Muraqib 'Am Ikhwan Al Muslimin Jordan sedang menyampaikan taushiyah di dalam Majlis Perasmian Muktamar Ulama'. Pesan beliau, ulamak adalah agen perubahan yang paling penting dalam masyarakat.
Bersama rombongan Dewan Ulamak PAS Perlis sebelum Muktamar Ulamak bermula pada pagi 14/8/2008 di Dewan Bandaran Ipoh Perak.
Bersama Dr aHj Mahfodz, Panglima Perang PAS Johor.
Bersama YB Ustaz Mohamad Mustafa (ADUN Demit,Kelantan) di Muzakarah Perdana Ulama' : "Panduan Pakatan Rakyat" di Pejabat Perhubungan PAS Perak. Menang dengan majoriti 5000. Tokoh Ulamak yang selalu menggantikan Tuan Guru Nik Abdul Aziz dalam kuliah pagi Jumaat di Dataran Ilmu ketika keuzuran TGNA. Saya sangat beruntung bertemu beliau dalam program tersebut. Banyak yang saya pelajari dari beliau.Yang paling penting, mengingati Allah SWT di setiap ehwal dan keadaan adalah syarat utama peribadi da'ie.
Bersama adinda Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Ustaz Nik Razi Nik Mat...walaupun sudah lama tidak bertemu namun Ustaz Nik Razi masih mengingati saya. Kami pernah tidur sebumbung di Taman Nirwana,Ampang ketika sama-sama mengumpul dana untuk pusat pendidikan masing-masing. Saya kumpul dana untuk Sekolah Rendah Islam At Taqwa, Beseri, Perlis. Ustaz Nik Razi pula mengumpul dana untuk Akademi Nikmatillah.



Muktamar PAS Pusat Ke 54 1


BismilLah, wassolatu wassalamu ‘ala Saiyyidina RasulilLah, wa ‘ala alihi wa ashaabihi waman nasarahum wa tabi’ahum ila yaumiddien, amma ba’du ;



Salam ISLAH,



Alhamdulillah, saya selamat tiba di Ipoh, Perak, tempat yang akan berlangsungnya Muktamar PAS Pusat ke 54 pada 13/8/2008 (Rabu) bersama 4 ‘anak-anak’ ISLAH, Tarmizi, Hanif, Ezuan dan Nazrul. Saya tidak bimbangkan sangat soal penunjuk jalan kerana Hanif & Nazrul, keduanya orang Perak. Namun saya berpesan supaya jangan sama sekali sesatkan saya di Ipoh ni. Petang semalam, berlangsungnya Muzakarah Perdana Panduan Pakatan Rakyat bertempat di Pejabat Perhubungan PAS Perak. Saya kira, muzakarah tersebut berjaya berjalan seperti yang dirancangkan. Bagi saya yang sangat kerdil ini, terlalu banyak input yang saya perolehi petang tadi. Rupanya susah juga bila memerintah negeri tambahan pula dalam keadaan tertekan dan ditekan terutamanya di Perak dan Pulau Pinang.



Selangor nampaknya agak selesa menjalankan agenda dakwah. Kedah pun turut menyatakan ketidakselesaan dengan cengkaman UMNO dan Istana yang masih kuat terhadap institusi agama khususnya. Kata Tuan Guru Hj Rahim Sungai Jagung (wakil Kedah), “ Kalau masa UMNO perintah Kedah dulu kami boleh juga curi-curi masuk masjid. Sekarang, nak mencelah pun tak boleh sehinggakan bila ADUN PAS berkhutbah di sebuah masjid di Kedah, orang UMNO ambil gambar dan adukan kepada Majlis Agama dan terus diadukan kepada Sultan, maka Sultan bermasam muka dengan MB kerana itu!. Berat jugak!



Yang lebih mustahak, ulamak mesti kerja kuat. Ulamak mesti kuasai cawangan, kawasan, perhubungan, negeri dan pusat. Bukan kerana gilakan kuasa, tetapi inilah praktikalnya kepaka kepimpinan ulamak. Ulamak tidak boleh dijadikan hanya tempat rujuk sahaja. Bahkan ulamaklah mesti meggerakkan perjuangan dan menggerakkan harakah kesedaran yang tinggi di kalangan ummah.



Ulamak mesti menangani masalah kefahaman terhadap Islam di kalangan masyarakat dan menangani masalah fikrah di kalangan anggota jamaah. Cengkaman ulamak di dalam dan diluar mesti diperteguhkan. Bukan bermakna tidak memberi peluang kepada orang lain, tetapi ulamak mesti menjadi peneraju.



Ulama’ Tunggak Perjuangan.

Thursday, August 14, 2008

Tarbawi : Soleh Tanpa Nama


“Berapa banyak terjadi, golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah. Dan Allah beserta orang-orang yang sabar” (Q. Al-Baqarah:249)

Al-Quran banyak bercerita tentang orang-orang soleh tanpa nama. Memang ada ksah israiliyat yang menghuraikan nama-nama dari orang-orang tanpa nama di dalam Al-Quran. Namun, tidak mudah mempercayai kisah israiliyat itu. Ini kerana mengimanai kebenaran peristiwanya lalu mengambil pelajarannya, jauh lebih penting berbanding mengetahui siapa nama orang-orang itu.

Dua orang soleh pengikut Musa

Setelah selamat daripada kejaran Firaun, Musa dan kaumnya disuruh memasuki Baitul Maqdis. Tapi para pengikutnya enggan., kecuali dua orang di antara mereka. “Berkatalah dua orang di antara orang-orang yang takut (kepada Allah) yang Allah telah memberi nikmat atas keduanya: ‘Serbulah mereka dengan melalui pintu gerbang (kota itu), maka bila kamu memasukinya nescaya kamu akan menang, dan hanya kepada Allah hendaknya kamu bertawakal, jika kamu benar-benar orang yang beriman”. (Q. Al-Maidah: 23)

Orang Soleh Pemilik Kebun

Al-Quran juga mengisahkan seorang pemilik kebun yang soleh. Beliau mempunyai seorang saudara yang kufur kepada Allah. Dengan kesolehan itu, beliau selamat sedangkan kebun saudaranya binasa. “Dan berikanlah kepada mereka sebuah perumpamaan dua orang lelaki, Kami jadikan bagi seorang di antara keduanya (yang kafir) dua buah kebun anggur dan Kami kelilingi kedua kebun itu dengan pohon-pohon kurma dan di antar kedua kebun itu Kami buatkan ladang. Kedua-dua kebun itu menghasilkan buahnya, dan kebun itu tiada kurang buahnya sedikitpun, dan Kami alirkan sungi di celah-celah kebun itu, dan dia mempunyai kekayaan yang besar, maka dia berkata kepada kawannya (yang mukmin) ketika dia bercakap-cakap dengan dia; “Hartaku lebih banyak daripada hartamu dan pengikut-pengikutku lebih kuat”.

Dan dia memasuki kebunnya sedang dia zalim terhadap dirinya sendiri; dia berkata “Aku kira kebun ini tidak akan binasa selama-lamanya, dan aku tidak mengira hari kiamat itu akan dating, dan jika sekiranya aku dikembalikan kepada Tuhanku, pasti aku akan mendapat tempat kembali yang lebih baik daripada kebun-kebun ini”. Kawannya yang mukmin berkata kepadanya sedang dia sedang bercakap-cakap dengannya: “Apakah kamu kafir kepada (Tuhan) yang menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitis air mani, lalu dia menjadikan kamu seorang lelaki yang sempurna? Tetapi aku (percaya bahawa): Dialah Allah, Tuhanku, dan aku tidak mempersekutukan seorang pun dengan Tuhanku”. (Q. Al-Kahfi:32 – 38)

Seorang Lelaki dari Hujung Kota

Ada seorang lelaki soleh yang turut membantu Musa. Beliau membawa informasi rahsia. Tidak diceritakan bagaimana orang itu tahu informasi penting daripada para penguasa ketika itu. Yang pasti, membangun hubungan dengan orang-orang yang mempunyai posisi strategik sangat diperlukan dalam dakwah, meski tidak sampai terikat secara loyaliti. “Dan datanglah seorang lelaki dari hujung kotakota ini ) sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang memberi masihat kepadamu”. (Q. Al-Qashash:20)

Orang Soleh di Tengah Kerajaan Firaun

Dalam lingkungan Firuan, ada orang soleh yang telah lama memendam imannya. Pada waktu yang telah dia tetapkan, dia muncul dan menyuarakan iamnnya serta menyedarkan Firaun dan para pengawalnya dengan bahasa keimanan yang penuh wibawa.

“Dan seorang lelaki yang beriman di antara pengikut-pengikut Firaun yang menyembunyikan imannya berkata, “Apakah kamu akan membunuh seorang lelaki kerana dia menyatakan “Tuhanku ialah Allah” padahal dia telah datang kepadamu dengan membawa keterangan-keterangan dari Tuhanmu. Dan jika dia seorang pendusta maka dialah yang menanggung (dosa) dustanya itu; dan jika dia seorang yang benar, nescaya sebahagian (bencana) yang diancamkannya kepadamu akan menimpamu”. Sesungguhnya Allah tidak menunjuki orang-orang yang melampaui batas lagi pendusta”. (Q. Ghafir:28)

“Dan orang yang beriman itu berkata: Hai kaumku, sesungguhnay aku khuatir kamu akan ditimpa (bencana) seperti peristiwa kehancuran golongan yang bersekutu. (Yakni)seperti keadaan kaum Tsamud, Nuh, ‘Aad dan orang-orang yang datang sesudah mereka. Dan Allah tidak menghendaki perbuatan kezaliman terhadap hamba-hamba-Nya. Hai kaumku, sesungguhnya aku khuatir terhadapmu akan seksaan hari panggil-memanggil, (iaitu) hari ketika kamu (lari) berpaling ke belakang, tidak ada bagimu seorang pun yang menyelamatkan kamu dari azab Allah, dan siapa yang disesatkan Allah, nescaya tidak ada baginya seorng pun yang akan memberi petunjuk”. (Q. Ghafir:30 – 33)

Pelajaran berharga

Ada pelajaran tersendiri daripada kisah orang soleh tanpa nama yang diabadikan Allah di dalam Al-Quran:

Pertama;[b/] peranan-peranan tertentu dalam perjuangan dakwah kadang lebih memerlukan fungsinya berbanding labelnya. Meskipun pada masa tertentu formaliti memiliki keperluannya sendiri. Tapi itu hanya teknik sahaja.

[b]Kedua;
ada peranan-peranan strategik dalam dakwah yang memerlukan kerahsiaan. Yang hanya boleh muncul pada masa-masa kritikal, sesuai tindakan dakwah yang ada.

Ketiga; menjadi soleh bukan monopoli orang-orang besar, yang ternama, yang terkenal, yang bergelar, yang punya banyak hubungan. Tidak. Tapi semua orang mempunyai kesempatan untuk menjadi soleh.

Keempat; segala bentuk kesolehan harus diikhlaskan untuk Allah SWT. Tidak untuk yang lain. Orang-orang soleh tanpa nama yang dikisahkan Al-Quran itu justeru mempunyai makrifah lebih dalam kepada Allah berbanding orang berada di sekitarnya. Perkara ini dapat dirasakan daripada kalimah-kalimah mereka.Semua begitu mendalam, penuh hikmah dan begitu tajam. Tidak lain semua itu adalah buah keikhlasan yang selama ini mereka tempa. Seluruh isi hati mereka dipenuhi oleh rasa cinta yang tulus kepada Allah SWT. Bagaimana dengan kita?

Sumber : Paksi.net (jazakumullahu khaira)