Saturday, August 2, 2008

Susu & Arak


BismilLah, walhamdulillah, wassolatu wassalamu ‘ala saiyyidina Rasulillah wa ba’du;

Salam ISLAH,

Saya masih punya keinginan yang tinggi untuk terus menulis tentang apa yang telah dibongkarkan oleh para ulama’ mengenai pengajaran-pengajaran yang boleh diambil dari peristiwa agung Isra’ Mi’raj. Sepanjang Rejab ini, Allah telah izinkan saya untuk bersama-sama saudara seaqidah saya memperingati peristiwa agung ini. Semakin saya menelaah dan bercakap mengenai peristiwa agung ini, terasa semakin kerdil diri di hadapan keluasan ilmu Allah SWT yang Maha Luas.

Di dalam perjalanan agung tersebut, Baginda telah dibawa ke Masjid al Aqsa ke Palestin. Baginda mengimamkan solat yang makmumnya adalah para anbiya’ ‘alaihimussolatu wassalam. Kemudiannya Baginda telah dihulurkan 2 gelas yang satunya berisi arak dan satu lagi berisi susu oleh Jibril ‘alaihissalam. Lalu Baginda SAW memilih susu, maka Jibril berkata kepada Baginda SAW “ Hudiita ila fithrah” yang bermaksud, “ Bahawa kamu wahai Rasulullah, telah ditunjuk kepada fithrah.

Saya telah disampaikan oleh salah seorang murabthun Darul Islah yang mengikuti kuliah asar al Fadhil Ustaz Hj Ahmad Ali ( Timbalan Pesuruhjaya PAS Perlis) bahawa beliau telah mengupas episod ini dengan begitu menyentuh perasaan sekali. Katanya, bahawa perbezaan antara susu dan arak itu adalah sangat jelas dan memberi panduan yang sangat berguna bagi ummah. Kalau kita perhatikan, susu adalah minuman yang diciptakan oleh Allah SWT tanpa campur tangan manusia walau 1 %. Sedangkan arak dibuat oleh manusia sepenuhnya menggunakan bahan yang diciptakan oleh Allah SWT.

Ini bermakna seorang muslim harus memilih jalan yang ditunjukkan oleh Allah SWT yang sudah barang pasti jalan Allah SWT itu adalah merupakan jalan yang seluruh petunjuknya adalah dari wahyu Allah SWT tanpa ada sedikitpun campur tangan makhluk hatta Jibril yang bertugas menyampaikan wahyu tersebut. Memilih jalan Allah bererti membawa kita kepada keselamatan dan kebahagiaan.

Jika jalan yang diciptakan oleh manusia menjadi pilihan kita, maka kita terdedah dengan bahayanya suatu jalan yang tidak akan terlepas dari pengaruh nafsu dan kecetekan akal manusia. Justeru kesesatan dan kebinasaanlah yang akan kita temui.

Sebenarnya manusia tiada pilihan selain jalan yang telah ditunjukkan oleh Allah kerana di atas jalan itulah fitrah mereka yang sebenarnya. Sesungguhnya Allah amat mengetahui jalan yang terbaik buat manusia seluruhnya.

Terdapat sebuah hadis yang menceritakan sikap perangai umat dahulu yang telah dibinasakan Allah SWT. Bila kita perhatikan kepada hadis tersebut, kita dapati bahawa sikap-sikap tersebut adalah sikap orang yang telah lari dari fitrah yabg telah ditetapkan oleh Allah SWT. Sabda Rasul SAW :

Daripada Abi Hurairah rdh dia berkata, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda , “ Sesungguhnya penyakit-penyakit umat dahulu akan mengenai umatku, lalu ditanya oleh para sahabat , “Apakah penyakit umat-umat dahulu itu ya Rasulullah?”. Maka dijawab oleh Baginda SAW, “ Terlalu banyak seronok, terlalu mewah, menghimpun harta sebanyak mungkin, tipu menipu dalam merebut harta benda dunia, saling memarahi, hasud menghasud sehingga jadi zalim menzalim” riwayat al Hakim

Jelas sahabat sekalian, bahawa yang disebutkan oleh Rasulullah SAW di atas adalah sifat yang telah lari dari fitrah kejadian dan bukan sifat seorang hamba yang sebenar.

Banyak seronok bukan sifat Mukmin, di dalam Al Quran Allah memerintahkan kita supaya banyak menangis dan mengurangkan ketawa. Orang yang banyak ketawa akan keras hatinya dan tanda tidak pernah mengingati mati dan akhirat. Diceritakan bahawa Imam Hasan al Basri tidak pernah ketawa selama 30 tahun. Bila ditanya ia menjawab, “Bagaimana mungkin aku ketawa sedangkan aku sendiri belum pasti akan tempat duduk aku di akhirat kelak, syurga atau neraka”.

Terlalu mewah dan asyik dengan menghimpun harta juga bukan sifat mukmin hakiki. Sebaliknya, sifat tawazun (keseimbangan) antara duniawi dan ukhrawi amat dituntut oleh Islam. Firman Allah SWT :

“Dan carilah pada apa yang Telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah Telah berbuat baik, kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerusakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerusakan.” Surah al Qashah : 77

Begitulah dengan sifat-sifat yang lain yang disebut oleh Rasulullah SAW di dalam hadis di atas. Ini adalah kerana orang mukmin dibina di atas dasar ukhuwwah filLah, kasih sayang dan mencintai kerana Allah SWT. Mencintai apa yang dicintai oleh Allah dan membenci apa yang dibenci oleh Allah SWT.

Marilah kita menghayati firman Allah SWT di dalam surah ar Ruum ayat 30 & 31 :

30. Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah; (tetaplah atas) fitrah Allah yang Telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. tidak ada peubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui[1168],
31. Dengan kembali bertaubat kepada-Nya dan bertakwalah kepada-Nya serta Dirikanlah shalat dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang mempersekutukan Allah,

[1168] fitrah Allah: maksudnya ciptaan Allah. manusia diciptakan Allah mempunyai naluri beragama yaitu agama tauhid. kalau ada manusia tidak beragama tauhid, Maka hal itu tidaklah wajar. mereka tidak beragama tauhid itu hanyalah lantara pengaruh lingkungan.


No comments: