Friday, August 1, 2008

Memang Payah!


BismilLah, walhamdulilLah, wassolatu wassalamu ‘ala Saiyyidina Rasulillah wa ‘ala alihi wa ashabihi waman walahu, amma ba’du;

Salam ISLAH ,

Ketahuilah bahawasanya Islam tidak diturunkan oleh Allah SWT untuk disesuaikan dengan kehendak hati manusia. Sebaliknya manusialah yang mesti menurut kehendak Islam dan menyesuaikan diri dengan ajaran Islam. Allah SWT menjanjikan kejayaan, ketenangan hati dan kebahagiaan bagi mereka yang tekun menurut ajaran Islam dan melaksanakan tuntutannya di dalam kehidupan.

MENYANGGAH NAFSU

Ketika Allah SWT memerintahkan Jibril as melihat syurga, Allah SWT bertanya kepada Jibril, “ Bagaimanakah pandangan engkau wahai Jibril setelah engkau melihat syurga ciptaanKu?”. Maka dijawab oleh Jibril as, “ Maha suciMu ya Allah, bahawa pasti setiap hambaMu yang melihat syurga berkeinginan agar dimasukkan ke dalamnya, namun aku khuatir tiada seorang pun yang akan dapat masuk ke dalamnya”. Ini adalah kerana syurga itu dikelilingi oleh perkara-perkara yang tidak disukai nafsu. Lalu Jibril diperintahkan pula supaya Jibril melihat neraka, lalu berkata Jibril as, “ Maha suciMu ya Allah, aku khuatir tidak ada seorang pun dari hambaMu yang akan terselamat dari neraka”. Ini adalah lantaran neraka yang dipagari Allah dengan perkara-perkara yang amat disukai oleh nafsu.

Susahnya menyanggah kehendak nafsu adalah kerana ia menawarkan keseronokan dan kenikmatan. Senang dan selesanya menurut nafsu kerana ia amat secocok dengan kemahuan syahawat. Memang perit bila kita terpaksa bermujahadah melawan kehendak nafsu seperti pahitnya jadam, namun hasilnya adalah terlebih manis dari madu.

Daripada duduk di medan perjuangan adalah terlebih baik jauhkan diri dari jamaah dan perjuangan. Medan perjuangan penuh risiko dan onak duri, sedangkan duduk jauh dari medan sememangnya senang lenang tanpa ujian dan kesusahan. Tak perlu berjaga malam untuk hadir mesyuarat parti dan jamaah. Tak perlu bersengkang mata kerana perlu menyiapkan kertas kerja program jamaah yang langsung tiada imbuhan wang ringgit jauh sekali ‘claim’. Yang lebih musatahak, anda boleh terus pertahankan kegoan yang selama ini diperjuangkan habis-habisan. Anda ada ‘degree’ , mana boleh dengar arahan ketua cawangan yang hanya setakat SRP apatah lagi diarahkan untuk laksanakan tugasan remeh temeh yang tidak sesuai dengan kesarjanaan yang anda miliki. Lebih-lebih lagi, anda tidak perlu taat dan ikut arahan naqib kampung yang berkain pelikat kesana kemari. Memalukan!.

Lebih baik terlibat dengan NGO kata nafsu dari terlibat dengan parti. Ini lebih selamat dan lebih selesa. Pekerjaan dan jawatan akan terselamat dan dalam masa yang sama boleh terus menyumbang kepada jamaah.

Bila perkara ini kita muhasabahkan, nescaya individu yang memberikan tazkirah tentang hal ini akan dicemuh dan dicela. Teruskan celaan dan cemuhan kalian. Katakanlah bahawa orang ini jenis orang yang perasan bahawa tarbiyah dialah yang hebat, tarbiyah orang lain tidak betul. Macam kerja dia saja yang betul. Inilah orang yang suka tuduh orang lain tiada tarbiyah dan macam-macam lagi. Tazkirah sememangnya terasa pedas dan pedih untuk yang punya hati hidup namun ia takkan membekas untuk yang sinar mataharipun takkan dapat menerangi kembali hatinya yang tertutup dan lebih malang, hati yang ditutup oleh Allah SWT.

Kita kemukakan firman Allah di bawah sebagai muhasabah bersama, moga Allah menolong kita untuk kita bekerja menolong agamaNya :

“Orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, tidak akan meminta izin kepadamu untuk tidak ikut berjihad dengan harta dan diri mereka. dan Allah mengetahui orang-orang yang bertakwa.(44) Sesungguhnya yang akan meminta izin kepadamu, hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan hari Kemudian, dan hati mereka ragu-ragu, Karena itu mereka selalu bimbang dalam keraguannya.(45)” surah at Taubah : 44-45

Benarlah ucapan Ibnu Mas'ud rdh " Sejahat-jahat tuhan yang disembah di atas muka bumi adalah hawa nafsu".

No comments: