Wednesday, August 11, 2010

Coretan Malam Pertama Ramadhan

Salam Ramadhan buat sahabat-sahabat sekalian,

Segala puji kita panjatkan kepada Allah SWT atas nikmat Ramadhan pada tahun ini. Panjangnya umur kita dan kekuatan yang kita perolehi sehingga kita dapat melangkah masuk ke dalam bulan Ramadhan pada tahun ini adalah kerana belas kasihan Allah SWT kepada kita. Kenapa ? :

Pertama ; Ramadhan tidak seperti tetamu yang biasa kita terima. Kunjungan Ramadhan itu adalah dengan seribu rahmat, keampunan serta pembebasan dari neraka. Ramadhan adalah utusan Allah yang datang kepada kita untuk membersihkan dosa-dosa kita. Keagungan Ramadhan itu adalah kerana setiap malam Allah bebaskan sejuta hambaNya dari api neraka. Menurut Rasulullah SAW , sejuta yang dibebaskan batang tengkuk mereka dari neraka itu adalah yang sudah ditetapkan untuk masuk neraka. Namun kerana kemurahan Allah dan keagungan Ramadhan maka mereka dibebaskan Allah dari neraka. Allahu Akbar !

Kedua ; Rasulullah SAW telah memerintahkan Saidatina Aisyah untuk membanyak permohonan doa agar diberikan keampunan terhadap dosa. Dalam masa yang sama Rasulullah SAW telah memberikan khabar gembira bahawa setiap detik saat yang berlalu di dalam bulan Ramadhan adalah dipenuhi dengan saat yang sangat maqbul dan doa diperkenankan. Antara saat istijabah yang pasti adalah waktu sahur serta waktu hampir dengan berbuka. Inilah peluang dan saat yang dinantikan oleh setiap hamba yang punya banyak permasalahan dengan Tuhannya. Berdoalah nescaya permohonanmu doperkenankan. Namun ingat, mereka yang mensyirikkan Allah serta yang memutuskan tali silaturrahmi tidak akan diangkat doa mereka oleh Allah SWT. Oleh itu sambungkanlah tali silaturrahmi yang terputus serta bertaubatlah dari dosa syirik pada Allah. Antara adab berdoa :

    1~Jangan lupakan Tahmid dan selawat di awal dan dihujung doa.
   2~Berdoalah dalam keadaan engkau yakin doamu akan dimaqbulkan.
   3~Jangan doakan permusuhan dan kemusnahan orang lain.
   4~Berdoalah dengan penuh kerendahan hati dan pengharapan.

Ketiga ; Saiyyiduna Salman al Farisi menceritakan bahawa Rasulullah SAW di dalam khutbah sambutan Ramadhan telah menyatakan bahawa setiap amalan sunat di dalam bulan Ramadhan diberikan pahala yang sama dengan amalan fardhu sementara amalan fardhu diberikan pahala yang menyamai 70 amalan fardhu di bulan lain.Alangkah hebatnya BONUS Ramadhan.

Keempat ; Tak sama keluar duit belanja orang makan di bulan Ramadhan dengan di luar Ramadhan. Memberi makan orang yang berpuasa mendapat keampunan dosa serta mengenyangkan orang yang berpuasa akan mendapat syafaat minum dari telaga Al Kautsar di akhirat kelak (sunan Imam at Turmuziy).

Kelima ; Buat para pejuang agama, Ramadhan adalah mukhaiyyam tarbawi untuk kita semua. Di dalamnya ada pengisian untuk jiwa kita. Iman kita disegarkan semula. Nafsu dilemahkan dan ditundukkan. Ramadhan adalah bulan amal tarbawi untuk kita meraih taqwa yang menjadi syarat utama dikurniakan pertolongan dan kemenangan oleh Allah.

Moga kita dipilih oleh Allah untuk dikurniakan kekuatan oleh Allah SWT agar dapat kita hidupkan dan imarahkan Ramadhan ini dengan ibadah,infaq,zikir,selawat,tilawah serta mujahadah dan riyadhah imaniyah. Allahumma Amien.

Monday, August 2, 2010

Solat Sunat Awwabin , Ar Raghaib & Solat Sunat Malam Nisfu Sya'ban

Soalan 6 : Adakah di sana ada solat yang dinamakan solat Awwabin solat ar Raghaib dan solat malam Nisfu Sya’ban ?

Jawapan Syeikh ‘Athiyyah Shaqr : Solat Awwabin atau dinamakan juga solat al Ghaflah bahawa telah datang hadis yang diriwayatkan oleh Imam at Tirmiziy ; “Barangsiapa yang solat 6 rakaat antara maghrib dan isyak maka Allah SWT menulis untuknya pahala ibadah selama 12 tahun”.

Telah dinyatakan oleh al Khatib bagi matan Abi Syuja’ – juzuk 1 , m.s 101- bahawa solat ini dilakukan antara maghrib dan isyak serta bilangan rakaat yang paling sedikit adalah 2 rakaat dan bilangan yang paling banyak adalah 12 rakaat.

Telah dinyatakan juga di dalam Hashiyah Asy Syarqawi ‘ala At Tahrir fi Fiqhi Asy Syafi’iyyah – juzuk 1 , m.s 309 – bahawasanya solat al Ghaflah itu adalah 20 rakaat atau 6 atau 4 atau 2 rakaat tetapi dengan syarat bahawa ia dilakukan selepas mendirikan solat fardhu maghrib. Jika sampai tertinggal solat fardhu maghrib (kerana menunaikan solat sunat awwabin ini ) maka wajib ia qadha (berdosa).

Adapun solat sunat “ar Raghaaib” , ianya dengan 12 rakaat dilakukan antara maghrib dan isyak juga dan dilakukan pada Jumaat malam yang pertama di dalam bulan Rajab.

Sedangkan solat malam nisfu Sya’ban ialah sebanyak 100 rakaat dan keduanya adalah Bid’ah yang tercela tidak kira samada ianya tersebut di dalam Ihya’ Ulumiddin bagi Hujjatul Islam Al Ghazali ‘alaihi rahmatul Baari atau selainnya dan hadis yang menyebutkan tentang keduanya adalah bathil.

Keduanya itu menjadi bid’ah hanya apabila seseorang itu berniat melakukan solat sunat pada masa yang disebutkan itu dngan niat melakukan solat sunat malam nisfu sya’ban atau sunat ar raghaaib , namun jika ia tidak berniat sedemikian maka jadilah ia solat sunat muthlaq (yang tidak dibid’ahkan).

Sunday, August 1, 2010

Fatwa Solat Syeikh 'Athiyyah Shaqr ~ 5-Kenapa Tidak Allahu Akbar ?

Soalan 5 : Kenapa diucapkan سمع الله لمن حمده ketika bangun berdiri dari rukuk dan tidak diucapkan الله اكبر sepertimana dalam setiap perbuatan solat yang lain?
 
Jawapan Syeikh ‘Athiyyah Shaqr : Telah disebutkan di dalam Kitab Hasyiah Asy Syarqawi ‘ala syarhi At Tajrid karangan Syeikh Zakariya Al Ansori di dalam fiqh Al Imam Asy Syafie – Jilid 1 m.s 205 – bahawasanya hikmah diucapkan سمع الله لمن حمده ketika iktidal dan tidak diucapkan الله اكبر seperti takbir intiqalat (perubahan rukun) yang lain bahawa Saiyyiduna Abu Bakar As Siddiq radhiyallahu ‘anhu tidak pernah tertinggal solat berjamaah di belakang Rasulullah SAW walau sekalipun.
 
Pada satu hari dia datang untuk solat Asar bersama Rasulullah SAW dan ia menyangka bahawa ia telah terlewat dan ketinggalan solat berjamaah di belakang Rasulullah SAW maka dia pun berjalan dengan cepat dan tergesa-gesa. Adapun itu berlaku sebelum datangnya larangan supaya tidak tergesa-gesa berjalan mengejar solat di belakang imam. Maka Saiyyiduna Abu Bakar masuk ke dalam masjid lalu mendapati Baginda Rasulullah SAW sedang bertakbir untuk bangun dari rukuk. Maka Saiyyiduna Abu Bakar pun mengucapkan الحمد لله lalu seraya bertakbir menunaikan solat di belakang Nabi SAW.
 
Maka turunlah Jibril alaihissalam sedang Nabi SAW di dalam keadaan rukuk lalu berkata kepada Nabi SAW ; “Ya Muhammad , sesungguhnya Allah telah mendengar orang yang memujiNya. Maka ucapkanlah olehMu (ketika iktidal) سمع الله لمن حمده maka Rasulullah SAW mengucapkannya ketika bangun dari rukuk sedangkan sebelum dari peristiwa ini, Rasulullah SAW rukuk dengan bertakbir dan bangun dari rukuk juga dengan bertakbir.
 
Maka jadilah ucapan Saiyyiduna Abu Bakar itu ( ( سمع الله لمن حمده sebagai satu sunnah sejak dari waktu itu dengan keberkatan Abu Bakar As Siddiq radhiyallahu ta’ala ‘anhu – selesai perkataan Asy Syarqawi dan dia tidak menyebutkan sanad baginya.