Monday, July 27, 2009

Imam Akhir Zaman

Akhbar internet Malaysiakini 24 Julai telah melaporkan bahawa YB Dato’ Jamil Khir Menteri JPM telah menegur sikap sesetengah masjid ‘kaya’ yang lupa tanggungjawab sosial bahkan berbangga kerana mempunyai simpanan tetap di bank.

Beliau telah menyampaikan teguran tersebut semasa merasmikan Seminar Pengurusan Masjid Peringkat ASEAN 2009 di UUM Sintok,Kedah.

Seingat saya, entah berapa ratus kali seminar, bengkel, kursus dan entah apa nama program lagi yang dianjurkan untuk mendedahkan ilmu pengurusan masjid seperti ini telah dilakukan. Masa pun dah banyak habis, wang ringgit tak payah ceritalah. Ada kawan saya di Jabatan Agama yang bagitau bahawa seminar atau kursus seperti ini hanya diadakan untuk menghabiskan peruntukan tahunan. Hakikatnya masjid dalam negara kita kebanyakannya masih di takuk lama.

Baru-baru ini, akhbar Sinar Harian telah mendedahkan bahawa terdapat 14 pesakit AIDS yang sedang mendapat perlindungan dan layanan kebajikan di sebuah gereja di Selangor!. Keesokkannya Mufti Selangor jawab dalam akhbar yang sama , “kita takda peruntukan yang cukup serta tiada dana dan keluarga pesakit itu sendiri tak pedulikan mereka”.

Bagi saya, kalau gereja mampu berperanan serta meluaskan pengaruh serta dakyah mereka dengan cara yang saya kata sangat diragui dan jahat ini, kenapa masjid tidak boleh mendahului gereja dalam memainkan peranan. Yang paling saya risaukan ialah siapakah yang akan mentalqinkan pesakit AIDS tersebut ketika mereka berdepan dengan sakaratul maut?. Mohon perlindungan Allah jika mereka di Kristiaankan di saat mereka dihujung usia. Kewajipan kita mejaga aqidah saudara kita itu dari dirosakkan. Saya ada bukti yang kedapatan masjid yang mempunyai simpanan wang jutaan ringgit di bank!. Hasilnya, bendahari masjid itu akan berbangga dengan pembentangan kewangan dalam mesyuarat agung tahunan. Bijaknya bendahari masjid jaga duit!.

Yang berlaku dan selalu berlaku, masjid akan dikunci hingga tiada ruang yang ada untuk para musafir atau mereka yang berhajat pada tumpangan dan perlindungan.Ada kawan yang bagitau saya, muslimat yang terpaksa berteduh kerana hujan lebat di ‘pinggir’ ruangan muslimin pun dihalau ke ruang muslimat di tengah hujan yang sangat lebat sedangkan waktu itu bukan waktu solat.

Lagi satu, saya rasa Jamil Khir kena buat kajian juga dalam satu hal. Antara sebab masjid gagal berperanan adalah kerana program-program masjid selalu dihalang dan selalu dihurungi dengan buruk sangka serta hasad dengki orang-orang UMNO terutamanya JKKK. Yang ni tak payah bukti kerana saya sendiri dah banyak kali terkena. Saya pernah jadi Timbalan Pengerusi masjid dengan sokongan anak jamaah dan kariah tapi puak UMNO khianati saya dan ‘kais’ saya senyap-senyap.

Dato’ Harun Din cerita dalam kuliah beliau di Perlis 25/7 yang lepas bahawa ada Imam Masjid di Langkawi yang halang ceramah dan kuliah agama dilaksanakan di masjid beliau. Imam tu kata buat ceramah banyak tak dapat apa-apa faedah!. Pening oiii….

Benar kata Rasulullah ; di akhir zaman, ,masjid-masjid dibina hebat dan indah, akan tetapi ia kosong dari hidayah.

Sunday, July 26, 2009

Thaqafah : Fiqh as Siyam ~ 2&3


Mandi junub pada siang hari

Seorang yang berpuasa di bulan puasa disunatkan mandi hadas besar sebelum fajar (sebelum masuk waktu Subuh). Adapun mandi setelah masuk waktu Subuh hukumnya makruh. Puasanya masih lagi sah. Perkara demikian pernah berlaku pada Rasulullah s.a.w di mana baginda pernah mandi junub setelah masuk waktu subuh.

Mandi kerana terlalu panas

Khususnya bagi orang yang tinggal di kampung yang serba kekurangan kemudahan alat teknologi atau di daerah beriklim panas atau orang yang bekerja sebagai buruh atau bertani di tengah panas terik di dalam bulan puasa tentu sekali bahang panas itu menyebabkan tekak menjadi kering dan tubuh terasa bahang(panas). Untuk menghilangkan panas tentulah dengan mandi atau membasahkan badan dengan air atau berendam di dalam sungai.

Bagi orang yang menhadapi masalah demikian, syariat mengharuskan berbuat demikian dengan syarat ketika menyiram atau menyelam atau berendam itu tidak termasuk air ke dalam salah satu rongga badan, kalau termasuk air ke dalam salah satu rongga badan, maka batallah puasanya.

Mandi untuk menghilangkan rasa panas tentunya memakan masa yang lama dan mandi tersebut tidak termasuk mandi yang dituntut oleh syariat (mandi wajib atau mandi sunat).

Perbuatan mandi kerana kepanasan pada bulan puasa itu pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. sepertimana sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Abu Daud. Daripada hadith tersebutlah, para ulama’ menghukum harus berbuat demikian di bulan puasa.

Saturday, July 25, 2009

Islam, Agama Yang Mementingkan Nasihat


Oleh ~ Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang

Nasihat menjadi tonggak penting dalam agama Islam, agar kebenaran dapat ditegakkan dan kebatilan dapat dimansuhkan. Peranan untuk menegakkan nasihat menjadi kewajipan seluruh umat di semua peringkat dan lapisan. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : "Agama itu adalah nasihat." Para sahabat bertanya: "Untuk siapa? Sabda Rasulullah s.a.w: "Untuk Allah, Rasul-Nya, untuk kitab-Nya, untuk para pemimpin dan orang ramai." - Hadis Sohih riwayat Imam Muslim dalam kitab al-Imam.

Nasihat untuk Allah ialah dengan menepati hukum-Nya, menegakkan agama-Nya dan hukum-hakam-Nya kerana Allah semata-mata. Bukan kerana mengampu, sehingga tidak berani untuk mencegah kemungkaran, tetapi hanya menyuruh yang baik secara terhad dan menjadi pengecut untuk mencegak kezaliman yang dilakukan oleh pemimpin yang berkuasa di dalam negara.

Umat Islam menjadi bertambah malang dengan kewujudan mereka yang disebut oleh Imam al-Ghazali di dalam kitabnya 'Ihya' 'Ulumddin' sebagai 'ulama su' yang bersekongkol dengan mereka yang zalim serta sanggup menjadi syaitan bisu. Ini dilakukan kerana takutkan manusia sama seperti takutkan Allah SWT, atau lebih daripada takutkan Allah atau menganggap rezekinya di tangan pemerintah bukannya datang daripada Allah SWT.

Nasihat untuk Rasulullah pula ialah dengan menjadikan baginda contoh teladan di dalam semua perkara. Juga nasihat agar menepati sunnahnya dan meneruskan ajarannya setelah baginda wafat. Nasihat kerana Rasulullah sentiasa hidup, tidak wafat dengan kewafatan baginda, juga mencontohi keberanian baginda yang tidak gentar menghadapi sesiapa, walaupun kuasa besar dunia yang zalim.

Juga percaya kepada amanat Rasulullah s.a.w di dalam hadis yang sohih bahawa menasihati kerajaan yang zalim adalah jihad akhbar (paling besar). Manakala riwayat yang menyatakan jihad hawa nafsu adalah paling besar, adalah dikira hadis daif, bahkan ada ulama hadis yang menyenaraikannya daripada kalangan hadis palsu, iaitu bukan hadis, tetapi kata-kata seorang yang bernama Ibrahim bin Ablah.

Nasihat kerana kitab Allah ialah dengan menegakkan isi kandungannya dalam segenap aspek. Ia termasuk akidah, syariat, akhlak, dan sistem kehidupan seluruhnya termasuk dalam perkara undang-undang supaya diamalkan dengan tepat. Juga menasihati mereka yang tidak beramal dengan cara yang tidak tepat supaya memperbetulkannya dengan cara menepati matlamat hukum yang terdapat di dalam kitab Allah Yang Maha Adil lagi Maha Bijaksana.

Melalui nasihat, pemimpin berpeluang membetulkan rakyatnya yang tidak betul, bahkan berpeluang untuk membetulkan dirinya sendiri supaya menjadi contoh kepada rakyat. Nasihat juga mengajarnya untuk bersikap kepadanya dan dia tidak melenting apabila benar-benar melakukan kesilapan, kerana pemimpin adalah mahkluk manusia yang tidak boleh berlagak menjadi Tuhan.

Nasihat juga menjadi hak rakyat, untuk memberi nasihat kepada pemimpin dan menerima nasihat di kalangan mereka serta menerima nasihat daripada pemimpin. Rakyat juga berperanan untuk menasihati pemimpin, sekiranya pemimpin mereka menyeleweng. Hak rakyat untuk memberi nasihat tidak boleh dinafikan oleh kerajaan.

Allah berfirman melalui surah al-'Asr yang bermaksud: "Demi Mass! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal salih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan sabar."

Tetapi kewajipan nasihat ini telah diabaikan kerana terdapat sindrom yang melanda umat Islam di negara kita hingga ke tahap yang sangat membimbangkan.

Sindrom yang mengongkong para pemimpin : Negara dikepalai oleh barisan kepimpinan yang diikat dengan budaya menonjolkan diri dengan membariskan pimpinan bawahannya semata-mata untuk membina kekuatan kedudukannya, iaitu membariskan pelapis yang takut kepada siapa sahaja yang menjadi pemimpin utama. Pekara ini menyebabkan kita diperintah oleh kalangan yang tidak dapat membetulkan kelemahan-kelemahan yang berlaku.

Antara punca yang menimbul gejala ini ialah perkara-perkara berikut:

Hub al-Riasah wa al-Jah (Rakus untuk menjadi pemimpin dan gila kuasa.

Sifat ini menyebabkan seseorang sanggup melakukan apa sahaja untuk menaikkan dirinya, bukan sahaja sanggup mebaurkan wang, bahkan sanggup mengorbankan kawan sendiri. Berkawan bukan kerana Allah tetapi kerana ada kepentingan untuk naik lebih tinggi.

Dalam Umno, penghormatan yang sewajarnya tidak lagi diberi kepada orang yang sudah jatuh, yang dikira tidak boleh memberi apa-apa kepada orang lain, seperti Tun Musa Hitam dan Tun Ghafar Baba. Apa yang berlaku kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim adalah malapetaka daripada sifat yang buruk ini.

Sebenarnya beliau dijatuhkan kerana adanya unsur perebutan kepimpinan. Tuduhan-tuduhan yang mengheret beliau ke mahkamah dipercayai oleh kebanyakan orang sebagai penyangkut yang dicipta untuk menjatuhkan beliau. Hanya segelintir rakan-rakan daripada Umno yang menunjukkan semangat persahabatan dan terlalu sedikit yang sanggup bersama. Kebanyakan mereka selama ini lebih bersemangat mangampun untuk kepentingan diri masing-masing.

Penyakit ini menyebabkan pemimpin tidak mendapat pertolongan dan keberkatan Allah S.W.T. Sangat benar sabda Rasulullah s.a.w kepada sahabatnya iaitu Abdul Rahman bin Samurah maksudnya: "Wahai Abdul Rahman Samurah! Janganlah anda meminta untuk menjadi ketua. Jika sesuatu jawatan yang diberi kepadamu kerana permintaan engkau sendiri, nescaya ia akan diserakan kepadamu tanpa pertolongan. Sekiranya ia diberi kepadamu tanpa engkau memintanya, nescaya engkau akan diberi pertolongan." (Hadis Sohih riwayat Imam Bukhari dalam kitab al-Ahkam)

daripada buku 'Qazaf mangsa fitnah, halaman 45-49

Dengan NamaMu Aku Hidup ~ TGNA


Dapatkan karya terbaru Tuan Guru al Mursyidul 'Am Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat ~ untuk keterangan lanjut, sila hubungi www.anbakri.com


Kelebihan Negeri Serambi Mekah

Nota dari jihadtegakislam.blogspot : Biarlah orang kata copypaste pun, tak mengapalah. Tapi artikel ini memang ana nak sangat direkodkan di dalam blog ini. Ada nilai tarbawi yang tinggi !

Oleh : AL-BRANGI ~ Baru pulang dari Negeri 'Serambi Mekah'. Perubahan yang jelas ketara ialah Pasar Siti Khadijah dan Pasar Malam Wakaf Che Yeh sudah bertambah bersih walaupun masih ada ruang untuk mempertingkatkan kebersihannya.

Saya amat yakin rakyatnya amat sayang kepada negeri mereka, sehingga ada yang melabelkan rakyatnya sebagai kuat semangat kenegeriannya. Saya amat sokong 'tag' tersebut dari sudut positifnya. Saya rasa jika kempen kesedaran berkaitan dengan menjaga kebersihan, negeri Kelantan lebih mendahului daripada negeri-negeri lain.

Dalam politik mereka menggunakan semangat kenegerian mereka untuk memilih pemimpin yang boleh memandu mereka ke arah yang diredhai oleh Allah dunia dan akhirat walaupun calon tersebut berasal dari luar.

Pengamatan saya secara rambang semasa mengunjungi Pasar Malam Wakaf Che Yeh selama dua malam berturut-turut, saya dapati pengunjung daripada negeri lain (berdasarkan slang percakapan mereka) amat kurang kesedaran sivik mereka kerana membuang kulit rambutan dan puting rokok di tepi-tepi jalan walaupun tong sampah disediakan.

Satu lagi kelebihan dan kekuatan peniaga-peniaga negeri ini, mereka dengan senyum menarik, peramah dan tak lekang mengamalkan akad jual beli. Perkataan-perkataan seperti, "Raso jo, tak beli tak apo." "Jual deh". (Rasa saja, tak beli tak mengapa. Saya jual ya. Kekika membeli sambal serunding).

Soal timbangan dalam jualan sangat-sangat dititik-beratkan dalam Islam. Semasa singgah di Gua Musang untuk membeli buah dokong (RM5.00/2kilogram), saya membantu Mak Cik penjual di tepi jalan untuk memilih buah yang elok-elok sambil tolong menimbang. Bacaannya ialah 2.2 kilogram. Mak Cik tu berkata, "2 kelo untuk anok, hok lebih untuk Mak Cik" (2 kilogram untuk anak, yang selebihnya untuk Mak Cik). Saya menghulurkan wang kertas RM10 dan dia memulang duit RM5.00. Saya berkata, "Lebih ni Mak Cik."
Dia menjawab, "2 kilogram untuk anak, yang selebihnya untuk Mak Cik.". Dia bermaksud mensedekahkan 200 gram untuk dia mendapat pahala.

Adakah fenomena ini kedapatan di Kuala Lumpur atau negeri-negeri lain?