Jika tidak banyak yang dapat saya belajar semasa menuntut ilmu di Bumi Syam, ada sesuatu yang sentiasa tersemat di dalam diri hasil sentuhan ilmuan dan pejuang Islam di sana.
Manhaj Salaf tidak pernah mengajar kita menjadi manusia yang naif atau lurus bendul tentang Siasah.
Mungkin itulah satu kelebihan yang banyak ditawarkan oleh peluang pengajian di bumi Jordan.
Para Ulama’ di sana ramai yang bermanhaj muhadditheen, ramai yang mendukung aliran Salaf dalam pendekatan mereka. Namun Ulama’ yang mengisi kerusi-kerusi akademik di sana, bukanlah para ilmuan yang bersantai-santai dengan teori atau di kerusi pemerhati.
Mereka adalah ilmuan yang menjadi pasak di tengah gelanggang.
Bermula daripada gelanggang siasah, hinggalah ke gelanggang qital dan jihad.
“Aku merayu kepada-Mu ya Allah agar aku masuk ke Syurga-Mu dengan kaki yang tempang ini,” kata Sheikh Muhammad ‘Abd al-Qadir Abu Faris.
Beliau berucap sempena sambutan al-Israa’ wa al-Mi’raaj di Masjid Abdul Rahman bin ‘Auf, Amman, pada suatu malam di tahun 1997.
Tahun itu adalah tahun yang penting buat umat Islam di Jordan apabila kerajaan mengubah sistem pilihanraya dengan mengimplimentasikan Akta 1 Undi yang diperkenalkan pada tahun 1993.
Sheikh Muhammad ‘Abd al-Qadir Abu Faris bersama seorang lagi tokoh penting bersama beliau iaitu Sheikh Humam Said, adalah dua tokoh politik penting al-Ikhwan al-Muslimun di Jordan. Mereka juga merupakan ahli akademik yang kesarjanaannya bukan sekadar terikat kepada sempadan negara Jordan malah menjadi rujukan ke negara-negara Arab yang lain, jika tidak keterlaluan dikatakan di seluruh dunia.
Sheikh Muhammad ‘Abd al-Qadir Abu Faris digelar sebagai Abu Siasah. Ketokohannya di dalam ilmu Siasah Syar’iyyah menjadikan beliau salah seorang pakar rujuk di dalam bidang itu. Beliau juga pernah menerima jemputan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada era 90′an untuk hadir berkongsi ilmu dan pengalaman di wacana akademik yang dianjurkan. Namun kesarjanaannya di gelanggang akademik tidak menjadikan beliau naif dengan putar belit regim Arab yang sebangsa dan seagama dengannya itu.
Begitu juga dengan Sheikh Humam Said.
Beliau adalah ilmuan Hadith. Kepakarannya di dalam ilmu ‘illah di dalam sanad dan matan menjadikan beliau sebagai salah seorang rujukan penting tatkala subjek berkaitan dibentangkan, sama ada di seminar, mahu pun di dalam viva pelajar-pelajar peringkat Masters dan PhD di bidang Hadith.
Tetapi Sheikh Humam Said tidak naif dan lurus bendul di dalam Siasah.
Sama juga dengan Sheikh Muhammad ‘Abd al-Qadir Abu Faris, juga Sheikh Abdul Mun’em Abu Zanat yang kesemua mereka itu adalah wakil rakyat di Parlimen Jordan.
Pendirian mereka amat jelas dan tegas, sama ada di dalam soal perkembangan krisis Palestin di seberang sempadan, mahu pun dengan kabinet Jordan dan institusi pemerintahan beraja di negara itu.
Pernah suatu ketika, Sheikh Humam Said ditanya tentang pandangan umum yang meletakkan gerakan Islam seperti al-Ikhwan al-Muslimun sebagai sebuah gerakan pelampau yang menyokong keganasan serta menyetujui idea Takfir. Pandangan itu dikatakan kesan daripada pengaruh pemikiran Sayyid Qutb. Kajian Barat sering mempotretkan Sayyid Qutb sebagai ideologue di sebalik aliran keras dan anti-establishment.
Dakwaan yang turut dijamah oleh kelompok Muslim yang berpenyakit dalam persepsi.
Katanya, “sebelum saya memberikan jawapan, saya mahu mengingatkan anda bahawa rejim Arablah yang telah meninggalkan Islam sebagai sistem politik. Kita mesti menerima kebenaran ini. Al-Ikhwan al-Muslimun tidak sepatutnya ditunding kesalahan tatkala sistem pemerintahan mahu dibincangkan. Kesalahan harus diletakkan kepada pemerintah-pemerintah (rejim) Arab yang enggan melaksanakan Islam.” [Lihat laporan Mshari Al-Zaydi yang disiarkan di akhbar Asharq Al-Awsat bertarikh 30/12/2005]
Sheikh Humam Said adalah seorang yang bermanhaj Salaf. Ilmuan di dalam Hadith. Seorang ahli akademik yang melebihi pangkat seorang mufti. Tetapi ia tidak menjadikan pandangan dan pendiriannya kucar-kacir tatkala membina pendirian yang tegas terhadap pemerintah yang sebangsa dan seagama dengannya tetapi enggan menerima Islam sebagai asas polisi dan moral politik negara.
Itu soal politik.
Soal polisi, pengurusan kuasa, pengendalian tatacara pemerintahan yang membabitkan penghasilan keputusan-keputusan yang secara langsung memberikan impak kepada politik, sosial dan ekonomi rakyat.
DAKWAH
Tetapi ketegasan mereka di dalam pendirian-pendirian siasah tidaklah pula menjadikan mereka tertutup, selektif dan menghadkan ruang dakwah.
Jika di Parlimen, dakwah disampaikan dalam bentuk teguran, nasihat malah amaran kepada seluruh hiraki pentadbiran, tatkala ada kemungkaran yang memerlukan kepada pembetulan. Namun di luar Parlimen, mereka ini gigih berdakwah di halaqah, majlis-majlis ilmu di masjid, di dalam seminar dan di segenap penjuru serta ruang dakwah yang ada.
Seluruh ruang dakwah itu terbuka kepada semua. Sesiapa sahaja yang tulus mahu menambah ilmu pengetahuan tentang Islam, dialu-alukan hadir ke majlis-majlis ilmu ini. Ada yang bermukim di masjid-masjid tertentu seperti Masjid Abd al-Rahmaan ibn ‘Auf, ada juga yang mengadakan majlis ilmu di kediaman-kediaman dan dewan peribadi seperti amalan Dr. Ahmad Naufal, yang juga seorang aktivis dan sarjana akademik.
Ruang dakwah inilah yang menjadi medan untuk seluruh peringkat manusia dididik, ditegur, dibetulkan, didisiplinkan dengan nasihat-nasihat agama dan wasiat iman. Dakwah tidak mengenal label manusia, baik mereka itu petani, nelayan dan pekerja awam, mahu pun tokoh, pemimpin masyarakat, pemimpin politik atau sesiapa sahaja sahaja.
Hatta Firaun yang dicela Tuhan itu pun boleh didatangi oleh Musa untuk menyampaikan teguran, nasihat dan amaran. Dakwah tidak punya batasan. Ia merempuh semua halangan.
Tetapi keterbukaan dan keluasan cita-cita dakwah adalah berbeza sama sekali dengan soal keterbukaan Siasah serta kompromi prinsip. Siasah adalah soal prinsip serta polisi pemerintahan.
Inilah yang membingungkan saya, apabila agamawan-agamawan muda beraliran Salaf yang berkembang pesat di negara kita bercakap dan berfatwa tentang politik.
Tidak dinafikan, mereka amat berjaya menimbulkan satu kesedaran yang perlu ke arah pemurnian dan ketulenan beragama (asolah) dalam aspek Aqidah dan Ibadah.
Tetapi berbeza pula halnya dengan Siasah. Pandangan yang dilontarkan ke tengah masyarakat sering bersifat tekstual dan terpisah di antara teori dengan realiti.
Sasarannya pula adalah PAS. Bantahan, teguran dan pandangan yang sinis tidak habis-habis ditujukan kepada PAS apabila PAS memutuskan untuk tidak meneruskan idea tentang Kerajaan Perpaduan. Isu yang sudah selesai di antara Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat ini, masih dibahasakan oleh tokoh-tokoh agama ini seolah-oleh justifikasi yang diberikan oleh PAS tentang penolakan tersebut tidak mempunyai sebarang makna kecuali satu, TAASUB KEPARTIAN.
Itulah kalimah yang diulang saban hari, sebagai label agamawan-agamawan bermanhaj Salaf ini.
SERUAN MAAF
PAS diseru supaya lebih pemaaf, melupakan sengketa lama dan bergerak ke arah perpaduan.
Soalnya, apakah PAS mempunyai hak untuk memaafkan kesalahan orang lain kepada Allah dan kepada umat? Bertindak zalim ke atas rakyat dengan akta-akta yang menafikan hak dibicarakan, membelakangkan hukum hakam Allah dalam polisi-polisi politik, ekonomi dan sosial, semua itu bukannya kesalahan terhadap PAS yang boleh PAS maafkan. Ia adalah kesalahan yang mencabuli HAK ALLAH dan hanya pelaku salah itu sahaja yang boleh mengubah keadaan ini dengan membuat perubahan di peringkat dasar.
Maaf memaafkan adalah tuntutan besar yang mesti disuburkan di dalam Islam.
Namun, memaafkan individu berbeza daripada memaafkan sebuah kuasa pemerintahan.
Tiada sesiapa yang mempunyai hak untuk memaafkan kesalahan seseorang andai kesalahan itu membabitkan hak Allah dan hak orang ramai, bukan hak peribadi atau hak parti. Perjuangan PAS bukan mempertahankan kepentingan parti, tetapi memperjuangkan apa yang didefinisikan Islam sebagai hak Allah dan kepada serta daripada Allah jua kemaafan itu harus dicari juga diberi.
ANTI PERPADUAN?
Keputusan menghentikan usaha ke arah pembentukan Kerajaan Perpaduan itu pada masa ini juga bersesuaian dengan mandat yang diberikan pada Pilihanraya Mac 2008 yang lalu.
Rakyat yang mengundi Pakatan Rakyat, mereka memberikan undi atas mandat menentang apa yang dianggap sebagai kezaliman Barisan Nasional, serta mandat mengurangkan majoriti BN di pesada kuasa. Inilah mandatnya. Jika sesuatu ingin dibuat berlawanan dengan mandat ini, ia harus dikemukakan sebagai manifesto Pilihanraya Umum akan datang dan terserahlah kepada rakyat sama ada melihat perkongsian kuasa antara BN dan PR menjadi pilihan mereka, atau sebaliknya.
Mengubah dasar itu selepas diberi mandat, adalah suatu pengkhianatan.
Hal ini sudah jelas dan menjadi keputusan yang difahami bersama di antara Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional. Malah Barisan Nasional juga sudah tidak lagi menggunakan bahasa-bahasa empati kepada PAS sebagaimana ketika isu ini hangat tempoh hari, sebaliknya kembali kepada bahasa asal mereka.
Tetapi apa yang menimbulkan kehairanan kita ialah apabila persoalan yang sudah tamat ini, masih lagi dibicarakan oleh agamawan-agamawan ini, dengan tumpuannya kepada membayangkan PAS sebagai pihak yang berdendam, anti perpaduan dan mengutamakan permusuhan.
BERBEZA DENGAN DAKWAH
Politik ialah soal pengurusan bidang kuasa.
Ada pun semangat dakwah, berpesan-pesan dengan kebenaran dan bertolong-tolongan dalam perkara kebajikan dan taqwa, ia suatu medan yang berbeza.
Jika dilihat kepada pemimpin-pemimpin PAS seperti Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang selaku Presiden, dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz selaku Mursyid al-Am, mereka adalah Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri, Menteri Besar dan Pesuruhjaya PAS Negeri dalam konteks siasah. Tetapi mereka adalah ustaz, tuan guru, pendakwah dan pendidik yang tidak pernah berhenti mengajar di kuliah-kuliah dan ceramah, membuka kitab dan juga bercakap soal ilmu dengan penuh kesarjanaan.
Malah mereka berdua juga mendukung manhaj Salaf di dalam pendekatan mereka memahami nas dan tafsiran agama.
Tetapi di dalam siasah, mereka tidak naif atau lurus bendul, menjadi tekstual dalam memindahkan 1001 petikan al-Quran, Sunnah, Sirah dan Sejarah kepada realiti.
Jauh sekali saya mahu melabel maksum kepada sesiapa sahaja kecuali Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam. Tetapi sekurang-kurangnya aspek ini harus diberi perhatian.
Siasah adalah seni pemerintahan yang bukan hanya bergantung kepada keterangan teks ilmu, tetapi ia memerlukan kepada pandangan jauh, pengalaman yang luas dan panjang, agar kita sama-sama faham mengapakah Yazid bin Muawiyah menjadi pemimpin umat, ketika sahabat-sahabat yang senior masih ada.
Siasah dan kepimpinan bukan sekadar sebuah kesarjanaan.
Ia adalah ketajaman membaca persekitaran dan kebijaksanaan dalam memimpin.
Ada pun soal dakwah, ia adalah kenderaan berat yang merempuh semua halangan persepsi, label, ketua negara atau banduan penghuni penjara. Sesiapa sahaja yang memberi ruang kepada dakwah, menjadi satu kesalahan bagi pendakwah untuk mensesiakannya.
Tetapi kompromi siasah dan perkongsian kuasa, ia adalah subjek yang berbeza.
Saya mempelajarinya dari teladan para ilmuan yang bukan bersantai di kerusi pemerhati, tetapi mengotorkan kaki dengan jerih dan pedih realiti umat.
Terkenang kepada kata-kata Sheikh Dr. Mustafa Abu Zaid di selatan bumi Urdun:
Manhaj Salaf bukan manhaj yang menyingkatkan jubah, mengisi sugi di dalam kocek, menyimpan janggut dan bertudung kepala dengan serban merah. Ia adalah manhaj yang bersama-sama dengan sekalian kaum Muslimin dan Muslimat, membebaskan bumi Palestin, dan mengembalikan Hakimiyyah Allah!
Moga teladan itu tidak dilupakan.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
No comments:
Post a Comment