Sunday, July 26, 2009

Thaqafah : Fiqh as Siyam ~ 2&3


Mandi junub pada siang hari

Seorang yang berpuasa di bulan puasa disunatkan mandi hadas besar sebelum fajar (sebelum masuk waktu Subuh). Adapun mandi setelah masuk waktu Subuh hukumnya makruh. Puasanya masih lagi sah. Perkara demikian pernah berlaku pada Rasulullah s.a.w di mana baginda pernah mandi junub setelah masuk waktu subuh.

Mandi kerana terlalu panas

Khususnya bagi orang yang tinggal di kampung yang serba kekurangan kemudahan alat teknologi atau di daerah beriklim panas atau orang yang bekerja sebagai buruh atau bertani di tengah panas terik di dalam bulan puasa tentu sekali bahang panas itu menyebabkan tekak menjadi kering dan tubuh terasa bahang(panas). Untuk menghilangkan panas tentulah dengan mandi atau membasahkan badan dengan air atau berendam di dalam sungai.

Bagi orang yang menhadapi masalah demikian, syariat mengharuskan berbuat demikian dengan syarat ketika menyiram atau menyelam atau berendam itu tidak termasuk air ke dalam salah satu rongga badan, kalau termasuk air ke dalam salah satu rongga badan, maka batallah puasanya.

Mandi untuk menghilangkan rasa panas tentunya memakan masa yang lama dan mandi tersebut tidak termasuk mandi yang dituntut oleh syariat (mandi wajib atau mandi sunat).

Perbuatan mandi kerana kepanasan pada bulan puasa itu pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. sepertimana sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Abu Daud. Daripada hadith tersebutlah, para ulama’ menghukum harus berbuat demikian di bulan puasa.

No comments: