Saturday, May 30, 2009

Tazkiyah An Nufus : Formula Mengenali Sifat Munafiq

Ketika Rasulullah SAW memulakan dakwah Baginda di Makkah, hanya ada dua golongan manusia yang wujud di hadapan Baginda iaitu golongan mukmin dan kafir atau disebut juga dengan musyrik. Rasulullah SAW sendiri memimpin golongan mukmin dan golongan musyrik penyembah patung dan berhala dipimpin oleh Abu Jahal, Abu Lahab, Umaiyyah bin Khalaf dan seumpama mereka dari pimpinan jahiliyyah Makkah. Setelah kematian Abu Thalib dan kewafatan Saidatuna Khadijah Al Kubra rdh , muslimin pimpinan Rasulullah SAW semakin ditekan dan ditindas serta diseksa dengan kejam tanpa perikemanusiaan oleh Kerajaan Makkah. Namun sejarah telah mencatatkan bahawasanya generasi pertama Islam ini telah melalui 13 tahun zaman penuh kepayahan dan kesusahan ini dengan sejuta ketabahan, kesabaran dan kecekalan iman serta penuh yakin dengan janji Allah SWT.

Apabila keizinan untuk berhijrah diperolehi dari langit, tidak berapa lama kemudian wujudlah satu golongan lagi manusia yang tidak ada di zaman Makkah iaitu golongan munafiq yang dipimpin oleh Abdullah bin Ubai. Mereka ini, mengaku beriman di hadapan Nabi SAW namun menikam Nabi dan para sahabah dari belakang. Mereka menzahirkan keimanan dan menyembunyikan kekufuran. Mereka menjadi musuh dalam selimut dan gunting dalam lipatan. Dengan kewujudan golongan ini maka bertambahlah satu lagi cabaran terhadap Islam serta fitnah terhadap mereka yang beriman.

Firman Allah SWT :

“Apabila orang-orang munafik datang kepadamu (Wahai Muhammad), mereka berkata: "Kami mengakui bahawa sesungguhnya Engkau - sebenar-benarnya Rasul Allah". dan Allah sememangnya mengetahui bahawa Engkau ialah RasulNya, serta Allah menyaksikan bahawa sesungguhnya pengakuan mereka adalah dusta.”

Golongan munafiq adalah musuh Islam dan sesiapa sahaja yang mencintai Islam apatah lagi golongan pejuang kebenaran sepanjang zaman. Golongan ini terasas di zaman Rasulullah SAW dan wujud sepanjang zaman hingga hari qiyamah dalam versi dan wajah yang terkini dan lebih moden. Merekalah pejuang kebathilan di zaman ini serta pemegang panji-panji kekufuran zaman moden. Modus operandi mereka di zaman ini mungkin berbeza sesuai dengan kehendak zaman namun sifat-sifat asas mereka telah didedahkan semuanya di dalam Al Quran dan Al Hadis.

Ideologi sekular yang wujud pada hari ini adalah antara anak-anak yang dilahirkan oleh golongan munafiq. Modus operandinya adalah mengajak manusia (baca: muslim) agar memisahkan agama dari kehidupan. Di Malaysia, ideologi ini pernah dikenali atau popular dengan seruan “Politik Suku Agama Suku”. Kerja buat dunia dipisahkan dengan persoalan dosa pahala, matlamat menghalalkan cara , perjuangan hak asasi dan kebebasan serta banyak lagi seruan-seruan kufur dan syirik yang dihias agar tampak cantik dan tidak salah oleh golongan ini. Daripada ajaran faham secular ini juga telah lahir bermacam-macam ajaran dan ideologi sesat di Malaysia ini khususnya seumpama faham kebangsaan atau nasionalisma, islam liberal, islam plural dan banyak lagi yang seumpama dengannya.

Sesungguhnya kesan dari faham sekular yang diperjuangkan oleh golongan munafiq moden inilah yang telah menjadikan manusia terpisah dari agama dan jauh dari Allah SWT apatah lagi untuk punya rasa takut dan gerun kepada Allah SWT. Jenayah semakin menjadi-jadi dikernakan hilangnya rasa ‘khaufullah’ (baca : gerun pada Allah). Rasa jauh dari Allah pula menyebabkan seorang Muslim melakukan dosa tanpa rasa bersalah apatah lagi takutkan azab neraka. Pemikiran takut neraka tidak pernah wujud dalam hidup golongan ini menjadikan mereka memiliki sifat berani yang songsang iaitu berani cabar hukum hakam Allah SWT.

Bagi para pejuang agama dan petugas amal Islami pula, sifat munafiq semestinya dijauhi. Bila sifat munafiq mula memasuki jiwa para pejuang, ia akan memamah keikhlasan, merosakkan prinsip aqidah perjuangan serta memutuskan hubungan dengan Allah SWT dan akhirnya hilanglah keyakinan terhadap perjuangan maka berlakulah ‘keguguran’ dari barisan pejuang agama.

Sifat nifaq adalah racun bagi umat dan pejuang agenda Islam. Ia akan melambatkan kemenangan serta menggugurkan kelayakan untuk mendapat nusrah (baca: pertolongan) dari Allah SWT. Ia akan mengotorkan keperibadian para pendakwah dan akhirnya mencemarkan imej Islam itu sendiri. Adalah mustahil kekotoran muslim dapat membersihkan fitnah terhadap Islam. Rasulullah SAW telah berusaha sepanjang hayat Baginda menjernihkan jiwa para sahabah sehingga dunia melihat Islam itu agung dan hebat.

Tulisan yang sederhana ini akan dinamakan “Formula Mengenali Sifat Munafiq”. Ia ditulis dengan tujuan untuk pembinaan peribadi Mukmin yang hebat dan mempunyai daya jihad yang teguh serta layak menerima pertolongan Allah melalui kebersihan jiwa. Moga tulisan ini menjadi satu sumbangan kecil kearah terbinanya daulah Islamiyah dan tertegaknya cita-cita Islam di muka bumi.

Tuesday, May 26, 2009

Kenapa Tidak Layak ??

Saya telah dihubungi melalui SMS oleh seorang sahabat memaklumkan bahawa Pengerusi JK Pemilihan Muktamar PAS Ke 55 (Dato’ Hj Mustafa Ali) telah mengumumkan kemenangan tanpa bertanding Ustaz Nasrudin Hasan Tantawi sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat yang baru. Ustaz Azman Syafawi telah menang Timbalan Ketua DPPP dan Sdr Sabki telah menang kerusi Naib Ketua DPPP keduanya juga tanpa bertanding.

Ketiga-tiganya adalah sahabat saya dalam perjuangan. Kepada mereka saya ucapkan tahniah kerana peluang seluas mata memandang telah dibukakan oleh Allah SWT kepada mereka untuk mendapatkan syurga Allah SWT melalui amanah yang akan mereka laksanakan. Banyak orang yang mengucapkan takziah atas amanah kepimpinan yang mereka terima , namun saya pula ingin mengucapkan tahniah atas beberapa sebab :

Pertama ; sesungguhnya jawatan dan kepimpinan itu adalah amanah yang sangat berat dari Allah SWT. Ia bakal dipersoalkan Allah di akhirat kelak. Beratnya amanah kepimpinan adalah terlebih berat dari langit dan bumi. Rasulullah menangis di dalam sujud yang panjang kerananya. Khulafa’ Ar Rasyidin menangis dan mengeluh di dalam munajat mereka kerana amanah kepimpinan dan demikian juga para pemimpin umat yang bertaqwa sepanjang zaman, Umar Ibn Abdil Aziz umpamanya.

Namun jika ia dilaksanakan sebaik mungkin, maka bagi para pemimpin pahala dan ganjaran yang besar di akhirat. Taraf kedudukan mereka adalah sama dengan para anbiya’ dan sekalian salihin. Jika di dalam hadis Rasulullah SAW menyebut ; “Peniaga yang jujur akan duduk di samping para anbiya’ di akhirat kelak” inikan pula para pemimpin yang sanggup mengorbankan segalanya demi ummah dan tercapainya cita-cita agung tertegaknya syariat Allah di muka bumi.

Rasulullah SAW pernah bersabda kepada Abu Zar rdh :

“Wahai Abu Zar, sesungguhnya engkau seorang yang lemah sedangkan jawatan adalah satu amanah yang pada hari qiyamat nanti merupakan satu kehinaan dan penyesalan. Kecuali bagi orang yang dapat melaksanakan tugasnya dengan benar dan menunaikan kewajipan dengan sebaik-baiknya” - riwayat Imam Muslim rahimahullah.

Kedua ; sesungguhnya pemimpin adalah ‘khadam’ kepada pengikutnya. Pemimpin jua adalah pelayan dan pemberi khidmat kepada orang bawahannya. Mereka diberikan penghormatan dan kasih sayang kerana khidmat bakti dan curahan pengorbanan yang tidak kunjung padam dari relung hati yang tulus ikhlas kepada pengikut yang sangat mereka cintai lebih dari diri mereka sendiri. Umar Ibn Abdil Aziz radhiyallahu ‘anhu umpanya, apabila menjawat jawatan Khalifah, ia segera mengambil tindakan menaikkan elaun pegawainya serta mengurangkan elaunnya sendiri.

Saiyyiduna Umar Ibn Al Khattab radhiyallahu ‘anhu telah mengarahkan baitul mal memotong elaunnya sendiri setelah menyedari bahawa elaun yang diberikan adalah melebihi sepatutnya setelah mengetahui isterinya mampu membeli sebuah loket hasil simpanan lebihan elaun khalifah yang diterimanya.

Sabda Rasulullah SAW :

“Saiyyid (penghulu/pemimpin) suatu kaum itu adalah khadam mereka”

Maka jikalau ditamsilkan dengan khadam itu boleh menjadi sebab kepada kemuliaan kerana menolong dan memudahkan orang, sudah barang pasti jua seorang pemimpin yang menjadi khadam kepada umat dan pengikutnya akan mendapat kelebihan dan kemuliaan di sisi Allah SWT.

Ketiga ; sememangnya kepimpinan itu adalah amanah yang bakal dipertanggungjawabkan. Akan tetapi, memelihara dan menjaga keutuhan jamaah serta bekerja untuk meneruskan kesinambungan gerak kerja perjuangan juga adalah satu amanah. Faham saya, jika kita mengetahui bahawa kemudharatan akan berlaku jika kita tidak memegang amanah kepimpinan dengan menyerahkannya kepada orang lain yang lebih lemah dari kita, maka wajiblah kita memegang amanah yang diberikan kepada kita bahkan haram kita membiarkan tampuk kepimpinan dipegang oleh yang lemah.

Keempat ; ketahuilah bahawa kepimpinan yang amat dikehendaki oleh umat adalah kepimpinan yang boleh membawa mereka ke hingga ke syurga Allah SWT. Allah SWT mengutuskan para nabi dengan rancangan untuk memimpin manusia ke syurga Allah SWT serta menjauhkan mereka dari neraka Allah SWT. Maka kepimpinan PAS sebagai sebuah parti dan jamaah Islam jua adalah bertanggungjawab meneruskan cita-cita dan agenda para nabi ini untuk memimpin manusia ke syurga. Masakan kerja memimpin manusia ke syurga tidak layak untuk menerima ucapan tahniah!

Monday, May 11, 2009

Mahkamah Tinggi: Nizar Menteri Besar Perak yang sah

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini mengisytiharkan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah, bukannya Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Keputusan itu dibacakan Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas), Datuk Abdul Aziz Abd Rahim, di sini, sebentar tadi.

Dalam keputusannya, Abdul Aziz berkata jawatan Menteri Besar Perak tidak boleh dianggap kosong mengikut peruntukan Artikel 16(6) Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak dan undi tidak percaya terhadapnya hanya boleh dibuat ketika persidangan Dewan Undangan Negeri.

Nizar sebelum ini mengemukakan semakan kehakiman untuk mendapatkan pengisytiharan mahkamah bahawa beliau masih Menteri Besar Perak yang sah.

Bagaimanapun, keputusan itu masih belum muktamad kerana pihak yang kalah boleh mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Mohammad Nizar memfailkan semakan kehakiman itu pada 13 Februari lalu, memohon perintah injunksi bagi menghalang Zambry, yang dilantik Menteri Besar pada 6 Februari lalu, atau ejennya daripada menjalankan tugas sebagai Menteri Besar. Mohammad Nizar juga memohon perintah supaya Zambry memberikan tunjuk sebab bagaimana dan mengikut dasar atau kuasa apa beliau berhak memegang jawatan itu.

Beliau turut memohon perisytiharan mahkamah, Zambry bukanlah Menteri Besar Perak dan tidak berhak menjawat jawatan itu.

Selain itu, Mohammad Nizar juga memohon mendapatkan takrif mengenai Perkara 16 (6) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak (UTKP) sama ada jawatan Menteri Besar boleh dikosongkan.

Pada 6 Februari lalu, Zambry mengambil alih pucuk pimpinan negeri Perak selepas Barisan Nasional (BN) mendapat sokongan 31 Adun berbanding 28 Adun bagi Pakatan Rakyat (PR). Sokongan kepada BN bertambah selepas Jamaluddin Mohd Radzi (PKR-Behrang), Mohd Osman Mohd Jailu (PKR-Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (DAP-Jelapang) keluar parti masing-masing untuk menjadi Adun Bebas serta menyokong BN.

Sumber mutakhir Berita Harian Online : Dicatat 4.34 petang.

Lidah Paling Mahal

Salam Islah,

Saya pindahkan artikel ini kerana beberapa sebab :

1.Betapa mahal dan berharganya setiap ciptaan Allah di tubuh kita, demikian Allah SWT berfirman ; " Dan pada dirimu sendiri tidakkah kamu melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah SWT)".

2.Manusia sangat menyayangi dan akan mepertahankan apa jua perkara yang dapat mendatangkan keuntungan dan kekayaan kepada dirinya. Sedang bukankah syurga itu lebih besar keuntungannya dan sangat tinggi nilainya bagi orang beriman.

3.Yang pasti, tiada insuran yang ditawarkan untuk setiap anggota yang akan dibakar dalam api neraka di akhirat kelak kerana dosa dan maksiat kepada Allah.

Demikianlah mati mengajar kita !
**************************************************
Individu yang dimaksudkan ialah Gennaro Pellicia. Tindakan majikannya bukanlah mencari populariti atau mencipta sejarah, sebaliknya menjadi cara penting bagi memastikan lidah pemuda itu sentiasa dalam keadaan baik untuk membolehkan ia mampu membezakan ratusan jenis kopi yang dijual.


Pelliccia bertanggungjawab di atas rasa 108 juta cawan kopi Costa Coffee yang dijual di Britain setiap tahun.

Polisinya dengan firma insurans Lloyd’s of London menjadikan lidahnya dua kali lebih berharga dari senyuman bintang Ugly Betty, America Ferrera dan satu persepuluh satu peratus daripada keseluruhan tubuh pemain bola sepak terkenal, David Beckham.

Pelliccia, 34, yang perlu merasa beratus-ratus biji kopi kisar di rangkaian restoran itu di Lambeth, selatan London, juga perlu melakukan pengorbanan berikutan tuntutan kerja uniknya itu. Ini termasuk menjauhi makanan terlalu panas kerana berisiko melecurkan lidahnya.

Beliau juga dilarang menikmati kari dalam masa dua hari sebelum musim merasa kerana dibimbangi rempah ratus itu boleh menjejaskan sensitivitinya.

Dengan 5,000 jenis kopi perlu dirasa dan dikelaskan oleh Pelliccia setiap tahun, pegawai atasan Costa memutuskan lidah pemuda itu berbaloi untuk setiap sen yang dikeluarkan.

“Pengalaman selama 18 tahun membolehkan saya membezakan antara beribu perisa. Lidah juga membolehkan saya membezakan sebarang kecacatan, yang membenarkan saya melindungi dan menjamin campuran Mocha Italia unik Costa,” kata Pellicia.

Walaupun mempunyai sepasukan ‘tukang rasa’ yang bekerja untuknya, Pelliccia, secara peribadi merasa setiap kumpulan biji kopi mentah yang melalui pemanggang di restoran itu.

Costa juga yakin lidah milik Pelliccia yang bertanggungjawab di atas rekod kejayaan dalam ujian merasa jenama baru-baru ini. Pengarah Urusan Costa Coffee, John Derkach, berkata Pelliccia adalah ‘elemen penting’ dalam perniagaan syarikat itu.

Hakikatnya, Pelliccia bukan berseorangan dalam situasi yang bagi kebanyakan orang lain tidak masuk akal, tetapi sekadar menambah senarai panjang golongan selebriti dan bukan selebriti yang berlumba-lumba mengambil insurans bagi melindungi aset tubuh masing-masing.

Beliau masih kalah dibandingkan dengan jumlah insurans keseluruhan tubuh Beckham, yang dilaporkan £40 juta (RM200 juta), dipercayai polisi insurans paling tinggi bagi set bahagian tubuh walaupun cuma kakinya yang banyak membantu bekas kapten England itu mengumpul kekayaan.

Lebih melucukan ialah tindakan penari bogel lelaki Britain, Frankie Jakeman, yang mengambil polisi bernilai £1.2 juta (RM6 juta) untuk kemaluannya pada tahun 1987.

Di kalangan selebriti Barat, mempertaruhkan sejumlah wang besar untuk melindungi bahagian tertentu tubuh mereka bukan lagi asing apatah lagi bahagian itu menjadi sumber pendapatan mereka yang mencecah puluhan, ratusan atau ribuan juta dolar.

Penyanyi dan pelakon berketurunan Latin, Jennifer Lopez, baru-baru ini dilaporkan mengambil polisi sehingga AS$1 bilion (RM3.6 bilion) untuk payu dara, kaki, belakang, rambut dan berat badannya. Walaupun ia disangkal oleh bintang ‘Maid in Manhattan’ itu, ia sekali gus menjadi bukti betapa selebriti sanggup berhabisan melindungi aset mereka walaupun bagi kebanyakan orang, ia mungkin kerja gila.

Nyata JLo itu bukan berseorangan dalam mengambil insurans untuk melindungi asetnya walaupun mungkin tidak mencecah berbilion dolar kerana menyertainya ialah senarai panjang selebriti dan tokoh lain yang bertindak luar jangkaan demi melindungi kepentingan masing-masing.

Nama besar lain dalam dunia selebriti Barat yang tidak teragak-agak melabur sejumlah wang untuk pulangan lebih lumayan jika kecelakaan menimpa ialah pemain gitar kumpulan Rolling Stones, Keith Richards yang mengambil insurans bernilai £1.5 juta (RM7.6 juta) untuk tangannya manakala penyanyi Dolly Parton melabur £350,000 (RM1.7 juta) iaitu lebih £8,000 (RM40,000) setiap inci payu daranya.

Tindakan mereka mungkin kelihatan tidak masuk akal kerana tiada guna menentang hukum alam yang jelas membuktikan muda pasti bertemu tua, tegang akan mengendur dan gagah beransur lemah. Namun apabila bertuhankan wang dan kemewahan, apa saja akan dilakukan demi memastikan kehilangan mereka dari pentas kemasyhuran tidak menjejaskan gaya hidup yang dijalani selama ini.

INFO: Insurans anggota tubuh

  • Bintang bola sepak David Beckham mengambil insurans bernilai RM200 juta bagi badannya, dipercayai polisi insurans paling tinggi pernah dibuat bagi tubuh

  • Pelakon dan penyanyi berketurunan Latin, Jennifer Lopez, mengambil polisi sehingga RM3.6 bilion untuk payu dara, kaki, bahagian belakang, rambut dan berat badannya.

  • Pemain gitar kumpulan Rolling Stones, Keith Richards mengambil insurans RM7.6 juta untuk tangannya.

  • Penyanyi Dolly Parton melabur RM1.7 juta, iaitu lebih RM40,000 bagi setiap inci payu daranya.

  • sumber: Berita Harian Online

    Mat Rempit Hanya Di Malaysia

    GEJALA mat rempit hanya wujud di Malaysia, malah tiada sebarang jurnal antarabangsa yang pernah melaporkan masalah itu kecuali di negara ini.

    Pakar pengangkutan awam yang juga Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Abdul Rahim Md Nor, berkata ini disebabkan beberapa faktor termasuk penggunaan motosikal sebagai pengangkutan utama di Malaysia berbanding negara asing.

    "Di Eropah, Amerika Syarikat dan Australia misalnya, ramai berkereta atau menggunakan kenderaan awam ke tempat kerja. Tidak ramai yang bermotosikal. Malah jika ada motosikal pun, mereka menggunakan motosikal berkuasa tinggi. "Keadaan sebaliknya di sini kerana ramai bermotosikal. Malah lebih ramai daripada yang berkereta. Jadi wujudlah kelompok atau kumpulan tersendiri seperti mat rempit sama ada di luar bandar dan bandar. Merempit itu sudah menjadi satu budaya di kalangan pemilik motosikal ini," katanya.

    Prof Abdul Rahim berkata, di luar negara, jika ada pun, hanyalah lumba kereta haram dan bukannya motosikal.

    "Hanya ada beberapa negara yang melaporkan kejadian lumba kereta haram seperti Australia, New Zealand, Amerika, United Kingdom, Sweden, Croatia, Jepun, dan Hong Kong. Bagaimanapun, perlu diingat, keadaan di luar negara terkawal, tidak seperti Malaysia yang hampir setiap malam ada saja kejadian merempit." katanya. Beliau turut mengaitkan gejala mat rempit itu dengan faktor cuaca. Di Malaysia, cuacanya sama sepanjang tahun, manakala di luar negara cuacanya empat musim.

    "Apa yang pasti, tiada siapa pun yang mahu bermotosikal ketika musim sejuk." katanya.

    Prof Abdul Rahim turut menyuarakan kebimbangannya kerana perkembangan semasa menunjukkan gejala mat rempit bukannya berkurangan atau terkawal, sebaliknya semakin menjadi-jadi. Buktinya, jika dulu cuma 10 atau 20 orang mat rempit bergerak dalam satu kumpulan, kini bilangan mereka mencecah hingga 200 orang.

    Ditanya faktor utama yang menyumbang kewujudan mat rempit ini, beliau menyifatkan sekurang-kurangnya lima faktor iaitu sikap mat rempit, ada 'peminat' gejala itu, pengaruh permainan video, pengaruh media dan penguatkuasaan undang-undang yang longgar, "Sikap mat rempit yang menyifatkan perbuatan mereka itu memberikan kepuasan dan keseronokan tersendiri. Mereka berasa teruja dapat beraksi di jalan raya, ditonton ramai, ada peminat serta ganjaran seperti wang dan wanita untuk ditiduri.

    "Tidak kurang juga yang menjadikan aksi rempit itu cara meleraikan pertelagahan seperti kumpulan mana yang memandu paling laju. Merempit ini memberi kepuasan rekreasi kepada mereka. Jika orang lain seronok panjat gunung atau kegiatan sukan lain, mat rempit menganggap membonceng motosikal dengan laju dan mempamerkan aksi bahaya itu satu kepuasan. Lebih-lebih lagi jika mereka ada kawan yang meminati perkara sama," katanya.

    Prof Abdul Rahim turut menyelar sikap pengeluar filem dan drama bersiri yang berlumba-lumba menghasilkan cerita mengenai mat rempit yang disifatkannya hanya memberi publisiti meluas dan menggambarkan mereka sebagai hero atau ikon.

    "Pengarahnya pula mendakwa produksi itu memberi pengajaran. Tetapi saya mahu soal kembali, apa gunanya pengajaran yang cuma 20 peratus berbanding keburukan sebanyak 80 peratus lagi?

    "Pernahkah beliau terfikir berapa ramai yang akan meniru aksi dipaparkan? Aura filem sedemikian bukan saja di ibu negara tetapi menular sehingga ke segenap pelosok tanah air. Jadi apa rasionalnya menghasilkan drama atau filem yang mempopularkan gejala sosial sedemikian?"

    Prof Abdul Rahim juga menggesa pihak berkuasa seperti polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) mewujudkan satu pangkalan data khas bagi pesalah merempit ini, khususnya mengesan mereka yang tegar dan harus dikenakan hukuman lebih berat apabila mengulangi kesalahan itu.

    "Pangkalan data itu menjadi catatan rekod kesalahan dan rujukan pihak berkuasa itu sendiri. Selain itu, kerajaan juga harus lebih tegas dengan menggantung lesen mat rempit selama dua tahun. Kita harus lebih serius dan tegas menangani permasalahan mat rempit ini," katanya.sumber > Berita Harian Online


    Friday, May 8, 2009

    Peragut Dajjal Dan Yang Sewaktu Dengannya

    “Sekali lagi negara digemparkan dengan kes ragut terbaru yang menyebabkan kematian kepada mangsa. Ibu muda berusia 33 tahun, Sharifah Mohd. Noor meninggal dunia sebaik sahaja beliau diragut semasa menaiki motosikal.

    Sharifah yang dalam perjalanan balik ke Melor setelah bersama dengan ibunya di Kg. Bedolah, Tumpat diragut semasa tiba di Kg, Padang Raja. Sebaik diragut, motosikal EX5 yang ditunggangnya digesel oleh motosikal peragut tersebut menyebabkan beliau hilang kawalan dan terjatuh. Sebuah kenderaan Proton dari arah bertentangan tidak dapat mengelak beliau lalu melanggarnya menyebabkan kecederaan parah di kepala dan badannya.

    Sharifah yang mengandung tiga bulan, meninggalkan suami Mohd Zani Awang dan lima orang anak yang masih kecil (berusia dua-tigabelas tahun). Ini adalah kes ragut ketiga berlaku berturut-turut yang menyebabkan kematian dan kes kedua membabitkan ibu muda yang sedang mengandung. Dan yang paling malang dikala para mat rempit dan peragut-peragut dajjal ini bermaharajalela, pasukan polis lebih sibuk mengerahkan kekuatan anggotanya untuk menghalang rakyat bersuara dan berhimpun secara aman di Perak. Alangkah baiknya kalau pihak polis menumpukan tugas dan tenagakerja mereka kepada menangani dan menyelesaikan masalah peningkatan jenayah yang makin membimbangkan akhir-akhir ini.”

    Demikian saya salin sebahagian tulisan YB MP Kulim Bandar Bharu Hj Zolkefli Nordin di dalam blognya mengenai kematian yang berpunca dari kes ragut. Postingnya itu di letakkan dengan tajuk “PERAGUT DAJJAL”.

    1.Sememangnya dalam Hadis Sahih dinyatakan sekian banyak fenomena kejahatan dan perangai serupa dajjal yang akan muncul di akhir zaman sebelum terbitnya dajjal yang hakiki di akhir zaman. Ringkasnya, semuanya berlaku kerana nafsu yang tidak terdidik dengan tarbiyah Islam yang berasaskan ajaran al Quran dan As Sunnah ditambah pula dengan suasana sekeliling yang langsung tidak membantu kearah terdidiknya jiwa dengan keimanan dan rasa takut kepada Allah SWT.

    2.Peragut di atas sememangnya jahat walau apa jua alasan yang dia akan berikan jika tertangkap. Alasannya ialah; masih banyak cara dan jalan untuk mendapatkan rezaki yang halla dan bantuan dari sumber yang halal.

    3.Ada lagi peragut yang lebih jahat. Mereka adalah manusia bongkak yang berani meragut kesucian agama dengan merubah hukum hakam dan mencabar peraturan Allah SWT. Lebih dahsyat lagi, mereka ‘meragut’ kesucian agama dan Al Quran dengan menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah SWT. Mereka juga selayaknya di labelkan dengan ‘peragut dajjal’.

    4.Apa pulak yang patut dilabelkan kepada ‘peragut’ Kerajaan Perak dari PR yang dipilih rakyat? Peragut dajjal jugakah?.Jika ditanya kepada saya maka jawabnya ‘ya’.

    5.Ha…yang ini memang panas dan sensitif dan bakal ‘dihurung’ selepas posting ini disudahkan. Bagaimana pula dengan cubaan ‘meragut kepimpinan ulama’ dengan sanggahan sinis “ulama’ tidak sepatutnya mengangkat diri mereka sendiri dan melibatkan diri dengan perebutan jawatan. Dah jika ada orang ‘dalam’ yang cuba untuk melakukan perubahan songsang dalam PAS, takkan ulama’ nak diamkan diri. Sudahlah lama ulama’ ‘berdiam’, kali ini rasanya tidak lagi kot. Jika ‘terjahan’ kepada kepimpinan TGHH dan ulama’ selama ini yang kekadang berbaur fitnah pun hanya dipandang dengan ‘sangka baik’, maka jika kali ini ulama’ bersuara ‘sedikit’ sahaja kenapa terjerit-jerit?. Cuba ambil sikap ulama’ sebelum ini pula, iaitu dengar dan renung dalam-dalam. Kemudian, sebagaimana ulama’ diminta menerima hakikat terjahan tersebut, maka sudah tiba giliran kamu pula menerima hakikat kebenarannya. Salahkah begitu?. Dalam bab ni tak payah tulis buku kot…tolong jangan samakan mereka ini dengan peragut di atas. Mereka hanya mahukan PERUBAHAN SONGSANG.


    Tazkirah Ad Dua'ah : BEGINILAH JALAN DAKWAH MENGAJAR KITA



    Mengapa Berada di Jalan Da’wah?


    Pertanyaan itu selalu penting untuk kita renungi lagi. Tentu akan sangat banyak huraian alasan dari pertanyaan tersebut. Sesungguhnya, kami melangkah di jalan ini kerana jalan inilah bahagian daripada rasa syukur kami atas hidayah yang Allah berikan.


    Jalan da’wah mengajarkan bahawa kami memang memerlukan da’wah. Kebersamaan kami dengan saudara-saudara di jalan ini semakin menegaskan bahawa kami harus hidup bersama mereka agar berhasil dalam hidup dunia dan akhirat.


    'Barangsiapa yang mengajak kepada petunjuk Allah, maka ia akan mendapat pahala yang sama jumlah pahala orang yang mengikutinya tanpa dikurangi sedikitpun oleh pahala mereka.’ [1]

    Ada banyak orang-orang mulia, kaum Muslimin para pendahulu yang telah menuai pahala kerana menyebabkan kami mengenal Islam dan menghantarkan kami mengimani agama ini. Para malaikat akan terus mencatat pahala mereka hingga hari kiamat tiba. Alasan berikutnya adalah da’wah akan menjadi penghalang turunnya azab Allah SWT :

    “Dan (ingatlah) ketika segolongan di antara mereka berkata: "Mengapa kamu menasihati kaum Yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazabkan mereka Dengan azab Yang amat berat?" orang-orang (yang memberi nasihat) itu menjawab: "(Nasihat itu ialah) untuk melepaskan diri dari bersalah kepada Tuhan kamu, dan supaya mereka bertaqwa".

    Maka ketika mereka melupakan (tidak menghiraukan) apa Yang telah diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang Yang melarang daripada perbuatan jahat itu, dan Kami timpakan orang-orang Yang zalim Dengan azab seksa Yang amat berat, disebabkan mereka berlaku fasik (derhaka).” [2]


    Teman-teman Pilihan


    Ar-rafiiq qabla thariiq
    , memilih teman harus didahulukan sebelum memulai perjalanan. Syarat dalam perjalanan adalah Ar-rafiiq ash-shaalih (teman yang baik). Di jalan ini, secara automatik tergabung dalam kebersamaan setelah berbagai tahapan seleksi (pemilihan). Barangkali yang dominan bukanlah seleksi (pemilihan) yang kami lakukan sendiri, melainkan tabiat kehidupan dan perjalanan ini yang memilih kami dan saudara-saudara kami secara tidak langsung. Ragam ujian, cubaan, berbagai fitnah, godaan dan rayuan di perjalanan inilah yang memilih (menyaring) kami dan saudara-saudara kami.

    Kami dan Amal Jama’ie


    Kitab Al-Hall al-Islamy, Faridhah wa Dharurah, DR. Yusuf Al-Qaradhawi mengatakan:

    "Amal jama’ie itu harus dilakukan. Kerana ia termasuk di dalam perintah yang diwajibkan dalam agama dan tuntutan realiti sekaligus. Agama memerintahkan kita untuk bersatu dan saling membantu dalam kebaikan dan ketaqwaan. Sedangkan amal jama’ie termasuk salah satu bentuk amal kebaikan dan ketaqwaan yang paling khusus, paling prinsipal dan paling penting".

    Perjalanan ini mutlak memerlukan pemimpin


    Di antara syarat perjalanan adalah keharusan adanya pemimpin. Konsekuensi pemahaman bahawa da’wah harus terorganisasi dan tertata. Seorang pemimpin diperlukan kerana pandangannya yang beragam untuk menentukan arah perjalanan dan kemaslahatan perjalanan.

    Tidak ada keteraturan tanpa kesatuan pengaturan. Alam ini menjadi teratur kerana Pengatur alam semesta ini adalah satu (Ihya Ulumuddin). Jika alam ini ada banyak tuhan, selain Allah, nescaya akan rosaklah.

    “Kalau ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan yang lain dari Allah, nescaya rosaklah pentadbiran kedua-duanya. maka (bertauhidlah kamu kepada Allah Dengan menegaskan): Maha suci Allah, Tuhan yang mempunyai Arasy, dari apa yang mereka sifatkan.”[3]

    Kami telah mempercayai pemimpin kami sebagai pemandu perjalanan kami. Maka setelah proses syuro berlangsung dan keputusan hasil syuro itulah yang kami pegang.

    Jalan ini, Miniatur Perjalanan Sesungguhnya


    Kami berinteraksi secara interaktif dengan sesama saudara di jalan ini. Kami menemukan banyak sekali karakter dan sifat yang mereka miliki. Interaksi ini terkadang memunculkan jarak, ketidaknyamanan, dan perbezaan pendapat. Jiwa toleran adalah salah satu pelajaran berharga yang kami petik dari jalan da’wah untuk mensikapi sifat dan karakter sesama saudara di jalan ini.


    Selama tidak pada kategori yang jelas dan terang penyelewengan dari ajaran Allah dan RasulNya. Selama yang terjadi hanya perbezaan sudut pandang, perbezaan karakter dan sifat, perbezaan dalam penyampaian ungkapan dan sebagainya. Kami belajar untuk mensikapinya secara adil.

    Tiga Karakter Penempuh Perjalanan


    Ibnul Qayyim Al-Jauziyah menyebutkan bahawa di perjalanan ini setidak-tidaknya ada tiga kelompok manusia. Mereka adalah:-


    • Kelompok zaalimun li nafsihi adalah orang-orang yang lalai dalam mempersiapkan bekal perjalanan. Mereka enggan untuk mengumpulkan apa-apa yang mampu membuatnya sampai ke tujuan.
    • Kelompok muqtashid adalah mereka yang mengambil bekal secukupnya sahaja untuk sampai ke tujuan perjalanan.
    • Kelompok saabiqun bil khairaat yakni orang-orang yang ingin untuk meraih keuntungan yang sebesar-besarnya.

    Kami berusaha memiliki karakter kelompok dua dan tiga, tidak kelompok pertama. Kami harus memiliki perbekalan yang mencukupi hingga perjalanan ini usai. Perbekalan yang bisa membantu kami untuk tetap mampu bertahan dan melangkah melewati rintangan.
    Dan sebaik-baik perbekalan adalah Taqwa. Bekal ketaqwaan erat kaitannya dengan modal ruhiyah kami di jalan ini. Dan bekal itulah kami menempuh perjalanan da’wah ini.

    La tas aluunii an hayaatii, fa hiya asrarul hayah.
    Jangan engkau tanya aku tentang jalan hidupku, di jalan ini terdapat banyak rahsia kehidupan.


    Hiya minhatun hiya minhatun, hiya alamun min umniyat.
    Ia adalah kurnia sekaligus ujian, ia adalah dunia cita-cita.


    Qad bi’tuha lillahi tsumma madhoitu fii raakibil huda.
    Aku telah menjual hidup ini kepada Allah, kemudian aku berlalu bersama pemburu petunjuk.


    [1] HR. Muslim

    [2] Surah Al A’raaf : 164 - 165

    [3] Surah Al Anbiyaa’ : 22

    Friday, May 1, 2009

    Jawatan : Antara Rebutan di Dunia & Bebanan Di Akhirat

    Seperti biasa saya akan mulakan tugas pagi dengan meneliti , membaca dan menyelongkar tulisan dan posting-posting terbaru dalam web blog sahabat-sahabat dunia siber. Cuma hari ini saya bermula agak lewat kerana melayan kehendak tubuh dan 'meraikan Hari Buruh'.

    Blog Tantawi hari ini telah menyiarkan peringatan dan tazkirah serta nasihat Ybhg Dato' Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man ( Ahli Majlis Syura Ulama' PAS ) yang saya kira sangat bersesuaian dengan suasana 'panas' saat menghampiri muktamar PAS Pusat tak lama lagi.

    Saya perturunkan artikel tersebut seperti di bawah ;

    Sewaktu Nabi mengiklankan satu jawatan untuk diisi oleh para sahabat, lalu datanglah Abu Zar al-Ghifari memohon jawatan tersebut, melihat yang memohon itu Abu Zar, lalu nabi menyatakan
    « Wahai Abu Zar, sesungguhnya engkau lemah, sedangkan jawatan ini satu amanah, kelak nanti di hari akhirat engkau akan akan dukacita dan menyesal ; melainkan engkau ambil dengan selayaknya dan engkau tunai pula amanahnya’.

    Hadis ini seharusnya menjadi dasar pegangan setiap kita agar tidak terlalu ghairah untuk mendapatkan jawatan, kerana beratnya bebanan yang terpaksa ditanggung nanti. Muawiyah bin Abu Sufyan disaat kematiannya menungkapkan kata-kata masyhur ‘Alangkah sedikitnya bekalan, alangkah jauhnya perjalanan dan alangkah beratnya bebanan’.

    Rasulullah juga pernah memberi amaran antara lain mafhumnya ‘ jangan kamu mendesak untuk mendapatkan jawatan, kerana sesiapa yang mendapatkannya sedang orang ramai tidak meredhainya, maka Allah tidak akan membantunya’. AlHamdulillah, semangat keimanan tersebut telah tersemat kukuh dalam jamaah kita, sehingga setiap kita merasa berat untuk menerima jawatan tersebut.

    Tetapi kita juga sedar dengan apa yang diucapkan oleh Presiden, menerima jawatan dalam jamaah adalah perlumbaan untuk membuat kebaikan dan memperjuangkan Islam. Kita rasa seronok bilamana kita boleh menyumbangkan sesuatu kepada jamaah, walaupun kita tidak memegang apa-apa jawatan dalam parti.

    Betapa ramainya golongan yang ikhlas dalam perjuangan ini sanggup korbankan harta, masa dan tenaga untuk kemenangan Islam, walau mereka tidak memegang apa-apa jawatan dan jauh dari dipilih sebagai calon dalam pilihanraya.
    Jamaah kita didokongi oleh ahli yang ikhlas, kepimpinan yang wibawa dan kemantapan jamaah yang hebat. Kita sedar musuh amat cemburu dengan muafakat jamaah yang kita ada.

    Mereka cuba memecahkan perpaduan kita, mereka cuba laga-lagakan antara kita, kerana itu kita harus sedar agar tidak jadi jurucakap bagi pihak musuh. Dalam kebimbangan dan ketakutan untuk menerima amanah ini, kita juga diberi amaran oleh Rasulullah antara lain Baginda mengingatkan sesiapa yang ummah/orang ramai mengharapkan kepadanya untuk menjaga maslahah mereka, lalu dia melarikan diri ( enggan menerima) maka aku tak ingin berjumpa dengannya nanti di padang mahsyar.( Nauzubillah).

    Oleh itu pertimbangan yang wajar ialah berada di antara takut dan harap. Takut Rasulullah murka, dan harap Allah bantu dengan amanah ini.oleh itu menjadi tanggungjawab perwakilan yang menerima amanah ahli bawahan meneliti dengan keilmuan, menolak sentimen dan emosi, meletakkan kepentingan jamaah di hadapan agar membuat pilihan yang sebaik-baiknya bagi menerajui kepimpinan jamaah kita.

    Namun kemungkinan pilihan kita bertepatan dengan pilihan ramai, lalu yang kita cadang menerima amanah; atau mungkin juga berlaku sebaliknya. Kita harus sedar, setelah diputus oleh jamaah maka kita mesti wala’ kepada kepimpinan yang dipilih. Perlantikan sebagai pimpinan menuntut kita taat dan wala’ kepadanya ‘ walaupun dari hamba berkulit hitam, berbangsa Habashi sekalipun’.

    Ini lebih penting dari pemilihan, kerana soal pemilihan boleh selesai dalam sehari, tetapi soal wala’ akan berpanjangan sehingga muktamar akan datang. Kepada yang terpilih menerajui kepimpinan kawasan, dewan dan akan terpilih dalam muktamar pusat, ingatlah akan doa saidina Umar al Khattab:

    Ya Allah, engkau telah bebankan aku dengan bebanan yang berat di dunia, maka janganlah engkau bebankan pula aku dengan bebanan yang berat diakhirat”.

    Ingatlah kita sebenarnya belum diuji oleh Allah dengan kemenangan besar yang menanti kita- Semoga Allah tidak menguji kita sebagaimana Allah menguji umat sebelum kita.

    Wassalam.

    Mau'izah untuk ana dan para sahabat;

    Tuan Ibrahim Tuan Man,