Saya telah dihubungi melalui SMS oleh seorang sahabat memaklumkan bahawa Pengerusi JK Pemilihan Muktamar PAS Ke 55 (Dato’ Hj Mustafa Ali) telah mengumumkan kemenangan tanpa bertanding Ustaz Nasrudin Hasan Tantawi sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat yang baru. Ustaz Azman Syafawi telah menang Timbalan Ketua DPPP dan Sdr Sabki telah menang kerusi Naib Ketua DPPP keduanya juga tanpa bertanding.
Ketiga-tiganya adalah sahabat saya dalam perjuangan. Kepada mereka saya ucapkan tahniah kerana peluang seluas mata memandang telah dibukakan oleh Allah SWT kepada mereka untuk mendapatkan syurga Allah SWT melalui amanah yang akan mereka laksanakan. Banyak orang yang mengucapkan takziah atas amanah kepimpinan yang mereka terima , namun saya pula ingin mengucapkan tahniah atas beberapa sebab :
Pertama ; sesungguhnya jawatan dan kepimpinan itu adalah amanah yang sangat berat dari Allah SWT. Ia bakal dipersoalkan Allah di akhirat kelak. Beratnya amanah kepimpinan adalah terlebih berat dari langit dan bumi. Rasulullah menangis di dalam sujud yang panjang kerananya. Khulafa’ Ar Rasyidin menangis dan mengeluh di dalam munajat mereka kerana amanah kepimpinan dan demikian juga para pemimpin umat yang bertaqwa sepanjang zaman, Umar Ibn Abdil Aziz umpamanya.
Namun jika ia dilaksanakan sebaik mungkin, maka bagi para pemimpin pahala dan ganjaran yang besar di akhirat. Taraf kedudukan mereka adalah sama dengan para anbiya’ dan sekalian salihin. Jika di dalam hadis Rasulullah SAW menyebut ; “Peniaga yang jujur akan duduk di samping para anbiya’ di akhirat kelak” inikan pula para pemimpin yang sanggup mengorbankan segalanya demi ummah dan tercapainya cita-cita agung tertegaknya syariat Allah di muka bumi.
Rasulullah SAW pernah bersabda kepada Abu Zar rdh :
“Wahai Abu Zar, sesungguhnya engkau seorang yang lemah sedangkan jawatan adalah satu amanah yang pada hari qiyamat nanti merupakan satu kehinaan dan penyesalan. Kecuali bagi orang yang dapat melaksanakan tugasnya dengan benar dan menunaikan kewajipan dengan sebaik-baiknya” - riwayat Imam Muslim rahimahullah.
Kedua ; sesungguhnya pemimpin adalah ‘khadam’ kepada pengikutnya. Pemimpin jua adalah pelayan dan pemberi khidmat kepada orang bawahannya. Mereka diberikan penghormatan dan kasih sayang kerana khidmat bakti dan curahan pengorbanan yang tidak kunjung padam dari relung hati yang tulus ikhlas kepada pengikut yang sangat mereka cintai lebih dari diri mereka sendiri. Umar Ibn Abdil Aziz radhiyallahu ‘anhu umpanya, apabila menjawat jawatan Khalifah, ia segera mengambil tindakan menaikkan elaun pegawainya serta mengurangkan elaunnya sendiri.
Saiyyiduna Umar Ibn Al Khattab radhiyallahu ‘anhu telah mengarahkan baitul mal memotong elaunnya sendiri setelah menyedari bahawa elaun yang diberikan adalah melebihi sepatutnya setelah mengetahui isterinya mampu membeli sebuah loket hasil simpanan lebihan elaun khalifah yang diterimanya.
Sabda Rasulullah SAW :
“Saiyyid (penghulu/pemimpin) suatu kaum itu adalah khadam mereka”
Maka jikalau ditamsilkan dengan khadam itu boleh menjadi sebab kepada kemuliaan kerana menolong dan memudahkan orang, sudah barang pasti jua seorang pemimpin yang menjadi khadam kepada umat dan pengikutnya akan mendapat kelebihan dan kemuliaan di sisi Allah SWT.
Ketiga ; sememangnya kepimpinan itu adalah amanah yang bakal dipertanggungjawabkan. Akan tetapi, memelihara dan menjaga keutuhan jamaah serta bekerja untuk meneruskan kesinambungan gerak kerja perjuangan juga adalah satu amanah. Faham saya, jika kita mengetahui bahawa kemudharatan akan berlaku jika kita tidak memegang amanah kepimpinan dengan menyerahkannya kepada orang lain yang lebih lemah dari kita, maka wajiblah kita memegang amanah yang diberikan kepada kita bahkan haram kita membiarkan tampuk kepimpinan dipegang oleh yang lemah.
Keempat ; ketahuilah bahawa kepimpinan yang amat dikehendaki oleh umat adalah kepimpinan yang boleh membawa mereka ke hingga ke syurga Allah SWT. Allah SWT mengutuskan para nabi dengan rancangan untuk memimpin manusia ke syurga Allah SWT serta menjauhkan mereka dari neraka Allah SWT. Maka kepimpinan PAS sebagai sebuah parti dan jamaah Islam jua adalah bertanggungjawab meneruskan cita-cita dan agenda para nabi ini untuk memimpin manusia ke syurga. Masakan kerja memimpin manusia ke syurga tidak layak untuk menerima ucapan tahniah!
1 comment:
Kebiasan ulama tidak rasmi
Ada ramai pengikut dan di hormati
Sebaliknya ulama rasmi (yang makan gaji dengan pemerintah)
tidak ada pengikut
Cuma ia di takuti kerana ada kuasa
Sifat ego lebih banyak pada ulama
Sifat zalim ada pada orang yang berkuasa
Sifat pura pura ada pada orang politik
Sifat tamak ada pada orang kaya
Bertukar fikiran lah dengan hukamak
Bertanyalah hukum dengan ulama
Carilah tenaga dengan orang banyak
Mintalah di doakan oleh orang warak
Behiburlah dengan kanak kanak
Berilah pertolongan kepada yang berkehendak.
Yang berilmu mari mengajar
Yang tidak berilmu mari belajar
Kalau sama sama sudah berilmu mari bermuzakarah
Post a Comment