Ketika Rasulullah SAW memulakan dakwah Baginda di Makkah, hanya ada dua golongan manusia yang wujud di hadapan Baginda iaitu golongan mukmin dan kafir atau disebut juga dengan musyrik. Rasulullah SAW sendiri memimpin golongan mukmin dan golongan musyrik penyembah patung dan berhala dipimpin oleh Abu Jahal, Abu Lahab, Umaiyyah bin Khalaf dan seumpama mereka dari pimpinan jahiliyyah Makkah. Setelah kematian Abu Thalib dan kewafatan Saidatuna Khadijah Al Kubra rdh , muslimin pimpinan Rasulullah SAW semakin ditekan dan ditindas serta diseksa dengan kejam tanpa perikemanusiaan oleh Kerajaan Makkah. Namun sejarah telah mencatatkan bahawasanya generasi pertama Islam ini telah melalui 13 tahun zaman penuh kepayahan dan kesusahan ini dengan sejuta ketabahan, kesabaran dan kecekalan iman serta penuh yakin dengan janji Allah SWT.
Apabila keizinan untuk berhijrah diperolehi dari langit, tidak berapa lama kemudian wujudlah satu golongan lagi manusia yang tidak ada di zaman Makkah iaitu golongan munafiq yang dipimpin oleh Abdullah bin Ubai. Mereka ini, mengaku beriman di hadapan Nabi SAW namun menikam Nabi dan para sahabah dari belakang. Mereka menzahirkan keimanan dan menyembunyikan kekufuran. Mereka menjadi musuh dalam selimut dan gunting dalam lipatan. Dengan kewujudan golongan ini maka bertambahlah satu lagi cabaran terhadap Islam serta fitnah terhadap mereka yang beriman.
Firman Allah SWT :
“Apabila orang-orang munafik datang kepadamu (Wahai Muhammad), mereka berkata: "Kami mengakui bahawa sesungguhnya Engkau - sebenar-benarnya Rasul Allah". dan Allah sememangnya mengetahui bahawa Engkau ialah RasulNya, serta Allah menyaksikan bahawa sesungguhnya pengakuan mereka adalah dusta.”
Golongan munafiq adalah musuh Islam dan sesiapa sahaja yang mencintai Islam apatah lagi golongan pejuang kebenaran sepanjang zaman. Golongan ini terasas di zaman Rasulullah SAW dan wujud sepanjang zaman hingga hari qiyamah dalam versi dan wajah yang terkini dan lebih moden. Merekalah pejuang kebathilan di zaman ini serta pemegang panji-panji kekufuran zaman moden. Modus operandi mereka di zaman ini mungkin berbeza sesuai dengan kehendak zaman namun sifat-sifat asas mereka telah didedahkan semuanya di dalam Al Quran dan Al Hadis.
Ideologi sekular yang wujud pada hari ini adalah antara anak-anak yang dilahirkan oleh golongan munafiq. Modus operandinya adalah mengajak manusia (baca: muslim) agar memisahkan agama dari kehidupan. Di Malaysia, ideologi ini pernah dikenali atau popular dengan seruan “Politik Suku Agama Suku”. Kerja buat dunia dipisahkan dengan persoalan dosa pahala, matlamat menghalalkan cara , perjuangan hak asasi dan kebebasan serta banyak lagi seruan-seruan kufur dan syirik yang dihias agar tampak cantik dan tidak salah oleh golongan ini. Daripada ajaran faham secular ini juga telah lahir bermacam-macam ajaran dan ideologi sesat di Malaysia ini khususnya seumpama faham kebangsaan atau nasionalisma, islam liberal, islam plural dan banyak lagi yang seumpama dengannya.
Sesungguhnya kesan dari faham sekular yang diperjuangkan oleh golongan munafiq moden inilah yang telah menjadikan manusia terpisah dari agama dan jauh dari Allah SWT apatah lagi untuk punya rasa takut dan gerun kepada Allah SWT. Jenayah semakin menjadi-jadi dikernakan hilangnya rasa ‘khaufullah’ (baca : gerun pada Allah). Rasa jauh dari Allah pula menyebabkan seorang Muslim melakukan dosa tanpa rasa bersalah apatah lagi takutkan azab neraka. Pemikiran takut neraka tidak pernah wujud dalam hidup golongan ini menjadikan mereka memiliki sifat berani yang songsang iaitu berani cabar hukum hakam Allah SWT.
Bagi para pejuang agama dan petugas amal Islami pula, sifat munafiq semestinya dijauhi. Bila sifat munafiq mula memasuki jiwa para pejuang, ia akan memamah keikhlasan, merosakkan prinsip aqidah perjuangan serta memutuskan hubungan dengan Allah SWT dan akhirnya hilanglah keyakinan terhadap perjuangan maka berlakulah ‘keguguran’ dari barisan pejuang agama.
Sifat nifaq adalah racun bagi umat dan pejuang agenda Islam. Ia akan melambatkan kemenangan serta menggugurkan kelayakan untuk mendapat nusrah (baca: pertolongan) dari Allah SWT. Ia akan mengotorkan keperibadian para pendakwah dan akhirnya mencemarkan imej Islam itu sendiri. Adalah mustahil kekotoran muslim dapat membersihkan fitnah terhadap Islam. Rasulullah SAW telah berusaha sepanjang hayat Baginda menjernihkan jiwa para sahabah sehingga dunia melihat Islam itu agung dan hebat.
Tulisan yang sederhana ini akan dinamakan “Formula Mengenali Sifat Munafiq”. Ia ditulis dengan tujuan untuk pembinaan peribadi Mukmin yang hebat dan mempunyai daya jihad yang teguh serta layak menerima pertolongan Allah melalui kebersihan jiwa. Moga tulisan ini menjadi satu sumbangan kecil kearah terbinanya daulah Islamiyah dan tertegaknya cita-cita Islam di muka bumi.
No comments:
Post a Comment