“Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap ugama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik). mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang).” Surah An Nisaa’ : 142
Al Quran dan As Sunnah adalah sumber terkuat dalam mengenali sifat munafiq ini. Oleh isi hati puak kerana rahsia sebenar puak munafiq ini hanya diketahui oleh Allah SWT maka Allah telah menurunkan wahyu dari langit untuk membantu Rasulullah SAW khasnya dalam mengenali golongan ini. Al Quran pernah menyebutkan bahawasanya yang paling ditakuti oleh golongan munafiq ialah turunnya satu surah demi memecahkan tembelang mereka, maka dengan kehendak Allah, tidak lama kemudian turunlah wahyu dalam menyifatkan golongan musuh dalam selimut ini kepada Rasulullah SAW.
Ibadah adalah syiar utama selepas aqidah bagi seorang mukmin. Setelah memastikan diri kita memiliki aqidah yang teguh dan mantap, wajib pula kita mempelajari dan mempraktikkan ibadah yang sahih dalam kehidupan kita. Kedua-duanya (aqidah dan ibadah) hendaklah dirujuk kepada wahyu yang diturunkan Allah kepada Rasulullah SAW. Keduanya tidak boleh direka sendiri. Kedua-duanya telah ditunjukkan secara tauqifi di dalam Al Quran dan As Sunnah.
Malas beribadah kepada Allah adalah di antara ciri-ciri hati yang sakit dan rosak. Hati yang rosak pula adalah hati munafiq bukan hati mukmin. Hati mukmin akan menjadi sihat dan segar bugar dengan ibadah dan taqarrub dengan Allah SWT. Hati mukmin akan menjadi puas dengan ibadah dan ketaatan sedang munafiq bermalas dengan ibadah serta merasakan bahawa ibadah adalah beban.
Sabda Rasulullah SAW :
“Bahawa seorang mukmin yang sebenar adalah orang yang merasa seronok / puas hati / bahagia dengan kebaikan yang dilakukannya dan menderita serta merasai pedih hati dengan kejahatannya”
Ingat mati pula adalah antara bukti keteguhan iman kepada Allah SWT dan hari akhirat sementara lupa atau takut mati adalah ciri kemunafikan. Rasulullah SAW menegaskan bahawa orang yang cerdik adalah orang yang banyak mengingati mati dan serius dalam membuat persiapan berdepan dengan kematian. Apabila seseorang itu mengingati mati, maka ibadahnya akan dipertingkatkan, keikhlasan dalam ibadah makin tulus serta akan terlihat kerajinannya dalam beribadah kepada Allah SWT. Para salihin tidak dapat tidur malam kerana terkenangkan mati dan akhirat dan kematian, sedangkan munafiq tidur kekenyangan pada malam hari tanpa sedikitpun ingatan kepada akhirat.
Bagi para pejuang agama dan mujahid Islam, ibadah adalah sumber kekuatan dalam perjuangan dan kerja dakwah. Ketika Fatimah rdh meminta diberikan khadam untuk membantu tugasan hariannya di rumah dek kerana tidak tertahan lagi dengan penat dan lelah maka Rasulullah SAW telah memberika Fatimah ‘amalan’. Tasbih,tahmid dan takbir 33 kali sebelum tidur telah diwasiatkan kepada Fatimah lalu natijahnya adalah kekuatan, pertolongan , lapang dada dan redha hati telah memenuhi dada Fatimah dan ringanlah tugasannya dengan berkat dari Allah SWT atas amalannya.
Justeru al ‘Allamah Mustofa Masyhur rhm di dalam bukunya ‘Bekalan Di Jalan Dakwah’ telah menyebutkan bahawa ibadah adalah bekalan penting di sepanjang liku-liku jalan dakwah. Rasulullah SAW sendiri telah diprogramkan dengan kemantapan ibadah di awal mula terpikulnya tugas kenabian dan risalah di atas bahu Baginda SAW. Maka menjadi satu kewajaran atas sekalian dai’e menjadikan ibadah sebagai bekalan untuk kekuatan dan kemenangan.
No comments:
Post a Comment