Saturday, June 20, 2009

Bermusafir Mencari DIA

Salam Islah & Salam Perjuangan buat sahabat seperjuangan sekalian,

Saya baru sahaja pulang kelmarin (19 Jun) dari menunaikan ibadah umrah dan ziarah ke Makkah dan Madinah. Saya berlepas ke Saudi dengan penerbangan MAS sehari selepas Muktamar PAS ke 55 iaitu pada 8 Jun 2009 jam 3.20 petang dari KLIA bersama 37 orang jamaah umrah di bawah khidmat Multaqa Al Iman Travel Sdn Bhd. Saya bersyukur kepada Allah SWT di atas segala kemudahan serta kelancaran perjalanan serta permusafiran ibadah saya dan jamaah pada kali ini. Bersama saya jua dalam perjalanan pada kali ini adalah pembantu peribadi saya Ezuan Kamarudin yang setia membantu dan menemani saya dalam setiap urusan dan perjalanan.

Kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program ibadah ini saya ucapkan berbanyak terima kasih serta jazakumullahu khairan kathira. Selepas Allah dan Rasul SAW, kalian banyak menolong dan membantu. Terima kasih sekali lagi

Sepanjang permusafiran, beberapa kali saya cuba update blog ini, akan tetapi saya gagal berbuat demikian atas beberapa halangan. Kepada pengunjung setia blog ini saya ucapkan terima kasih atas sokongan kalian.

Ucapan talbiah yang diungkapkan mengingatkan betapa kerdilnya kita di hadapan Rabbul ‘Alamin. Kita datang menemui Allah di Baitillah al Haram adalah kerana kita dijemput oleh Allah. Kaki ini dapat dipijak saban tahun ke tanah berkah dan suci Makkah dan Madinah adalah kerana dijemput dan diizinkan oleh Allah SWT bukan kerana sihat tubuh dan banyak duit. Ini adalah kerana banyak lagi orang yang punya duit berpeti-peti dan kesihatan tubuh yang hebat, namun tiada setitis pun keinginan di hati mereka untuk menjejakkan kaki ke bumi hebat ini.

Banyak orang yang tidak sihat datang menyahut seruan Allah dan menjadi tetamu Ar Rahman. Salah seorang jamaah umrah yang bersama saya diuji Allah dengan penyakit stroke. Dia terpaksa berkerusi roda jika mahu kemana-mana. Namun cukup gigih mengulang-ulang umrah sunatnya serta berulang ke Masjid Al Haram walau dalam panahan terik matahari. Jika Allah SWT sudah menjemput dan kita menjadi tetamuNya, semuanya dimudahkan Allah SWT.

Banyak yang menangis bila kali pertama berziarah ke maqam Rasulullah SAW di Madinah dan kali pertama melihat Baitullah. Bermacam perasaan menyelinap di jiwa;sedih, insaf, gembira, terharu dan sebagainya tercurah melalui tempias air mata yang mengalir jernih dari kelopak mata.

Ini semua tanda bahawa kita adalah hamba. Tanpa Dia maka tiadalah kita.


No comments: