Wednesday, August 20, 2008

Usrah Qiyadi PAS Perlis - Ogos 2008


BismilLah, wassolatu wassalamu ‘ala Saiyyidina RasulilLah, waba’du :



Salam ISLAH,



Setiap Selasa minggu ketiga jam 9.30 malam, seluruh saf kepimpinan PAS Perlis semua peringkat akan berhimpun di Dewan Dato’ Fadhil Noor, Balai Islam Markaz Tarbiyyah Pas negeri untuk sama-sama berusrah dengan al Fadhil Ustaz Haji Hashim Jasin. Beruntungnya kami di Perlis ini kerana punya pimpinan seperti beliau. ‘Alim, wara’, luas pengalaman, ditarbiyyah oleh Ikhwan Muslimun Iraq serta sangat matang dalam membuat pertimbangan kerana usianya yang menjangkau 60 tahun lebih.



Teks perbincangan usrah qiyadi sebulan sekali tersebut adalah buku ‘Aafaat ‘ala ath thariiq’ karangan Dr Syed Muhammad Nuh yang diterjemahkan oleh Dewan Ulamak PAS Kedah dengan tajuk ‘Wabak Sepanjang Jalan’. Malam semalam, perbincangan kami telah masuk ke wabak yang ke 3 yang akan menyerang pejuang-pejuang Islam yang lalai iaitu ‘al Isti’jaal’ iaitu gopoh / terburu-buru.



APA ITU ISTI”JAL?



Apa yang saya fahami dari isti’jal yang diterangkan oleh Ustaz Hashim dalam usrah semalam adalah perasaan ingin cepat mencapai natijah dari sesuatu usaha dan ingin disegerakan dan dicepatkan tercapai maksud dan tujuannya tanpa pertimbangan yang sepatutnya.



ISTI’JAL DALAM KEHIDUPAN DA’IE



Iaitu keinginan untuk merubah reality penghidupan masakini dalam sekelip mata tanpa menilai kesan di samping sikap terburu-buru dan gopoh tersebut. Sikap ini juga menjadikan golongan musta’jilun tidak menyediakan sebarang persiapan awal atau cara pendekatan yang bersesuaian. Mereka berharap apabila mereka tidur di waktu malam, mereka akan bangun di pagi hari dalam keadaan manusia akan berubah sepenuhnya. Jahuliyah akan runtuh dan panji-panji Islam akan berkibar sepenuhnya.



Sedangkan telah menjadi tabiat medan juang dan dakwah Islam itu dipenuhi dengan kepayahan dan kesusahan serta rintangan yang tidak pernah kunjung henti. Yang lebih mustahak difahami ialah, perjalanan yang jauh, kepayahan, keletihan, kesusahan, luka dan derita di sepanjang jalan perjuangan ini telah dijanjikan pahala yang besar di akhirat, ketinggian darjat serta keampunan dari Allah SWT. Maka dengan sebab itulah bagi sesetengah pejuang ynag tinggi keikhlasannya, mereka lebih suka berjuang dalam kepayahan berbanding diuji dengan nikmat kemenangan. Firman Allah SWT ;



“Kalau apa yang Engkau serukan kepada mereka (Wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang mudah didapati, dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutMu; tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka. Dan mereka akan bersumpah dengan nama Allah dengan berkata: "Kalau Kami sanggup, tentulah Kami akan pergi bersama kamu". (dengan sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka itu orang-orang yang berdusta (tentang tidak sanggupnya mengikutMu)” Surah at Taubah : 42



MANUSIA ITU DICIPTAKAN TABIATNYA GOPOH



Firman Allah SWT :



“Jenis manusia dijadikan bertabiat terburu-buru dalam segala hanlya; Aku (Allah) akan perlihatkan kepada kamu tanda-tanda kekuasaanKu; maka janganlah kamu meminta disegerakan (kedatangannya).” Surah Al Anbiyak : 37



Kata Ustaz Hashim Jasin, syara’ telah menyekat tabiat terburu-buru dan gopoh manusia itu serta mengatur agar tabiat tersebut digunakan serta disalurkan kepada kebaikan dan dipergunakan kea rah kebaikan.



Jika Allah SWT menyegerakan segala permintaan manusia dan menunaikan segala kehendak manusia dengan segera maka ianya akan mendatangkan kesan yang buruk. Contohnya, jika seseorang berdoa disegerakan turunnya bala dan kejahatan, lalau disegerakan oleh Allah SWT permintaan tersebut, sudah tentulah ia akan membawa kesan buruk pada manusia , kerana manusia sebenarnya tidak mengetahui sebab dan kesan terjadinya sesuatu perkara atas dirinya yang telah ditaqdirkan oleh Allah SWT.



Firman Allah SWT :



“Dan manusia berdoa Dengan (memohon supaya ia ditimpa) kejahatan sebagaimana ia berdoa Dengan memohon kebaikan, dan sememangnya manusia itu (bertabiat) terburu-buru.” Surah al Israa’ : 11



Firman Allah SWT lagi :



“Dan kalau Allah menyegerakan bagi manusia azab sengsara yang mereka minta disegerakan, sebagaimana mereka minta disegerakan nikmat kesenangan, nescaya binasalah mereka dan selesailah ajal mereka. oleh itu, (Kami tidak menyegerakan azab yang dimintanya), Kami biarkan orang-orang yang tidak menaruh ingatan menemui Kami itu meraba-raba dalam kesesatannya.” Surah Yunus : 11



bersambung.....

No comments: