BismilLah, wal hamdu lilLah, wassolatu wassalamu ‘ala Saiyyidina RasulilLah, wa ‘ala alihi wa ashabihi wa man saara ‘ala nahjihi wa jaahada jihadahu ila yaumil qiyaamah, amma ba’du ;
Salam ISLAH,
Keredhaan Allah SWT adalah matlamat tertinggi perjuangan PAS. Demikianlah yang difahami daripada tujuan penubuhan PAS yang termaktub di dalam Perlembagaan PAS. Ditubuhkan atas dasar taqwa kepada Allah SWT dan komitmen yang terlalu tinggi untuk mengajak masyarakat menghayati Islam dalam seluruh bidang kehidupan melalui penegakan Daulah Islamiyah di atas muka bumi.
Demikianlah mukaddimah yang saya rasa sesuai untuk saya meneruskan tulisan saya menyokong posting terkini Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Hj Nasrudin Hasan Tantawi. Cadangan supaya PAS keluar dari Pakatan Rakyat sekiranya Islam tidak dominant di dalam kerajaan yang ‘dikatakan’ akan terbentuk pada 16 September nanti.
Jika kita meneliti peringatan-peringatan Allah di dalam Al Quran, jelas bahawa tertegak atau terhapusnya mana-mana kerajaan di atas muka bumi ini adalah pekerjaan Allah SWT dan di dalam bidang kekuasaan Allah jua. Apa yang berlaku di atas muka bumi di kalangan manusia ketika usaha mengangkat atau menjatuhkan kerajaan dan kekuasaan adalah di dalam aturan Allah SWT dan di dalam kehendak iradah Allah SWT jua. Allah menggunakan siapa sahaja dalam proses ini adalah kerana ingin menguji hambaNya samada terus istiqamah dengan iman dan Al Quran ataupun sebaliknya. Samada mula hilang keyakinan bahawa kekuasaan adalah aturan Allah ataupun semakin jitu keyakinannya bahawa kekuasaan yang diberi adalah ujian Allah jua.
Apa yang pasti, sebagai hamba Allah, apabila kita dipinjamkan kekuasaan oleh Allah, kita wajib melaksanakan pemerintahan sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah. Kita bukan hamba PKR dan DAP, kita hamba Allah SWT. PAS ditubuhkan untuk melaksanakan arahan dan perintah Allah. Sungguh benar kita diizinkan berijtihad dan melaksanakan urusan dunia kita mengikut pertimbangan akal dan ilmu kita namun kekuasaan syariat adalah yang tertinggi. Dalam isu muqabah sendiripun saya masih tertanya-tanya, ulamak yang mempertahankan muqabalah berdasarkan keizinan dan nas syarak yang gilakan kuasakah ataupun yang tak sabar nak melangkah ke Putrajaya pada 16 September nanti yang sebenarnya gilakan kuasa.
Petang tadi, saya menghubungi sahabat saya Ustaz Hafiz Nordin, Ketua Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang, bertanya khabar berita perkembangan program Konvensyen PAS Pulau Pinang yang berlangsung hari ini. Sebenarnya apa yang ditulis oleh Ustaz Nasrudin Tantawi telah pun disebut oleh Tuan Guru Presiden di dalam ucapan perasmian konvensyen tersebut. Tuan Guru Presiden dengan jelas menyebut bahawa jika kerajaan yang terbentuk pada 16 September nanti adalah kerajaan yang didominasi oleh bukan Islam dan kerusi Melayu Islam hanya menjadi minoriti, PAS tidak akan menyertai kerajaan tersebut. Dengan makna lain yang boleh saya fahami ialah, PAS akan keluar dari Pakatan Rakyat!!.
Ketegasan Presiden adalah kerana takutnya kepada Allah SWT. Saya semakin yakin berdiri di belakang kepimpinan ulamak. Merekalah tempat kita berpegang hingga hari qiyamat. Mungkinkah ada di kalangan AJK PAS Pusat yang akan berhujjah pula mengatakan bahawa kita perlu bersama dengan pembentukan kerajaan tersebut kerana kemungkinan kita akan mendapat sokongan dari MP bukan Islam untuk melaksanakan Islam dan perintah Allah di atas muka bumi Malaysia?...hehe…pasti ada.
Jika melihat kepada siapa di sebalik Forum Peluk Islam anjuran Majlis Peguam dan ucapan-ucapan Pemimpin DAP sebelum ini, kita harus berpijak di bumi nyata.
No comments:
Post a Comment