KOTA BHARU, 4 Ogos (Hrkh) - Mereka yang gemar merokok disaran meninggalkan tabiat buruk tersebut dan menggunakan wang membeli rokok itu untuk menderma.
Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, tidak seorang pun pegawai perubatan menyebut merokok tidak membahayakan kesihatan.
"Sekiranya wang berkenaan digunakan untuk menderma termasuk pembinaan masjid, dan sekolah, ia dapat membantu seseorang itu di akhirat kelak.
Kalau hisap rokok, bukan sahaja tak dapat pahala, penyakit pula yang datang," ujarnya pada satu program di sini, baru-baru ini.
Ketika berucap sebelum itu beliau menyifatkan mereka yang enggan menunaikan ibadat solat seperti melakukan perbuatan kurang ajar kerana tidak mahu mengikut perintah Allah Taala.
"Lebih baik saya mengeluarkan perkataan kurang ajar di dunia ni berbanding balasan neraka jahanam kepada mereka yang tidak mengerjakan solat," katanya.
Menurutnya dalam peristiwa Israk dan Mikraj Allah telah memperlihatkan kepada baginda bagaimana seorang hamba menghantukkan kepalanya ke batu sehingga pecah, kemudian bercantum kembali dan menghantuknya semula berulang kali.
"Peristiwa itu menggambarkan bagaimana balasan terhadap manusia yang engkar tidak mahu sujud kepada Allah sehingga akhirnya mereka terpaksa menghantuknya sendiri," ujarnya.
No comments:
Post a Comment