Thursday, June 26, 2008

Miskin Harta KAYA JIWA



Baru-baru ini saya menatap sebuah kitab yang sangat terkenal di kalangan penuntut ilmu,TANBIIHUL GHAFILIN karangan Imam al Faqih Abul Laith as Samarqandy.Diriwayatkan di dalam kitab tersebut sebuah Hadith yang bermaksud :


“Akan datang ke atas umatKu suatu zaman yang mana di zaman itu mereka mencintai 5 perkara dan membenci 5 perkara. Mereka amat mencintai hidup dan membenci mati . Mereka mencintai dunia dan membenci akhirat. Mereka membina istana dan melupai kubur. Mereka mencintai harta dan melupai hisab. Mereka mencintai makhluk dan melupai pencipta”


Makna hadith ini sangatlah benar. Jika kita melihat ke dasar kehidupan ummah hari ini,maka inilah fenomena yang kita dapat lihat ‘diamalkan’ secara meluas. Apa yang saya ingin fokuskan ialah bagaimana keasyikan menghimpunkan harta menyebabkan kita lupa bahawa harta yang kita himpunkan itu setiap satunya akan disemak dan dihitung oleh Allah SWT. Sedangkan kita diajar bahawa Allah SWT amat mengetahui segala sesuatu dan tidak akan ada yang akan terlepas dari perhitungan Allah SWT.Firman Allah :


“Dan diletakkanlah kitab, lalu kamu akan melihat orang-orang bersalah ketakutan terhadap apa yang (tertulis) di dalamnya, dan mereka berkata: "Aduhai celaka kami, Kitab apakah Ini yang tidak meninggalkan yang kecil dan tidak (pula) yang besar, melainkan ia mencatat semuanya; dan mereka dapati apa yang Telah mereka kerjakan ada (tertulis). dan Tuhanmu tidak menganiaya seorang juapun". Al Kahfi : 49


MUSLIM SEJATI & HARTA


Kita disuruh mencari harta dunia seakan-akan kita akan hidup lama. Begitulah prinsip Islam. Al Quran mengingatkan kita supaya bertebaran di muka bumi mencari harta yang halal. Namun sahabat, kita diajar supaya beramal untuk akhirat seolah-olah kita akan mati esok hari dan redha dengan kurnia Allah dari harta yang sedikit. Yang sedikit jika ianya halal adalah lebih baik dan barakah daripada banyak tetapi bersumberkan dari yang haram dan melalaikan. Pendek kata,muslim sejati tidak akan disibukkan dengan mencari harta dari tanggungjawabnya kepada Ilahi apatah lagi terlalai dengannya.Kata Allah Jalla Jalaaluhu :


“Laki-laki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak (pula) oleh jual beli dari mengingati Allah, dan (dari) mendirikan sembahyang, dan (dari) membayarkan zakat. mereka takut kepada suatu hari yang (di hari itu) hati dan penglihatan menjadi goncang.”
An Nuur : 37


DAI’E & HARTA :


Antara ujian besar kepada para pejuang agama dan pendakwah adalah ujian harta. Lebih-lebih lagi di zaman yang umat amat mementingkan perut (ditunjukkan oleh hadith riwayat ad Dailami). Ramai sudah yang gugur di tengah-tengah perjalanan dakwah dengan sebab ujian harta. Hakikatnya, bila Nabi SAW memilih kehidupan yang sederhana maka tujuannya adalah untuk mendidik para sahabah agar dengan kesederhanaan itu mereka dapat bersungguh-sungguh berjihad menyebarkan Islam. Jika para sahabat semuanya hidup senang lenang, maka keseronokan hidup akan menghalang jihad. Thareq ibn Ziyad takkan sampai di pantai Andalus. Saad ibn Abi Waqqas takkan sampai ke China. Uqbah bin Nafie’ takkan membuka kota Qairawan dan Habib Abdullah dari Yaman takkan mendarat di Pantai Melaka!.


YANG PERTAMA SAMPAI KE TELAGA KAUTHAR


Imam at Tirmiziy meriwayatkan di dalam sunannya bahawa yang pertama mula sampai ke Telaga Kauthar Rasulullah SAW adalah ‘Fuqara’ul Muhajirin” (orang-orang miskin yang berhijrah bersama Nabi ke Madinah). Kata Tuan Guru Nik Abdul Aziz, ini adalah kerana pengorbanan mereka demi agama. Merekalah generasi pertama yang membantu Nabi dalam dakwah Baginda. Merekalah yang senang susahnya bersama Baginda. Merekalah walaupun miskin, tetap istiqamah dengan perjuangan bersama Nabi SAW. Mereka tidak pernah lemah dan putus asa walaupun miskin harta. Ini adalah kerana mereka kaya jiwa !.



No comments: