Sunday, June 29, 2008

Takrifan Sebenar Negara Islam ( siri 2)


Oleh : Ybhg Ustaz Ahmad Adnan Fadzil



Soalan; Apa kedudukan pelaksanaan syariat dalam takrif negara Islam mengikut pandangan ulama'? (* Untuk memahami dengan sempurna pemasalahan ini, pembaca dinasihatkan membaca terlebih dahulu siri pertama kerana siri kedua ini adalah rentetan daripada perbahasan siri pertama)



Jawapan ;



Bismillahirrahmanirrahim Jika dilihat kepada dalil-dalil Syara’ (al-Quran dan as-Sunnah), melaksanakan Syari’at Allah adalah wajib ke atas kaum muslimin dalam segenap ruang kehidupan mereka merangkumi urusan peribadi, keluarga, masyarakat dan juga negara. Nas-nas tersebut antaranya telah kita nyatakan dalam tajuk-tajuk yang lalu dan sebagai tambahannya ialah;



“Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mu'min dan tidak (pula) bagi perempuan yang mu'min, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsiapa mendurhakai Allah dan Rasul-Nya maka sungguhlah dia telah sesat, sesat yang nyata”. (Al-Ahzab; 36)



“Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Qur'an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya”. (An-Nisa’; 59)


Oleh itu, sama ada dimasukkan atau tidak di dalam takrif Negara Islam, Syari’at Allah atau Undang-undang Islam tetap menjadi kewajipan ke atas kaum muslimin untuk melaksanakannya di dalam negara mereka. Mereka berdosa kepada Allah jika mengabaikannya. Perkara ini tidak ada khilaf di kalangan ulama’ –sama ada dulu atau sekarang- kerana kewajipan menegakkan Syari’at adalah sabit dengan nas yang sarih (jelas/terang) dari syara’ (Allah dan Rasul) dan menjadi ijma’ para ulama’. Pengakuan terhadap hal ini adalah jelas dari ulama’-ulama’ yang memasukkannya di dalam takrif Negara Islam yang mereka kemukakan.



Dengan memasukkan perlaksanaan Syari’at atau Undang-undang Islam dalam takrif Negara Islam, maka mereka secara langsung telah menegaskan kepada kita bahawa sesuatu negara itu tidak akan sempurna keislamannya jika tidak ditegakkan di dalamnya Syari’at/Undang-undang Islam. Jika dinamakan sekalipun negara tersebut sebagai Negara Islam –dengan sebab wujudnya kekuasaan dan keamanan orang-orang Islam di dalamnya-, namun ia bukanlah Negara Islam yang sebenar –yang dikehendaki oleh Islam- kerana ia telah kehilangan ruh keislamannya iaitu tunduk-patuh kepada Syari’at/Hukum-hakam Allah S.W.T..



Adapun ulama’ yang tidak memasukkan unsur perlaksanaan Syari’at/Undang-undang Islam dalam takrif mereka, apakah bermakna mereka menafikannya? Jika kita menyatakan “Ya” kepada persoalan ini, kita sebenarnya telah mengadakan suatu pendustaan yang amat besar kepada ulama’-ulama’ tadi kerana kita mendakwa ke atas mereka apa yang tidak mereka iktiqadkan. Para ulama’ mukhlisin sekali-kali tidak akan mengeluarkan sesuatu keputusan atau pendapat yang bertentangan dengan hukum Syara’. Mereka sekali-kali tidak akan menafikan sesuatu yang dikatakan wajib oleh Syara’.



Tidak ada ulama’-ulama’ Islam yang muktabar dari dulu hingga kini yang sanggup menyatakan bahawa Negara Islam tidak wajib melaksanakan Syari’at atau Undang-undang Islam atau beranggapan harus bagi Negara Islam untuk berhukum dengan hukum yang lain dari hukum-hakam Islam. Oleh itu, walaupun mereka tidak menyebutkan perlaksanaan syari’at Islam dalam takrif Negara Islam yang mereka kemukakan tadi, mereka selama-lamanya tidak bermaksud menafikan kewajipannya atau menafikan kedudukannya sebagai ciri utama bagi Negara yang dikehendaki oleh Islam. Dalam hal ini, Dr. Abdul Karim Zaidan dalam bukunya “Ar-Fardu Wa ad-Daulah Fi Asy-Syari’atil Islamiah” telah menjelaskan;“Takrif-takrif yang dikemukan beberapa ulama’ terdahulu tentang negara Islam bukanlah bersifat menonjolkan semua unsur negara Islam, tetapi ia menonjolkan sebahagian sahaja unsur negara Islam dan mengabaikan sebahagian unsur yang lain. Namun begitu, unsur-unsur yang tidak ditonjolkan itu sebenarnya tersirat di dalam takrif jika diamati. Sebagai contohnya; Imam As-Sarakhsi menyatakan; “Negara Islam ialah nama bagi tempat/kawasan yang berada di bawah kekuasaan orang-orang Islam”.



[1]Takrif ini pada lahirnya –menurut Dr. Abdul Karim Zaidan- hanya menonjolkan unsur kekuasaan dan unsur tempat/kawasan. Tetapi secara tersirat, takrif ini merangkumi juga unsur sistem/undang-undang (yakni perlaksanaan Syari’at). Ini kerana menjadi suatu yang lumrah bahawa orang-orang Islam wajib melaksanakan undang-undang atau syari’at Islam. [2]Begitu juga, dalam kitabnya yang lain iaitu “Majmu’atu Buhusi Fiqhiyyah” (Kumpulan Perbahasan Fiqh), Dr. Abdul Karim menyatakan bahawa; para Fuqaha’ terdahulu tidak memasukkan unsur perlaksanaan Syari’at Islam dalam takrif Negara Islam kerana –pada pandangan mereka- perlaksanaan syari’at merupakan suatu yang badihi (yakni sedia dimaklumi) apabila sesebuah negara itu diperintah oleh seorang pemerintah/pemimpin Islam. Ini kerana kewajipan para pemerintah Islam ialah melaksanakan Syari’at Islam.[3]Memang menjadi suatu yang lumrah dan badihi (yakni sedia dimaklumi) bahawa orang-orang Islam wajib melaksanakan undang-undang atau syari’at Islam.



Seseorang manusia itu tidak akan menjadi muslim yang hakiki jika ia enggan patuh kepada Syari’at atau hukum-hakam Allah. Ini kerana kedudukannya ketika itu berada antara kufur, zalim atau fasiq….maka bagaimana ia akan menjadi muslim yang sebenar?



“Dan barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir”. (Al-Maidah; 44)



“Dan barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim”. (Al-Maidah; 45)



“Dan barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik”. (Al-Maidah; 47)



Kewajipan melaksanakan syari’at Allah atau undang-undang Islam bukanlah suatu yang masih samar di kalangan kaum muslimin. Ia telah menjadi ijma’(persepakatan) oleh para ulama’ sekelian. Bahkan Dr. Yusof al-Qardhawi menghitungnya dalam “Al-Ma’lum Min ad-Din Bi adh-Dharurah” (yakni perkara-perkara yang diketahui secara nyata di dalam agama –tanpa ada kesamaran lagi- di mana sesiapa di kalangan umat Islam yang mengingkarinya akan terkeluar dari agama (yakni murtad)). Beliau menyatakan dalam bukunya ‘Min Fiqhi ad-Daulah fil Islam’;“Aku meyakini bahawa di antara perkara-perkara yang terkandung di dalam ‘Al-Ma’lum min ad-Din bi adh-Dharurah’ (Suatu yang dimaklumi dari agama secara nyata/tanpa ada kesamaran) ialah; ‘Allah tidak menurunkan hukum-hakam yang termaktub di dalam kitabNya dan diungkapkan oleh lidah RasulNya semata-mata untuk diambil berkat dengannya atau untuk dibaca kepada orang-orang mati atau digantung di dinding-dinding (dijadikan perhiasan). Akan tetapi ia diturunkan supaya diikuti dan dilaksanakan dan supaya ia memutuskan hukuman bagi segala interaksi antara manusia dan mengawal perjalanan kehidupan menepati perintah dan larangan Allah, hukum-hakam dan Syari’atNya”.[4]Dr. Said Ramadhan al-Buti adalah antara ulama’ yang tidak memasukkan perlaksanaan syari’at/undang-undang Islam dalam takrif Negara Islam di mana beliau mentakrifkan Negara Islam sebagai; “Negara atau tanah-air yang berada di bawah kekuasaan orang-orang Islam dan ketuanan mereka’.[5] Namun dalam pada itu, beliau telah menegaskan;“Di antara hukum-hakam berkenaan Negara Islam ialah; wajib mempertahankannya dan wajib melaksanakan keseluruhan hukum-hakam/undang-undang Syari’at Islam di dalamnya[6]……Melaksanakan hukum-hakam Syari’at Islam adalah salah satu kewajipan dari kewajipan-kewajipan Negara Islam yang tertanggung di tengkuk-tengkuk kaum muslimin[7]….Kelalaian kaum muslimin melaksanakan hukum-hakam syari’at Islam dalam negara mereka menyebabkan mereka menanggung dosa dan kesalahan[8]”.



[1] Imam As-Sarkhasi, As-Siyarul Kabir, juz. 1/hlm. 81.

[2] Dr. Abdul Karim Zaidan, Ar-Fardu Wa ad-Daulah Fi Asy-Syari’atil Islamiah, hlm. 17-18, ter. IFFSO (1978).[3] Dr. Abdul Karim Zaidan, Majmu’at Buhus Fiqhiyyah, hal. 50-51.

[4] Hlm. 102.

[5] Dr. Said Ramadhan al-Buti, Al-Jihad Fil Islam; kaifa nafhamuhu wa kaifa numarisuhu, hlm. 80, ter. Dar al-Fikri, Damsyiq (1993).

[6] Hlm. 80

[7] Hlm. 81

[8] Hlm. 81

No comments: