Friday, December 12, 2008

Pastikan Ia Segar di Jiwa

Salam Islah,


Pertama – Kita baru sahaja selesai meraikan Eidul Adha yang telah mengunjungi kita dengan keimanan dan kesyukuran kepada Allah SWT. Semoga ia menjadi wasilah untuk kita mendekatkan diri kepada Allah SWT dan semoga segala ibadah yang telah kita lakukan, ibadah qurban khususnya diterima Allah SWT.


Kedua – Walaupun ibadah qurban itu telah selesai kita laksanakan, namun penghayatan terhadapnya amatlah mustahak untuk kita segarkan di dalam jiwa sepanjang hayat kita. Dengan kerana itu jua, Eidul Adha itu telah disyariatkan agar dilaksanakan oleh setiap Muslim saban tahun demi memperingatkan kita semua akan falsafahnya dan penghayatannya di dalam kehidupan kita. Sia-sialah ibadah yang kita laksanakan tanpa penghayatan. Sebagaimana solat yang tidak dapat mencegah daripada kekejian dan maksiat maka seperti itu jualah ibadah qurban yang tidak dapat menatijahkan semangat pengorbanan yang tinggi dalam mentaati perintah Allah SWT dan menjulang kalimah Allah di atas muka bumi.


Ketiga – Ketaatan tanpa banyak bicara oleh Nabi Ibrahim ‘alaihissalam mesti menjadi ikutan umat di zaman mutakhir ini. Inilah dia agama yang sebenar dan jalan yang lurus yang dicari. Inilah dia pelambangan kepada aqidah yang tulus, suci , sahih dan ikhlas kepada Allah SWT. Mentaati perintah Allah dengan penuh keyakinan kepada janji Allah SWT serta tanpa rasa ragu terhadap suruhan Allah adalah intipati ajaran tauhid ‘laailaahaillallaah’. Hakikatnya, kerana sudah terlalu jauh dari zaman nubuwwah maka aqidah di zaman kita telah melalui tokok tambah, penambahan dan pengurangan yang sangat dahsyat. Berwaspadalah daripada tipudaya musuh yang senantiasa aktif merancang dan merencana demi merosakkan kemurnian dan ketulenan aqidah yang sahih.


Keempat – Akal kurniaan Allah adalah pemberian yang terlalu istimewa. Sayyid Sabiq menyebut di dalam tulisan beliau – al ‘Aqaidul Islamiyah- bahawa akal mesti digunakan untuk mencari Tuhan seterusnya menyakini qudrah dan iradahNya. Islam memberikan ruang yang cukup kepada akal untuk berfungsi degan baik bagi membantu manusia dalam segenap hal terutamanya dalam mencapai apa jua yang dihajati dalam hidup. Maka sudah tentulah tugas akal yang terbaik adalah membantu manusia bermakrifah kepada Allah SWT. Jelasnya, jangan gunakan akal untuk mempertikaikan perintah Allah SWT. Jangan gunakan akal untuk mengingkari Allah dan biadap terhadap Allah SWT. Sepatutnya, semakin tinggi pencapaian akal maka semakin ia tunduk kepada Allah dan inilah sifat para anbiyaa’. Adapun Iblis, semakin tinggi pencapaian akalnya maka semakin ia takabbur terhadap Allah SWT.


Kelima- Semoga qurban kita diterima Allah berkat aqidah kita yang benar terhadap Allah. Jika tidak, maka banyaklah lembu yang ‘terbunuh’ pada Eidul Adha yang lalu, bukannya tersembelih kerana diqurbankan kerana Allah.



No comments: