Tuesday, December 30, 2008

Mulakan Dengan Dirimu...

Salam Islah,


Pertamanya : Saya mohon maaf atas kegagalan untuk update blog ini. Saya taknak bagi alasan namun apakan daya, saya terpaksa juga beralasan dengan kesibukan dan tuntutan amal Islami yang lebih mustahak. Alhamdulillah, petang ini rasanya Allah SWT telah mengurniakan sedikit kekuatan untuk membuat beberapa coretan dan catatan.


Kedua ; Saya mengucapkan Selamat Tahun Baru Hijrah 1430 kepada semua umat Islam di seluruh dunia. Marilah kita perbaharui keazaman, pertingkatkan keimanan, suburkan ketaqwaan, perteguhkan semangat jihad dan teruskan istiqamah dalam perjuangan, semoga dengan keberkatan Hijrah Rasul SAW, kita akan terus dipimpin oleh Allah SWT kepada hasanah dunia dan hasanah akhirat.


Ketiga : Hijrah bukan sekadar sambutan dan perayaan, tetapi yang lebih dituntut adalah penghayatan dan amalan. Berbelanja besar untuk sambutan hijraj tidak salah, tetapi ianya hanya akan menjadi satu pembaziran jika ruh, semangat dan pengajaran dari peristiwa hijrah itu tidak diamalkan dan dilaksanakan dalam kehidupan.


Keempat : Menjadi tanggungjawab individu untuk menghayati sepenuhnya ‘ibrah dan istifadah daripada Hijrah ar Rasul SAW, namun perlu diingatkan bahawa mereka yang dipinjamkan kekuasaan di muka bumi oleh Allah SWT lebih besar tanggungjawabnya untuk memastikan agar tuntutan dan penghayatan sebenar dari hijrah itu diterapkan di dalam pentadbiran negara dan sistem pemerintahan. Kerana apa dan mengapa? Jawapannya ialah kerana mereka ada KUASA!.


Kelima : Rasulullah berhijrah dari Makkah ke Madinah adalah kerana diperintahkan oleh Allah SWT. Bukannya atas kehendak Baginda sendiri dan jauh sekali untuk lari dari musyrikin Makkah. Makkah, walaupun bumi yang sangat dicintai oleh Rasulullah, namun ia tidak subur untuk dakwah dan perkembangan Islam buat masa itu. Di Madinah, ada sokongan dan dokongan yang menanti seperti yang dijanjikan wakil Aus dan Khazraj dalam perjanjian ‘Aqabah. Maka Allah telah memerintahkan Baginda dan para Sahabah berhijrah demi ketuanan Islam dan perkembangan dakwahnya. Tiba di Madinah, Baginda telah manjalankan sunnah yang sangat besar iaitulah menubuhkan negara. Pendek kata, Islam perlukan dokongan dan sokongan samada dari ummah ataupun pemerintah. Agama adalah Sultan sedangkan kerajaan dan pemerintahan adalah penjaganya. Persoalannya, dimanakah tempat letaknya sunnah ini di zaman kita?. Mungkin telah ditongsampahkan.


Keenam : Kita sambut tahun baru Hijrah 1430 dengan pembunuhan 300 nyawa umat Islam Palestine. Inilah hakikatnya kedudukan umat Islam di zaman kita. Hijrah Rasulullah dan sahabah telah meninggikan ketuanan Islam dan menjulang tinggi kalimah Allah di bumi sedangkan kita memperingati hijrah dengan iringan air mata dan darah saudara kita di sana. Apa ertinya sambutan ini jika hanya sebagai retorik semata?. Bekerja dan beramallah serta bersungguhlah wahai saudara. Mulakan sekarang dan mulakan dengan dirimu!.



No comments: