Monday, December 15, 2008

Mengislamkan Orang Islam

Salam Islah,


Saya membicarakan tentang hukum orang yang berpuasa tetapi tidak solat dalam kuliah maghrib mingguan di kampung tempat lahir saya semalam. Sudah lapan tahun saya mengajar di situ sejak tahun 2000. Kampung saya memang terkenal sebagai kubu kuat UMNO/BN sejak sekian lama. Bukan sedikit halangan dan cabaran yang saya hadapi selama 8 tahun. Sabtu lepas, salah seorang ‘murid setia’ kuliah saya mengadakan kenduri khatan anaknya.


Tidak terlintas di fikiran saya, murid setia selama 8 tahun akan menjemput kumpulan kugiran untuk menyanyi dan memainkan alat muzik yang hangar bangar dalam majlis kenduri khatan!. Tetapi itulah hakikat yang berlaku. Saya hanta tersenyum kepada tuan rumah. Dia datang membisikkan di telinga saya ; “ Macamana ustaz, boleh kot no?”. Dan saya tersenyum lagi.


Susahnya mendidik dan mentarbiyah umat. Inilah kelemahan dan kekurangan saya. Dalam soal mahu mengislamkan ‘orang Islam’ pun saya dah tak mampu,macamana pula dengan kerja-kerja dakwah terhadap yang bukan Islam. Islam telah terhijab dari pandangan mata hati non muslim disebabkan orang Islam sendiri. Saya kagum dengan sahabat-sahabat yang ada kekuatan untuk aktif berdakwah kepada non muslim. Mereka telah diberikan kekuatan oleh Allah berkat kesungguhan mereka dan saya mendoakan keikhlasan mereka dan kejayaan kerja buat mereka.


Sebab itu saya hanya mampu bekerja keras untuk menumbangkan kerajaan thagut yang langsung tidak menyumbang ke arah sampainya seruan dakwah kepada non muslim walaupun mereka ada kemampuan untuk melakukannya. JAKIM dan YADIM harus digerakkan untuk maksud itu. Majunya Islam dengan tersebar luasnya agama Allah ini kepada sekalian alam. Dan tugas dakwah, mestilah disampaikan juga kepada yang tidak Islam. Bahkan mereka lebih utama disamping jangan mengabaikan umat Islam sendiri. Saya juga sangat bersetuju dengan pendapat yang mengatakan bahawa zaman Pakatan Rakyat inilah kita mesti mengambil peluang untuk sampaika dakwah kita kepada non muslim. Sememangnya pelaksanaan tidak semudah cakap, namun adat hidup berjamaah memang begitu, berat sama dipikul dan ringan sama dijinjing. Dengan sebab itu jualah, bika kita berkuasa, jamaah yang mesti memerintah bukan individu.


Berbalik soal mengislamkan orang Islam tadi. Sememangya benarlah ungkapan para murabbi umat, Islam tidak tertegak dengan kata-kata. Ustaz-ustaz yang sememangnya hebat berceramah dan berkuliah, mereka mungkin hebat dalam teori dakwah, namun cuba lah terjun ke medan dan bersama masyarakat, belum tentu segala teori hebat tersebut dapat dilaksanakan. Kejayaan tarbiyyah memerlukan sasaran dakwah yang komited, murabbi yang ikhlas dan bersungguh serta suasana yang membantu. Dalam bab suasana inilah kita sangat berhajat kepada kekuasaan pemerintahan, baru boleh kita wujudkan suasana.


Susana yang terbentuk pada hari ini adalah mengarah rakyat kepada menggilai hiburan dan keseronokan berbanding mengajak mereka untuk membentuk jatidiri dan kekuatan rohani. Inilah yang dikatakan susahnya nak islamkan orang islam. Sebab itu, sahabat-sahabat yang gigih dengan dakwah non muslim, teruskanlah dan kudoakan kejayaan kalian. Namun usaha mengislamkan orang Islam ini pun sangat perlu dan tidak boleh diabaikan. Kalian pula ku pohon agar mendoakan kami dalam usaha ini. Mari kita lengkap melengkapi dan tongkat menongkati antara kita. Selesai masalah!



No comments: