Saturday, November 29, 2008

Hayatilah...

Salam Islah,


Saya mengucapkan selamat pengantin baru kepada mereka yang melangsungkan pernikahan sempena kesempatan cuti sekolah sekarang ini. Esok, Us Zubir, sahabat usrah Islah akan melangsungkan perkahwinannya di Pondok Tanjung Kapur, Jitra. Saya dan sahabat-sahabat Islah akan menghadiri dan meraikan Us Zubir dan zaujah esok insya Allah.


HAYATILAH


Apa yang penting ialah menghayati falsafah dan hikmah di sebalik perkahwinan. Al Quran adalah sebaik-baik dan seterang-terang penyuluh untuk memahami rahsia Allah ini. Allah SWT menjelaskan bahawa tujuan perkahwinan adalah untuk mendatangkan ketenangan di dalam hati serta menimbulkan kasih sayang dan kecintaan antara suami dan isteri.


Ketenangan terhasil melalui hubungan yang halal di antara lelaki dan perempuan. Sedangkan sesuatu yang halal mempunyai unsur yang sangat penting iaitu keberkatan dari Allah SWT. Hubungan yang tidak diberkati Allah SWT adalah ibarat kayu yang rapuh. Tali simpulan yang mengikatnya adalah tidak kukuh.


Perkahwinan yang ‘mahal’ harganya bukanlah menjadi jaminan kepada keberkatan perkahwinan dan hubungan yang kekal selamanya. Bahkan Rasulullah SAW telah menegaskan di dalam hadis Baginda bahawa sebaik-baik wanita yang ingin dikahwini adalah mudah urusan perkahwinannya dan murah maharnya.


WANITA SOLEHAH


Sebab itu, Rasulullah SAW memerintahkan umatnya agar memilih wanita solehah untuk dijadikan isteri. Sabda Baginda ;


“Dinikahi akan wanita itu kerana empat perkara ; kerana kecantikannya, dan kerana keturunannya, dan kerana hartanya dan kerana agamanya. Maka pilih olehmu wanita yang beragama nescaya akan beruntung kedua tanganmu”


Imam Muslim telah meriwayatkan sebuah lagi hadis mengenai wanita solehah ;


“Dunia itu merupakan mata benda, dan sebaik-baik mata benda dunia adalah wanita yang solehah”


Syarat utama memilih bakal pasangan hidup adalah ‘agama’. Maka bagi saya, kalau memang confirm wanita yang kita bakal kahwini itu wanita solehah dan kuat pegangan agamanya, biarlah mahal sekalipun mahar nikahnya sekalipun tidak mengapa. Kalau yang kita ingin kahwini itu tidak solehah, maka mahar yang mahal hanya akan kerugian.


Isteri solehah adalah sebaik-baik teman. Dia juga adalah sebaik-baik penasihat. Jika dia wanita beragama, maka agama dan taqwanya akan memandu hidupnya serta dapat membantu kita dengan nasihat dan tegurannya. Kecantikan isteri juga oenting namun ia bukan syarat utama. Tidak ada gunanya isteri yang cantik yang kecantikannya itu hanya untuk tatap n orang lain. Mendedahkan kecantikannya pada apa yang diharamkan Allah.


CANTIK DI SISI ALLAH


Kecantikan yang hakiki adalah kecantikan pada pandangan Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW ;


“Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa parasmu, dan bukan juga kepada tubuh badanmu. Tetapi Allah memandang kepada amalanmu dan juga hatimu”


Cantik bukannya pada kepandai memperagakan tubuh, bukan juga pada rambut yang diurai di hadapan lelaki ajnabi jauh sekali kecantikan yang hanya untuk dipuji manusia sebaliknya dikeji Allah kerana perbuatan mendedahkan aurat yang diharamkan Allah. Tatpi cantik yang sebenar adalah kecantikan iman dan taqwa serta keikhlasan ibadah dan kesungguhan taat kepada Allah SWT.


Ambil contoh Saiyyiduna Bilal, walaupun hitam belegam kulitnya, namun hatinya lebih putih dari susu. Kekuatan iman dan aqidahnya telah menjadikan dia mulia di sisi Allah SWT.



No comments: