Sunday, November 9, 2008

Yakinilah.....


BismilLah, walhamdulillah, wassolatu wassalamu ‘ala Sayyidina Rasulillah, wa ‘ala alihi wa ashabihi wa man nasarahu ila yaumidiin, wa ba’du ;


Salam ISLAH,


Al Imam Asy Syahid Hassan Al Banna Rahimahullah telah berpesan :


“ Wahai Pemuda, seandainya kamu meyakini fikrah kami dan kamu mengikuti jejak langkah kami dan kamu bersama kami di atas jalan Islam yang murni ini, kamu tinggalkan segala fikrah kecuali fikrah Islam dan kamu waqafkan segala tenaga dan usaha kamu untuk aqidah yang kamu yakini ini, maka semua itu akan mendatangkan kebaikan untukmu di dunia dan akhirat.


Allah akan membuktikan kepadamu apa yang telah dibuktikan kepada generasi Islam yang pertama dahulu. Setiap orang yang bekerja dengan penuh ikhlas dan setia dalam medan da’wah ini akan mendapati semua yang mengisi hemah dan cita-citanya. Ia akan mendapati sesuatu yang mengisi segala daya dan tenaga yang ada padanya.


Tetapi sekiranya kamu enggan dan memilih sikap yang serba salah dan tidak jelas, terumbang ambing di antara seruan-seruan yang mengecewakan dan menyesatkan, maka sesungguhnya angkatan Islam dan tentera-tentera Allah akan meneruskan perjalanan mereka tanpa mengira bilangan samada sedikit atau ramai.”


Firman Allah SWT : “Dan kemenanganmu itu hanyalah dari Allah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana” surah Ali ‘Imran : 126


MEYAKINI ISLAM SEBAGAI WADAH PERJUANGAN DAN KEHIDUPAN


Sistem kepercayaan adalah merupakan akar kehidupan manusia. Di dalam Islam, ia dinamakan dan diistilah sebagai iman, aqidah atau tauhid. Imanlah yang melakari kehidupan seorang mukmin. Manusia beriman adalah manusia hebat dan cemerlang di dunia dan akhirat. Iman membentuk keyakinan. Dengan keyakinan manusia hidup dan meneruskan kehidupan. Tanpa keyakinan yang benar, manusia akan tumpas dan kalah di atas pentas kehidupan.


Islam harus menjadi teras keyakinan dan kepercayaan. Meyakini selain darinya hanya akan menempah kerugian dunia dan akhirat. Imam Al Banna mengajak kita meyakini fikrah perjuangan dan kehidupan Islam. Kita wajib meninggalkan fikrah-fikrah selain Islam. Curahkan segala tenaga dan usaha untuk menegakkan Islam dalam kehidupan peribadi dan umat. Berusahalah untuk menjadi insan soleh dan ‘muslih’ terhadap orang lain. Bukan sahaja membaiki diri tetapi berusaha jua membaiki orang sekeliling. Inilah jalan kebaikan dunia dan akhirat.


ISLAM TELAH MEMBUKTIKAN KEHEBATAN DAN KEMAMPUANNYA


Masyarakat ‘haprak’ arab jahiliyah telah diubah secara total oleh pelaksanaan dan penghayatan Islam yang dilakukan oleh Rasulullah SAW terhadap mereka. Mereka akhirnya telah menjadi pemimpin dunia dengan keadilan kepimpinan yang diberkati Allah dan penguasaan bidang keduniaan yang hebat.


Generasi awal umat ini telah diiktiraf sebagai ‘khaira ummah’ yang menjadi pemimpin dunia dalam masa tidak sampai 30 tahun kemudian ketuanan mereka berterusan selama ribuan tahun. Melaka pernah bernaung di bawah kepimpinan Uthmaniah Turki suatu ketika dahulu. Ini semuanya membuktikan kemampuan Islam!.


Rasulullah SAW telah menjalankan tugas mendidik, membangunkan jiwa kehambaan dan memberikan ilmu pengetahuan dengan sebaik-baiknya tanpa jemu kepada umat sepanjang hayat Baginda SAW. Dengan penat lelah dan tanpa putus asa tersebut, Baginda telah melahirkan generasi terbaik yang tiada tandingan.


Justeru umat hari ini sangat memerlukan ‘murabbi’ yang istiqamah, ikhlas, kenal kaedah dan jalan serta mempunyai kemampuan dan mampu untuk meraih pertolongan dan nusrah Allah SWT untuk menyatupadukan umat dan mengembalikan umat kepada kehebatannya. Hakikatnya, umat hari ini tidak kekurangan ‘muallim’ (guru) tetapi umat rindukan ‘murabbi’ (pendidik).


BUATLAH PILIHAN YANG TEPAT


Allah SWT telah membentangkan jalan untuk kita pilih. Setiap jalan sudah ada garis panduan dan gambarannya. Jangan tersilap pilih jalan dan tidak sepatutnya tersilap. Panduan Allah jelas dan terang benderang. Hanya akal yang buta ilmu tidak mampu memimpin hati kepada jalan yang sebenar. Atau boleh jadi kita telah buta mata hari walaupun mata zahir terang dan siap dengan kacamatanya sekali.


Pilihlah jalan kehidupan dan perjuangan yang betul. Bekerja, beramal dan berjuanglah. Samada kita mahu bersama kafilah da’wah ini ataupun tidak, ia akan terus berjalan, walau sedikit bilangan penumpangnya sekalipun. Kemenangan itu dari sisi Allah SWT.


No comments: