Friday, November 21, 2008

Sirah : Ukhuwwah Fillah.....

Salam ISLAH,

Setelah lebih kurang lima bulan Nabi dan para Muhajirin berhijrah ke Madinah,, maka untuk mengekalkan persaudaraan antara kaum Muhajirin dan Ansar atau dengan yang nyata sesama muslimin, Rasulullah mengumpulkan mereka di rumah Anas bin Malik dan sesudah mereka berkumpul, Rasulullah bersabda;

“Hendaklah kamu sekalian bersaudara dengan agama Allah dua orang dua orang. Hamzah bin Abdul Mutalib singa Allah dan singa Pesuruh-Nya bersaudara dengan Zaid bin Haritsah budah Rasulullah”.
Dan demikianlah Nabi menyebut nama-nama sahabatnya dari golongan Muhajirin dan Ansar supaya setiap dua orang bersaudara, seorang daripada Muhajirin dan seorang daripada Ansar. Pada masa itu, diperintahkan bersaudara seramai 100 orang, 50 orang daripada kalangan Muhajirin dan 50 orang daripada kalangan Ansar. Di antara 100 orang itu antaranya;



1.Muhajir Jaafar bin Abi Talib dengan Ansar Muaz bin Jabal,
2.Abu Bakar As-Siddiq dengan Kharijah bin Zuhair,
3.Umar bin Al-Khattab dengan Itban bin Malik,
4. Amir bin Abdillah dengan Saad bin Muaz,
5. Abdurrahman bin Auf dengan Saad bin Rabi’,
6. Zubair bin Awwam dngan Salamah bin Salamah,
7. Uthman bin Affan dengan Aus bin Tsabit,
8. Thalhah bin Ubaidillah dengan Kaab bin Malik,
9. Saad bin Zaid dengan Ubay bin Kaab,
10. Mushab bin Umair dengan Khalid bin Zaid,
11. Abu Hudzaifah bin Utnah dengan Ubbad bin Bisyr,
12. Ammar bin Yasir dengan Hudzaifah al-Yamani,
13. Abu Zar al-Ghifari dengan Munzir bin Amr,
14. Bilal bin Rabah dengan Abu Ruwaihah,
14. Salman al-Farisi dengan Abud Darda’.

Tujuan Rasulullah SAW membina ikatan persaudaraan Islam ini antara lain untuk melenyapkan rasa asing di kalangan sahabat-sahabat Muhajirin di kota Madinah, untuk membangunkan rasa persaudaraan antara satu sama lain di dalam agama Allah, iaitu bahawa “semua orang Islam itu bersaudara”. Seperti mana yang dinyatakan oleh Muhammad Al-Ghazali ialah untuk mencairkan asabiyah jahiliah hingga yang tinggal hanya ruh Islam sahaja dan supaya timbunan perbezaan keturunan, warna kulit dan kedaerahan semua dihancurkan dan yang tinggal hanya Islam, tiada satu pun yang boleh membanggakan seseorang atau merendahkannya kecuali dengan ketakwaan sahaja.


Persaudaraan ini juga untuk saling menolong antara satu sama lain, yang kuat menolong yang lemah, yang mampu menolong yang kurang mampu dan sehingga mewarisi harta pusaka selepas mati yang bukan dari golongan Zawi al-Haram iaitu yang tiada hubungan kekeluargaan. Amalan ini berlaku sehinggalah berlaku perang Badar Kubra dan turun ayat 75 surah Al-Anfal yang berbunyi, “ Orang-orang yang mempunyai hubungan kerabat itu adalah lebih berhak terhadap sesamanya”.

Rasulullah SAW menjadikan persaudaraan itu sebagai suatu permeteraian yang berfungsi, bukan hanya sekadar lafaz yang kosong tidak membawa erti, ia adalah amalan yang berkait tuntutan darah dan harta, bukan sekadar ucapan di atas lisan yang tak bertulang tanpa sebarang kesan. Perasaan mengutamakan saudara, sifat tolong menolong dan sikap berdampingan diceritakan dalam ajuran ukhuwwah ini, bagi membekalkan ummat dengan seribu satu contoh unggul lagi unik.

Imam Bukhari r.a. telah meriwayatkan: Setelah mereka tiba di Madinah, Rasulullah terus mempersaudarakan antara Abdurrahman bin Auf dengan Saad bin Rabi’, sehingga beliau berkata kepada Abdurrahman: Sebenarnya aku ini orang Ansar yang terbanyak hartanya, di sini aku hendak bagi dua, isteriku pun dua, kau pilihlah mana seorang daripada mereka yang berkenan di hati kau, dan aku hendak ceraikan, selepas habis iddahnya kau kahwinlah dengannya. Kata Abdurrahman: “Semoga Allah memberkati kau pada keluarga dan harta kau, cuma aku hendak tahu di mana pasar kamu di sini?” Dengan itu Saad menunjukkan pasar Banu Qainuqa’, selepas majlis itu beliau pun terus ke sana membawa barang-barang keperluannya yang lebih untuk dijual di pasar seperti minyak sapi dan mentega. Pada suatu hari, beliau datang menemui Rasulullah dengan wajah yang ceria dan Rasulullah pun bersuara: Ehem! Terus Abdurrahman menjawab: “Sebenarnya daku sudah pun berkahwin”. Tanya Rasulullah: “Berapa maharnya?” Jawab Abdurrahman: “Sebungkal emas”.

Riwayat dari Abu Hurairah menyebut: Maka berkata kaum Ansar kepada Rasulullah: “Wahai Rasulullah bahagikan ladang-ladang tamar kami itu sesama saudara kami al-Muhajirin”. Kata Rasulullah: “Tidak” Kata mereka: “Kami boleh membantu memelihara tamar, kemudian kita berkongsi pada buahnya”. Jawab al-Muhajirin “Kami mendengar dan kami patuhi”.

Ini jelas menggambarkan kemuncak kemurahan kaum Ansar terhadap saudara mereka, kaum Muhajirin. Ia adalah sebahagian daripada pengorbanan, sifat mengutamakan orang lain, kemesraan dan ketelusan hati. Sebaliknya pula kaum Muhajirin tidak pula mengambil kesempatan, yang mereka terima ala kadar setakat yang mereka perlukan sahaja.

Dasar persaudaraan yang dilaksanakan oleh Rasulullah saw adalah kepada landasan akidah Islamiyah yang bersumber daripada Allah SWT yang menghimpun hati para sahabatnya dan menempatkan semua manusia dalam suatu barisan ubudiah hanya kepada-Nya tanpa sebarang perbezaan kecuali ketakwaan dan amal soleh. Ini kerana, tidak mungkin persaudaraan, saling menolong dan saling mengutamakan, dapat berkembang di antara orang-orang yang dipecah belah oleh akidah dan pemikiran yang beraneka ragam, yang masing-masing sentiasa menurut egoisme dan hawa nafsunya sendiri.

Berhubung dengan hikmah dihapuskan hak waris berdasarkan ukhuwwah ini, ternyata sistem pembahagian warisan yang pada akhirnya ditetapkan pun tidak jauh berbeza. Ini kerana, sistem pembahagian warisan yang nyata ditetapkan juga berdasarkan kepada hukum ukhuwwah Islamiyah, yakni orang yang berlainan agama tidak boleh saling mewarisi.

Selama masa pertama hijrah, kaum Muhajirin dan Ansar harus menghadapi tanggungjawab khusus berupa saling membantu dan saling memberi perlindungan disebabkan perpindahan kaum Muhajirin ke Madinah meninggalkan keluarga, rumah, dan harta kekayaan mereka di Mekah. Untuk menjamin terlaksananya tanggungjawab inilah maka Rasulullah SAW mempersaudarakan kaum Muhajirin dan kaum Ansar dengan kesinambungan atau tuntutan tanggungjawabnya adalah bahawa ukhuwwah tersebut harus lebih kuat pengaruhnya daripada jalinan kerabat.

Setelah kaum Muhajirin menetap di Madinah dan semangat Islam menjadi detak jantung dan denyut nadi kehidupan masyarakat baru, maka tibalah saatnya untuk mencabut sistem hubungan kaum Muhajirin dan Ansar yang selama ini dilaksanakan. Ini kerana, di bawah naungan ukhuwwah Islamiyah dengan pelbagai tanggungjawab yang telah mereka hayati, sirnalah segala kekhuatiran akan timbulnya perpecahan di kalangan mereka. Tidak perlu dikhuatirkan lagi jika hubungan kerabat sesama kaum Muhajirin kembali diakui pengaruhnya disamping ikatan Islam dan ukhuwwah Islamiyah.

Disamping itu, sesungguhnya sebelum mempersaudarakan antara Muhajirin dan Ansar ini, Rasulullah SAW telah mempersaudarakan antara sesama kaum Muhajirin di Mekah. Ibnu Abdil Barr berkata, “Persaudaraan ini diadakan dua kali: pertama antara sesama kaum Muhajirin secara khusus di Mekah, kedua antara kaum Muhajirin dan kaum Ansar di Madinah.

Hal ini menegaskan kepada kita bahawa asas ukuwwah ialah ikatan Islam. Hanya setelah hijrah perlu diperbaharui dan ditegaskan kembali kerana tuntutan situasi dan pertemuan kaum Muhajirin dan Ansar di sebuah negara iaitu Madinah. Persaudaraan ini tidak berbeza daripada ukhuwwah yang didasarkan kepada ikatan Islam dan kesatuan akidah.
Bahkan merupakan penegasan secara aplikasi terhadapnya.


Rujukan : PAKSI.net


No comments: