Friday, November 7, 2008

Layakkah Kita Menuntut Syurga?

BismilLah, wassolatu wassalamu ‘ala Saiyyidina Rasulillah, wa ba’du ;


Salam Islah,

Sememangnya kita akui bahawa segala ibadah dan ketaatan yang kita lakukan selama ini bukanlah sebaik-baik ibadah dan sangat jauh dari kesempurnaan. Terasa malu mahu menuntut syurga dengan ibadah yang sedikit dan penuh kecacatan. Apatah lagi kita umat akhir zaman, jika mahu dibandingkan dengan ibadah salafus soleh dari generasi terbaik umat ini, bezanya adalah seperti langit dan bumi.


Imam An Nawawi menyebutkan bahawa Saiyyiduna Ali Ibn Abi Thalib rdh pernah mengkhatam Al Quran sebanyak 8 kali sehari semalam. Syuruh Al Bukhari pernah menaqalkan bahawa Saiyyiduna ‘Uthman, Saiyyiduna ‘Ali, Saiyyiduna Tamim ad Dari, Imam Abu Hanifah adalah antara manusia soleh pilihan Allah yang selalu mengkhatamkan 30 juzu’ Al Quran dalam satu rakaat witir!. Namun mereka yang disebutkan ini, senantiasa berguling-guling di dalam mihrab ibadah masing-masing di malam hari ketika mereka bersunyi-sunyi bersama Allah SWT kerana menangisi amalan mereka yang sangat sedikit berbanding permusafiran menuju akhirat yang sangat jauh.


Tidak hairanlah mereka telah dipilih dan diberikan pertolongan oleh Allah SWT untuk memuliakan dan menegakkan agama Allah di atas muka bumi. Islam tersebar luas dengan kerja buat mereka yang ikhlas dan penuh kesungguhan. Mereka telah mencukupkan syarat pejuang agama di dalam diri mereka lalu mereka dimenangkan oleh Allah SWT di atas muka bumi. Mari kita muhasabah dan melakukan koreksi atas diri kita.


Namun kita mengharapkan agar Allah SWT mengurniakan kita belas kasihanNya dan merahmati kita semua dengan menerima ibadah dan ketaatan kita yang sedikit ini. Inilah yang telah diperingatkan oleh Imam Ibnu ‘Athailllah as Sukandari di dalam matan hikamnya bahawasanya kita lebih memerlukan keramahan dan kelembutan Allah SWT supaya menerima amalan kita berbanding pengampunan terhadap dosa yang kita lakukan. Ini adalah kerana Allah SWT telah menjanjikan keampunan bagi yang bertaubat dengan ikhlas dan jujur sedang amalan kita tidak dihajati dan tidak diperlukan Allah SWT. Al Quran menegaskan bahawa, jika kita berbuat kebaikan, maka kebaikan itu adalah untuk manafaat kita dan jika kita berbuat dosa dan kejahatan, maka kejahatan itu akan membinasakan kita. Ketaatan kita tidak sama sekali akan menambah kehebatan kerajaan Allah SWT dan jika kita bermaksiat, sedikitpun tidak akan memudharatkan Allah SWT.


Allah SWT bersifat dengan ‘al Qayyum’ (Tuhan yang berdiri dengan sendiri dan tidak bergantung kepada makhluk) yang memberi maksud bahawa Allah SWT tidak berhajat kepada amalan soleh yang kita lakukan. Maka sangat mustahak dan betapa perlunya kita mengharapkan agar Allah SWT menerima amalan kita semua.


Dalam keadaan amalan yang penuh cacat cela dan kekurangan, kita sangat perlu kepada belas kasihan Allah SWT untuk menyempurnakan amalan kita dan menerimanya sebagai amal soleh.


Sebagai seorang pejuang agama dan daie yang mengajak manusia kepada Allah SWT, perasaan seperti ini seharusnya menjadi teras dan akar kepada gerak kerja kita dalam perjuangan. Perjuangan, pengorbanan, penat lelah, masa dan tenaga yang kita curahkan untuk menjayakan cita-cita Islam adalah kerana kita berharap Allah SWT akan mengasihi kita dan mencintai kita kerananya. Kita malu untuk menuntut syurga dari Allah dengan perjuangan dan pengorbanan yang tidak seberapa berbanding para sahabah rdh. Pengorbanan kita dalam perjuangan masih belum mencapai tahap pengorbanan sahabah dalam perang Tabuk apatah lagi untuk mencapai kedudukan perjuangan dan pengorbanan Saiyyiduna Abu Bakr As Siddiq rdh. Kita tidak akan terkejar dan tercapai akan kedudukan mereka di dalam perjuangan dan pengorbanan.


Namun kita berdoa kepada Allah SWT agar menerima amal, perjuangan dan pengorbanan yang sedikit ini. Sebab itulah kita mengharapkan Allah mencintai kita dengan apa yang kita lakukan. Jika kasih dan cinta Allah dapat kita capai, nescaya walau sedikitpun amalan yang kita lakukan, dengan kasih saying dan rahmat dariNya, pasti amalan kita diterima di tercatat sebagai amal soleh dari hambaNya yang kerdil.



No comments: