Monday, March 29, 2010

Tak Kenal Tak Cinta-Keistimewaan Al Quran

Allah telah memuliakan kita kaum muslimin dengan menurunkan sebaik-baik kitab iaitu al-Quran sepertimana Allah memuliakan kita dengan mengutuskan sebaik-baik rasul. Kaum muslimin adalah satu-satunya umat yang mempunyai perutusan dari langit yang terpelihara daripada penyelewangan dan kebatilan. Perkara ini disebabkan kerana Allah sendiri yang memeliharanya. Firman Allah yang bermaksud : “Sesungguhnya Kami yang menurunkan al-Quran dan sesungguhnya kami yang memeliharanya.” (al-Hajr, ayat 9)



Al-Quran adalah cahaya yang menerangi hati-hati manusia ke arah jalan kebaikan dan kebajikan. Antara ciri-ciri dan keistimewaan al-Quran adalah pertama, ia merupakan kitab ilahi iaitu datangnya dari Allah yang tidak ada keraguan padanya. Allah menurunkan al-Quran melalui Malaikat Jibrail. Firman Allah yang bermaksud : “ Suatu kitab yang ayat-ayatnya disusun dengan rapi serta dijelaskan secara teperinci yang diturunkan di sisi Allah Yang Maha Bijaksana lagi maha Mengetahui.” (Hud, ayat 1)



Kedua ialah al-Quran merupakan kitab yang terpelihara sepertimana jaminan yang telah diberikan oleh Allah untuk memeliharanya. Oleh demikian, kita dapati begitu ramai orang yang menghafal al-Quran dengan baik sejak kanak-kanak lagi dan Allah memudahkan mereka untuk mengingatinya. Pemeliharaan tersebut juga didapati dengan penulisan al-Quran yang rapi oleh para sahabat selepas ayat-ayat tersebut diturunkan dan dibukukan pada zaman khulafa’ al-Rasyidin.



Ketiga,al-Quran merupakan kitab mukjizat yang terbesar dikurniakan kepada nabi Muhammad yang mencabar kekuatan dan pemikiran manusia. Manusia tidak mampu untuk menandingi al-Quran sama ada dari segi bahasa, makna dan cerita-cerita yang terkandung di dalamnya. Firman Allah yang bermaksud : “ Dan jika kamu tetap ragu-ragu tentang apa yang kami wahyukan kepada hamba kami (Muhammad), maka datanglah satu surah sepertinya dan ajaklah penolong-penolong kamu selain Allah jika kamu benar-benar orang yang benar.” (al-Baqarah, ayat 23-24)



Keempat, al-Quran merupakan kitab yang mudah difahami dan jelas maksudnya. Ia bukan kitab falsafah yang mengandungi teori-teori yang memeningkan. Ahli falsafah menyebutkan bahawa falsafah itu apabila diterangkan dan tidak difahami itulah dinamakan falsafah. Al-Quran diturunkan kepada manusia untuk difahami dan sasaran adalah untuk manusia sejagat. Firman Allah yang bermaksud : “ dan sesungguhnya kami mempermudahkan al-Quran itu untuk diingati, maka adakah ada orang mahu mengambil pengajaran.” (al-Qamar, ayat 17)



Kelima, al-Quran merupakan kitab agama secara keseluruhannya yang mengandung aspek akidah, ibadah, akhlak dan perundangan. Sesiapa yang ingin memahami akidah yang betul dan suci, maka hendaklah ia menggali dari al-Quran. Al-Quran memberi dalil-dalil yang jelas tentang keesaan Allah. Firman Allah yang bermaksud : “ Sekiranya ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan selain Allah, tentulah kedua-duanya telah rosak binasa. Maka Maha Suci Allah yang mempunyai Arash daripada apa yang mereka sifatkan.” ( al-Anbiya’, ayat 22) Begitu juga al-Quran mengandungi syariat dan peraturan untuk kehidupan manusia. Syariat ini meliputi aspek individu, keluarga, masyarakat, ekonomi, politik dan hubungan antarabangsa. Di samping itu, al-Quran menegaskan pembinaan akhlak melalui penghayatan sifat sabar, gigih berusaha, tekun, bertawakkal dan reda dengan ketentuan ilahi.



Keenam, al-Quran merupakan kitab sepanjang zaman, bukan kitab untuk zaman tertentu atau untuk generasi tertentu. Ini bermakna bahawa al-Quran merupakan kitab yang kekal abadi hingga hari Qiamat. Oleh itu, tidak harus kaum muslimin mengatakan bahawa al-Quran itu sesuai untuk zaman nabi sahaja atau zaman para sahabat dan tidak sesuai lagi pada zaman moden ini.



Ketujuh, al-Quran merupakan kitab kemanusiaan dan kehidupan. Oleh sebab itu, Allah menjadikan al-Quran sebagai kitab petunjuk kepada manusia dan alam. Firman Allah yang bermaksud : “ Pada bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk kepada manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara hak dan batil).” (al-Baqarah, ayat 185)



Inilah tujuh perkara ciri-ciri keistimewaan al-Quran yang membezakan kitab-kitab yang lain. Al-Quran diturunkan untuk umat Islam mengimani dengan penuh keyakinan akan kebenarannya. Allah menyebutkan bahawa sifat mukmin sejati adalah mereka yang tidak sama sekali ragu tentang kandungan al-Quran. Nabi Muhammad apabila tiba bulan Ramadhan baginda akan bertadarus bersama Jibrail dan rumah yang sentiasa diterangi dengan bacaan al-Quran akan dilimpahi rahmat dan berkat. Penurunan al-Quran merupakan nikmat yang terbesar dikurniakan Allah kepada umat Islam. Oleh itu, kita harus bersyukur dengan membuktikannya melalui taat segala perintah al-Quran dan mengamalkan ajaran-ajaran yang terkandung di dalamnya dan menjadikan kita sebagai ahli al-Quran., bukan sahaja dalam bulan Ramadhan tetapi juga dalam bulan-bulan yang lain.

2 comments:

Fizul Al-Mempelami said...

salam ziarah dan salam perjuangan ustaz

Anonymous said...

Assalamualaikum,ustaz ni banyak ilmu..Belajar pun tinggi dah.Tak kan ustaz perjuangkan PAS lagi sebab saya yakin mesti ustaz sudah nampak bahawa PAS bukanlah jamaah islam yang sebenar kan ustaz?
Metilah ustaz tidak yakin dengan cara politik dan politik(demokrasi) itu juga
haram hukumnya dalam islam.
Saya yakin juga mesti ustaz sudah pening dengan perjuangan PAS.
Macam inilah ustaz, ustaz cuba merintih dengan ALLAH swt, minta
ALLAH tunjukkan jalan yang sebenar.
Ustaz turunkan ego ustaz, janga bergaduh dengan UMNO, ustaz minta sungguh dengan ALLAH supaya tunjuk jalan yang sebenar di dalam islam,
insha ALLAH mesti ustaz akan jumpa.
Selamat mencuba ya Al fadhil Ustaz Yussaini al-barlisi tontowi.