Tuesday, July 27, 2010

Fatwa Syeikh 'Athiyyah Shaqr ~ Bab Solat (4)

Soalan 4 : Adakah solat dengan duduk di atas kerusi itu batal dan tidak sah ?.

Jawapan Syeikh ‘Athiyyah Shaqr : Diketahui bahawa menunaikan solat dalam keadaan berdiri ketika takbiratul ihram yang pertama , ketika membaca Al Fatihah , ketika ruku’ dan ketika I’tidal adalah wajib. Dan kewajipan berdiri dalam situasi yang disebutkan tadi adalah diwajibkan di dalam solat fardhu. Namun jika sekiranya seseorang itu tidak mampu solat berdiri maka dia dibolehkan untuk solat sambil duduk sebagaimana yang telah dinaskan oleh hadis.

Adapun di dalam solat-solat sunat, seseorang itu boleh menunaikan solat sunat dalam keadaan duduk walaupun ia mampu solat berdiri dan dikira baginya separuh pahala solat orang yang solat sunat dalam keadaan berdiri. Namun jika ia solat sunat dalam keadaan duduk kerana tidak mampu berdiri maka baginya pahala yang sempurna seperti orang yang solat sunat dalam keadaan berdiri.

Hendaklah diketahui bahawasanya orang yang mampu solat dalam keadaan berdiri di dalam solat fardhu tetapi sebaliknya ia menunaikan solat fardhu dalam keadaan duduk maka batallah solatnya dan tidak ada pahala baginya.

Adapun solat dalam keadaan duduk itu ada padanya berbagai bentuk dan keadaan. Antaranya solat sambil duduk terus di atas tanah (lantai), maka ketika ruku’ hendaklah ia menundukkan kepalanya dan ketika sujud hendaklah ia meletakkan kepalanya di atas lantai. Namun jika ia tidak mampu sujud dengan meletakkan kepala di atas lantai maka hendaklah ia sujud dalam keadaan merendahkan kepalanya lebih rendah dan lebih kebawah dari keadaan ketika rukuk supaya jelas perbezaan di antara kedua perbuatan tersebut. Sedangkan duduk di atas kerusi ketika solat tidak membolehkan seseorang itu sujud terus di atas tanah (lantai), maka batal dan tidak sah solatnya itu.

Bagi mereka yang mampu berdiri di permulaan solat iaitu ketika takbiratul ihram kemudian ia rukuk , iktidal , kemudian sujud dengan dua sujud maka selepas itu ia tidak lagi mampu meneruskan solat dalam keadaan berdiri maka ia dibolehkan untuk menyambung (meneruskan) solatnya dalam keadaan duduk. Sesorang yang mampu berdiri tidak dibenarkan memulakan solatnya dalam keadaan duduk iaitu samada duduk di atas kerusi atau di atas lantai (di dalam solat fardhu sahaja).

Jelasnya, barangsiapa yang mampu berdiri ketika menunaikan mana-mana rukun di dalam solat (fardhu), maka ia tidak boleh melakukannya di dalam keadaan duduk. Menunaikan solat dalam keadaan duduk hanya dibenarkan di di dalam keadaan duduk dan tidak mampu berdiri sahaja.

1 comment:

nazri said...

salam.nak tanye ni us ,blh ke kiter sembayang sunat ikut kiter je.contohnye sambil mengcangkung ke atau pun sambil besila dgn tampa uzur aper2